“... dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka (mahu) memalingkan kamu dari agama kamu kalau mereka sanggup (melakukan yang demikian) dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari agamanya (agama Islam), lalu dia mati sedangkan dia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat dan mereka itulah ahli Neraka, mereka kekal di dalamnya (selama-lamanya).”(Al-Baqarah:217)
Jumaat lepas kami menunaikan Solat Jumaat di Kampung Kobuni, Inanam. Kehadirannya seperti biasa tidak mencecah 35 orang. Apapun usaha Persatuan Siswazah Sabah (PSS) memohon dan memastikan Solat Jumaat dibenarkan untuk dilaksanakan di sini adalah usaha yang harus dipuji. Kalau di kampung sendiri pun Solat Jumaat tidak dapat pergi, masakan kalau dibuat di tempat lebih jauh lagi dapat dilaksanakan?
Minggu ini masuk minggu ketiga solat Jumaat dilaksanakan di kampung ini. Seusai solat, seperti biasa kami duduk berbincang isu-isu semasa bersama penduduk kampung. Dari isu kerajaan Perak, Elizabeth Wong, sampailah ke isu evergreen, khususnya di Sabah. Isu murtad. Pengislaman beramai-ramai zaman USNO di bawah Tun Datu Mustapha sekitar tahun 1975 untuk membolehkan Islam dijadikan agama rasmi negeri Sabah, tetapi tidak ada susulan pendidikan Islam kepada suadara baru menyebabkan banyak paksi Islam yang belum sempat ditanam kemas tercabut dari hati penganut.
Isu murtad bukan isu kecil. Ia melibatkan aqidah, penukaran terus akar dan pasak kepercayaan dan gugur keyakinan dari keimanan yang tunggal. Jangankan yang murtad, yang mengaku Islam pun kang kali kung. Tidak pernah solat, tidak menutup aurat, tidak kenal pun Islam. Anak-anak di sini, diajar solat, disuruh rukuk, mereka membuat gaya orang sedang menghisap rokok. Rokok je mereka pernah dengar. Rukuk? Tak pernah!
Paling menyedihkan, isu murtad bukan berlaku di tempat yang sayup-sayup, tak tercapai oleh mata telinga. Ia berlaku di laman rumah kita sendiri! Penduduk Kg. Kobuni menceritakan bagaimana di Kg. Kionsom Kecil, yang baru didiami oleh 8 buah keluarga, salah satu daripadanya telah murtad! Kes biasa-suami Islam, isteri ikut masuk Islam untuk kahwin, cerai, isteri murtad bersama anak-anak. Begitu juga dengan beberapa keluarga lain di situ, sedang keluarga-keluarga yang lain sentiasa terdedah kepada ancaman yang sama, ekoran banyaknya gereja dan hebatnya gerakan Kristianisasi di situ! Lapar? Kesian. Nah kami beri duit poket bulanan. Beras nak? Sardin perlu? Ish,ish..teruk juga kehidupan kamu ni. Orang Islam tak tolong? Kesian. Ramai macam kamu ni. Apa kata kita pergi jumpa kawan-kawan Ahad ni, bincang-bincang. Kat bawah tu je, dekat je. Ya, gereja tu. Penduduk bersungguh-sungguh mengharapkan supaya sekurang-kurangnya sebuah surau kecil dapat dibina di situ, selain kes murtad tersebut dirujuk kepada pihak sepatutnya. Bukan mereka tidak melakukan apa-apa, aduan telah dibuat kepada pihak JHEAINS, tetapi tidak ada tindakan diambil. Ah, orang-orang tua dari kaki gunung ini, abaikan sahaja..Bukan dia dapat menjejaskan apa-apa..
Sudahlah asyik melontarkan simpati berterusan kepada anak-anak Palestin yang kelaparan dalam peperangan, kerana mati mereka dalam keimanan. Usahlah sibuk membicarakan kemanusiaan dan kezaliman, kerana pergi mereka mendampingi Tuhan. Susukan dulu anak di halaman, sebelum menyusu kera di hutan, kerana tanpa susu, anak itu mungkin mati dalam kekufuran!
