:: Setiap Pemberian, Bernilai Di Sisi Tuhan ::

Tetamu Kehormat :

Thursday, June 7, 2012

Kembara Khilafah (2)

Sebelum Bermusafir atau Berurus Niaga

Rombongan saya terdiri daripada 12 orang pelajar Dagestan, seorang pelajar Shishan (Chechen) dan saya lelaki Melayu terakhir.

Bagi pelajar Malaysia di Syria, atau mungkin di mana-mana tempat, biasanya sebut sahaja pelajar Dagestan, akan menjadi igauan ngeri bagi mereka. Fitrah sebahagian mereka yang agak kasar, selalu melawan cakap ustaz dan bertelingkah selain anti-establishment, merosakkan susu sebelanga. Masalahnya Melayu kita juga lebih mudah menghukum dan melabel. Barangkali itu yang termudah, melabel ‘depa sengal’ dan melarikan diri. 

Saya lebih suka mendekati dan lama-kelamaan - dengan sedikit bahasa Rusia, dengan sedikit kajian sejarah negara mereka dan seperti biasa, dengan kuasa taaruf sebiji gula-gula - kelompok pelajar ini menjadi antara yang paling akrab dengan saya, justeru memungkinkan saya menjadi Ugly Duckling (kerana ganjil, bukan hodoh!) dalam rombongan mereka. 

Pelajar-pelajar belah Rusia, atau Caucaz yang tidak mempunyai persatuan pelajar, biasanya mempunyai sistem amir yang mengetuai satu-satu kelompok pelajar lain, khususnya yang datang daripada rumpun atau kampong yang sama. Amir kami dalam rombongan ini ialah Abu Bakar, pelajar tahun 4 di Maahad Syeikh Badruddin Al-Hasani.

Bas bergerak keluar jam 11 malam. Abu Bakar mula mengedar buku doa kecilnya, mengarahkan ahli rombongan yang rata-rata masih kecil untuk membaca doa safar, kemudian mengedar makanan ringan dan membuka tv kecil di hadapannya, sebelum memadamkannya semula. “Semuanya maksiat”.

Datang kelompok manusia kepada Saidina Umar Al-Khattab (R.A) dan memuji-muji saudara mereka yang sedang bersolat. Saidina Umar lalu berkata ‘Adakah engkau pernah bermusafir bersama mereka? Atau berjual-beli dengan mereka? Kalau belum, maka engkau belum mengenalinya’.

Jaish Hur dan Cinta Pandang Pertama

Bas kami berhenti sekitar jam 12 tengah malam selama 3 jam, untuk mengelak daripada tersepit di celah pertempuran jaish Hur dan jaish asad di jalan, yang biasanya bertukar-tukar tembakan selepas tengah malam.

Kami tiba berhampiran ke kawasan ‘panas’ Idlib, sekitar jam 5 pagi ketika hari telah cerah, dan pertama sekali ditahan oleh jaish asad. Mereka tidak banyak bertanya, hanya melambai tangan menyuruh kami pergi. Kali kedua juga ditahan oleh jaish asad, dan perkara sama berulang.

Kali ketiga, tentera yang menahan kami dan memakai bas memakai scarf bendera Syria. Cuma benderanya tidak berwarna merah dan berbintang hijau, sebaliknya ia berwarna hijau dan berbintang merah tiga. Warna Bendera Rakyat.

Beliau mula membelek-belek kad pengenalan penumpang, lagaknya mencari shabiha atau tentera asad di kalangan penumpang. Sampailah kepada kami. Ahli rombongan kami, selain saya, semuanya menggunakan pasport Russia. Hati berdegup kencang. Kalau tentera ini terpelajar, dia akan tahu bahawa rakyat Dagestan adalah rakyat Muslim yang juga ditindas oleh kuasa besar seperti mereka. Tetapi kalau pengetahuannya lemah…barangkali warna biru merah Rusia akan mengelabui matanya. 

Kami Adalah Muslimin

Konduktor bas segera bersuara. “Mereka ini pelajar, semuanya Dagestan dan bersama kita.” Tentera tersebut memandang wajah sahabat-sahabat saya satu demi satu dan bertanya. “Kamu ini bersama Asad atau siapa?”.

Ali, pelajar kelas saya yang terkenal bermulut lancar pantas menjawab, “Nahnu ma’al Muslimin (kami bersama Muslimin) ”.

Dan disahut sang askar “Nahnu Muslimin, bi izin Wahid wa Ahad (kamilah Muslimin, dengan izin Yang Satu dan Esa”.

