:: Setiap Pemberian, Bernilai Di Sisi Tuhan ::

Tetamu Kehormat :

Saturday, May 28, 2011

PTS Melebur Takabbur Menolak Riya'


Riya', takabbur dan ujub, adik-beradik berangkai yang paling mudah merosakkan. Malah hadirnya, menyerang daripada semua arah, sebagaimana disebutkan oleh Rasulullah S.A.W, melakukan amal kerana manusia adalah syirik kecil (baca : riya'), meninggalkannya kerana manusia adalah riya'. Melakukan, mungkin ditelan harimau, meninggalkan, ditelan harimau jadian. Menjadi usaha menjinakkannya, proses yang cukup getir.

Al-Haris Al-Muhasibi dalam bukunya “Ar-Ri’ayah” sebagai berikut:

“Ikhlas itu ialah anda menuju Tuhan dengan mentaatiNya, tidak anda kehendaki selainNya. Adapun ria itu terbahagi dua. Pertama, mentaati Allah kerana manusia; kedua, tujuannya manusia, dan Tuhan manusia. Kedua-duanya merosak amal."

Ada manusia, solatnya kerana Allah terselit rasa hebat dan bangga diri. Ada yang lain, memang niatnya untuk dijunjung dan dipuji. Kedua-duanya, jelas tercela dan dikeji.

Layakkah Kau Riya’?

Sebelum terus terhimpit dan mencari jalan keluar, marilah terlebih dahulu kita merenung, layakkah kita riya'? Dengan kesedaran yang nyata terhadap tiga keadaan sepanjang episod hidup manusia, sepatutnya mampu menundukkan menjadi hamba yang sedar diri.

Lahirnya, berasal daripada setitis mani yang hina dan kotor, keluar dari saluran yang jijik dan hanyir, keluar melalui saluran hancing kedua menjadi bayi yang lemah tak berdaya.

Hidupnya, mengendong tong najis ke mana sahaja, tidak dapat dibuang walau seketika, setelah disingkir, dia makan dan mengumpul najis semula.

Matinya, ditanam ke dalam perut bumi, di balik tanah dan debu yang sepi, dipijak binatang buas dan sampai masanya, tidak diingati lagi. Dari mana dia datang, kes itu dia kembali.

Ya, kita layak riya', jika episod hidup kita berbeza, jauh lebih suci murni daripada manusia-manusia lain.

Apa ubatnya?

PTS, Ke Arah Melebur Takabbur Menolak Riya'

Mengisi hati dan menghidupkannya dengan mahmudah (sifat terpuji), perlukan kepada pengusiran mazmumah (sifat tercela) terlebih dahulu; ia jalan yang panjang dan sulit, tetapi tidaklah ia dinamakan perjalanan, selagi kaki belum melangkah memulakannya. Dan langkah-langkah awal dan mudah, kita kongsikan,

P : Paksa Perbanyak Zikir

Berzikir, khasiatnya bukan setakat memberikan ketenangan, mengangkat kemuliaan dan membuka jalan rezeki dan harapan, malah pada masa sama menundukkan riya' yang tidak berhaluan.

Berzikir, dengan penghayatan, menghayati Subhanallah, sucinya yang bebas dari alpa dan kesilapan, Alhamdulillah, segala nikmat gagah beribadah, kekayaan dan kepandaian,darinya dan kepadanya akan dikembalikan, dan Allahuakbar, keagungan dan kehebatan kudrat Tuhan di sisi hamba picisan, menundukkan ego yang tak keruan.

Malah selawat ke atas Baginda Rasulullah S.A.W, berulang-ulang tentunya menginsafkan, bagaimana hamba yang paling disayangi itu pun tidak putus berkorban, untuk kita dan untuk Islam, tanpa mengharapkan balasan atau sanjungan.

Berzikir, tatkala riya' cuba menyusup masuk setelah menang atau memperoleh kejayaan, malah diajar oleh Allah kepada Rasulullah S.A.W sebagaimana disebutkan di dalam Surah An-Nasr;

إِذَا جَآءَ نَصۡرُ ٱللَّهِ وَٱلۡفَتۡحُ (١) وَرَأَيۡتَ ٱلنَّاسَ يَدۡخُلُونَ فِى دِينِ ٱللَّهِ أَفۡوَاجً۬ا (٢) فَسَبِّحۡ بِحَمۡدِ رَبِّكَ وَٱسۡتَغۡفِرۡهُ‌ۚ إِنَّهُ ۥ ڪَانَ تَوَّابَۢا

Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Mekah); (1) Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai; (2) Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.

