:: Setiap Pemberian, Bernilai Di Sisi Tuhan ::

Tetamu Kehormat :

Monday, January 25, 2010

Azrul dan MPP


Baru sekejap tadi saya bertemu dengan Saudara Azrul Ibrahim mantan Presiden MPP di Rapat Umum calon-calon umum Pilihanraya Kampus sesi 2009/2010 di Kolej Kingfisher. Beliau bertegur sapa dan mencubit pipi saya, mungkin sindiran halus kepada saya yang semakin 'sihat'. Saya menyatakan kepadanya bahawa tidak lama lagi beliau juga akan bertambah sihat, lantaran sudah terlepas daripada amanah berat mengemudi bahtera MPP.

Saya telah mengenali sosok tubuh beliau sejak berada bersama-sama beliau di dalam kepimpinan MPP sesi 2007/2008, di mana beliau memegang jawatan Exco Kepimpinan dan Latihan sementara saya memegang kerusi EKSAH. Secara asas Saudara Azrul mempunyai gaya kepimpinan yang baik, mudah mesra dan disukai oleh mereka yang didampinginya, malah beliau seorang yang berprinsip dan mampu membawa halatuju organisasi.

Belakangan ini beliau dikecam oleh sesetengah pihak yang mendakwa bahawa beliau dan barisan kepimpinannya telah gagal melaksanakan tugas sebagai MPP, walaupun dalam keadaan telah di'mantankan'. Secara peribadi, saya merasakan bahawa dakwaan tersebut bukanlah dakwaan yang 100% berasas, malah saya yakin bahawa Saudara Azrul dan beberapa orang MPP lain telah berhempas-pulas menjadikan UMS sebagai institusi yang lebih baik daripada semalam. Cuma, pada pemerhatian saya ada beberapa punca 'setback' pada sesi lepas yang boleh diambil iktibar oleh kepimpinan yang akan datang,

1. Perlunya dipupuk semangat cinta dan kebersamaan dengan organisasi

Organisasi MPP yang lepas tidak dapat beroperasi sebagai sebuah ketumbukan yang kuat apabila tiada idealisme yang membumi diserap dan dihadam oleh kesemua anggota persatuan. Justeru itu kepimpinan Saudara Azrul tidak didokong oleh keseluruhan ahli MPP, malah terdapat kelompok yang melakukan kerja dengan sambil lewa dan tidak menjaga nama baik organisasi.

2. Prinsip yang tidak bersandar pada 'non-beneficial entity'

Pembawaan kepimpinan Presiden pada sesi yang lepas adalah sesuatu yang jelas, cuma masalahnya pada sesetengah masa prinsip yang didokong terpaksa ditundukkan mengikut kemahuan pihak-pihak tertentu. Presiden melalui pengalaman di dalam sesi MPP terdahulu bahawa misalnya, dalam menangani isu hiburan yang melampau, jalan perbincangan dengan penganjur konsert, malah dengan pihak HEP adalah jalan yang pernah dirintis dan tidak mendatangkan hasil. Sepatutnya bagi menangani isu-isu seperti itu memerlukan kepada anjakan dan cara baru, yang mampu membawa perubahan, misalnya dengan menghantar memorandum kepada pihak yang lebih tinggi, sebagaimana yang dilakukan oleh mahasiswa KAL untuk menyelesaikan masalah air di Labuan, yang ternyata mendatangkan kesan positif.

3. Tiada usaha konstruktif melatih dan melahirkan kepimpinan baru

Kemenangan begitu banyak kerusi tanpa bertanding menandakan suasana politik kampus yang semakin hambar, walaupun dengan kehadiran junior yang dibenarkan bertanding, lantas menjadi suatu penanda aras tentang kesedaran mahasiswa terhadap kepentingan memimpin dan melakukan perubahan. Jelas sekali bahawa mahasiswa masih berada di tampuk lama, hanya pandai bercakap dan mengadu, kemudian pulang ke bilik menyambung permainan 'Dota' dan 'Sims' sementara menunggu pihak lain bersusah-payah mengurus permasalahannya.