Lalu beliau separa tersenyum, dan mula membuka cerita tentang pertempuran yang berlaku malam sebelumnya, dan bagaimana terdapat katibah baru daripada jaish asad yang berpaling tadah untuk bersama Jaish Hur. Kami menarik nafas lega.

Kali keempat kami juga ditahan oleh Jaish Hur, dan selesai melakukan pemeriksaan askar tersebut mendoakan keselamatan perjalanan kami.

Selepas itu sahabat-sahabat saya tidak berhenti bercerita tentang sopannya Jaish Hur, akhlaq mereka dan bagaimana mereka ingin menjadi sebahagian mereka.

Di Antakya - Selamat Jalan Ikhwanku

Kami tiba di Antakya, bandar paling selatan Turki sekitar jam 9.30 pagi dan tidak menghadapi banyak masalah di sempadan. Selesai sarapan bekalan roti yang dibawa Abu Bakar, saya, Abdullah dan Ahmad Shishani melambai ahli rombongan lain. Bas kami akan bertolak ke Istanbul jam 11 pagi, sedang perjalanan mereka masih bersisa tiga hari – ke Trabzon di timur Turki, lalu ke Georgia, seterusnya ke Azerbaijan sebelum masuk ke Dagestan. 

Ada rezki, cuti akan datang destinasi saya ialah ke Dagestan.



Bergambar bersama sebahagian ahli rombongan di sempadan Syria-Turki

Monday, June 4, 2012

Kembara Khilafah (1)

Keluarga antarabangsa saya di Mabit Saad, Maahad Dawli


Kembara saya ke Turki, saya namakan Kembara Khilafah. Pertamanya, kerana kembara itu destinasinya ke bumi Turki, bumi Khilafah. Kedua, kembara ini suatu proses melengkapkan diri untuk suatu hari nanti, berganding bersama 'pengembara' lain mengembalikan khilafah. Alfatihah.


Jalan Masuk Ke Hati

Janji bahawa kembara ke bumi khilafah bakal menjanjikan 1001 pengalaman baru terserlah sejak perjalanan ke Stesyen Bas Bulman lagi. Saya menaiki teksi dan seperti kebiasaan membuka bicara berborak bersama pemandu, setelah setengah jam berwida’ dengan ahli Mabit Saad. Walaupun baru tiga minggu berada di asrama, mereka sudah menjadi sebahagian keluarga besar saya. Saya pasti, selagi mana komunikasi tidak terputus antara kami, di mana sahaja kaki menjejak – Pakistan, Ukraine, India, Afrika, Perancis, Indonesia selain seluruh bumi Tan - akan ada tempat untuk saya berteduh semalam dua. Ikatan antara kami, kebanyakannya bermula dengan menghulur sebiji gula-gula.

Borak santai dengan pemandu seperti biasa bermula dengan soal kerja, keadaan hidup yang semakin susah sebelum masuk ke topik perkahwinan dan keluarga. Pemandu muda, biasanya mudah dibawa bercerita, sedangkan yang lebih tua perlu diusik nakal, ditanya jumlah isteri misalnya, sebelum mula membuka telefon bimbit dan menunjuk bangga gambar anak masing-masing.

Si pemandu mengeluarkan kad pengenalannya untuk mengiyakan bahawa umurnya 24 tahun. Saya mencuri pandang dan menemui titik persamaan; beliau seperti saya, lahir pada bulan November. Nyata saya berjaya menarik perhatian beliau apabila saya mula membongkar hasil kajian saintifik bahawa mereka yang lahir pada bulan November terdiri daripada orang yang romantik dan berjiwa sensitif.

Manusia, apabila melihat gambar, secara fitrah akan mencari dirinya sendiri terlebih dahulu sebelum membelek wajah orang lain. Justeru berkenalan, perlu bermula dengan meraikan fitrah ini – meletakkan orang yang mahu dikenali, sebagai pokok pembicaraan.

Demi Cinta Ku Buang Segala

Kereta di hadapan tiba-tiba mengelak mendadak, seakan-akan ada halangan di hadapan. Pemandu teksi saya menurut, bunyi hon dan tayar dicengkam brek membingitkan telinga. Seorang lelaki kelihatan separa baring di tengah jalan seolah-olah telah dipukul. Pemandu memperlahankan kenderaan, melihat-lihat kalau ada yang boleh dibantu. Dalam kelam malam, susuk tubuh seorang wanita kelihatan di tepi jalan, meraung dan merayu kepada sang lelaki, sebelum beliau bingkas bangun dan mendapatkannya.