Tetapkanlah sukatan zikir untuk diri sendiri setiap hari, dan bermujahadahlah untuk tidak meninggalkannya.

T : Tundukkan Wajah

Gambar hiasan : Menudung kepala dengan serban menghadkan penglihatan.

Berjalan dengan menundukkan wajah, adalah penangan ampuh untuk merasa rendah diri, selain ubat mengelakkan maksiat mata mencemari hati. Kalau tidak mampu menudungkan kepala dengan kain serban bagi menahan ruang pandang mata, cukuplah dengan bercermin mata gelap. Jangan pula dengan mata tersorok di balik cermin gelap, makin galak melilau memandang kiri kanan. Atau kalau dipadankan dengan sunnah para Nabi bertongkat, boleh jadi akan murah rezki hasil sedekah orang ramai kepada 'yang disangka buta'. Apapun, menghadkan penglihatan, sebagaimana dituntut solat di tepi dinding dan tempat tertutup, mampu menghadirkan khusyu' dan menjauhkan hati terdetik bangga tatkala terpandang manusia di kiri dan kanan tempat solat.

Ada sebuah kisah keramat yang menarik berhubung Tok Guru Nik Mat, ayah kepada Tok Guru Nik Abdul Aziz, Menteri Besar Kelantan. Diceritakan bahawa Tok Guru Nik Mat sangat prihatin menjaga pandangan matanya, dengan membawa payung ke mana sahaja beliau pergi. Payung tersebut selalu dihalakan ke depan, melindungi mata daripada melihat perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Untuk sampai ke rumahnya di Pulau Melaka, Tok Guru perlu melalui sungai yang dahulunya hanya dihubungkan oleh perahu tambang. Dijadikan cerita, satu hari Tok Guru ingin pulang ke rumah, tetapi tidak ada penambang yang kelihatan. Menoleh ke kiri dan kanan kalau-kalau ada yang melihat, Tok Guru turun berjalan di atas air, merentasi sungai untuk sampi ke seberang sana. Begitu keramat Allah bagi yang menundukkan pandangannya, mudah-mudahan hatinya turut ikut menunduk.

Sejuk hati melihat PM berserban (Awas, gambar hanyalah ilusi).

S : Sentiasa Memuliakan Orang Lain

Senyum kepada setiap yang lalu dan menyapa dengan salam, bertegur-sapa dengan tukang sapu sampah di jalanan, mengusap kepala kanak-kanak yang lalu-lalang, ini semua adalah perkara-perkara yang dipandang remeh, tetapi tidak pernah ditinggalkan oleh Rasulullah S.A.W, dan ternyata berkesan dalam membentuk hati bernilai insani, mengangkat orang lain lebih mulia berbanding diri sendiri.

Imam Ghazali (kalau tidak silap dalam kitabnya Bidayatul Hidayah menyebutkan) :

Jikalau engkau melihat orang yang lebih muda daripadamu maka hendaklah engkau berkata (di dalam hati),

”Budak ini belum pernah lagi membuat maksiat kepada Allah sedangkan aku sudah banyak berbuat maksiat maka tidak syak lagi bahawa ia lebih baik daripadaku.”

Dan apabila engkau melihat orang yang lebih tua daripadamu maka hendaklah engkau berkata,

”Orang yang ini menyembah Allah lebih dahulu daripadaku maka tidak syak lagi bahawa ia lebih baik daripadaku.”

Dan apabila engkau melihat orang yang alim maka hendaklah engkau berkata,

”Orang alim ini telah dikurniakan kepadanya bermacam-macam pemberian yang tidak dikurniakan kepadaku dan ia telah sampai ke martabat yang aku tidak sampai kepadanya dan ia mengetahui perkara yang tidak aku ketahui maka betapa aku sama dengannya.(maksudnya ia lebih baik dibandingkan dengan aku)”

Dan apabila engkau melihat orang yang jahil maka hendaklah engkau berkata,

”Orang yang jahil ini berbuat maksiat akan Allah dengan kejahilannya tetapi aku mengerjakan maksiat beserta dengan ilmuku maka Allah SWT akan berhujah ke atas diriku dan aku belum tahu lagi bagaimana aku akan mengakhiri kehidupanku ini.”

