:: Setiap Pemberian, Bernilai Di Sisi Tuhan ::

Tetamu Kehormat :

Sunday, February 27, 2011

FISABILILLAH - Bob Lokman

Saya jarang sekali mencetak tampal tulisan blog orang, tetapi lebih suka menulis link agar apa yang dihasratkan oleh penulis sampai kepada audiens dalam konteks yang dikehendakinya. Tetapi bagi kes Bob Lokman, saya yakin semua maklum waqi' penulisannya. Berikut entri blog terbaru beliau yang cukup menyentuh hati. Petikan asal boleh dibaca di sini.

FI SABILILLAH

ALHAMDULILLAH

Setelah aku melalui segala jalan syahwat, ALLAH memberikan aku gambaran AKHIRAT. Maka aku mula berjalan mencari kebenaran dan semalam 16 Rabi'ul awal, aku melangkah masuk kedalam gerbang hijau yg bertonggakkan Ulama' yg sangat ditakuti oleh pencinta dunia.

Mengalir airmata bila borang ahli disambut oleh DS Ustaz Azizan, Menteri Besar Kedah. Biar pun aku bukan sesiapa dikalangan orang PAS, tapi aku dapat merasakan kehangatan persaudaraan yg dihulurkan oleh mereka. Aku menjadi insaf dikalangan anak2 muda PAS yg rugged tapi ikhlas dalam perjuangan dan aku merasa amat malu diperhatikan oleh mereka bilamana aku merasa seperti seluruh hidup aku sebelum ini diselubungi syahwat keduniaan hingga aku merasa aku teramat tua dikalangan mereka. Terlintas juga dibenak ku, mungkin kerana anak2 muda inilah orang bijak pandai seperti Mahathir menolak PAS.

Biarlah tua, biarlah bertongkat, tapi sekarang aku tahu ALLAH maha pengampun dan penyanyang. Maka oleh kerana itu aku akan patuh kepada kehendak ALLAH dalam ayat 104 Surah Aali-Imran. PAS akan aku jadikan wadah perjuangan utk mempopularkan ALLAH kepada mereka yg belum kenal akan kekuasaanNYA. Aku jadi insaf betapa aku yg lahir dalam keluarga Islam keturunan Ulama', terabai dengan kefahaman Islam yg pernah diterapkan kedalam jiwaku. Apatah lagi mereka yg tidak pernah tahu mengenai Islam, bagaimana mereka akan merasa takut pada ALLAH. Utk itu sekali ini aku akan terus bercerita kepada sesiapa sahaja sesuatu yg membuatkan mereka bertaqwa kepada ALLAH.

Lagikan setiap ibu bapa sayangkan anak2 yg dilahirkan, inikan pula ALLAH yg menciptakan kita dan segalanya. Biar pun Iblis dan yahudi memang dilaknat oleh ALLAH, namun satu masa dahulu mereka adalah hamba ALLAH yg baik. selepas itu dengan takdir ALLAH mereka dijadikan sebagai contoh buruk kepada sesiapa yg tidak bertaqwa kepada ALLAH. Ini Kuasa ALLAH. kalau tiada keburukan kita tidak pandai menilai kebaikan sebagai mana kalau tiada ketaqwaan maka tiadalah kita mengerti bahawa ALLAH itu maha diatas segalanya.

Hari ini bila jiwa berada didalam PAS, ada satu semangat baru yg membuatkan aku berfikir mengapa ALLAH menjadikan aku. Pagi tadi bila ada member2 yg bertanya, mengapa aku menganut PAS, aku tahu bahawa aku sudah diterima utk bekerja oleh ALLAH. Inilah masanya untuk berubah dan mengubah sebahagian besar kenalan, kepada jalan baru bagi mereka yg fasiq. Belum ramai yg menerima Islam sebenar. Kalau tidak sudah tentu Malaysia diperintah oleh Ulama'. Masalahnya siapa yg Islam dalam orang Melayu? Utk mereka yang mencari jawapan bacalah Sirah Rasulullah berulang kali, maka kita akan nampak siapa Abu Bakar, siapa Abu Jahal dan siapa Abdullah bin Ubai dalam bangsa Melayu. Kerana itulah aku memohon utk masuk PAS. Lepas ni kita akan baca ada yg marah dgn apa yg aku kata. Itu biasa, sebagaimana ada orang yg marahkan harimau membunuh lembu. Ini kerana kita tidak mengerti SUNNATULLAH. Kalau kita susah di dunia, kita lupa bahawa itu kehendak ALLAH, apatah lagi bila kita mewah.