(PSS akan mengadakan ziarah ke Kampung Kionsom Kecil bertemu Ketua Kampung dan membincangkan masalah-masalah yang membelenggu penduduk di sana, menyampaikan tajaan Set Selamatkan Aqidah daripada anda, dan mengusulkan kepada JHEAINS supaya diberi peruntukan membina surau di sana dalam masa terdekat. Kami juga mengalukan sumbangan berbentuk kewangan atau bahan makanan.)
Terdapat 6.8 billion penduduk di dunia. 1 billion tidur setiap malam tanpa cukup makan. 1 juta mati kerana malnutrisi. 100 tinggal di Kampung Bisuang.
27 Januari 2009, rombongan pertama seramai 15 sampai ke Kampung Bisuang dan berjaya membuka Pusat Asuhan Tunas Islam dengan pelajar seramai 15 orang. Kesemuanya bukan beragama Islam. Ahad depan, 28 Februari 2009, rombongan kedua akan bertolak ke sana menyampaikan susulan sumbangan dan ziarah penduduk. Perjalanan masuk ke kampung mengambil masa 40 minit dengan menggunakan motor, dan hampir satu jam jika berjalan kaki merentas sungai, mendaki lurah, meniti jambatan gantung dan meredah denai. Tahniah rombongan pertama yang melalui perjalanan sukar ini dengan menjunjung meja belajar, kerusi dan lain-lain peralatan untuk P&P. Maklumat lanjut berhubung keadaan kampung tersebut boleh diperolehi di [link], [link] dan [link]. Kepada yang berminat menyampaikan bantuan, atau menyertai rombongan, boleh menghubungi Cikgu Hamid di 0138508468. Ada sisa rezki yang boleh diberi?
School (read : SAMTEN & SAMBEST) was a load of fun. Especially when we had programmes and we stayed up late at night preparing the backdrop together etc. I don't know why the enthusiasm and drive didn't wear off on me at University. Maybe too many people that had to be fit in a single picture just wouldn't do. Plus the too many backgrounds and attitudes smearing the whole deal. Trust me, it's that bad. Anyway, for me, KIDS 2007 was one of the best. It was where a lot of things started rolling for a lot of people.
Dataran Sekolah Agama Menengah Bestari penuh sesak dengan kereta ibubapa yang datang menjemput anak-anak kesayangan masing-masing pulang bercuti selama dua minggu setelah letih berhempas-pulas ‘menggoreng’ dan ‘mencanai’ dalam peperiksaan pertengahan tahun yang baru lepas. Pelajar-pelajar tingkatan satu sibuk memanjangkan leher mencari kelibat ibubapa yang tak juga datang. Yang sudah nampak adik melambai daripada kerusi belakang kereta bergegas mengangkat beg, baldi, bantal dan segala macam peralatan sukan sambil tersenyum kambing; lega dapat melepas rindu. Pelajar senior pula lebih gemar pulang secara bergerombolan dengan member-member. Lebih macho dan ranggi. Malulah besar-besar tunggu mak ambil lagi.
Sebuah kereta Gen2 oren ‘metallic’ meluncur laju masuk ke perkarangan sekolah lalu berhenti di tempat parking VIP di depan Dewan Bestari. Selang beberapa ketika sepasang kaki melangkah keluar dari tempat pemandu, memijak bumi bestari. Injakan yang penuh bererti. Penuh nostalgia. Sejarah silam daripada lembaran diari kehidupannya bagaikan meresap masuk melalui kakinya, terus ke seluruh bahagian badan yang lain. Di sinilah diri ini pernah menapak sehari-harian untuk menuntut ilmu. Di sinilah diri ini pernah di’kantoikan’ kerana telah melewati pagar asrama di waktu hening malam. Di sinilah diri ini pernah gah menaiki pentas kerana lewat menghadiri perhimpunan pagi. Dan di sini jugalah diri ini berulang-alik ke hulu hilir menyertai pelbagai program yang dianjurkan badan-badan pelajar. Sambutan Hari Guru, Pertandingan Sukan Peringkat Zon, Hari Dewan Makan, dan macam-macam lagi. Semuanya masih segar-bugar dalam ingatan. Pensil gergasi yang dibuat oleh Badan Pengawas dengan menggunakan coklat, banner 5 meter ‘Selamat Hari Guru’ oleh Pembimbing Rakan Sebaya, bagaimana Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jamaah di’boo’ dan dipulau oleh semua sekolah-sekolah lain ketika Sukan Peringkat Zon kerana dikatakan bermain tipu di dalam pertandingan badminton menentang pemain-pemain handalan SAMBEST, roti canai yang ditebar dan teh yang ditarik kaw-kaw pada kali pertama penganjuran Hari Dewan Makan tiga tahun dahulu. Seolah-olah semuanya baru berlaku semalam. Seolah-olah kaki ini tidak pernah mengorak langkah meninggalkan bumi bertuah ini. Dan hari ini kaki yang sama pulang ke alma-mater untuk melakar sejarah; membawa angin perubahan. Dia berharap benar program yang bakal alumni anjurkan – Kem Kepimpinan, Ibadah dan Sakhsiah 2007, atau ringkasnya KIDS 07, mampu meniupkan dan menyuburkan semula nilai-nilai Islam di bumi yang khabarnya makin kontang dan lesu dihanyut gelojak deras perubahan.
