:: Setiap Pemberian, Bernilai Di Sisi Tuhan ::

Tetamu Kehormat :

Sunday, July 22, 2012

Sajak Ramadhan : Engkau Punca Bencana

Engkau Punca Bencana

Kesekian kali berputar sejarah
Kisah sama watak berubah
Darah tumpah perempuan diratah
Grozny, Arakan, Gaza dan Houlah

Umat meroyan melatah tak sudah
Ini zalim dan ini salah
Sedang setengah sibuk telagah
Ini propaganda Amerika dan Syiah

Apa kau sangka usahamu bererti
Bekongsi tweet, like tak henti
Menzahir simpati menghulur empati
Sejauh sampai rangkaian di FB

Solusi bukan kempen merata
Bukan sumbangan duit semata
Kembali menurut panduan agama
Agar doamu jadi bermakna

Petua apa Al-Aqsa dibuka?
Bagaimana Salahuddin memilih tentera?
Apa soalan pejuang ditanya?
Oleh Al-Fatih di Aya Sophia?

Sungguh aman itu bala
Mencabut peduli yang singgah seketika
Belum sempat dihimpit hiba
Kembali hanyut dalam alpa

Celaka engkau duhai diri!
Akan melutut di depan Ilahi
Kerana enggan perbaiki diri
Maksiatmu punca bencana ini!

Friday, July 20, 2012

Cita Tertinggi Kami




Kalau ada yang layak berkata ‘saya sepatutnya syahid di jalan Allah’ orang itu seharusnya saya.

Saya bukan bercakap soal layak kerana iman tinggi atau pahala sudah banyak. Tidak juga saya katakan layak dalam erti kata diri sudah hebat dan bersedia untuk syahid. 

‘Layak’ saya harus diterjemah sebagai, dengan ‘rangka hidup’ yang telah diaturkan oleh Allah untuk saya, kalau saya tidak mampu berkata ‘ya’ di hadapan pintu maut, maka tidak ada yang boleh diharapkan untuk mengorbankan yang paling dianggap bernilai -iaitu nyawanya -  di jalan Allah.

Betul, timbang taranya bukan sedikit - diri, keluarga, peluang – kerana syahid nyata bukan mainan yang diberikan kepada mana-mana anak kecil yang merengek mahukannya. 

Dilahirkan di dalam keluarga ahli jemaah, dibuai dengan panji-panji jihad dan dibuai di bulatan usrah lalu membesar dalam lingkar tarbiyyah dan ilmu sewajarnya cukup untuk menjadikan saya bersedia.

Meniup dan mendendang seruan-seruan tersebut ke cuping telinga dan memahami hakikat perjuangan, seharusnya menjadikan bahawa ibu dan bapa redha melepaskan.

Dan faktor yang paling susah datang - peluang - untuk kami telah pun bertandang.

Allah matlamat kami,
Al-Quran panduan kami,
Ar-Rasul ikutan kami,
Jihad jalan kami,
Mati di jalan Allah, cita tertinggi kami.

Ia bukan retorik yang sekadar berdegar di tamrin dan perhimpunan. Bukan juga rangkap yang dipraktik separuh jalan. Melafazkannya wajib sebagai nekad mendalam, azam dan ghairah yang kemas digenggam.

Saya menjejak kaki ke Syam tanggal 25 Januari 2011. Tarikh itu tidak akan ada yang melupakan, kerana ia tarikh demonstrasi pertama meletus di Mesir.

Dalam tempoh pendek itu, saya membaca kitab Arab masih merangkak. 

Dalam tempoh pendek itu, saya belum berjaya mencekup tawadhu’ dan mengikis riya’.

Dalam tempoh pendek itu, saya jauh sekali telah menggapai rahsia ikhlas dan wara’.

Tetapi saya belajar bahawa kehidupan dunia sangat terlalu singkat, dan hujungnya harus pada titik tertinggi untuk kekal selamat abadi. 