Sudah berkali-kali PAS kalah dalam pilihanraya. Memang susah nak menang kerana ini bukan perang Badar dimana Malaikat juga turun berperang dengan perintah ALLAH. Janganlah mengharapkan Malaikat turun beratur dipusat2 mengundi yg diadakan oleh suruhan jaya pilihan raya yg tidak mengikut suruhan ALLAH. Ini demokrasi omputeh yang memberikan peluang kemenangan kepada org yg mempunyai syahwat duniawi. Kerana itu perlunya kita memperkenalkan Islam adalah sistem terbaik utk mentadbir dunia kepada manusia Malaysia. Ini adalah kerana ramai manusia lupa bahawa ALLAH yg mencipta dunia dan hanya hukum ALLAH sahaja yg sesuai dilaksanakan. Mereka yg menolak selalunya mereka yg tidak tahu apa hukum ALLAH. Selalunya mereka ditakutkan oleh yahudi yg memang mengetahui apa isi Al Quran dan mereka telah tahu lebih awal melalui Taurat bahawa Islam itu perfect dan mereka tidak mahu kita menjadi ummat Muhammad. Maka kita akan luput dari mendapatkan Syufaat Rasul dipadang Mahsyar nanti.

Dan kali ini aku bersedia utk berjuang dengan PAS, dan aku bersedia untuk kalah setelah menjalankan segala syarat2 perjuangan. YA ALLAH, BERIKAN KEMENANGAN KEPADA PAS, SEKIRANYA MEREKA LAYAK UNTUK MENERIMA HADIAH KEMENANGAN DARI MU, DEMI ISLAM BERKEMBANG SUBUR DI BUMI MALAYSIA YG DULU TERIKAT DGN PERIKATAN DAN KINI KAKU DALAM BARISAN.

p/s : Syukran pada bro Nasirin yang sentiasa mengupdate blognya dengan isu2 terkini dan sensasi. Keep up the good work, bro :)

Saturday, February 26, 2011

Di Mana Nabi Memijak, Di Situ Kami Menjunjung

Tinggalan zaman di Syam, samada di era Islam, Rom atau lain-lainnya, khususnya maqam dan dhorih para anbiya' dan ahlul bait serta para sahabat mungkin pada sesetengah orang hanya sekadar batu. Tetapi buat si penggemar sejarah, sang pelajar dari masa lalu dan terutama sekali para pencinta anbiya' dan mursalin, ianya lebih daripada itu.

Busro pertama kali disebut dalam rekod sejarah Mesir pada tahun 1300BC, dan pada ketika itu digelar Busman. Kepentingan kota tersebut mencapai kemuncak di kurun pertama AD, ketika ia dijadikan ibu kota empayar Nabatean di Timur Tengah, dengan sebab lokasinya yang strategik di tengah-tengah laluan dagang Dimashq, Syria dan Amman, Jordan.

Sekitar era ini kota Busro ditakluk oleh Rom, dan dinamakan semula sebagai Nova Trajana Bostra, sehinggalah diangkat menjadi pusat empayar Rom di wilayah Arab. Zaman kegemilangan Kota Busro di bawah jajahan takluk Rom adalah ketika ia diperintah oleh Raja Philip, seorang anak watan Kota Busro sendiri sekitar tahun 244-49AD. Kebanyakan monumen awam di Busro didirikan pada era ini, antaranya pintu gerbangnya di tengah jalan utama, Bab Al-Kandil, atau The Gate of The Lantern. Era Rom di Busro berakhir sekitar kurun ketujuh AD dan digantikan oleh era pemerintahan Arab-Islam.

