:: Setiap Pemberian, Bernilai Di Sisi Tuhan ::

Tetamu Kehormat :

Sunday, July 10, 2011

Guest Post: Rasulullah dan Kanak-Kanak


Anak-anak cahaya mata.

Guest Post dipetik dari blog Ummu Asma.


Nurilhakim : Memperhatikan kaedah sebahagian orang Arab mentarbiyyah anak-anak, saya tercari-cari asal-usulnya. Melempang anak kecil, mengherdik dan memarahi, nyata menjadi kebiasaan di kalangan mereka. Saya pernah melihat seorang anak kecil yang lari ke tengah jalan dan hampir dilanggar kereta, dimarahi ibunya lalu dilempang sehingga terguling di jalanan - lebih teruk daripada tragedi asal yang mungkin tetapi tidak terjadi pun. Keadaan anak yang bangun semula dengan macho tanpa menangis, bukan soalnya.


Darah semakin mendidih apabila bertemu pula sebahagian kelompok yang mengaji agama, mempertahankan tindakan mereka dengan mendatangkan dalil 'anak-anak dan harta itu fitnah dan beban', malah menyatakan cara didikan mereka tepat, kerana mengajarkan anak kecil (atau adik-adik) untuk taat. Nyata sekali, kenyataan ini adalah fitnah ke atas budi dan kasih sejati yang dipamerkan junjungan Baginda Rasulullah S.A.W dalam berdepan dengan tugas mendidik anak-anak, sebagaimana contoh akhlaq yang ditunjukkan terhadap Anas bin Malik RA.


Anas bin Malik diajar mengucap dua kalimah syahadah oleh ibunya Ghumaisho’ ketika masih usia kanak-kanak. Sanubarinya dipenuhkan ibunya dengan rasa cinta terhadap Nabi Muhammad S.A.W.


Anak ini amat bercita-cita untuk menjejaki Nabi di Mekah.Tidak berapa lama, Yathrib kota yang bertuah dan beruntung dikejutkan dengan berita gembira. Berita bahawa Nabi S.A.W dan sahabatnya Abu Bakar as-Siddiq dalam perjalanan menuju Yathrib.


Pada suatu pagi yang berembun segar dan suasana yang tenang berseri, terdengar orang berlaung: “Muhammad dan sahabatnya telah hampir sampai dengan Yathrib.”


Orang ramai segera bergegas menuju jalan yang akan dilalui oleh Nabi pembawa hidayat dan kebaikan.


Mereka berlumba-lumba untuk sampai, kelompok demi kelompok. Golongan kanak-kanak turut menyelit dan mencelah gerombolan tersebut. Jelas tampak di wajah mereka raut kegirangan yang memenuhi perasaan keanakan mereka.


Rasulullah S.A.W dan sahabatnya Abu Bakar sampai. Unta yang dinaiki berjalan di celah-celah orang ramai yang bersesak-sesak. Wanita dan anak-anak kecil yang berada di rumah, naik ke tingkat atas. Mereka tertinjau-tinjau dari jauh kearah Rasulullah S.A.W. Mereka bertanya-tanya: “Yang mana satu dia…yang mana satu dia…”


Itulah hari yang tidak dapat dilupakan.Hinggakan kenangan itu masih terus dalam ingatan Anas walaupun umurnya telah menjangkau lebih 100 tahun. Tidak berapa lama Rasulullah S.A.W berada di Madinah, Ghumaisho’ binti Milan, ibu Anas datang bertemu Baginda. Beliau turut membawa bersama anaknya, Anas yang masih kecil tersebut. Anas berlari-lari dihadapannya. Rambutnya terjurai di dahinya.


Setibanya di hadapan Nabi S.A.W, beliau memberi salam .


“Wahai Rasulullah, semua lelaki dan wanita Ansar telah memberi hadiah kepada tuan. Namun saya tiada apa-apa yang boleh saya hadiahkan selain anak saya ini. Ambillah dia. Dia akan berkhidmat untuk tuan mengikut apa sahaja yang tuan mahu.” kata ibu Anas kepada Nabi S.A.W.


Rasulullah S.A.W amat gembira dan menyambut anak tersebut dengan tersenyum manis. Baginda mengusap-usap kepala Anas. Nabi S.A.W menyentuh anak rambut Anas dengan hujung jarinya. Lalu, baginda menjadikannya sebahagian anggota keluarganya.


Anas bin Malik atau Unais (panggilan manjanya ketika kanak-kanak) baru berumur 10 tahun ketika beliau bertuah mula berkhidmat dengan Nabi S.A.W. Beliau hidup bersama dan di bawah jagaan Nabi sehingga Baginda saw bertemu menghadap Allah Ta’ala.


Oleh itu jangka masa beliau bersama Baginda genap 10 tahun.Ketika itulah tegukan pertama hidayah yang berjaya membersihkan dirinya.Anas peka dengan hadith Nabi S.A.W dan ia memenuhi dadanya. Beliau mengetahui keadaan, kisah, rahsia dan sifat mulia Baginda yang tidak diketahui oleh orang lain.