Musa’ab bin Umair, jejaka muda kaya, memilih syahid di Uhud kerana dia sedar dan mengerti.

Saya belajar untuk yakin dan tawakkal, serta bersangka baik dengan Allah.

 Ibu Musa, mencampakkan anaknya ke sungai lalu ditakdirkan anaknya selamat, disusukan olehnya malah menjadi Nabi memimpin umat kerana keyakinan dan berserah.

Saya belajar bahawa luka umat di Palestin, Chechnya dan Syria, hanya sampai ke permukaan bulu roma sahaja oleh saudara Islamnya di tempat aman.

 Justeru saya tidak mengharapkan untuk saudaranya, seluruh umat sanggup dikorban.

Untuk umat kebanyakan yang dirinya belum bersedia, yang ibubapanya belum dapat pasrah dan rela, yang peluang belum menyapa, cukuplah menjadikan Ramadhan tahun ini lebih bermakna, menghentikan diri daripada terus menjadi punca bencana.

Saya tidak kata bahawa esok lusa saya akan menyertai Jaish Hur.

Tidak juga bermakna yang saya dengan sengaja akan mencampakkan diri ke dalam binasa.

Tetapi kalau episod adik-beradik saya disepak terajang sekali lagi didepan, sejarah Ramadhan lalu bukan pilihan. 

Ramadhan ini, nyawa saya adalah milik Allah dan untuk ikhwan.

Hidup mulia, atau mati syahid!


p/s : Nur Al-Farhain tolong dengar dan terjemahkan lagu tsaurah Toli' al-Maut nyanyian Yahya Hawa untuk Che' :)

(Alhamdulillah, selepas 8 jam,15 checkpoint tentera, ditinggalkan bas 23km di luar Dimashq kerana larangan masuk ke bandar, berjalan kaki sekilometer dua, tiga kali menumpang Suzuki masuk ke bandar, beberapa roket melintasi kepala dan sekatan jalan terakhir hampir dicekup kerana 'terbawa' majalah Islam selain di'check' laptop, selamat juga sampai ke Ruknuddin, Dimashq dari Halab. Jazakumullah doa antum.)


0051,
190712,
Halab.

Thursday, July 12, 2012

Kembara Khilafah (4)

Fasa ketiga Kembara Khilafah, tanpa syak adalah fasa terpenting. Proses membuka jalan dan rangkaian, membina hubungan untuk persediaan post-revolusi Syria, berkongsi pengalaman dan pandangan di konferens dan muktamar, dalam ligat menguasai bahasa kelima, bahasa Turki selepas Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Arab dan Bahasa Russia sedang ditatih hanya memungkinkan catatan kali ini dicoret formal dengan menyingkirkan serba-serbi yang tidak berapa penting.

Manis pahit, masam tawar lebih layak diberi tempat dalam perkongsian mata bertemu mata, insyaAllah.

Jami’yyah At-Tadhomun As-Suriyyah (Suriyeder)

Demonstrasi di hadapan Kedutaan Rusia di Istiklal Street, Taksim.

Urusan ‘kerja’ pertama di Istanbul melibatkan pertemuan dengan penggerak-penggerak NGO Jam’iyyah At-Tadhomun As-Suriyyah atau The Syrian Solidarity Association yang ditubuhkan setelah api revolusi tercetus di Syria awal tahun lepas. Alternatif tersebut dipilih setelah lawatan ke IHH gagal membuahkan hasil memuaskan, memandangkan IHH tidak mempunyai ‘voluntary system’ yang berterusan dan hanya menghubungi sukarelawan apabila khidmat mereka diperlukan.

Beberapa kali pertemuan dengan koordinator Suriyeder selain membincangkan kempen kerjasama yang dapat dilaksanakan secara kolektif, turut melibatkan perkongsian pengalaman beberapa orang wakil dari Serbia dalam usaha mereka menggerakkan massa dalam Orange Revolution 2004 (kalau tidak silap) untuk diolah dan diaplikasi oleh penggerak revolusi di Syria, khususnya daripada aspek sinergi kerja dan saling-kait antara watak-watak yang menggerakkan bahagian-bahagian tertentu massa.