4. Gagal meninggalkan kesan kepada jiwa masyarakat

Kegagalan ini bukanlah kegagalan yang berlaku pada sesi Saudara Azrul sahaja, malah ia adalah kegagalan yang diwarisi secara turun-temurun. Belum ada sesi kepimpinan MPP yang dapat berkhidmat secara terus kepada masyarakat, menyelesaikan satu-satu isu besar secara 'heads-on' atau meninggalkan kesan intelek yang mendalam terhadap masyarakat. Program-program kebajikan dan kesedaran yang dilakukan hanyalah bersifat 'touch and go' semata-mata.

5. Pimpinan mahasiswa yang berfikiran sempit dan cetek

Juga suatu penyakit yang diwarisi, majoriti kepimpinan mahasiswa UMS adalah kelompok yang tidak gemar membaca, malas menelaah bahan ilmiah dan dangkal di dalam pengetahuan isu semasa dan iktibar sejarah. Ia dibuktikan melalui ucapan-ucapan wakil pelajar dan idea-idea yang ditampilkan apabila mewakili institusi di dalam program seperti Suara Siswa dan sebagainya.

Apapun, saya merakamkan penghargaan tertinggi kepada Saudara Azrul dan teman-temannya di dalam MPP, juga kepada kepimpinan mahasiswa di peringkat JAKMAS dan sekolah yang telah bekerja (baca:yang telah bekerja sahaja) untuk mahasiswa. Saya yakin beliau adalah bayangan kepimpinan negara pada masa-masa akan datang, lantaran imej dan aura kepimpinannya yang masih segar biarpun setelah menamatkan tempoh perkhidmatannya (walaupun tadi beliau berselipar jepun di majlis rasmi (",)). Saya cukup alergik melihat segelintir mantan MPP sesi yang lepas yang langsung tidak menampakkan kredibiliti kepimpinan dengan alasan telah bersara, dengan pakaian yang tiada 'izzah dan akhlak yang kurang menyenangkan. Sesungguhnya perjalanan di dalam MPP sepatutnya melahirkan output yang lebih baik daripada input yang masuk, lalu menjadi bukti bahawa kepimpinan yang pernah ditunjukkan bukanlah lakonan semata-mata, tetapi karisma dan kemampuan yang lahir daripada diri sendiri.

Saya optimis untuk bertemu semula Saudara Azrul dan mantan kepimpinan mahasiswa yang lain di Parlimen atau Dewan Rakyat suatu hari nanti, samada kita berada di barisan yang sama atau di dalam pakatan yang berbeza.

'Perjalanan membantu ummah melalui MPP baru berakhir, tetapi perjalanan mengukir sejarah di dunia baru sahaja bermula.'

Blog Saudara Azrul boleh dilayari di [sini].

Tuesday, January 19, 2010

Qaedah Sulbah dan 5 Pra-Syarat Kemenangan

Perjalanan dakwah berdepan dengan pelbagai rencam khususnya dalam merintis jalan baru dan melahirkan qaedah sulbah dari kalangan anak tempatan.

Yang dimaksudkan qaedah sulbah ialah suatu golongan yang dianggap sebagai core group, first-liner ataupun barisan kepimpinan yang mesti lahir melalui satu proses penapisan yang rapi iaitu tapisan pentarbiahan ilmu, kefahaman dan amali.


Qaedah sulbah mempunyai peranan,


1-Sebagai tapak yang kukuh dalam merancang dan merencanakan. Mastermind di dalam kegiatan-kegiatan dakwah yang dijalankan.


2. Kumpulan yang penting yang akan bertindak sebagai pemangkin di dalam skop dakwah dan pentarbiahan .


3. Tulang belakang dalam jamaah Islam dan masyarakat Islam.


4. Golongan yang sentiasa konsisten, iltizam dan istiqamah terhadap dasar dan manhaj yang benar.


Tenaga yang lahir setakat ini majoritinya hanya mampu bekerja, tetapi tidak mampu merancang dan mencatur pergerakan untuk mencapai matlamat. Dimana silapnya?

Seterusnya disenaraikan 5 pra-syarat kemenangan gerakan Islam sebagaimana digariskan oleh seorang ulama muda, Ustaz Nasaruddin Hasan,

1. Gharib (Dagang/Ganjil)

Berdasarkan hadis Rasulullah S.A.W yang masyhur, 'Datang Islam dalam keadaan ganjil, dan ia akan pergi sebagaimana ia datang, beruntunglah orang-orang yang ganjil.'