Anas bin Malik dilayan baik oleh Nabi S.A.W hinggakan anak pun tidak dapat merasai layanan sebegitu daripada bapanya Beliau dapat mengecapi kecantikan sifat mulia dan keagungan keperibadian baginda S.A.W yang didambakan dunia.


Ayuh kita biarkan Anas menceritakan beberapa gambaran menarik tentang layanan Nabi saw yang beliau rasai. Kerana beliau lebih mengetahui akan gambarannya dengan lebih kuat.


Gambar hiasan, kanak-kanak di sebuah masjid di Brasil.

(sumber laman Langit Ilahi)


Kata Anas bin Malik :


Rasulullah S.A.W merupakan manusia yang paling berakhlak mulia, amat berlapang dada dan terlalu penyayang.


Suatu hari baginda meminta saya pergi menyelesaikan satu urusan. Lalu saya pun keluar. Sedangkan ketika itu saya pergi bermain dengan rakan sebaya saya di pasar. Maka saya tidak pergi ke tempat yang Rasulullah maksudkan. Sesampainya saya ke tempat rakan-rakan saya, saya rasa ada orang berdiri di belakang saya dan dia memegang baju saya. Saya pun berpaling, saya lihat Rasulullah S.A.W tersenyum seraya berkata : “Wahai Unais, adakah kamu telah pergi ke tempat saya suruh tadi?”


Saya rasa bersalah dan saya berkata : “Baiklah, saya akan pergi sekarang juga wahai Rasulullah.”


Demi Allah! Saya telah berkhidmat dengan Nabi S.A.W selama 10 tahun.Tidak pernah sekalipun Rasulullah berkata : “Mengapa kamu buat begitu,” jika saya melakukan sesuatu. Apabila saya tidak melakukan sesuatu perkara, Baginda juga tidak pernah berkata : “ Mengapa kamu tidak melakukannya…”


Apabila Rasulullah S.A.W memanggil Anas, beliau akan memanggil panggilan manja iaitu Unais.Ada kala Baginda memanggil “ Wahai anakku.”


Terlalu banyak nasihat dan peringatan Rasulullah S.A.W kepada beliau.


Lantaran itu, Nabi S.A.W pernah berpesan kepada beliau: “ Wahai Anakku, jika kamu mampu pada waktu pagi dan petang tidak berdendam dengan sesiapa, lakukanlah. Wahai anakku, itu merupakan sunnahku. Sesiapa yang menghidupkan sunnahku sesungguhnya dia mencintaiku. Sesiapa yang mencintaiku sesungguhnya dia akan bersamaku di syurga. Wahai anakku, jika kamu pulang bertemu keluargamu, berikanlah salam kepada mereka. Kerana ia akan membawa keberkatan kepadamu juga keluargamu.


Selepas kewafatan Nabi S.A.W, Anas bin Malik hidup lebih 80 tahun. Sepanjang usia tersebut beliau mengisi dada-dada sahabat dan tabi’in dengan ilmu yang diperolehinya daripada Rasulullah S.A.W yang agung. Beliau memenuhkan fikiran mereka dengan fiqh nubuwwah.


Beliau menghidupkan perasaan sahabat dan tabi’in dengan petunjuk Nabi S.A.W, juga dengan sabda dan keperibadian agung Rasulullah S.A.W yang disebarkannya kepada orang ramai. Sepanjang umur Anas yang lama itu, beliau menjadi rujukan masyarakat Islam. Mereka segera bertemu Anas jika mereka buntu tentang sesuatu masalah. Mereka juga berpegang dengan pandangan beliau jika mereka tidak mampu memahami sesuatu hukum.


Ada sesetengah orang yang suka berdebat tentang perkara agama, mereka membincangkan tentang adakah kolam Nabi S.A.W pada hari kiamat benar-benar wujud.Lalu mereka pergi bertanya kepada Anas dan Anas menjawab: “Saya tidak sangka saya hidup sehingga saya bertemu orang seperti kamu semuayang berdebat tentang kolam tersebut. Saya telah tinggalkan di belakang saya, wanita-wanita yang lanjut usia. Siapa saja di kalangan mereka bersembahyang , dia pasti akan memohon agar dikurniakan untuk meneguk air kolam Nabi S.A.W.”


Anas bin Malik sentiasa menunjuk sikap bersungguh-sungguh untuk mengikuti perbuatan dan kata-kata Rasulullah S.A.W. Cinta apa yang dicintainya. Benci apa yang dibencinya. Kenangan yang paling sering diingatinya ialah hari pertama beliau bertemu Rasulullah S.A.W dan hari kewafatan Baginda S.A.W.


Apabila beliau mengingati hari pertama, beliau merasa amat bahagia. Namun apabila teringat tentang hari kedua,beliau menangis dan orang sekelilingnya juga turut menangis.