Bab-I Alem

Pejabat Bab-i Alem di Fatih.

Setelah usaha mencari maahad Quran yang membenarkan pelajarnya keluar-masuk kurang berjaya, pilihan melengkapkan matlamat kedua kembara, mempelajari Bahasa Turki, terpaksa dipilih. Bab-I Alem, sebuah NGO berpusat di Fatih yang menaungi pelajar-pelajar antarabangsa di Istanbul, khususnya Saudara Abdurrahman Sheker yang bertanggungjawab ke atas pelajar-pelajar Asia, tidak berlengah memberikan khidmat. 

Latihan komunikasi di Kelas Bahasa Turki Bab-i Alem.

Setelah menawarkan penginapan percuma di asrama Bab-I Alem, saya ditawarkan juga untuk mengikuti Black Sea Cruise ke sepuluh destinasi di Turki (yang terpaksa ditolak kerana menerima kunjungan ikhwah dari UK) dan kelas bahasa Turki, kedua-duanya secara percuma! Allahu rabbi. Maka nikmat manakah yang kamu dustakan?

Muktamar Umat Islam Menyokong Rakyat Syria

Para ulama' dan cendekiawan dunia Islam bergambar usai persembahan nasyid.

Barangkali secara peribadi antara program terpenting yang sempat diikuti di sini, khususnya melalui ‘agenda-agenda’ tidak formal. Keluar masuk ke program - anjuran International Muslim Scholars Association pimpinan Syeikh Yusuf Al-Qardhawi - kerana mengejar kelas, memungkinkan saya melontarkan satu sahaja pandangan yang melibatkan rakyat Malaysia secara khusus, memandangkan resolusi lainnya menunggu dicatur autoriti yang lebih besar. 

Dalam muktamar, beberapa kali dibangkitkan tentang respon dan sokongan hambar masyarakat Malaysia dan Indonesia (Asia secara am) terhadap luka berdarah rakyat Syria. Diulang-ulang gesaan supaya hebahan maklumat yang lebih sempurna tentang apa yang sedang berlaku di Syria disampaikan kepada ‘negara islam contoh’ ini agar mereka dapat mengambil tindakan sewajarnya.

Melalui pemerhatian dan eksperimen-eksperimen kecil, saya secara peribadi tidak memandang isu ‘tidak peduli’ ini sebagai masalah hebahan maklumat. Masalahnya ialah ‘their concern goes as far as the likes and shares on facebook,’ sedangkan segelintir yang betul-betul peduli, lebih suka menjebakkan diri dalam perbincangan ‘apakah ini agenda Amerika?’

 Cikgu Husin dan Ustaz Syeikh Abdul Kadir di hadapan Makam Eyup Sultan 
(Abu Ayyub Al-Ansari RA)

Di sebalik senyuman. Anak-anak Turki dipakaikan pakaian Sultan 
dan dibawa menziarahi makam Abu Ayub sebagai adat sebelum dikhatankan!

Selain tajdid sikap dan adab yang diperolehi secara langsung melalui muamalah dengan ulama’-ulama besar yang telah diiktiraf sumbangan mereka di pentas dunia, misalnya Syeikh Ali Sobuni dalam keilmuan dan Syeikh Raid Soleh dalam usaha pembebasan Al-Quds, peluang menetap semalaman bersama rombongan yang mewakili PAS terdiri daripada Ustaz Nasharuddin Mat Isa (yang pulang lebih awal), Cikgu Hussin Ismail Presiden Yayasan Amal, Ustaz Syed Abdul Kadir Al-Joffree dan Ustaz Zaharuddin menantu Tok Guru Haji Hadi, mencerna idea dan gagasan pemikiran baru seputar isu dakwah untuk bukan Islam, pengurusan kerja serta hubungan kerja sesama gerakan Islam lain di pentas nasional dan antarabangsa.