Justeru kita lebih baik daripada siapa? Cukuplah, kita berlumba-lumba dipandang baik kerana izzah pada diri kita, pada masa sama meletakkan diri di tempat yang rendah pada pandangan mata sendiri. Untuk mencapai itu, saya kongsikan doa penunduk ego dan pemancar izzah, sebagaimana yang pernah dijanjikan sebelum ini.

Doa daripada hadis riwayat Bazzar A'an Buraidah;

اللهم اجعلني شكورا واجعلني صبورا وفي عيني صغيرا وفي أعين الناس كبيرا

Allahummaj a'alni Syakura, waj a'alni Soburo,

wa fi A'aini Soghira, wa fi A'ayuninnas Kabiira

(gunakan untuk rujukan baris sahaja)

"Ya Allah Jadikan Aku Hamba Yang Bersyukur dan Sabar, Dan Jadikan Aku Di Mataku Kecil, dan Di Pandangan Mata Orang Lain Besar"

Apa kata anda? Kerana Setiap Perkongsian, Pasti Ada Nilai Di Sisi Tuhan.

Thursday, May 26, 2011

Safar Sufi ke Halab

Permusafiran yang tidak dirancang itu, rupa-rupanya yang paling bermakna buat sang hati. Perjalanan menghidupkan hati, kali terakhir dirasai di pondok Baitul Qura', seliaan Ustaz Zulkifli Ismail. Merenung wajahnya sahaja, sudah bisa menitiskan airmata. Benarlah kata Saidina Ali, yang paling mulia di antara kamu, ialah mereka yang apabila dipandang, akan membuatkan kita ingat kepada Allah. Hati menjadi lentur, nafsu menjadi kendur, airmata mudah gugur, dan ibadah terasa menghibur. Sungguh, inilah yang kehilangan di dalam diri dai'e hari ini, sehinggakan setiap langkah dihimpit beban, setiap tugas terasa menyusahkan, malah dakwah yang disampaikan, kesannya tidak berkekalan.

Jangan pelik kenapa sesi muhasabah tanpa didahului qiamullail tidak mampu mengalirkan airmata yang dimuhasabah. Jangan ragu kalau ceramah dan penyampaian tanpa doa selepas solat Subuh berjemaah tidak mampu membuat hati pendengar gundah oleh maksiat mereka kepada Allah. Kerana menyentuh hati itu, juga dengan hati. Justeru hati yang kotor dan jarang dicuci, ibarat cermin berdebu yang hanya memancarkan tempias-tempias cahaya, kekalnya tidak lama, kesannya tidak ke mana.

Justeru, alhamdulillah, hati kotor ini sungguh-sungguh bersyukur kerana dapat sampai ke Halab, bumi bertuah di utara Syria yang pernah dijejak oleh Saidina Ibrahim. Berikut sedikit catatan tazkiyatun nafs sepanjang berada di sana:

17 Mei 2011 (Selasa)

Rombongan kami terdiri daripada tiga orang, saya, Saudara Akmal yang menjadi asbab kami dapat ke sana, dan sepupu Saudara Muhajir. Setelah perjalanan yang memakan masa 4 jam setengah, kami tiiba di Halab sekitar jam 7.30 malam dan terus bergerak ke Bab Faraj dengan bas, sebelum ke Masakin Hanunu menaiki teksi. Selama seminggu, kami menginap di penginapan yang disediakan di Jami’ Abbas, dengan Syeikh Soleh Al-Abbasi menjadi tuan rumah kami.

Halab atau Halib yang bermakna susu di dalam Bahasa Arab, dinamakan sedemikian menggambarkan kemurahan hati Nabi Ibrahim yang sentiasa memerah susu lembu meraikan tetamu-tetamunya. Kemurahan hatinya diwarisi penduduk Halab, memungkinkan kami menginap secara percuma, selain disediakan makanan setiap hari.