Haizeer terus melemparkan pandangannya jauh-jauh. Matanya galak memerhati keadaan dataran yang semakin sesak dengan kelibat manusia. Seorang budak kecil terjatuh ketika berlari hendak mendapatkan abangnya yang baru mengangkat punggung daripada kerusi di Dataran Datuk Sarip. Tangisannya kuat membelah hiruk-pikuk suasana. Abangnya cepat-cepat memujuk. Malu kalau-kalau ada kawannya yang nampak adiknya seorang yang ciwek. Daripada tempat penumpang hadapan Gen2 keluar seorang lelaki muda berkumis nipis dan berjanggut. Dia sedang bercakap di telefon bimbit Nokia 3310nya. ‘Tet,tet’. Bunyi isyarat bateri habis kedengaran diikuti keluhan lelaki itu. “Tension betullah battery ni. Baru cakap kejap dah mati. Hm. Ketua fasilitator program, Abang Afrodhi call tadi. Dia kata Cikgu Tengku tak dapat pantau program kita sebab cuti bersalin. Cikgu Siti Ngokison dan Teacher Husniza akan takeover”, lelaki itu memaklumkan kepada Haizeer. “Jom kita angkat barang-barang masuk ke dewan dulu. Lambat dah ni. Karang budak-budak datang,” dia menyambung. Lelaki itu merupakan pengarah program KIDS pada tahun itu. Haizeer bergegas membuka bonnet kereta dan mereka sama-sama mengangkut peralatan yang diperlukan untuk pendaftaran program ke dalam dewan.
“Tengok kat dinding tu, kat senarai nama pelajar cemerlang. Ada nama Datuk Akmal Sarip,” ujar Haizeer. “Macam baru je. Sebelum ni tak pernah nampak pun,”.
“Assalamualaikum,” satu suara tiba-tiba menyapa daripada pintu utama dewan.
“Waalaikumussalam. Oh, Cikgu Siti. Apa khabar? Lama tak jumpa,” Man menyahut.
“Sihat, alhamdulillah. Kamu yang nak buat program KIDS kan? Macam ni sebenarnya. Kami tempahkan bilik seminar Ibnu Taimiyah untuk program kamu. Mungkin kat sana lagi selesa. Ada air-cond, PA system semua nak banding dengan dewan. Ini kuncinya. Tadi cikgu dah umumkan pada peserta-peserta. Kamu boleh buat pendaftaran di laluan tengah-tengah blok B tu,” maklum Cikgu Siti.
“Cantik jugak tu. Kami akan pergi ke sana. Terima kasih banyak cikgu,” kata Man sambil menyambut kunci yang dihulurkan. “Jom gerak Haizeer. Lorong Koop. ”
“ Eh, tu sape baru datang tu. Abang Abdurrahman Jabir. Bagus, bagus. Gini Hai, kau dengan abang Jabir bawa meja dari dewan ke Lorong Koop, biar aku angkat semua peralatan ni. 2 meja cukup dah.”