Ya Haram!

Rupanya si lelaki mengugut membunuh diri demi meraih semula cinta sang wanita. Saya dan pemandu berpandangan dan menggeleng kepala. Perbualan langsung bertukar topik, menyesali sikap manusia yang sanggup membuang nyawa demi cinta, sedang anak bangsanya bermatian-matian bertaruh segala demi akidah dan kebebasan generasi akan datang..

Bercinta tidak salah, selagi berlandaskan syariat, dan saling memberi manfaat. Cinta pelajar sekolah yang tidak punya halatuju jelas dan jalan mencapai halatuju, tidak berlandas syariat. Kasih abang kepada adik angkat sehingga membelanya apabila melakukan kesalahan, bukan dikira manfaat. Lihat bagaimana ekspresi cinta Rasulullah S.A.W kepada sahabat di dalam hadis musalsal, padat dan berkat;

Ya Muaz, sesungguhnya aku mencintaimu. Maka katakanlah selesai setiap kali solat, Ya Allah, bantulah kami dalam mengingatiMu, mensyukuriMu dan sebaik kepatuhan kepadaMu.

Kami tiba di Bulman, di mana rombongan saya sedang menunggu..

Monday, April 9, 2012

Sabah - Return of The Kuli

Membelek-belek Facebook Um. Azizul Julirin, saya terlihat gambar perpisahan di lapangan terbang Kota Kinabalu yang sempat dirakamkan sebelum saya berlepas ke Kuala Lumpur dalam persinggahan sebelum ke Syria. Kagum dengan ukhuwwah, bagaimana ketika itu kepulangan yang sementara diraikan cukup sempurna oleh sahabat-sahabat pejuang, sehinggakan Ketua Pemuda Sabah sendiri sudi turun mencemar duli.

Lambaian akhir mereka mendukung 1001 harapan - harapan agar ada buah yang nanti dapat diberi, harapan agar ada sesuatu yang kelak dapat dikongsi, harapan agar di hujung pergi ada kembali.

Memandangkan fasal (atau semester) tiga pengajian kami pada tahun ini dipendekkan untuk memberi ruang kepada kebangkitan rakyat (dan ketidakterlibatan kami dengan kebangkitan tersebut), saya berharap agar cuti tiga bulan selepasnya akan dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya.

Saya telahpun mengatur perancangan untuk melakukan beberapa perkara - bermula dengan musafir ke sempadan Turki menghulur khidmat kepada pelarian Syria di sana yang hari ini berjumlah sekitar 24,000 orang, sebelum ke Istanbul mengutip pengalaman bersama NGO antarabangsa IHH Humanitarian Relief Foundation - antara NGO yang bertanggungjawab melancarkan misi Mavi Marmara dan beroperasi di seluruh dunia dalam pelbagai aspek kebajikan- menguasai bahasa Turki, dan paling utama, menghafal Al-Quran sekadar termampu di salah satu madrasah percuma yang bercambah subur di sana.

Selepas sebulan atau lebih di sana, saya bercadang menghabiskan Ramadhan di celahan kaki gunung megah, di pesisiran pantai indah dan tiupan semangat anak-anak muda yang tidak dapat disanggah; memenuhi 'harapan akhir' itu walaupun untuk seketika hanya - Ramadhan saya tahun ini, mudah-mudahan akan dihabiskan di Sabah!

Misi saya dua - mencari dan mencuri peluang menapau generasi pelapis ulama' Sabah untuk ke sini selepas satu selang masa (baca:selepas risiko mereka mati di sini berkurang), dan mendedahkan isu Syria dan mengumpulkan dana untuk tumpah darah rakyat di sini.

Mudah-mudahan doa pembaca bersama saya agar hajat kesampaian, mudah-mudahan kelak untuk saya tidak ada kerehatan, dan mudah-mudahan pembaca juga merancang untuk hari depan. Alfatihah.

Dari Ibnu Abbas (R.A), daripada Rasulullah (S.A.W) sebagaimana diriwayatkan daripada Rabbnya Yang Maha Suci dan Maha Tinggi : Sesungguhnya Allah telah menetapkan kebaikan dan keburukan, kemudian menjelaskan hal tersebut :

Siapa yang ingin (bernekad) melaksanakan kebaikan kemudian dia tidak melaksanakannya, maka dicatat disisi-Nya sebagai satu kebaikan penuh. Dan jika dia berniat melakukannya dan kemudian melaksanakannya maka Allah akan mencatatnya sebagai sepuluh kebaikan hingga tujuh ratus kali lipat bahkan hingga kelipatan yang banyak. Dan jika dia berniat melaksanakan keburukan kemudian dia tidak melaksanakannya maka baginya satu kebaikan penuh, sedangkan jika dia berniat kemudian dia melaksanakannya Allah mencatatnya sebagai satu keburukan.
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Saturday, January 28, 2012

Daripada Sham Kepada Alam

Ini adalah kisah kesempitan hidup penuntut ilmu ajanib (bukan Arab) di bumi Syam, yang bermula sebelum mereka menjejakkan kaki ke sini lagi, dan bertambah buruk akibat tempias Arab Spring. Ini adalah coretan tentang bagaimana saya dan anda boleh membantu mereka.