18 Mei 2011 (Rabu)

Mula mengikuti tertib amalan Tariqat Rifai’e, yang dimulakan dengan bacaan Al-Quran selepas selesai zikir Solat Fajar. Bacaan Al-Quran bergilir merangkumi Surah Yaasin, Ad-Dukhaan, Al-Fath, An-Najm (ayat 1-18), Ar-Rahman, Al-Waqi’ah, Al-Hasyr, Al-Qiyamah, Al-Mursalat, An-Naba’, Al-Mutoffifin dan Al-A’la (7 kali). Syeikh Soleh yang memimpin bacaan, selalunya keletihan setiap kali zikir dan bacaan quran. Menurut anaknya, beliau bangun beribadat pada jam 1 pagi setiap hari. Masa siang sebelum Zuhur di sini, biasanya digunakan untuk berehat.

Pagi kami bermula dengan ziarah ke Pusat Hafazan Al-Quran di Jami’ Utmaniyyah di tengah Bandar Halab. Ustaz Syazwan, lepasan Hadhramaut, Yaman dan Abu Nadhim, seorang pakcik anak tempatan, menjadi penunjuk jalan. Kami seterusnya bergerak ke Qala’ah Salahuddin Al-Ayubi, Maqam Nabi Khidir dan Souq Medina, sebelum menunaikan solat sunat di Maqam Nabi Zakaria di Jami’ Umawi, Halab.

Petang itu kami memulakan sesi talaqqi Syarah Muqaddimah Hadhramiyyah (Fiqh), Tazkirah As-Sami’ wal Mutakallim (Akhlaq) dan Bidayatul Hidayah (Akhlaq) bersama Ustaz Syazwan. Beliau banyak menekankan aspek-aspek kerohanian dalam Islam, sisi yang tidak lagi diendahkan oleh masyarakat, malah tidak dititik-beratkan oleh dua’at moden hari ini.

19 Mei 2011 (Khamis)

Ziarah Syeikh Muhammad Al-Maghribi di sebuah Jami’ di tengah Bandar Halab. Antara pesan beliau yang memberi kesan dalam maksud terselindung ialah 'duduklah dengan ahli yakin, dan rapatkanlah lututmu ke lutut mereka, justeru kamu juga akan mendapatkan yakin.' Beliau juga menasihatkan kami supaya duduk dengan orang soleh, kerana berdekatan dengan mereka, adalah ubat yang mujarab, dan berjauhan dengan mereka, adalah racun yang membunuh.

Pada sebelah malamnya, mengikut Hadharah (majlis zikir) Tariqat Rifaie di Jami’ Abbas, yang dipimpin oleh Syeikh Soleh. Syeikh Soleh (tuan rumah kami) adalah keturunan Saidina Abbas R.A.

Antara kelebihan Imam Rifai'e yang mengasaskan tariqat tersebut, ialah karamah baginda dapat mencium tangan baginda Rasulullah S.A.W yang disuakan kepadanya secara terus setelah bertafakur di makam baginda. Peristiwa tersebut menjadi peristiwa mutawattir (terlalu ramai ahli agama yang menyebutkan sehingga mustahil palsu) yang disampaikan oleh ribuan hadirin yang turut serta menyaksikannya.

20 Mei 2011 (Jumaat)

Majlis Selawat atas Nabi Muhammad S.A.W selepas asar, menghabiskan marathon 100,000 kali selawat.

21 Mei 2011 (Sabtu)

Majlis Hadharah Tariqat Syaziliah dipimpin oleh Syeikh Bakri Hayyan. Majlis berakhir sekitar jam 1 pagi. Jami’ tempat majlis berjalan juga menempatkan bekas tapak kaki Nabi Muhammad S.A.W, dan air dialirkan melaluinya untuk diminum oleh jemaah.

Seorang lelaki pernah melihat guru kepada Syeikh Bakar Hayyan duduk bersama-sama Rasulullah S.A.W di dalam majlis seumpama yang dihadiri oleh kami.

22 Mei 2011 (Ahad)

Melalui sesi bekam di penginapan. Tukang bekam bukan sahaja datang ke penginapan kami, malah rawatan yang diberikan adalah percuma, atas alasan menghidupkan sunnah Nabi Muhammad S.A.W.