Tak lama kemudian Kak Dayat datang membawa name-tag dan fail peserta. Selesai me’nyet’-up meja pendaftaran peserta pun mula mendaftar.
“Yuran berapa bang? Free takleh ke...”
“Fail warna oren takde dah ke? Takkan dah habis..”
“ Kak, saya nak daftar untuk kawan saya,”
“ Hekeleh. Banyak gak songeh korang ek. Haha. Taklimat pukul 5pm di Bilik Seminar Ibnu Taimiyah. Tolong beritahu kawan-kawan yang takde ek,” Man membuat pengumuman.
“ Umat Islam hari ini malu untuk menjunjung identiti Islam tu sendiri. Misalnya kita tengok, orang yang nama Muhammad, nak guna nama Matt. Syazwan, Syazzy. Aminah, Amy dan Khatijah, Kate. Kalau Melur? Mungkin Melly. Tapi kalau nama Melur tu salah mak mengandung la kot. Nama klasik sangat. Haha. Apepun, bila kita sebut Melly yang kita nampak, gadis KL, baju ketat, jalan gelek 180ยบ, lepak dengan member-member kat Summit. Melur? Gadis kampung, sopan-santun, jalan tunduk, gigit jari. Sama macam orang yang nak ikut program ni. Ala, kalau aku ikut nanti orang kata aku mangat. Poyo baik. Bajet alim. Semua F4. Takkan aku sorang F5 nak ikut? Malu nak ikut benda baik walaupun tau banda tu benda baik. Sekarang kita fikir. Kenapa ni berlaku? Sebenarnya kita pada hari ni dibentuk oleh suasana di sekeliling kita. Nak ikut program, nanti kawan kata macam-macam, tak ikut. Nak pakai nama betul yang Islamik, tak hip. Nak turun KL pakai jubah, kopiah, tangan sebelah pegang tasbih lagi sebelah tengah sugi gigi, orang kata gila. Nampak tak? Sebab tu kita kena pandai bawa diri. Jangan dengar sangat cakap orang. Baru satu hari nanti suasana dapat diubah. Sebab tu hari ni abang katakan, abang bangga tengok jumlah peserta hari ni. Sebab tanpa paksaan, tanpa arahan dan tanpa disuruh, kamu boleh datang, semata-mata sebab nak berubah, semata-mata sebab rasa ada benda nak dikesali, dan semata-mata sebab ikut kawan. Haha. Abang tau ada yang datang ni ikut kawan. Tapi takpe, ikhlas tu awalnya dipaksa. Lama-lama dia datang sendiri. Peserta akan tidur di dorm-dorm bawah sekali, paling depan. Faci dan AJK akan guna dorm blok B, paling hujung. Dorm-dorm atas tak boleh naik. Jap. Ada muka-muka yang takde ni. Diorang gi mane? Summit? Nanti tolong sampaikan maklumat yang abang dah beritahu. Lepas ni korang boleh pergi makan dan bersiap untuk solat Maghrib. Wassalamualaikum. ”
“ Syazwan. Dengar cerita Syazwan ni wakil sekolah debat Bahasa Inggeris,”
“ Mane ade..”
“ Cantik ah. Jadi MC..”
“Aduh bang...”
“Assalamualaikum. Bersyukur kita kerana dapat solat solat Maghrib berjamaah. Sekarang kita akan mendengar kuliah maghrib bertajuk ‘Islam; Agama atau Ad-Din’ daripada Ustaz Meeftah, bekas pelajar di Darul Quran . Tapi sebelum tu, kita buka majlis dengan Al-Fatihah,” Syazwan memulakan majlis.