Melakukan kerja Islam dan menjalani kehidupan sebagai Muslim pada hari ini menjadi suatu kepelikan, lantaran masyarakat yang telah terlalu jauh dipesong dan didoktrin oleh budaya-budaya songsang. Muslimah bertudung labuh disebut pocong dan berpurdah dicop ninja. Malah adik-adik yang bekerja untuk Islam cuba untuk lari daripada label 'budak masjid', walhal kelompok masjidlah yang disebutkan oleh Allah sebagai golongan yang beriman kepadaNya dan Hari Akhirat.

2. 'Adam Isti'jal (Tidak terburu-buru)

Perjalanan dakwah akan memakan masa yang panjang. Selain suatu bentuk tapisan untuk menentukan siapakah yang akan istiqamah, ia mengajar 'amilin untuk berstrategi dan melangkah dengan berhati-hati, sabar dan thabat dalam menarik manusia kepada Islam.

3. Juhdu wal Istimrar (Bersungguh-sungguh dan tidak bermusim)

Perjuangan menjulang Islam menuntut kesungguhan dan sikap tidak mengenal putus asa. Ia ibarat air mengalir, tidak bisa dihalang oleh apa-apa yang mendatang, malah mehnah dan cabaran dihanyutkan bersam oleh gelojak arus pergerakan yang rancak. Ia juga menuntut pengorbanan daripada segala aspek, harta, masa, tenaga bahkan nyawa. Gerakerja Islam juga tidak bermusim, ia bukan hanya hadir ketika program dan usrah, malah penghayatan hidup sebagai Muslim dan pancaran 'izzah Islam melalui akhlaq dan peribadi yang terampil juga merupakan sebahagian besar perjuangan.

4. Tawakkal wal Munajah (Berserah dan munajat)

Tawakkal datang selepas usaha. Tiada istilah tawakkal tanpa usaha terlebih dahulu. Munajat dan pengharapan kepada Allah juga sangat penting, bersumber dari keyakinan yang haq bahawa tidak boleh tidak kemenangan itu datangnya daripada Allah. Tingkatkan keupayaan melaksanakan nawafil seperti qiamullail dan puasa sunat, lazimi ma'thurat dan zikir-zikir harian dan jauhkan sama sekali daripada pengabaian terhadap ibadah fardhu.

5. Himayah As-Syabab wa Hukmah As-Syuyukh (Semangat Orang Muda dan Kebijaksanaan Orang Tua)



Kedua-dua elemen adalah amat penting digabung-jalin agar semangat tidak dilahirkan secara semberono, dan kebijaksanaan tidak hanya bersawang di pemikiran. Dakwah memerlukan kepada planning and practice, perancangan dan pelaksanaan. Dan pendakwah yang bijak tidak akan terjerumus ke dalam practice yang ternyata silap dan salah di dalam sejarah pergerakan lalu. Yang muda dikerah setelah yang lebih lama dirujuk dan kesemua perancangan dan strategi diperhalusi bersama.

Pesan saya kepada 'amilin,

1. Kenali pentas tempat berpencak

Belajar untuk mengenal dan meneliti waqi' atau suasana tempat dakwah dilaksanakan melalui pemerhatian yang analitikal dan perkongsian dengan masyarakat setempat. Jangan takut untuk mencuba tetapi jangan mencuba sesuatu yang telah ternyata silap dan sia-sia di masa lampau. Setiap tempat dan setiap orang memerlukan pendekatan yang berbeza, observe, experiment and conquer.

2. Tingkatkan pembacaan 100x ganda

'Amilin yang hendak lahir sebagai qaedah sulbah mesti mempunyai pandangan yang luas dan matlamat yang jelas. Pemikiran yang tajam akan mampu mencari jalan keluar ketika dihimpit masalah, mencari ruang di tengah kemustahilan dan mengambil peluang ketika ia datang. Lazimi membaca buku-buku fikrah, sirah dan harakah, selain buku-buku pengurusan kontemporari, kerana ia memecahkan sempadan, meluaskan jangkauan selain menjadi sumber pengalaman. Jauhi buku-buku cinta 'islamik' dan novel-novel karut-marut, kerana ia tidak membentuk fikrah selain fikrah bercinta dan banyak mencuri masa yang sepatutnya tumpah ke tempat lain.