Pada sebelah petang, menghadiri jemputan majlis Maulid Nabi yang dipenuhi dengan selawat dan bacaan Al-Quran.

23 Mei 2011 (Isnin)

Ziarah wali Allah, Syeikh Naji di Hama, sejauh 150km dari Halab. Syeikh Naji seorang ulama’ besar yang terkenal di kalangan masyaikh tarikat, dan terkenal dengan sifat tawaddhu’ dan pemalu, mencontohi Saidina Uthman bin Affan. Tatkala sampai, kami mendapatinya sedang berzikir. Beliau hanya membuka bicara setelah selesai berzikir dan membaca dua juzu' daripada Al-Quran. Beliau mencium tangan kami setelah kami mencium tangannya.

Pesan Syeikh Naja sebelum kami meninggalkannya, 'Taatlah kepada Allah dalam keadaan tersembunyi'. Syeikh Naji berusia lebih 80 tahun dan sudah uzur.

Perjalanan pulang mengalami sedikit kegetiran kerana terpaksa melalui kawasan panas (Bandar Hama, pusat demonstrasi menjatuhkan kerajaan Syria selain di Dara’a dan Homs) dan sekatan polis-tentera, tetapi berkat doa Syeikh Naji, tiba di penginapan dengan selamat sekitar jam 2 pagi. Menangguhkan perancangan asal pulang ke Dimashq pada malam itu.

24 Mei 2011 (Selasa)

Bertolak pulang ke Dimashq dan tiba sekitar jam 4.30 petang.


Sungguh, segala yang kami perolehi sepanjang satu minggu ini boleh jadi lebih bermanfaat mendidik hati daripada beribadat berhari-hari secara sendirian, tanpa disingkap makrifat pengabdian tersebut. Tidak dapat mengungkapkannya dengan kata-kata, saya cuba berkongsi dengan beberapa kesimpulan:

1. Para ulama' pada hari ini berlumba-lumba bukan pada siapa yang paling berdakwah atau berceramah, tetapi siapa yang paling dekat mencontohi Rasulullah S.A.W. Lantaran itu sekasar-kasar bangsa Arab, sangat lentur apabila disebutkan nama baginda.

2. Ulama', awliyya' dan ahli Allah bukan dikenal pada zahir mereka yang dipertontonkan melalui media massa sahaja, tetapi rohani mereka sangat hidup dalam mendekati Allah. Tangisan mereka di waktu malam, menyelamatkan umat daripada bala bencana dan azab di dunia. Malah, taqarrub ini yang menarik manusia kepada mereka. Syeikh Habib Ali Al-Jufri misalnya, pernah ditegah memberi ceramah di beberapa negara Arab kerana ceramahnya seringkali menyebabkan para artis berbondong-bondong insaf dan meninggalkan industri hiburan, lalu merugikan kerajaan-kerajaan terbabit.

3. Bangsa Arab sangat pemurah dan hebat dalam meraikan tetamu, khususnya Ahli Bait Baginda Rasulullah S.A.W, sehingga tidak membenarkan langsung tetamu melakukan apa-apa kerja. Alhamdulillah, ini juga terlihat pada tullab 'ilm di bumi Syam ini.

4. Saya melihat video yang melabel majlis tariqat dengan hadirinnya melompat-lompat sambil berzikir sebagai sesat. Kata Al-Quran, dalam apa-apa isu pun, when in doubt, tanyalah orang alim. Kata saya, orang yang tidak melaluinya, takkan pernah merasainya.

5. Setiap pengalaman yang dilalui di Syam, mengukir cara untuk saya kembali berkhidmat di bumi Sabah kelak. Pengalaman ini, membentuk halatuju menghidupkan hati-hati dengan taqarrub kepada Allah melalui jalan menyampaikan ilmu batin Islam.


Anak harapan Syeikh Soleh, Uthman. Bersamanya ialah Abu Bakar dan Umar.
Anak-anak ini diajar mencintai Rasulullah S.A.W semenjak kecil.

Bergambar kenangan bersama Abu Nadim di Jami' Uthmaniyyah.