Kaleidoskop kehidupan saya sejak kecil, sering diwarnai oleh gelap sengsara akibat kemiskinan dan kesusahan hidup kelompok yang kais pagi dan petang mereka kurang membuahkan hasil.

Daripada anak jiran apartment di kota Edinburgh, yang acapkali mengetuk pintu merayu pelat ‘tam-tam (something) to eat’, armalah dan anak yatim di Bangi, muallaf dan fakir di pedalaman Sabah membawa ke peminta sedekah dan anak-anak kecil yang terpaksa bekerja menjual stoking dan mainan di pinggir-pinggir kesibukan bumi berkat Dimashq, saya pasrah untuk terus bergelut memastikan mereka hidup, atau hidup bergelut bersama mereka.

Semenjak kecil juga, kita didedahkan dengan jerih-perih umat Islam di Palestin, Chechnya, Bosnia dan Thailand angkara penindasan musuh Islam ke atas majoriti yang lemah dan pecah, selain ‘mangsa kemarau’ yang berpanjangan di Somalia dan Indonesia, malah berkongsi cerita dan pengalaman dengan pelajar-pelajar Maahad Dawli tempat saya menuntut, yang datang daripada pelosok dunia; Rusia ke Australia, China ke India, membuka mata kepada bahana besar yang jarang sampai kepada telinga awam, khususnya kancah ummah di negara-negara majoriti Islam ‘jajahan takluk’ rejim komunis negara Stalin.

Kesemuanya lalu membuahkan hasrat mendalam untuk menjadi sebahagian solusi penderitaan ‘antarabangsa’ ini.

Jalan apakah yang lebih baik untuk meruntuhkan tembok kuasa kezaliman sejagat dan ketidakupayaan umat ini melainkan dengan menyebarkan kefahaman Islam yang sempurna dan adil untuk semua melalui agen-agen pendakwah yang sempurna fikrahnya? Bukankah Rom dan Parsi, yang persis Amerika dan Rusia pada hari ini tunduk di bawah lembayung syumul Islam era Khilafah dahulu? Tidakkah barakah limpahan zakat dan sedekah membanjiri Baitul Mal zaman Umar Abdul Aziz sehinggakan menteri-menterinya terpaksa bermusafir jauh untuk mencari penerima?

Yakinkah bahawa sejarah mampu berulang dan diulang di tangan kita?

Dengan pasak-pasak kepastian ini, tanggal 25 Januari 2012, genap setahun berkelana di bumi Syam, saya mengambil peluang yang terbuka. Hasil perbincangan dengan beberapa orang sahabat, kami menubuhkan Rabithah Tullab Ad-Dawli (Ikatan Pelajar Antarabangsa) yang berpusat di Dimashq, dengan moto “Daripada Sham Kepada Alam”.

Dengan teras utama menjaga kebajikan pelajar-pelajar yang memerlukan biaya kewangan, selain membina jaringan masa depan bakal-bakal ulama’ seluruh dunia, khususnya yang menuntut di ‘Kolej Antarabangsa’ ini, kami memulakan langkah dengan melantik beberapa orang pelajar Dagestan, Uzbekistan, Kyrgyz, Shishan (Chechnya), Tajikistan, China dan Indonesia mewakili pelajar negara masing-masing mencari kelompok yang berhajat.

Setakat hari ini, empat orang individu daripada Dagestan, Kyrgyz, Indonesia dan Shishan telah dikenalpasti malah mula menerima bantuan bulanan yang semampunya daripada Rabithah.

Jumlah bantuannya tidak besar, tetapi cukup untuk suara hati yang menyatakan bahawa ‘kami adalah saudaramu dan kami peduli’ sampai kepada mereka.

Jumlahnya tidak besar, tetapi cukup untuk mendorong semangat mereka bersungguh-sungguh di dalam pengajian sehingga tamat, lalu pulang berkhidmat menyebarkan agama kepada masyarakat masing-masing.