“Assalamualaikum, apa khabar semua? Ustaz masuk je sini terimbau zaman-zaman sekolah balik. Sebijik macam ni. Muke toye kena dengar kuliah. Pakai baju melayu dengan songkok serbaguna. Songkok tulah masuk tandas, sembahyang, pergi sekolah, sarung tangan keeper kalau main bola dalam kelas. Pergi ke depan bagi tazkirah pendek macam Ketua Pelajar kamu tadi. Tapi takpelah. Tajuk yang kita nak bincang bukan ‘Zaman Sekolah Saya’. Tapi tajuk kita ialah ‘Islam; Agama atau Ad-Din’. Bila kita sebut Islam kita kea tahu bahawa mengatakan Islam sebagai agama semata-mata tak cukup. Sebab Islam ni bukan semata agama tapi Ad-Din. Cara hidup. Sifat dia syumul. Semua benda yang kita buat melibatkan Islam. Solat, belajar, tidur, makan, buang balik. Semua. Semua. Sebab tu setiap perbuatan kita kena teliti dan timbang. Sebab semua akan dinilai dan dianalisa. Stay in heaven or go to hell. Cuba tengok kertas kerja yang ustaz edar tadi. Uih. Khusyuknya kawan ni. Orang semua dengar je tapi dia menghafal kertas kerja. Tunduk je dari tadi.......... ”
“ Sekarang kita nak buat pembahagian kumpulan. Sementara abang bahagikan kumpulan, abang jemput Pengarah Bahagian yang kita nanti-nantikan untuk perkenalkan diri. Abang Mursyid,”
“ Assalamualaikum semua. Nama saya Mursyid. Saya Pengarah Bahagian Disiplin dan Protokol. Sape tak bawak nametag tolong ke depan.” Dua orang peserta lelaki tampil ke hadapan. “Abang nak dengar kamu nyanyi lagu sekolah. Lame dah tak dengar,”. “ Abang nak versi Melayu ke Arab?” “Wah. Siap boleh bagi opsyen lagi. Dulu ada versi Melayu je. Abang nak versi Arabla macam tu..”
“ Wahid, Ithnain, Thalasa.....Al-Ma’ahad Ad-Dinil Islami Bestari, Ahdafuhu Ikhrajud Da’ie....”
Setengah jam kemudian.....
“Sekarang kamu boleh bergerak ikut faci masing-masing. Tapi kita dah kesuntukan masa. Masa kuliah Maghrib tadi 4 helai note abang bagi kat MC suruh warning penceramah dah habis masa tapi tak sampai kot. Jadi abang bagi masa untuk taaruf 20 minit je. Lepas tu terus ke dewan besar. Faci tolong ambil berat pasal masa,”
Peserta mula masuk ke dewan setelah selesai LDK 1. Mereka mula menyusun kerusi dan mengambil tempat.
“Eh, tak payah pakai kerusi. Semua duk bawah je,” Man memberi arahan.
Masing-masing mula mencari port yang selesa untuk duduk. Peserta muslimat sibuk mengibas-ngibas lantai. Bimbang kalau ada kuman yang akan menaiki kain baju kurung mereka. Lampu dipadamkan. Hanya cahaya suram neon merah menyinari suasana malam.
“Sekejap lagi kita akan tengok video ‘Palestin Menangis Lagi’. Abang harap kamu dapat hayati suka duka, susah payah saudara-saudara kita kat sana.”
Tayangan dimulakan. Gema letupan bom dan bedilan kereta kebal memenuhi segenap ruang dewan...
Tamat tayangan, peserta diarahkan menutup mata. Semilir bayu tengah malam bertiup sepoi-sepoi melalui pintu-pintu dewan yang terbuka, menusuk ke sum-sum tulang. Suasana cukup damai dan sepi. Kata orang, kalau jarum jatuh pun boleh kedengaran tatkala itu. Peluh dingin memercik dahi. Beberapa orang peserta mula terangguk-angguk. Melayar bahtera mimpi membelah lautan fantasi. Atau barangkali sedang menghayati irama ‘Angguk-Angguk, Geleng-Geleng’ nyanyian Ahli Fikir. Belum sempat sampai ke “Nama adik siapa? Adik pandai nyanyi tak?”, suara Kak Zaireena memecahkan atmosfera yang baru mula tepu dek zarah-zarah sunyi.
“Adik-adik. Rilekskan badan. Tarik nafas dalam-dalam....lepaaas. Tariiiik...lepaaas. Tenangkan diri, longgarkan otot-otot. Tenang, tenang. Rasa angin bertiup kat wajah kita,” sesi muhasabah dimulakan.