Qala'ah Salahuddin Al-Ayubi megah di puncak bukit. Salahuddin Al-Ayubi membina kota pertahanan di lokasi-lokasi strategik mengelilingi Jerusalem, antaranya di Halab, Busro dan Jordan, sebelum menakluk semula kota suci tersebut.

Salah satu tempat persinggahan Nabi Khidir. Sebahagian riwayat menyebutkan baginda masih hidup dan merupakan lelaki yang dibelah oleh Dajjal tetapi bersambung semula sebagaimana disebutkan di dalam hadis baginda RAsulullah S.A.W.

Bekas tapak kaki Rasulullah S.A.W.
Air dialirkan melaluinya untuk diminum oleh para jemaah.

Penyejuk mata, penawar hati. Umar, Abu Bakar, Usman, Jaafar, Ahmad dan Ali adalah 6 daripada 24 anak Syeikh Soleh daripada 4 orang isteri. Sebagaimana anak-anak Ustaz Zulkifli Ismail di Baitul Qura', anak-anak Syeikh Soleh ini dijaga dengan rapi dan sangat gembira bila diziarahi oleh abang-abang yang membawa cerita Spongebob dalam laptop.

Daripada kiri, Syeikh Muhammad Sufi, Syeikh Soleh dan Usman.

Ya Allah,jadikan kami di kalangan ahli-ahlimu ya Allah.

Teka-teki Fiqh untuk pembaca : Seorang lelaki menunaikan solat Zuhur selama 30 hari. Pada hari ke-30, dia mendapati jamnya salah, dan solatnya selama 30 hari dilaksanakan sebelum masuknya waktu Zuhur. Berapa waktukah Zuhurkah yang perlu diqadha' olehnya?

A. 30 kali
B. Tidak perlu qadha'
C. Mengikut kemampuan
D. Satu kali sahaja

Hadiah 11 kali Al-Fatihah di hening Fajar bumi Syam, pembuka jalan kesulitan dan pemurah rezki untuk setiap yang cuba menjawab, sebaiknya dengan hujah.

Berkongsilah, kerana setiap perkongsian, pasti ada nilai di sisi Tuhan.

p/s : Aisyah Al-Humayrah Kamaruzaman dan Nurul Insyirah Sunoto telah selamat mendarat di Syam semalam. Mudah-mudahan mereka thabat, dan menjadi contoh kepada yang lain mengikut jejak langkah mereka.

Monday, May 16, 2011

Bersarapankan Ma'thurat

Dua orang wanita yang sudah lama tidak berhubung akhirnya bertemu di sebuah pasar. Mereka masing-masing bercerita tentang keluarganya.

Wanita 1: "Aku ada seorang anak lelaki yang kelakuannya sangat sempurna"

Wanita 2: "Apakah dia merokok?"

Wanita 1: "Oh, tidak! Tidak sama sekali!"

Wanita 2: "Dia kadang-kadang meminum bir?"

Wanita 1: "Oh, tidak! Dia anak yang baik-baik"

Wanita 2: "Dia kuat bersosial... dan selalu pulang larut malam ke rumah?"

Wanita 1: "Tidak pernah sama sekali! Malah dia anak terbaik dalam keluarga"

Wanita 2: "Wah, nampaknya dia betul-betul anak lelaki yang sempurna, berapa usianya?"

Wanita 1: "Minggu depan akan genap usianya enam bulan!"

Bila disebut ‘melentur buluh biarlah daripada rebungnya’, kepala akan membayangkan seorang budak kecil yang perlu ditarbiyyah sejak lahir supaya tidak menjadi hantu masyarakat. Atau diatur pendidikannya dalam suatu jangka masa panjang dan tersusun. Tetapi bijak pandai, akan mengatur hidup secara lebih khusus, agar perumpamaan ‘nasi tidak menjadi bubur’, turut berlaku dalam hidup seharian.

Memenuhi tuntutan hati dan iman yang memerlukan lenturan berterusan sebelum parah dan patah tatkala sudah keras, lenturan dan tembakan ini haruslah bersifat per/saat dan bukan per/hayat, justeru Islam mengajar kita mengingati Allah setiap detik dengan zikir dan fikir, memulakan setiap perbuatan dengan Bismillah, menyudahi dengan Alhamdulillah, serta memadam alpa dengan Astaghfirullah.