Beliau sering mengulang kata-kata : “Sesungguhnya saya telah melihat wajah Nabi S.A.W ketika hari Baginda masuk ke Madinah. Saya juga melihat baginda ketika hari beliau diambil daripada kami (wafat). Pada saya tiada hari yang setanding dengan dua hari tersebut. Pada hari baginda masuk ke Madinah, seluruh Madinah bersinar. Manakala tatkala pada hari baginda pergi menghadap Ilahi, gelap seluruh Madinah.”


Kali terakhir saya melihat Baginda adalah pada hari Isnin ketika tirai bilik baginda dibuka. Saya lihat wajah baginda seperti helaian kertas mushaf. Ketika itu orang ramai berdiri di belakang Abu Bakar sambil mereka melihat baginda S.A.W. Mereka hampir-hampir tidak tentu arah melihat keadaan baginda S.A.W. Namun Abu Bakar mengisyaratkan agar mereka bertenang.Pada lewat hari tersebut Rasulullah S.A.W wafat. Kami tidak pernah melihat pemandangan yang lebih pelik pada kami berbanding wajah baginda S.A.W ketika kami menimbuskan pasir ke atas baginda.


Sesungguhnya Rasulullah S.A.W beberapa kali mendoakan Anas. Antara doa baginda : “Ya Allah kurniakanlah kepadanya harta dan anak. Berkatilah dia.”


Allah Ta’ala memakbulkan doa NabiNya. Anas merupakan orang Ansar yang paling kaya dan paling ramai zuriat. Bilangan anak dan cucunya melebihi seratus orang. Allah Ta’ala juga memberkati umurnya sehingga beliau hidup selama 103 tahun.


Anas amat berharap memperolehi syafaat Nabi S.A.W pada hari kiamat kelak. Beliau sering berkata : “ Sesungguhnya saya berharap dapat bertemu Rasulullah S.A.W pada hari kiamat.Saya akan katakan kepada Baginda : “Wahai Rasulullah S.A.W ini khadam kecilmu Unais”


Tatkala Anas jatuh sakit dan hampir meninggal dunia, beliau berkata kepada kaum keluarganya: “Ajarkan saya Lailahaillallah.” Beliau terus melafazkannya sehingga meninggal dunia. Beliau mewasiatkan agar tongkat pendek kepunyaan Rasulullah S.A.W dikebumikan bersama-sama jenazahnya.Maka tongkat tersebut diletakkan di dalam bajunya.


Tahniah untuk Anas bin Malik yang dilimpahi oleh Allah dengan kebaikan.Beliau hidup di bawah jagaan Rasulullah genap 10 tahun.Beliau merupakan perawi ketiga terbanyak meriwayatkan hadith Rasulullah S.A.W selepas Abu Hurairah dan Abdullah bin Umar.


Mudah-mudahan Allah mengganjari beliau juga ibunya , Ghumaisho’ dengan sebaik-baik ganjaran.


Post asal di sini.

4 comments:

Anonymous said...

Bertuahnya Anas ibnu Malik. Indah sungguh akhlak baginda. Sesiapapun tidak dapat tidak akan jatuh cinta dan kasih pada baginda~

nurilhakim said...

Salam anonymous.

Benar, dan begitulah hendaknya. Allahumma solli wasallim wa barik alaih.

Anonymous said...

Tq. Bertuah Anas bin Malik. Rasulullah mendoakan dia harta yg banyak, keturunan yg banyak, umur yang panjang & mendapat keuntungan akhirat. Diakhir hayat nya, Anas ada berkata. mengenai harta nya: kebun kurma berbuah dua kali. keterunan nya amat banyak sehingga tidak dapat mengenali semua dan umurnya panjang sehingga sudah puas hidup didunia. Apa yg dia tidak temui lagi & berharap doa Nabi SAW terakhir yakni keuntungan akhirat. MasyaAllah.

Anonymous said...

anak saya nama Anas bin Malek..selepas saya baca kisah diatas, terasa nk panggil dia dgn Unais..sangat comel bunyinya..

Tak Kenal Tak Cinta

Penulis adalah insan yang cintakan seisi dunia dalam perjalanan menuju akhirat. Cinta kepada isi dunia, membawa diri cinta untuk memberi.

Diberi ruang memberi sejak di bangku Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) Subang Jaya, Exco Kerohanian dan Sahsiah MPP Universiti Malaysia Sabah, Timbalan Presiden Persatuan Siswazah Sabah dan kini mencari ruang memberi dengan berkongsi mengasaskan Rabithah Tullab Ad-Dawli.

Pemegang ijazah Sains Marin daripada Universiti Malaysia Sabah dan meneruskan pengajian di dalam bidang syariah dan Bahasa Arab di Maahad Dawli, Dimashq.

Rabithah Tullab Ad-Dawli

Rabithah Tullab Ad-Dawli memerlukan sumbangan berterusan untuk menjalankan agenda kebajikan.

Salurkan sumbangan anda ke akaun sementara:

Maybank : 162263440765
(Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Pengurus Rabithah)

Persatuan Siswazah Sabah

Persatuan Siswazah Sabah
Misi Menyelamatkan Aqidah Anak Sabah

Mereka Juga Membaca :

Sebarkan Pahala Itu :

Kunjungan VIP:

Ilmuwan