“Bayangkan wajah ibubapa kita. Wajah redup ayah, memandang kita yang baru lahir. Pandangan yang penuh dengan kasih-sayang. Janji tak terucap yang dia akan sentiasa bersama kita di waktu susah senang. Bayangkan wajah emak. Sembilan bulan berhempas-pulas menahan sakit, tapi bila dapat tatap wajah kita, hilang segala duka lara, penat-lelah...”
“Sekarang akak nak adik-adik bayangkan yang adik-adik tengah memandu kereta. Tiba-tiba, kereta adik hilang kawalan. Depan adik sebuah trailer muncul secara mengejut. Adik akan meninggal dunia tak lama lagi. Tapi adik diberi peluang satu minit, satu minit je, dengan pen dan kertas yang sempat adik capai, tuliskan satu surat wasiat kepada semua yang adik sayangi. Apa yang akan adik tulis dalam masa satu minit yang terakhir tu sebelum malaikat maut datang mencabut roh daripada jasad?”
Tidak lama kemudian, kelihatan kelibat manusia menjunjung jasad yang terbujur kaku ke pusara. Hiruk-pikuk tangisan insan bingit menerkam gegendang telinga. Pintu dewan tertutup dengan tak semena-mena. Tatkala itu dirasakan sangat sempit. Rimas yang menghimpit. Tiada lagi semilir malam menyapa pipi. Tiada lagi cahaya terang menerangi penglihatan. Sepi. Panas. Lemas.
Kiamat sudah dekat.........
TO BE CONTINUED (don't hope on it..)
KIDS visit home..erm, someone doesn't belong here..we'll forgive him for the moment :)
Let us all say a silent prayer for Mom, and pray that during her life she will always be able to nurture her children to be like me, minus the bad parts..(",)
Ya Allah kasihi ibubapa kami sebagaimana mereka mengasihi kami, ampunkan dosa mereka dan kekalkan mereka di dalam syurgaMu bersama hamba-hambaMu yang soleh..Amin
Mudah terkesan dengan penderitaan orang lain kadang-kadang membawa bencana, tetapi biasanya menjadi kelebihan dalam berdakwah dan membawa agama Islam. Sifat semulajadi ini, atau mungkin dipupuk oleh ibubapa yang sentiasa menjadi tempat meluah dan menyelesai masalah masyarakat setempat, membuatkan diri sentiasa peka dan mengambil tahu apa yang berlaku di sekeliling. Kasihan melihat anak-anak kecil yang terpaksa bekerja, simpati dengan bayi setinggan yang dirobohkan tempat berteduh, dan mengambil berat terhadap umat yang berkehendakkan kepada Islam tetapi tidak menjumpai jalan menuju pedoman, menolak diri untuk terus memberi.
Setiap masalah yang melanda rakyat, setiap perkara yang berlaku, setiap isu yang tercetus, politik, sosial, ekonomi, dan apa sahaja mempunyai kaitan dengan Islam dan adalah isu Islam. Ini didasarkan atas sifat syumul aqidah islam, yang disandarkan atas tiga tiang;
1. Aqidah Islam bersumber daripada zat yang kamil 2. Aqidah Islam adalah penyelesai kepada semua masalah 3. Aqidah Islam tidak boleh berdiri atas perpecahan
Justeru saya tidak putus mengikuti perkembangan tanahair dalam segenap bidang. Satu isu yang menggamit perhatian tentu sekali isu di negeri Perak. Tidak perlu saya mengulas panjang apa yang berlaku di sana memandangkan komuniti bloggers adalah komuniti yang celik isu. Yang ingin saya tonjolkan ialah apa yang berlaku tanggal 5 Februari 2009 di Kuala Kangsar, Perak. Selama ini keganasan polis tidaklah sesuatu yang asing. Saya sendiri pernah digasak polis tanggal suatu tarikh dahulu. Apa yang berlaku lewat setiap perhimpunan yang dianjurkan oleh rakyat, apa yang berlaku di Berembang, apa yang berlaku di Kuala Kangsar, adalah sesuatu yang cukup menjengkelkan dan menjejaskan integriti 'peace-keepers' ini. Tidak hairan FRU digelar sebagai Zionis Malaysia. Suatu hari nanti anak-anak kita tidak lagi berlari melihat lelaki asing bertopeng, tetapi lebih cenderung lari ketika melihat polis! Atau mungkin, mereka akan mengambil pengajaran daripada saudara mereka di Palestin dan belajar melontar batu kepada pengganas-pengganas ini..
