Watak-Watak Kecil Yang Bernilai Besar
2-5/10/2011
4 hari berlalu tanpa banyak beza. Hari-hari diisi dengan penantian, bertafakkur dan tidur, berpusing-pusing di Hamra’ dan Souq Bundle berdekatan Kedutaan Kuwait, menziarahi kedai buku, membaca, penantian, bertafakkur dan tidur. Lubnan banyak diwarnai peristiwa penting kepada rantau ini, antaranya Perang Saudara 1975-1990, pembunuhan pelarian Palestin Shabra-Shatila 1982, pembunuhan bekas Perdana Menteri Rafik Hariri 2005 dan serangan Israel ‘untuk menghapuskan Hizbullah’ tahun 2006 [40 000LL tambang, buku, makan].
Banyak watak yang mengisi hari-hari ini, dan masing-masing meninggalkan nilai pengajaran kepada hari yang akan datang.
Dua ahli Malaysian Battalion (MaBatt) yang menjaga sempadan selatan Lubnan-Israel dalam misi bersama United Nations, Encik Sulaiman dan Encik Pasli, singgah di kedutaan, dan bukan sahaja menghidang 1001 pengalaman, juadah nasi himpit dan serunding, tapi turut menghulur duit belanja 'tanda ingatan'. Encik Sulaiman merupakan lepasan Maahad Muhammadi Lelaki, Kelantan, sementara Encik Pasli alumni di SAMT Batu 38, Sabak Bernam, sebelum kedua-duanya menyertai tentera. Takdirnya, mereka antara yang tiang kehidupan beragama di dalam batalion mereka.
Kakak cleaner daripada Sri Lanka, yang mampu berbahasa Inggeris dan Arab dengan lancar setelah dua tahun bekerja di Lubnan, menjadi tempat bersembang petang.
Encik Azman, second-in-charge di kedutaan, yang baru dua bulan bertugas di sana, sentiasa bertanya khabar, malah menghulurkan stok mee segera, sardin, biskut dan lain-lain agar kami tidak perlu berpuasa setiap hari.
Cik Rosnah, Encik Mohd Noor, Encik Muhammad bodyguard kedutaan, Cik Manal di kaunter, Encik Usman ‘handyman’ yang tidak putus menyuntik semangat ‘Allah Karim’ ke dalam diri kami; kesemua mereka sekurang-kurangnya bertanya khabar dan menjalankan tugas cuba membantu kami.
Yang saya tidak berkesempatan bertentang mata walaupun sekali ialah TYT Duta sendiri (dua orang kawan saya sempat terserempak dengan beliau sekali). Saya jangkakan beliau teramat sibuk dan tak sempat untuk menjeling nasib kami bertiga. Sukacita, pada hari terakhir, pegawai beliau sempat menyampaikan pesan bahawa beliau teramat mengambil berat apa yang berlaku terhadap kami, sebelum memaklumkan bahawa beliau tidak lagi membenarkan kami tinggal di kedutaan kerana mempunyai security-risk yang tinggi.
Spesies Arab Tidak Boleh Digantung Harap
6/10/2011
11.00am :
Setelah 6 hari kami dibawa ke Kedutaan Syria di Beirut untuk mengambil visa masuk ke Syria. Menjangkakan ditemani pegawai kedutaan Malaysia tetapi hampa. Rupanya penantian 6 hari itu menanti pemandu kedutaan cukup lapang untuk membawa kami. Kedutaan Syria memaklumkan bahawa rakyat Malaysia tidak memerlukan visa untuk masuk ke Syria. Sekali lagi kami menjadi mangsa kedunguan sistem.
Menghubungi Kedutaan Malaysia di Syria, yang ternyata lebih bersungguh-sungguh untuk membantu. Alhamdulillah, Encik Hussin, pegawai kedutaan di Syria mempunyai urusan di Beirut keesokannya, dan kami dibenarkan menumpang beliau pulang.
Diagnosis Tempoh Hayat
7/10/2010
4.30pm :
Perjalanan ke sempadan Syria petang itu umpama perjalanan pesakit barah ke hospital untuk mengetahui berapa hari lagi berbaki untuk hidup. Jalan yang sesak menyebabkan kami sampai 4 jam lebih lewat daripada jangkaan.
9.00pm :
Tiba di sempadan Syria. Pemandu kedutaan mengambil semua pasport dan masuk ke pejabat imigresen. Agak lama menunggu, beliau keluar dan memaklumkan bahawa bos imigresen ingin berjumpa kami bertiga.
Ternyata diagnosis jangka hayat kami benar. Kami hanya diberi masa dua minggu untuk hidup. Menghidupkan hati dan akal dalam barakah bumi Syam, sebelum diarahkan keluar melalui lapangan terbang.
Sungguh saya tidak pernah menemui kelompok yang lebih benci kepada penuntut ilmu syariah berbanding makhluk-makhluk ini. Mujur segala maki-hamun, qunut nazilah dan sumpah seranah tenggelam dalam teguran Allah melalui mulut imam solat Jumaat esoknya :
Dan (ingatlah), ketika orang-orang kafir (Quraisy) memikirkan daya upaya terhadapmu untuk menangkap dan memenjarakanmu atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka memikirkan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya itu. Dan Allah sebaik-baik Pembalas tipu daya (Al-Anfaal : 30)
Ternyata, 144 jam, 2150 Lera Syria dan 113 000 Lera Lubnan kemudian, Allah memberikan kami pinjaman 2 minggu sahaja lagi untuk berada di Syam, kalau segala bentuk rundingan yang akan dibuat dalam tempoh tersebut gagal.
Musafir, membawa kita mengenali sahabat di waktu susah dan senang, dan mengenali diri sendiri samada menyusah atau menyenangkan orang lain.
Ujian, datang untuk menilai tahap kesabaran dan kesungguhan meletakkan keyakinan pada Allah.
Bumi, boleh dibatasi oleh garisan sempadan dan peraturan manusia yang berlaku bongkak dan merasai dirinya tuan, tetapi hakikatnya, bukan sahaja kawasan di antara dua garis sempadan dipanggil no man’s land.
Kerana sesungguhnya, seluruh bumi, adalah bumi Allah, Allah’s Land, dan kita hanyalah penumpang sementara.
Jazakallahu Khair, kepada semua yang mendoakan.