Fasa ketiga
Kembara Khilafah, tanpa syak adalah fasa terpenting. Proses membuka jalan dan
rangkaian, membina hubungan untuk persediaan post-revolusi Syria, berkongsi
pengalaman dan pandangan di konferens dan muktamar, dalam ligat menguasai
bahasa kelima, bahasa Turki selepas Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Arab
dan Bahasa Russia sedang ditatih hanya memungkinkan catatan kali ini dicoret formal
dengan menyingkirkan serba-serbi yang tidak berapa penting.
Manis
pahit, masam tawar lebih layak diberi tempat dalam perkongsian mata bertemu
mata, insyaAllah.
Jami’yyah
At-Tadhomun As-Suriyyah (Suriyeder)
Demonstrasi di hadapan Kedutaan Rusia di Istiklal Street, Taksim.
Urusan
‘kerja’ pertama di Istanbul melibatkan pertemuan dengan penggerak-penggerak NGO
Jam’iyyah At-Tadhomun As-Suriyyah atau The Syrian Solidarity Association yang
ditubuhkan setelah api revolusi tercetus di Syria awal tahun lepas. Alternatif
tersebut dipilih setelah lawatan ke IHH gagal membuahkan hasil memuaskan,
memandangkan IHH tidak mempunyai ‘voluntary system’ yang berterusan dan hanya
menghubungi sukarelawan apabila khidmat mereka diperlukan.
Beberapa
kali pertemuan dengan koordinator Suriyeder selain membincangkan kempen
kerjasama yang dapat dilaksanakan secara kolektif, turut melibatkan perkongsian
pengalaman beberapa orang wakil dari Serbia dalam usaha mereka menggerakkan
massa dalam Orange Revolution 2004 (kalau tidak silap) untuk diolah dan
diaplikasi oleh penggerak revolusi di Syria, khususnya daripada aspek sinergi
kerja dan saling-kait antara watak-watak yang menggerakkan bahagian-bahagian
tertentu massa.
Bab-I Alem
Pejabat Bab-i Alem di Fatih.
Setelah
usaha mencari maahad Quran yang membenarkan pelajarnya keluar-masuk kurang
berjaya, pilihan melengkapkan matlamat kedua kembara, mempelajari Bahasa Turki,
terpaksa dipilih. Bab-I Alem, sebuah NGO berpusat di Fatih yang menaungi
pelajar-pelajar antarabangsa di Istanbul, khususnya Saudara Abdurrahman Sheker
yang bertanggungjawab ke atas pelajar-pelajar Asia, tidak berlengah memberikan
khidmat.
Latihan komunikasi di Kelas Bahasa Turki Bab-i Alem.
Setelah
menawarkan penginapan percuma di asrama Bab-I Alem, saya ditawarkan juga untuk
mengikuti Black Sea Cruise ke sepuluh destinasi di Turki (yang terpaksa ditolak
kerana menerima kunjungan ikhwah dari UK) dan kelas bahasa Turki, kedua-duanya
secara percuma! Allahu rabbi. Maka nikmat manakah yang kamu dustakan?
Muktamar
Umat Islam Menyokong Rakyat Syria
Para ulama' dan cendekiawan dunia Islam bergambar usai persembahan nasyid.
Barangkali
secara peribadi antara program terpenting yang sempat diikuti di sini,
khususnya melalui ‘agenda-agenda’ tidak formal. Keluar masuk ke program - anjuran International Muslim Scholars Association pimpinan Syeikh Yusuf Al-Qardhawi - kerana
mengejar kelas, memungkinkan saya melontarkan satu sahaja pandangan yang
melibatkan rakyat Malaysia secara khusus, memandangkan resolusi lainnya
menunggu dicatur autoriti yang lebih besar.
Dalam
muktamar, beberapa kali dibangkitkan tentang respon dan sokongan hambar
masyarakat Malaysia dan Indonesia (Asia secara am) terhadap luka berdarah
rakyat Syria. Diulang-ulang gesaan supaya hebahan maklumat yang lebih sempurna
tentang apa yang sedang berlaku di Syria disampaikan kepada ‘negara islam
contoh’ ini agar mereka dapat mengambil tindakan sewajarnya.