Antara peluru yang paling ampuh bagi memulakan hari dai’e, ialah dengan melazimi ma’thurat, himpunan doa mustajab yang dibaca oleh Rasulullah S.A.W dan disusun oleh As-Syahid Imam Hassan Al-Banna. As-Syahid, yang menjadikan ma’thurat, qiamullail dan Al-Quran sebagai amalan asas wajib kepada anggota Ikhwanul Musliminnya, apabila ditanya tentang pergerakannya yang mampu bergerak walaupun tanpa kewangan yang kukuh, menjawab dengan tegas :

“Anggota-anggota kami bukan sahaja akan menafkahkan duit mereka untuk perjuangan Islam, malah akan mengelar tangan-tangan memberikan darah mereka sekiranya diminta berbuat demikian.”

Selain sarat dengan doa-doa pelindung diri, al-ma’thurat juga ampuh dalam menangani masalah hati, antaranya lapan yang terbesar sebagaimana disebutkan dalam salah satu doa ma'thurat,

Allahumma, aku berlindung padaMu daripada rasa sedih dan gelisah, dan aku berlindung padaMu daripada rasa lemah dan malas, dan aku berlindung padaMu daripada sikap pengecut dan bakhil, dan aku berlindung padaMu daripada cengkaman hutang dan penindasan orang.

Alhamdulillah, pemimpin PAS di Malaysia apabila ditanya tentang kewangan gerakan, menjawab, duit gerakan PAS ada di dalam poket ahli-ahlinya. Dan nyata, ma’thurat menjadi amalan tarbiyyah harian yang asas, selain diulang-ulang di dalam usrah.

Kalau sarapan dikatakan the most important meal of the day, dan tanpanya metabolisma menjadi tak keruan, badan menjadi lembik dan malas, gemuk dan obes, saya katakan al-ma'thurat adalah hidangan pagi yang sama pentingnya untuk nafsu. Lebih berkrim (baca : krim kurang lemak) jika didahului dengan qiamullail dan disudahi dengan tadabbur beberapa helai al-quran.

Jika anak buah anda samada di kampus, kawasan atau persatuan selalu terhimpit dan menghimpit dengan masalah-masalah hati, sebelum berhempas-pulas memujuk dan meraikan, tanyakan dahulu kepadanya,

“Baca ma’thurat tak pagi tadi?”

Dapatkan pdf al-ma’thurat di sini, atau dapatkan di kotak Ilmuwan di laman ini.

Saya mengalu-alukan pembaca berkongsi sebarang doa, khususnya yang dapat digunakan untuk mengatasi takabbur dan ria'. Jika mendapat tiga doa baru (atau lama) untuk diamalkan, saya pula akan berkongsi satu doa 'penunduk ego dan pemancar izzah' daripada hadis. Amacam?

Berkongsilah, kerana setiap perkongsian, pasti ada nilai di sisi Tuhan..

Tak Kenal Tak Cinta

Penulis adalah insan yang cintakan seisi dunia dalam perjalanan menuju akhirat. Cinta kepada isi dunia, membawa diri cinta untuk memberi.

Diberi ruang memberi sejak di bangku Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) Subang Jaya, Exco Kerohanian dan Sahsiah MPP Universiti Malaysia Sabah, Timbalan Presiden Persatuan Siswazah Sabah dan kini mencari ruang memberi dengan berkongsi mengasaskan Rabithah Tullab Ad-Dawli.

Pemegang ijazah Sains Marin daripada Universiti Malaysia Sabah dan meneruskan pengajian di dalam bidang syariah dan Bahasa Arab di Maahad Dawli, Dimashq.

Rabithah Tullab Ad-Dawli

Rabithah Tullab Ad-Dawli memerlukan sumbangan berterusan untuk menjalankan agenda kebajikan.

Salurkan sumbangan anda ke akaun sementara:

Maybank : 162263440765
(Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Pengurus Rabithah)

Persatuan Siswazah Sabah

Persatuan Siswazah Sabah
Misi Menyelamatkan Aqidah Anak Sabah

Mereka Juga Membaca :

Sebarkan Pahala Itu :

Kunjungan VIP:

Ilmuwan