Ada rezki, kembara seterusnya adalah ke Mogadishu, Somalia.

Jualan Amal Bab-I Alem

Charity Fair Bab-i Alem di Eminonu Square

Buat kali pertama sejak ditubuhkan, Bab-I Alem mengadakan bazaar jualan amal atau Charity Bazaar bagi mengumpul dana pengurusan dan kebajikan 300 pelajar di bawah naungannya yang datang daripada 91 negara berbeza. Usaha dan keringat pelajar-pelajar Bab-I Alem khususnya mereka yang tinggal di asrama dikerah untuk menjayakan bazaar yang bertempat di Dataran Eminonu.

Konsep bazaar amal ialah menjual barang-barang tabarru’ daripada orang ramai dan syarikat-syarikat tempatan kepada orang awam dan pelancong-pelancong.

Peluang digunakan untuk kami pelajar baru bermanja-manja menggunakan bahasa Turki berkomunikasi dengan pembeli.

Himpunan Belia ke-8 anjuran Kesatuan NGO-NGO Islam Antarabangsa

Akh Naveed Ashraf sedang bercakap mewakili United Kingdom.

Himpunan belia kali ini memfokuskan perbincangan kepada media baru khususnya media sosial, kesannya kepada generasi muda, pendedahan tentang implikasi media ke atas Revolusi Arab, kebebasan (atau sekatan) media di negara-negara Caucas dan lain-lain, serta perbincangan membangunkan kerjasama antara negara untuk mencetuskan fenomena baru ‘islamic media’. Program ini masih berjalan dan insyaAllah akan selesai pada hari ini, dengan lawatan ke Ibu Pejabat AK Party dan SalamWorld.

Menghimpun longgokan perkongsian dan maklumat tidak susah, tetapi yang membezakan antara dua manusia ialah interpretasi input kepada output. Mudah-mudahan hasil fasa kembara ini, akan dapat diterjemahkan kelak dalam penjelajahan membina Malaysia Baru.

Sehari dua lagi, insyaAllah saya akan bertolak ke Antakya sebelum pulang ke Syria melepaskan rindu kepada anak-anak didik bumi Syam.

Thursday, July 5, 2012

The Street Kids of Istanbul

A few months ago i wrote about how poverty was biting Muslims to the bone and causing people to have to beg to live(here). It was an issue where unfortunately, the main victims were kids; they were the ones having to bear the scorching heat of summer and the freezing winters, roaming the streets trying to sell a bottle of cold water or a pack of cigarettes. 

They are the victims of a capitalist world, which after economic downfall after another, is still too stupid to acknowledge a need to change the system.

Unfortunately, the same hurdle was braved by kids in the great city of Istanbul.



 I am certain (after reading Osmanli Tarihi) that if the khilafate had prevailed, 
this would have been an impossible scene to see.

 Boys, girls, big and small.

 Taking a breather after a hard day's work.

 The street is their playground.



 They often try to get a free bus-ride home, but most of the time are kicked away. 
And yes, they kick back.

 Most of them here are armed with either cold bottles of water or 
windscreen cleaners as seen in the picture.

A kid climbs on top of the bus-stop, trying to get back his shirt that 
was thrown there by his friend.



Just so you remember, the shine does not shine on everyone's doorstep
Have you thanked Allah today?

Tuesday, June 26, 2012

Kembara Khilafah (3)

Khinkal dan Rapunzel

Minggu pertama di Istanbul, saya berpindah tempat penginapan beberapa kali. Pertamanya di rumah Abdullah, sahabat dari Dagestan sebelum semalaman di hostel murah di Sultanahmet, berpindah ke rumah musafir di markaz Naqsyabandi di Ismail Agha Cami di kawasan Fateh sebelum ke rumah Ahmad sahabat dari Chechnya.