Antara binaan paling mengagumkan di Busro ialah Ampiteater Busro. Ampiteater ini dibina pada kurun kedua AD dan mampu memuatkan sehingga 15000 orang. Istimewanya teater ini kerana ia berdiri sendiri, dibandingkan teater Rom lain yang kebanyakannya dibina ke dalam bukit. Sejarawan berpendapat teater ini berkemungkinan besar berupaya berdiri dan berfungsi hingga ke hari ini disebabkan oleh peranannya yag dinaiktaraf sebagai kubu pertahanan tentera Arab era Salahuddin Al-Ayubi dengan mendirikan dinding batu yang kukuh dan seterusnya 12 menara kawalan di sekeliling bangunan teater asal ketika menentang tentera Salib.


Ampiteater Busro

Kecanggihan teknologi binaan era Rom membolehkan seluruh audiens mendengar lakonan, persembahan atau pertunjukan di tengah pentas tanpa menggunakan sebarang alat bantuan suara. Di era kemuncaknya, ia dihias dengan lengkapan marble dan hiasan sutera. Ketika persembahan berlangsung, penonton direnjis dengan air berbau harum bagi membolehkan mereka menikmati persembahan dengan baik di tengah terik iklim gurun.

Di Busro juga berdiri teguh sebuah basilica, dinamakan Bahira's Basilica, tempat berlaku pertemuan Nabi Muhammad S.A.W ketika berumur 12 tahun dengan Buhaira, pendita Kristian Nestorian yang menyedari tanda-tanda kerasulan yang terdapat pada baginda Rasulullah, seterusnya menasihati pakcik baginda agar membawa baginda pulang segera ke Makkah kerana takutkan ancaman Yahudi.


Bahagian dalam Bahira's Basilica.Perhatikan tanda salib pada dinding.

Antara tarikan lain ialah Masjid Umar di tengah-tengah kota Busro. Asalnya sebuah gereja, masjid tersebut ditukar peranan dan namanyanya setelah diziarahi oleh Saidina Umar dalam perjalanannya ke Baitul Maqdis. Di sebelah Masjid Umawi terdapat Hammam Manjak yang dibina sekitar tahun 1372 oleh Manjak Al-Youssoufi, Gabenor Dimashq ketika itu, dan merupakan hasil prototaip arkitek Mamluk. Ia adalah binaan Islam terakhir didirikan di Busro, dan dibina untuk penduduk setempat selain para musafir yang singgah di sana untuk ke Makkah. Teknologi zaman itu membolehkan pengguna menikmati air sejuk dan panas.


Bahagian dalam Masjid Umari

Kepentingan Busro sebagai pusat pentadbiran dan laluan utama terhakis dan hilang setelah jalan ke Makkah ditukar pada tahun 1261M.

Allahumma Solli 'Ala Muhammad wa 'Ala Aali Sayyidina Muhammad.

Seratus tahun daripada sekarang, jika anda berpeluang ke Busro, anda akan menemui sebuah artifak baru di dalam muzium Ampiteater Busro. Ia merupakan catatan perjalanan hidup seorang pelajar di Syria di dalam Bahasa Melayu, dan ditinggalkan di celah runtuhan kota tanpa sengaja. Di halaman depannya tertulis ‘Diari Sigtech, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman’.

p/s: Sumber maklumat perlukan kepada citation.

Gambar2 di sini.

Sunday, February 20, 2011

Harga Sepatah Kalimah (Siri 2)