Melalui
pemerhatian dan eksperimen-eksperimen kecil, saya secara peribadi tidak memandang
isu ‘tidak peduli’ ini sebagai masalah hebahan maklumat. Masalahnya ialah
‘their concern goes as far as the likes and shares on facebook,’ sedangkan
segelintir yang betul-betul peduli, lebih suka menjebakkan diri dalam
perbincangan ‘apakah ini agenda Amerika?’
Cikgu Husin dan Ustaz Syeikh Abdul Kadir di hadapan Makam Eyup Sultan
(Abu Ayyub Al-Ansari RA)
Di sebalik senyuman. Anak-anak Turki dipakaikan pakaian Sultan
dan dibawa menziarahi makam Abu Ayub sebagai adat sebelum dikhatankan!
Selain
tajdid sikap dan adab yang diperolehi secara langsung melalui muamalah dengan
ulama’-ulama besar yang telah diiktiraf sumbangan mereka di pentas dunia,
misalnya Syeikh Ali Sobuni dalam keilmuan dan Syeikh Raid Soleh dalam usaha
pembebasan Al-Quds, peluang menetap semalaman bersama rombongan yang mewakili
PAS terdiri daripada Ustaz Nasharuddin Mat Isa (yang pulang lebih awal), Cikgu
Hussin Ismail Presiden Yayasan Amal, Ustaz Syed Abdul Kadir Al-Joffree dan
Ustaz Zaharuddin menantu Tok Guru Haji Hadi, mencerna idea dan gagasan
pemikiran baru seputar isu dakwah untuk bukan Islam, pengurusan kerja serta
hubungan kerja sesama gerakan Islam lain di pentas nasional dan antarabangsa.
Ada rezki,
kembara seterusnya adalah ke Mogadishu, Somalia.
Jualan Amal
Bab-I Alem
Charity Fair Bab-i Alem di Eminonu Square
Buat kali
pertama sejak ditubuhkan, Bab-I Alem mengadakan bazaar jualan amal atau Charity
Bazaar bagi mengumpul dana pengurusan dan kebajikan 300 pelajar di bawah
naungannya yang datang daripada 91 negara berbeza. Usaha dan keringat pelajar-pelajar
Bab-I Alem khususnya mereka yang tinggal di asrama dikerah untuk menjayakan
bazaar yang bertempat di Dataran Eminonu.
Konsep
bazaar amal ialah menjual barang-barang tabarru’ daripada orang ramai dan
syarikat-syarikat tempatan kepada orang awam dan pelancong-pelancong.
Peluang
digunakan untuk kami pelajar baru bermanja-manja menggunakan bahasa Turki
berkomunikasi dengan pembeli.
Himpunan
Belia ke-8 anjuran Kesatuan NGO-NGO Islam Antarabangsa
Akh Naveed Ashraf sedang bercakap mewakili United Kingdom.
Himpunan
belia kali ini memfokuskan perbincangan kepada media baru khususnya media
sosial, kesannya kepada generasi muda, pendedahan tentang implikasi media ke
atas Revolusi Arab, kebebasan (atau sekatan) media di negara-negara Caucas dan
lain-lain, serta perbincangan membangunkan kerjasama antara negara untuk
mencetuskan fenomena baru ‘islamic media’. Program ini masih berjalan dan
insyaAllah akan selesai pada hari ini, dengan lawatan ke Ibu Pejabat AK Party
dan SalamWorld.
Menghimpun
longgokan perkongsian dan maklumat tidak susah, tetapi yang membezakan antara
dua manusia ialah interpretasi input kepada output. Mudah-mudahan hasil fasa
kembara ini, akan dapat diterjemahkan kelak dalam penjelajahan membina Malaysia
Baru.
Sehari dua
lagi, insyaAllah saya akan bertolak ke Antakya sebelum pulang ke Syria
melepaskan rindu kepada anak-anak didik bumi Syam.