Hari-hari pertama di rumah Abdullah, dihabiskan dengan mengenali keluarga beliau dengan lebih rapat, budaya dan tradisi mereka. Ukhuwwah Islam sudah cukup untuk membolehkan saya selesa tinggal di rumah mereka, seolah berada di rumah sendiri. Empat hari itu kami dihidangkan dengan makanan seolah-olah mahu membalas dendam dengan makanan di dewan makan asrama yang agak sukar ditelan pelajar-pelajar Rusia. Lebih-lebih lagi dengan sifat pemurah Abu Abdullah, setiap malam rumah beliau dikunjungi sahabat-sahabat sekampung mereka yang berhijrah mencari kehidupan ke Istanbul, dan setiap kali itulah saya berpeluang merasai murtabak versi Dagestan, dolma - daging dan nasi berbalut sayur - dan khinkal, makanan masyhur di sebelah Caucas seakan pasta yang dimakan dengan sup daging.

Hari terakhir saya memohon izin Abdullah untuk memasak – memberi mereka peluang merasai air tangan bujang Melayu ini. Malangnya perancangan asal memasak ayam kurma terpaksa diubah menjadi ayam lemak black pepper kerana tersalah membawa perencah daripada Syam.

Cumanya, dengan keberadaan ahli keluarga perempuan Abdullah, saya tidak bebas bergerak keluar masuk dari bilik yang disediakan untuk saya.

Nah, begitu sekali mereka menjaga anak perempuan dan wanita mereka, sehinggakan selama tempoh empat hari saya berada di sana, sekalipun saya tidak melihat ahli keluarga mereka selain Abdullah, ayahnya dan anak bongsu lelaki beliau, Bilal.

Teringat beberapa ketika dahulu saya berseloroh dengan Abdullah, Ahmad dan Ali Dagestan, kalau-kalau mereka mahu mengahwini adik perempuan saya. Mereka separa senyum dan tidak menjawab. Rupanya, kepada mereka, bercakap tentang ahli keluarga perempuan, walaupun dengan nada bergurau, adalah aib besar. 

Kerana itu juga, pergerakan yang terbatas menjadikan saya Rapunzel yang asyik merenung keluar tingkap bilik, menunggu peluang menjenguk dunia luar.

Abdullah dan adik bongsu Bilal. Setiap pagi, Bilal akan datang memeluk abangnya 
dan tidur di sebelah beliau sehingga abangnya terjaga.

Bediuzzaman dan Mahathir

Masuk hari kelima melewati tempoh 3 hari adab bertamu, saya mula tidak senang duduk dan memohon izin tuan rumah keluar dan bertemu dengan beberapa insan yang berpotensi membantu saya mencapai matlamat kembara ke Turki. Ditemani Abu Abdullah, saya menemui saudara Mansur Uzbekistan, pengikut Bediuzzaman Said Nursi dan Fethullah Gulen di Fatih Cami. Borak panjang petang itu berkisar pergerakan Rasail Nur, dan cadangan beliau supaya saya menjadi penuntut aliran tersebut. Manfaat mendalami kitab tersebut, jelas beliau, adalah khidmat iman sedangkan mencari pengalaman dan bergerak bersama pertubuhan seperti IHH, sebagaimana perancangan saya, adalah khidmat kemanusiaan. Justeru menyelamatkan kehidupan akhirat adalah lebih utama daripada menyelamatkan kehidupan dunia mereka yang memerlukan.

Puas memaksa diri tersenyum, saya mula membantah. Menceritakan pengalaman bergerak di pedalaman Sabah, saya memberi pandangan tentang peri-pentingnya kedua-dua khidmat tersebut berjalan selari, bagaimana mereka di pedalaman dibuka hati mereka dengan khidmat kemanusiaan dahulu, sebelum dapat disuluh untuk menerima iman. Akhirnya beliau akur, dan setelah kami gagal mendapatkan penempatan di rumah musafir Rasail Nur, beliau menghantar saya ke hostel murah di Sultanahmet.