Seorang kanak-kanak kecil menjerit-jerit di tengah souq. Saya tidak dapat menangkap butir bicaranya, tetapi dengan sebuah alat penimbang di depannya, saya yakin dia sedang memanggil orang ramai untuk ditawarkan khidmat menimbang berat badan. Sesekali dia berlari berpusing-pusing, bertawaf mengelilingi 'senjata mencari rezkinya', cuba melawan sejuk yang mencucuk. Umurnya tidak lebih lapan tahun, dan kanak-kanak seusianya barangkali sedang menonton Teletubbies atau The Simpsons di rumah. Tidak jauh dari tempatnya, dua orang beradik menghampar alas plastik dan riuh mempromosikan yo-yo, anak patung dan pelbagai alat mainan yang lain, cuba mencari sedikit habuan bagi membantu ibubapa masing-masing mengupayakan hidup. Persis di Sabah, bezanya ibubapa mereka di sini barangkali terdidik dengan agama, justeru tidak ada kanak-kanak yang menjual rokok dan kertas judi. Mereka inilah teman saya bercerita, dan daripada mereka saya memecahkan benteng malu berbahasa arab, bercakap merangkak-rangkak dan memerah otak memahamkan mereka apa yang cuba disampaikan dengan kosa kata yang terbatas. Ada yang bertanya kenapa saya gemar mendampingi kanak-kanak, jawapan saya mudah. Mereka saluran kepada dakwah yang paling mudah. Melalui kanak-kanak kami berjaya mengadakan majlis ringan-ringan untuk penduduk setempat sempena maulidurrasul, melalui mereka kami mengenal waqi' dan budaya tanpa takut melukakan mana-mana pihak, dan melalui mereka kami berjaya pula mengenali sang bapa dan ibu untuk diluaskan lingkar kebaikan, untuk mereka dan untuk kami lebih-lebih lagi.

Paling penting, servis mereka murah. Cukup dengan sebiji syawarma atau sepotong halawiyyat. malah selalunya majjaanan. Lebih-lebih lagi bila imbal baliknya begitu besar. Saya merasakan betapa banyak kesilapan dan kebaikan dibalas tunai di sini. Yang terlalu banyak bercakap mengeji ilmu dan ilmuwan di'bisukan' dengan batuk, yang membuka aurat di'gatalkan', malah handset saya sendiri 'lesap separuh' mungkin sebagai balasan suka mengata sang sahabat yang asyik berleter mahu membeli handset baru setiap kali melewati kedai handset. Lebih dari itu, tabarru' atau derma kecil-kecilan yang disumbangkan samada kepada peminta ihsan atau kanak-kanak, telah beberapa kali dibalas lumayan oleh Allah. Mudah-mudah sahaja ahli bait kami dihulurkan wang tabarru' yang kadang-kadang mencecah 500 lira (sekitar RM50) semata-mata untuk menaiki teksi ke tempat talaqqi Al-Quran yang tak berapa jauh dari rumah setiap pagi.

Mudahnya, sekali lagi kami di sini dipaksa melatih diri untuk belajar dari persekitaran. Mengambil iktibar dari sunnatullah dan alam. Bercakap ketika perlu. Bermurah tangan dan hati untuk memberi. Menadah ilmu dengan gelas kosong. Kullu syai' faminallah. Setiap sesuatu itu datangnya daripada Allah. Yakin dan pasti.

Teman bercerita, peniaga-peniaga cilik. Abdul Jabbar, Abdullah dan Abdul Azim.

Kanak-kanak menjual tisu, kain lap lantai dan mop meja di Souq Halawiyyat.
Tiada yang menjual rokok dan nombor ekor.

Bergambar bersama Syeikh Talaqqi Quran, Syeikh Abassam (berkopiah putih).

Ziarah maqam Saidina Bilal di Bab Soghir, di tengah-tengah kota Dimashq.

Pemandangan yang menyenangkan. Remaja antara ribuan yang hadir di
talaqqi mingguan Syeikh Jabir Din di Jami' Abu Nur.

Tabarru' paling berharga daripada syeikh quran Syeikh Abassam-tasbih miliknya,
setelah menghadiahkannya baju batik yang dihadiahkan kepada saya oleh Abi
setelah dihadiahkan oleh anak murid Abi kepadanya. Panjang salasilah pahala baju batik tu.