Di sebelah ini adalah video insiden 5 Februari di Kuala Kangsar, untuk tontotan umum, sesuai ditonton oleh semua rakyat yang tanah tumpah darahnya ialah Malaysia tercinta!
Semalam saya sempat menghantar sms kepada Adik Elfion. Jika anda belum membaca kisah Adik Elfion baca di sini [link] dan sini [link] . Saja bertanyakan khabar setelah beliau selamat dibedah di IJN dan diterbangkan semula pulang ke tanah tumpah darah. Kini beliau berada di Papar. Alhamdulillah, beliau sekeluarga berada di dalam keadaan sihat. Beliau boleh berjalan dan bermain. Cuma bermain bola belum lagi. Lantas saya mengajak beliau berjalan di Kota Kinabalu.
"Nak ke mana bang?" tanya Elfion.
"Kita pergi Taman Buaya ke. Nak?"
"Boleh juga. Tapi kalau nak pergi, Ma boleh ikut sekali?" Dia menyatakan hasrat mahu membawa ibunya ikut serta pula.
"Boleh ja. Tapi takut Ma boring pula jalan dengan kita," Saya berseloroh.
Tiba-tiba perbualan santai bertukar menjadi serius.
"Kalau kata boring tak lah juga, tapi saya sebenarnya masih tak gembira lah bang. Sebab ma saya ada masalah kewangan untuk perbelanjaan persekolahan saya. Ma saya baru mula kerja, saya pula seminggu sekali mesti jumpa Doktor. Saya pun serba salah nak sambung sekolah atau tak." Elfion mengeluh.
Saya tersentak. 'Oh, tidak! Adikku yang seorang ini tidak akan berhenti sekolah kerana masalah kewangan! Akan aku cari jalan untuk memastikan kau dapat belajar dan bermain bersama rakan-rakanmu semula! Bukankah itu hasrat kau, tujuan kau mengharapkan sembuh kembali?' Aku berjanji di dalam hati.
Terus saya menghubungi Ma Elfion. Benar apa yang dikatakan anak kecil itu. Mereka masih dirudum masalah kewangan, dan memerlukan sekurang-kurangnya RM300 untuk memastikan Elfion bersekolah semula. Ayah yang bekerja sebagai security guard tidak dapat menampung seluruh keluarga.Aku optimis, masih ramai yang sudi membantu. Ah, sedangkan hajat Elfion untuk mendapatkan papan karom pun dapat dipenuhi, inikan pula untuk menyambung persekolahan. Insan budiman, bantulah Elfion!
Untuk menghulurkan bantuan, hubungi saya di 0198110964. Terima kasih daun keladi, syurga Allah luas menanti, insyaAllah. Jom lancarkan tabung, seringgit untuk Elfion!!
Semakin lama ahli makin terhimpit. Ramai yang tertekan oleh akademik, beban tugas, kerja dakwah, masalah keluarga dan kewangan dan macam-macam lagi. Maka mula timbul spekulasi. Mula muncul keluhan. Mula terbit kata-kata yang tidak enak didengar.
"Aku berjuang sendirian!"
"Kebajikan aku tak dijaga!"
"Semua kerja aku yang buat!"
Yang punya tempat meluah berkongsi rasa dan dimotivasikan semula. Yang tidak suka bercerita senyap-senyap membiarkan masalah memakan diri. Atau ada juga yang memilih untuk menghambur dan meletup secara terbuka. Persepsi yang pelbagai timbul kerana banyak punca. Tetapi mudahnya izinkan kita berkongsi suatu analogi. Tentu semua pernah mendengar kisah Raja yang mengadakan pertandingan menyeberang sungai penuh buaya untuk mencari pengganti takhtanya. Kalau belum, baca di sini [link]. Analogi ini merupakan susulan kepada kisah tersebut;
Kita bermula dengan semua berdiri seiring di tepi sungai. Kemudian seorang demi seorang melangkah ke dalam sungai. Satu langkah, dua langkah, tiga langkah. Makin terbeban makin laju melangkah. Tidak lama kemudian, ada yang sudah berada di tengah sungai. Ada yang masih di siring-siring. Ada yang sudah masuk takat pinggang. Dan ada yang hampir lemas. Maka atas dasar kebersamaan dan persahabatan , yang sudah hampir lemas memanggil yang masih di siring.