Jumlahnya tidak besar, tetapi cukup untuk mereka kenangkan kelak tatkala telah bergelar qadhi dan mufti, panglima mujahidin dan pendaulat ad-din, bahawa mereka pernah dan masih merupakan sebahagian daripada jaringan dan ikatan antarabangsa yang mengejar matlamat sama.

Jumlahnya tidak besar, tetapi cukup, mudah-mudahan, untuk melepaskan diri yang berusaha daripada soal-siasat Allah tentang manifestasi peduli terhadap saudara seagama, dengan menyukai dan mendapatkan untuknya, apa yang disukai oleh diri sendiri.

Kapal yang baru, lazimnya akan diterajang badai lautan sebelum dapat sampai ke daratan. Apapun, sekurangnya kami telah mula melangkah, daripada menjadi kelasi peringkat negara, beranjak menjadi nakhoda peringkat antarabangsa.

Tetapi dengan sumbangan pendayung dan layar, perjalanan panjang ini pastinya akan lebih mudah. Dan pendayung dan layar itulah, yang kami dambakan daripada anda.

Apakah kira-kira nilai pada harta dunia, tatkala lazat makanan berlebihan tidak sampai sehari akan menjadi bahan buangan, tatkala kemewahan rumah, kereta dan perhiasan tidak dapat dibawa bersama ke kuburan dan tatkala seronok yang tidak berkekalan, untuk kehidupan akhirat tidak menjadi bekalan?

Siapakah yang lebih dungu daripada yang mengorbankan abadi, semata-mata untuk 60 atau 70 tahun yang pasti berakhir mati?

Sultan Zainal Abidin, setiap kali pintu rumahnya diketuk oleh orang berhajat, akan menyambutnya dengan berkata, “ Selamat datang wahai yang akan memikul untukku bekalan ke akhirat.” Malah Nabi Muhammad S.A.W bersabda, tidak berkurang harta dengan bersedekah.

Lalu hari ini, kami mengetuk pintu rumah anda. Adakah anda akan menyambut?

Komen dan cadangan anda sumber semangat, copy dan paste ke blog anda menyebar manfaat dan sumbangan material anda, mudah-mudahan dihitung kelak sebagai asbab khilafah kembali tersemat.

Bismillah, aku memulakan hari ini dengan kebaikan..

Ali Manabov (Dagestan) bersama Ismail (Amerika) dan Khidr Mohd (Australia) bergambar di hdapan replika Kaabah, simbol kesatuan umat Islam.

Saya bergambar bersama Ahmad (Shishan) usai sesi persekolahan.

Abdul Qadir, Izzatullah, Abdullah dan seorang lagi sahabat mereka daripada Kyrgyz bergambar di bawah pelangi - merekalah bakal penyinar masa depan umat Islam Kyrgyz dan Uzbekistan.

Buat masa ini, segala bantuan berbentuk kewangan boleh disalurkan kepada akaun Maybank Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, pengasas Rabithah, dengan makluman. Dengan sebab-sebab keselamatan, kehadiran Rabithah dan kerja-kerja kebajikan yang dilakukan belum boleh dilaksanakan secara formal di bawah naungan Kerajaan Syria.

No Akaun : 162263440765

Facebook : nurilhakim hakim


Tak Kenal Tak Cinta

Penulis adalah insan yang cintakan seisi dunia dalam perjalanan menuju akhirat. Cinta kepada isi dunia, membawa diri cinta untuk memberi.

Diberi ruang memberi sejak di bangku Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) Subang Jaya, Exco Kerohanian dan Sahsiah MPP Universiti Malaysia Sabah, Timbalan Presiden Persatuan Siswazah Sabah dan kini mencari ruang memberi dengan berkongsi mengasaskan Rabithah Tullab Ad-Dawli.

Pemegang ijazah Sains Marin daripada Universiti Malaysia Sabah dan meneruskan pengajian di dalam bidang syariah dan Bahasa Arab di Maahad Dawli, Dimashq.

Rabithah Tullab Ad-Dawli

Rabithah Tullab Ad-Dawli memerlukan sumbangan berterusan untuk menjalankan agenda kebajikan.

Salurkan sumbangan anda ke akaun sementara:

Maybank : 162263440765
(Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Pengurus Rabithah)

Persatuan Siswazah Sabah

Persatuan Siswazah Sabah
Misi Menyelamatkan Aqidah Anak Sabah

Mereka Juga Membaca :

Sebarkan Pahala Itu :

Kunjungan VIP:

Ilmuwan