3. Cari ruang meningkatkan ilmu

Sentiasa isi masa dengan perkara berfaedah, khususnya mengisi masa dengan wacana ilmiah dalam bentuk program-program yang diadakan di serata tempat. Jangan lepaskan peluang untuk mengikuti sebarang bentuk pengisian selagi ia tidak menyeleweng, dan raikan semua pendapat, dan belajar untuk membuat pertimbangan.

4. Latih diri berfikir dan bereksperiman

Jadikan berfikir sebagai suatu proses yang rutin. Perhati dan jadikan setiap masalah di dunia masalah kita, dan fikirkan penyelesaian kepada semua isu. We are our own king, kita perlu membantu semua orang dan memikirkan semua perkara. Laksanakan mana yang mampu dan rancang solusi yang akan dilaksanakan 10,20 tahun terkehadapan.

Terus dan terus berusaha, berputus asa dan berhenti bukan cara kita. Duhai 'amilin, layakkah anda bergelar qaedah sulbah?

Monday, January 18, 2010

Pesan Murabbi Kepada Sabah

Saya sedikit terkilan dengan sambutan yang diberikan apabila rombongan daripada DPPP turun ke Sabah untuk bersama-sama dengan pemuda. Paling saya terkilan ialah dengan kurangnya penglibatan daripada tenaga muda di kampus, yang seolah-olah tidak merasakan 'izzah kehadiran kepimpinan ke tempat sendiri, sedangkan sebahagian 'hardcore' pemuda sanggup mengambil cuti daripada bekerja dan berkejar ke semua tempat program walaupun mendengar perkara yang sama diulang-ulang, selain mengurus program. Saya tidak optimis Islam akan menang di tangan generasi ini sekiranya perkara ini berterusan. Maka saya mengharapkan sekurang-kurangnya nukilan dan pesanan daripada salah seorang murabbi yang turun padang ini dapat diteliti dan disambut;

Pertama : Soal Ubudiyyah, agar diri dibentuk dan dibina dibawah pengaruh pengabdian diri kepada Allah swt. Laksana perintah Allah dan meninggalkan segala apa yang dilarang oleh Allah swt. Taat dan patuh serta taqarrub kepada Allah swt. Jauhkan syirik dan elakkan tindakan atau perkataan yang mempersenda agama dan syariat Allah swt. Yang halal dikatakan halal dan yang haram dikata haram.

Kedua : Basmi kejahilan dengan menuntut ilmu dan menguasai sumber Islam iaitu al quranul karim sebagai kitab petunjuk. Tanpa memahami al quran Islam tidak akan dapat dilaksanakan dengan baik jauh sekali untuk menghayatinya. Sementara kejahilan membawa manusia menjadi derhaka dan kufur kepada Allah swt.

Ketiga : Sebarkan ilmu yang dimiliki kepada kaum keluarga terdekat, jiran tetangga dan masyarakat. Jangan biarkan Islam terkepong dalam 4 penjuru dinding surau dan masjid. Pastikan Islam sampai ke setiap pintu rumah dan hati manusia.

Keempat : Pertahankan Islam dari sebarang anasir yang cuba untuk melumpuhkan Islam dan memadam cahayanya. Jangan biarkan Islam dipersenda dan dipermain oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Artikel penuh di [sini].

Sunday, January 17, 2010

PSS dan Allah

Isu penggunaan nama Allah oleh Kristian bukanlah isu yang baru. Malah, salah seorang Exco Pembangunan Pelajar PSS, saudara Fairuz Bend telah mendahului zamannya apabila menulis berhubung isu tersebut di dalam blog perbandingan agamanya, yang boleh diakses di sini dan sini.

Antara lain beliau memetik ayat Al-Quran daripada Surah At-Taubah, ayat 90 :

“Dan Yahudi berkata bahawa Uzair adalah anak Allah, dan Nasrani pula berkata Isa Al-Masih adalah anak Allah” (Surah At-Taubah 9 : 30)

Ayat tersebut jelas menunjukkan betapa agama-agama samawi telah lama menggunakan perkataan Allah di dalam agama mereka. Di Sabah, isu tersebut menjadi semakin hangat apabila seorang kolumnis terkenal di Sabah, Raymond Tombung mengecam pimpinan yang mahu terus menggunakan perkataan 'Allah' sedangkan tuhan-tuhan Kristian sepatutnya dipanggil dengan nama-nama yang tersendiri. Artikel beliau boleh dibaca di sini. Selain itu, banyak pihak juga bersuara menentang hasrat Presiden Jaksa Pendamai(JP), Datuk Clarence Bongkos Malakun supaya orang Krsitian menggugurkan sahaja penggunaan 'Allah' untuk perpaduan[baca di sini].