"Langkah untuk aku!"
Yang di siring melangkah. Sampai akhirnya semua sudah berada di tengah sungai. Tetapi masih ada yang perlu melangkah. Sehingga hampir lemas.
"Bantu dia!"
Kawan yang prihatin menjerit. Lalu kawan lain memilih untuk mengambil langkah. Kini semua hampir lemas. Tiada lagi yang di siring. Semua di tengah. Semua kalau mengambil lagi satu langkah akan lemas, hanyut, mati. Apa nak buat? Pandang-pandang, rupanya masih ramai lagi orang yang berada di siring sungai. Biarpun tidak punya fikrah dan thaqafah yang hebat tetapi orang-orang ini mampu bekerja. Walaupun tidak berada dalam organisasi tetapi orang-orang ini mampu bekerja. Walaupun agenda perjuangan orang-orang ini sedikit berbeza orang-orang ini mampu bekerja. Maka gamit mereka supaya mula melangkah.
Mungkin sukar memahami analogi ini, khususnya bagi mereka yang tidak pernah melalui praktikalnya. Jika berminat kita boleh mengadakan praktikal. Tetapi analogi ini sasarannya untuk mereka yang telah melalui praktikal. Kerana yang hampir lemas adalah golongan ini. Untuk mereka, ambil beberapa pengajaran dari analogi ini,
Belajar untuk berkata tidak sebelum lemas. Dan jangan berkata tidak selagi masih mampu melangkah. Elakkan meminta orang lain melangkah bila diri sendiri masih mampu melangkah.Bukan anda seorang yang berada di tengah sungai. Jangan rasakan anda seorang sahaja yang hampir lemas sedangkan orang lain seronok bersantai di tepi sungai.Jangan abaikan orang yang masih berada di tepi sungai walaupun mereka bukan dari ahli organisasi. Gembleng tenaga mereka sepenuhnya. Berebutlah untuk lemas kerana pemergianmu itu tidak akan sia-sia.
·Ya Allah… kurniakanlah untukku cintaMu dan cinta orang-orang yang mencintaiMU serta cinta yang dapat mendekatkan aku kepada cintaMU.
·Ya Allah… segala pemberianMU yang aku sayangi, jadikanlah ia kekuatan bagiku untuk mencintaiMU. Segala yang Engkau pisahkan dariku, sedangkan ia sangat aku sayangi, jadikanlah ia ruang untuk cintaMU dalam diriku.
·Ya Allah… berikanlah kekuatan untukku mengutamakan cintaMU berbanding cintaku kepada keluarga, harta dan air dingin ketika dahaga.
·Ya Allah… berikanlah aku kekuatan untuk mencintaiMU, para malaikat, Nabi-nabiMU dan hamba-hambaMUyang soleh.
·Ya Allah… hidupkanlah hatiku dengan cintaMU dan jadikanlah aku hambaMU yang Engkau cintai.
·Ya Allah… berikanlah aku kekuatan untuk mencintaiMU sepenuh hatiku dan redha kepadaMU dalam setiap usahaku…
Penulis adalah insan yang cintakan seisi dunia dalam perjalanan menuju akhirat. Cinta kepada isi dunia, membawa diri cinta untuk memberi.
Diberi ruang memberi sejak di bangku Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) Subang Jaya, Exco Kerohanian dan Sahsiah MPP Universiti Malaysia Sabah, Timbalan Presiden Persatuan Siswazah Sabah dan kini mencari ruang memberi dengan berkongsi mengasaskan Rabithah Tullab Ad-Dawli.
Pemegang ijazah Sains Marin daripada Universiti Malaysia Sabah dan meneruskan pengajian di dalam bidang syariah dan Bahasa Arab di Maahad Dawli, Dimashq.