Sebentar tadi sempat bercerita dengan salah seorang mentor di sekolah menengah, Teacher Norkiah. Dia bertanya tentang masa depan saya, adakah belum pasti apa yang mahu dibuat dan bagaimana mahu dihabiskan usia, kerana masih di perantauan mencari 'sesuatu' yang mungkin belum ditemui setelah merantau di Sabah selama beberapa ketika. Saya menjawab, bukan tidak tahu apa yang mahu dibuat, tetapi terlalu banyak yang mahu dan perlu dibuat, sehingga tidak mampu disusun secara pasti oleh akal. yang pasti, sekarang masih masa untuk mempersiapkan diri untuk masa depan yang akan dipenuhi segala perlu dan mahu. Semoga Allah memberikan kita semua kekuatan.

Saturday, February 12, 2011

Harga Sepatah Kalimah

Lazimnya musafir ilmu ke bumi Syam akan mengejar beberapa kelebihan utama yang tidak banyak terdapat di negara-negara lain. Pertama, pembelajaran dan penguasaan terhadap bahasa arab samada melalui kelas pengajian formal atau dengan muhadasah dalam urusan harian, khususnya kerana bilangan rakyat Malaysia yang tidak ramai di Syria, selain keadaan masyarakatnya yang sentiasa meraikan orang luar yang bertatih dalam bahasa arab dengan bercakap secara fushah dengan mereka, berbanding rakyat Mesir yang 'kata orang' lebih suka kekal dengan bahasa arab a'miyyah dan tidak meraikan kelemahan penguasaan bahasa arab orang luar. Kedua, biasanya musafir ilmu akan mengejar kelas talaqqi Al-Quran bersanad dengan masyaikh-masyaikh tertentu, dengan kelebihan Syria yang sangat mementingkaan makhraj bacaan huruf dalam Al-Quran, dan yang ketiga, kelas talaqqi kitab turath yang banyak. Keempat, yang saya tambah sendiri ialah mewujudkan networking dengan 'para ulama' Malaysia; pelajar-pelajar lama yang tentunya akan pulang menjadi orang penting dalam perkembangan agama dan dakwah di Malaysia kelak.

Alhamdulillah, setakat ini kami berjaya mengejar semuanya; menuntut ilmu bahasa arab di Maahad Lughah Mazzeh, berjalan kaki sejauh lebih 1 kilometer meredah dingin subuh membaca Al-Quran di Masjid Mulla Ramadhan Buti, dan bermanja-manja dengan kelas talaqqi bersama Syeikh Ramadhan Buti di masjidnya, selain Masjid Salahuddin berdekatan rumah kami dan berkenalan dengan para ilmuwan dari Malaysia.

Dari segi sosio-budaya, Syria tidak jauh berbeza dengan Sabah, kanak-kanak terpaksa bekerja di usia yang muda, para syabab merokok berkepul-kepul di jalanan dan para peminta wang ihsan berkeliaran di mana-mana. Alhamdulillah, kena dengan jiwa saya yang telah dibentuk selama empat tahun di bawah bayu.

Azan Isya' berkumandang. To be continued.. :)

Tak Kenal Tak Cinta

Penulis adalah insan yang cintakan seisi dunia dalam perjalanan menuju akhirat. Cinta kepada isi dunia, membawa diri cinta untuk memberi.

Diberi ruang memberi sejak di bangku Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) Subang Jaya, Exco Kerohanian dan Sahsiah MPP Universiti Malaysia Sabah, Timbalan Presiden Persatuan Siswazah Sabah dan kini mencari ruang memberi dengan berkongsi mengasaskan Rabithah Tullab Ad-Dawli.

Pemegang ijazah Sains Marin daripada Universiti Malaysia Sabah dan meneruskan pengajian di dalam bidang syariah dan Bahasa Arab di Maahad Dawli, Dimashq.

Rabithah Tullab Ad-Dawli

Rabithah Tullab Ad-Dawli memerlukan sumbangan berterusan untuk menjalankan agenda kebajikan.

Salurkan sumbangan anda ke akaun sementara:

Maybank : 162263440765
(Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Pengurus Rabithah)

Persatuan Siswazah Sabah

Persatuan Siswazah Sabah
Misi Menyelamatkan Aqidah Anak Sabah

Mereka Juga Membaca :

Sebarkan Pahala Itu :

Kunjungan VIP:

Ilmuwan