Saya tidak pasti kalau di sini saya cepat hilang sabar kerana meninggalkan Syam, atau peluang berbantah jarang datang sebelum ini. Beberapa kali saya hilang sabar di Istanbul, antaranya ketika seorang pakcik Syria mengecam ustaz-ustaz saya di maahad sebagai pro-kerajaan kerana masih meneruskan kelas pengajian Quran dalam suasana Dimashq sekarang, selain beberapa kali bertelingkah dengan pelajar Arab yang memuji Tun Mahathir melambung sambil menyalahkan saya sebagai kurang membaca dan tidak mengetahui hakikat setelah saya cuba menerangkan sikap sebenar Tun terhadap Islam kepada mereka. 

Lebih daripada separuh hayat aku kot hidup bawah lembayung kerajaan Mahathir!   

Pemandangan sekitar Masjid Biru atau Sultanahmet Cami.

Aya Sophia. Baru mengintai dari luar, belum ada nafsu nak masuk 
sebelum membaca tentangnya lebih lanjut.

Tenang di Celah Telanjang

Sebelum ke Turki, saya telah membuat persediaan dengan mengumpul maklumat tempat-tempat penginapan yang biasa didiami pelajar Malaysia (secara percuma!) selain mengambil nombor individu-individu yang berpotensi membantu mencapai hasrat kembara.

Dukacita, perancangan Allah menjadikan perancangan tersebut sia-sia, melainkan satu, iaitu rumah musafir Ismail Agha Cami di Casambar, berdekatan Fatih Cami. Bagi pelajar syariah Syria yang biasa mendampingi masyaikh yang lunak akhlaq dan senang dipandang, suasana di kawasan Casambar cukup menenagkan setelah puas menunduk di jalanan Istanbul yang sesak dengan pelancong separuh berpakaian.

Masyhur sebagai markaz pengikut tarikat Naqsyabandi, berada di Casambar seolah-olah melangkah setapak ke belakang, ke era kegemilangan Islam. Rata-rata penghuni kawasan ini, atau yang berurusan di sini memakai jubah terbuka, berjanggut dan membawa tongkat, sedangkan kaum wanita memakai jubah panjang hitam dan tidak ada yang kelihatan melainkan sebatang hidung dan sepasang mata berkelip-kelip suci.

Semalaman di rumah musafir Ismail Agha Cami, saya berkenalan dengan dua pemuda Turki, Jaafar dan Akif yang berasal dari wilayah Gumushane di timur Turki, yang membawa saya ‘mengeteh’ setelah melihat saya terpinga-pinga terlepas sarapan kerana tidak mengetahui jadual makan.

Perkenalan dengan mereka, adalah sentuhan pertama ukhuwwah bersama pelajar Turki yang saya cari-cari setelah membaca buku ‘Secangkir Teh Pengubat Letih’ Ustaz Hasrizal yang menjadi antara sumber rujukan sepanjang Kembara Khilafah.

Jaafar (kiri) dan Akif. Mereka kurang pandai berbahasa Arab dan saya belum mapu berbahasa Turki. Bahasa yang kami sama-sama fahami ialah senyuman.

Berkongsi Mimpi Sang Shishani

Hasrat menjadi tetamu di rumah Ahmad Shishan asalnya telah dibatalkan setelah beliau mengkhabarkan bahawa keluarga besar beliau dari Shishan akan meluangkan cuti musim panas di Istanbul. Walaubagaimanapun, perancangan ziarah sehari itu berlarutan seminggu setelah dibenarkan menumpang semalaman untuk melancarkan program telekonferens Dari Syam Kepada Alam (rakaman di sini) bersama penuntut-penuntut Malaysia di United Kingdom, dan beberapa usaha menyusun perancangan lain gagal.

Bertamu di rumah Ahmad, menutup tirai fasa pertama kembara di Istanbul, fasa menyusun dan mengatur kerja-kerja seterusnya. Tetapi penutup itu, secara tersendiri membuka pintu baru kesedaran, keazaman dan kebersamaan yang membuak-buak – pintu perjuangan rakyat Chechnya yang lama sepi dilupakan umat. 