Apapun, insiden serangan ke atas beberapa buah gereja di semenanjung, termasuk gereja tertua All Saints di Taiping jelas sekali adalah salah dan bertentangan dengan Islam. PSS sehaluan dengan organisasi Islam lain mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tersebut dan mengecam pihak yang bertanggungjawab mengeruhkan keadaan di dalam negara.

Justeru PSS, yang telah lama mendekati masyarakat samada masyarakat Islam atau Kristian di Sabah melalui pelbagai kegiatan kebajikan dan pembangunan masyarakat, berbesar hati menjadi orang tengah menghubung dan mendamaikan kedua-dua pihak dan menyampaikan penjelasan akan pendirian Islam berhubung isu tersebut. Majlis Gabungan NGO Islam Sabah (CONCERN) akan mengadakan forum bagi menerangkan isu tersebut dalam masa terdekat, insyaAllah.

Monday, January 4, 2010

Kempen 'Memburu Ilmu Dengan Baju Baru PSS'

Dilancarkan dengan kerjasama Ikatan Sahabat EKSAH UMS (ISEUMS) sebermula cuti sekolah yang lalu, PSS telah berjaya menyampaikan sumbangan baju baru dan peralatan sekolah kepada sekitar 50 orang pelajar daripada kalangan anak yatim, fakir dan muallaf bersempena dengan sesi baru persekolahan yang bermula hari ini. Berikut sebahagian gambar yang sempat dirakamkan;

Dr. Umar yang membantu melayan kerenah anak-anak ini
sebagai suatu bentuk latihan 'parenting'

Yeaaaa! Dapat baju baru...! Sebahagian anak-anak ini yang kini berada di sekolah rendah tidak pernah pergi ke pekan sejak dilahirkan. Mereka mengalami kejutan budaya khususnya bila menaiki 'escalator'..."Uih,gerak sendiri owh!"

Majlis perpisahan pelajar sekolah yang diadakan di Kg. Binuwou Tengah, Sook turut dihadiri wakil PSS yang menyampaikan sumbangan dan nasihat. Tahniah Ketua Kampung dan JKKK Kg Binuwou Tengah.

Dua beradik mencuba baju baru yang dibawa ke rumah mereka di Sook.

Kempen akan diteruskan sehingga hujung bulan Januari. PSS mengalukan sebarang bentuk sumbangan dan menghargai usaha individu untuk melakukan pungutan di tempat kerja, belajar etc. Semoaga Allah membalas segalanya.




Tak Kenal Tak Cinta

Penulis adalah insan yang cintakan seisi dunia dalam perjalanan menuju akhirat. Cinta kepada isi dunia, membawa diri cinta untuk memberi.

Diberi ruang memberi sejak di bangku Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) Subang Jaya, Exco Kerohanian dan Sahsiah MPP Universiti Malaysia Sabah, Timbalan Presiden Persatuan Siswazah Sabah dan kini mencari ruang memberi dengan berkongsi mengasaskan Rabithah Tullab Ad-Dawli.

Pemegang ijazah Sains Marin daripada Universiti Malaysia Sabah dan meneruskan pengajian di dalam bidang syariah dan Bahasa Arab di Maahad Dawli, Dimashq.

Rabithah Tullab Ad-Dawli

Rabithah Tullab Ad-Dawli memerlukan sumbangan berterusan untuk menjalankan agenda kebajikan.

Salurkan sumbangan anda ke akaun sementara:

Maybank : 162263440765
(Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Pengurus Rabithah)

Persatuan Siswazah Sabah

Persatuan Siswazah Sabah
Misi Menyelamatkan Aqidah Anak Sabah

Mereka Juga Membaca :

Sebarkan Pahala Itu :

Kunjungan VIP:

Ilmuwan