Blini / ghemsh, daging dan nasi dibungkus selaput tepung.

 'Khinkal' versi Shishan yang dipanggil 'jijg galnash'. 

 Bersama Saifullah sahabat Ahmad. 1Malaysia? Oh tidak.
Isyarat ini di kalangan mujahidin Caucas bermakna Allahu Ahad.

Si comel Soleh yang barangkali akan selalu menghantui mimpi saya setelah balik nanti. Beliau merenung aneka biskut, jem dan manisan yang secara tradisi dimakan oleh masyarakat Caucas bersama teh untuk menggantikan gula.

Thursday, June 7, 2012

Kembara Khilafah (2)

Sebelum Bermusafir atau Berurus Niaga

Rombongan saya terdiri daripada 12 orang pelajar Dagestan, seorang pelajar Shishan (Chechen) dan saya lelaki Melayu terakhir.

Bagi pelajar Malaysia di Syria, atau mungkin di mana-mana tempat, biasanya sebut sahaja pelajar Dagestan, akan menjadi igauan ngeri bagi mereka. Fitrah sebahagian mereka yang agak kasar, selalu melawan cakap ustaz dan bertelingkah selain anti-establishment, merosakkan susu sebelanga. Masalahnya Melayu kita juga lebih mudah menghukum dan melabel. Barangkali itu yang termudah, melabel ‘depa sengal’ dan melarikan diri. 

Saya lebih suka mendekati dan lama-kelamaan - dengan sedikit bahasa Rusia, dengan sedikit kajian sejarah negara mereka dan seperti biasa, dengan kuasa taaruf sebiji gula-gula - kelompok pelajar ini menjadi antara yang paling akrab dengan saya, justeru memungkinkan saya menjadi Ugly Duckling (kerana ganjil, bukan hodoh!) dalam rombongan mereka. 

Pelajar-pelajar belah Rusia, atau Caucaz yang tidak mempunyai persatuan pelajar, biasanya mempunyai sistem amir yang mengetuai satu-satu kelompok pelajar lain, khususnya yang datang daripada rumpun atau kampong yang sama. Amir kami dalam rombongan ini ialah Abu Bakar, pelajar tahun 4 di Maahad Syeikh Badruddin Al-Hasani.

Bas bergerak keluar jam 11 malam. Abu Bakar mula mengedar buku doa kecilnya, mengarahkan ahli rombongan yang rata-rata masih kecil untuk membaca doa safar, kemudian mengedar makanan ringan dan membuka tv kecil di hadapannya, sebelum memadamkannya semula. “Semuanya maksiat”.

Datang kelompok manusia kepada Saidina Umar Al-Khattab (R.A) dan memuji-muji saudara mereka yang sedang bersolat. Saidina Umar lalu berkata ‘Adakah engkau pernah bermusafir bersama mereka? Atau berjual-beli dengan mereka? Kalau belum, maka engkau belum mengenalinya’.

Jaish Hur dan Cinta Pandang Pertama

Bas kami berhenti sekitar jam 12 tengah malam selama 3 jam, untuk mengelak daripada tersepit di celah pertempuran jaish Hur dan jaish asad di jalan, yang biasanya bertukar-tukar tembakan selepas tengah malam.

Kami tiba berhampiran ke kawasan ‘panas’ Idlib, sekitar jam 5 pagi ketika hari telah cerah, dan pertama sekali ditahan oleh jaish asad. Mereka tidak banyak bertanya, hanya melambai tangan menyuruh kami pergi. Kali kedua juga ditahan oleh jaish asad, dan perkara sama berulang.

Kali ketiga, tentera yang menahan kami dan memakai bas memakai scarf bendera Syria. Cuma benderanya tidak berwarna merah dan berbintang hijau, sebaliknya ia berwarna hijau dan berbintang merah tiga. Warna Bendera Rakyat.

Beliau mula membelek-belek kad pengenalan penumpang, lagaknya mencari shabiha atau tentera asad di kalangan penumpang. Sampailah kepada kami. Ahli rombongan kami, selain saya, semuanya menggunakan pasport Russia. Hati berdegup kencang. Kalau tentera ini terpelajar, dia akan tahu bahawa rakyat Dagestan adalah rakyat Muslim yang juga ditindas oleh kuasa besar seperti mereka. Tetapi kalau pengetahuannya lemah…barangkali warna biru merah Rusia akan mengelabui matanya. 

Kami Adalah Muslimin

Konduktor bas segera bersuara. “Mereka ini pelajar, semuanya Dagestan dan bersama kita.” Tentera tersebut memandang wajah sahabat-sahabat saya satu demi satu dan bertanya. “Kamu ini bersama Asad atau siapa?”.

Ali, pelajar kelas saya yang terkenal bermulut lancar pantas menjawab, “Nahnu ma’al Muslimin (kami bersama Muslimin) ”.

Dan disahut sang askar “Nahnu Muslimin, bi izin Wahid wa Ahad (kamilah Muslimin, dengan izin Yang Satu dan Esa”.

Lalu beliau separa tersenyum, dan mula membuka cerita tentang pertempuran yang berlaku malam sebelumnya, dan bagaimana terdapat katibah baru daripada jaish asad yang berpaling tadah untuk bersama Jaish Hur. Kami menarik nafas lega.

Kali keempat kami juga ditahan oleh Jaish Hur, dan selesai melakukan pemeriksaan askar tersebut mendoakan keselamatan perjalanan kami.

Selepas itu sahabat-sahabat saya tidak berhenti bercerita tentang sopannya Jaish Hur, akhlaq mereka dan bagaimana mereka ingin menjadi sebahagian mereka.

Di Antakya - Selamat Jalan Ikhwanku

Kami tiba di Antakya, bandar paling selatan Turki sekitar jam 9.30 pagi dan tidak menghadapi banyak masalah di sempadan. Selesai sarapan bekalan roti yang dibawa Abu Bakar, saya, Abdullah dan Ahmad Shishani melambai ahli rombongan lain. Bas kami akan bertolak ke Istanbul jam 11 pagi, sedang perjalanan mereka masih bersisa tiga hari – ke Trabzon di timur Turki, lalu ke Georgia, seterusnya ke Azerbaijan sebelum masuk ke Dagestan. 

Ada rezki, cuti akan datang destinasi saya ialah ke Dagestan.



Bergambar bersama sebahagian ahli rombongan di sempadan Syria-Turki

Tak Kenal Tak Cinta

Penulis adalah insan yang cintakan seisi dunia dalam perjalanan menuju akhirat. Cinta kepada isi dunia, membawa diri cinta untuk memberi.

Diberi ruang memberi sejak di bangku Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) Subang Jaya, Exco Kerohanian dan Sahsiah MPP Universiti Malaysia Sabah, Timbalan Presiden Persatuan Siswazah Sabah dan kini mencari ruang memberi dengan berkongsi mengasaskan Rabithah Tullab Ad-Dawli.

Pemegang ijazah Sains Marin daripada Universiti Malaysia Sabah dan meneruskan pengajian di dalam bidang syariah dan Bahasa Arab di Maahad Dawli, Dimashq.

Rabithah Tullab Ad-Dawli

Rabithah Tullab Ad-Dawli memerlukan sumbangan berterusan untuk menjalankan agenda kebajikan.

Salurkan sumbangan anda ke akaun sementara:

Maybank : 162263440765
(Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Pengurus Rabithah)

Persatuan Siswazah Sabah

Persatuan Siswazah Sabah
Misi Menyelamatkan Aqidah Anak Sabah

Mereka Juga Membaca :

Sebarkan Pahala Itu :

Kunjungan VIP:

Ilmuwan