:: Setiap Pemberian, Bernilai Di Sisi Tuhan ::

Tetamu Kehormat :

Monday, August 10, 2009

Jelajah Ukhuwwah Ramadhan PSS


Ramadhan ini Persatuan Siswazah Sabah berhasrat mengadakan jelajah ukhuwwah ke 11 kampung muallaf di sekitar Pantai Barat Sabah. Jelajah ini akan mensasarkan 3 kriteria kampung;

1. Kampung yang pernah diziarahi atau menjadi tempat program PSS dan lain-lain organisasi di dalam Majlis Gabungan NGO Islam Sabah (CONCERN),

2. Kampung yang pernah dijejaki oleh PSS untuk menyelesaikan masalah aqidah dan pengabaian Islam oleh penduduk setempat, dan

3. Kampung-kampung angkat PSS yang sedang dibangunkan.

Jelajah dengan perancangan aktiviti Program Pengukuhan Solat untuk pelajar sekolah dan remaja, Ceramah Kesedaran Ramadhan untuk dewasa, Ceramah Kekeluargaan Umum, Ziarah Mahabbah Saudara Baru dan Penyampaian Sumbangan serta Gotong-Royong Ifthar dan Qiam akan meletakkan objektif-objektif berikut untuk dicapai di setiap kampung;

1. Peningkatan kesedaran menunaikan solat di kalangan remaja dan pelajar sekolah, dengan menguasai pergerakan asas solat dan 70% bacaan dalam solat,

2. Penghayatan erti berpuasa dan amalan sunat di bulan Ramadhan, dan penerapan Islam sebagai budaya pengurusan atau management tool untuk keluarga,

3. Rehabilitasi semangat saudara baru untuk mengamalkan agama Islam dengan penerapan semangat kasih-sayang umat sejagat.

Program akan berjalan dengan kekuatan pasukan seramai 10-15 orang dan dalam tempoh selama satu hari satu malam di setiap kampung, dan memerlukan biaya minimum sekitar RM600.00 untuk setiap kampung.

PSS mengalu-alukan sebarang bentuk sumbangan kewangan, pakaian terpakai dan barang makanan bagi tujuan menjayakan agenda besar tersebut. Mari beramal di bulan Ramadhan. Sebarang pertanyaan boleh dirujuk kepada Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman di 0198110964. Syukran.

RAY Tambunan; Kasih Dicari Sayang Diburu

Ziarah kali pertama. Bergambar bersama sebahagian penghuni RAY Tambunan.

Dalam tempoh sebulan tiga kali kami menziarahi RAY Tambunan. Kali pertama setelah selesai Program Pemantapan Solat di SMK Nambayan, Tambunan pada 12 Julai 2009, kali kedua bersama Azhan Atan pada 25 Julai 2009 dan kali terakhir pada 1-2 Ogos 2009 bila kami berkampung di sana bersama Persatuan Ulama' Malaysia Cawangan Sabah dalam Program Pemantapan Aqidah. RAY Tambunan menempatkan 150 orang penghuni Muslim, 70 lelaki dan 80 perempuan yang berusia daripada 7 tahun sehinggalah 19 tahun. Ia dikelola oleh JHEAINS dan selain anak yatim, turut menerima kemasukan anak-anak yang miskin, anak-anak peninggalan ahli keluarga yang murtad dan yang bercerai.

Kali pertama bertujuan untuk meraikan hasrat Cikgu Jamil supaya kami menziarahi keluarga Ven, atau Win 5 beradik yang ditempatkan di situ. Kami disambut oleh Azmi, Khairul, Hasan, Alif dan Azura. Mereka berlima berasal daripada Kg. Poring-Poring, Inanam dan telah beberapa bulan tinggal di sana. Hasan baru dua bulan masuk setelah dilepaskan semula oleh keluarga angkatnya.

Berasal daripada keluarga muallaf yang susah dengan 13 adik-beradik, Cikgu Jamil di bawah PUM mengambil inisiatif menempatkan mereka di situ. Mereka adalah anak ke-8 hingga ke-12 dalam keluarga, dan bapa mereka telah meninggal dunia sekitar 2 tahun yang lepas. Seperti rata-rata keluarga muallaf Dusun lain yang memeluk Islam kerana perkahwinan, keluarga mereka tidak pernah didedahkan dengan ilmu Islam, sehinggakan 2 daripada kakak mereka telah berkahwin dengan non-muslim.

Pada pertemuan kali kedua, saya berbual dengan Azmi, abang sulung di situ yang berumur 14 tahun dan bertanyakan keperluan mereka lima beradik. Dia seorang yang cukup bertanggungjawab dan kerap dapat dilihat bergurau bersama adik-adiknya yang lain. Beliau menyatakan bahawa segala keperluannya telah cukup, tetapi setelah didesak beberapa kali, mengakui bahawa beg sekolahnya telah koyak dan beliau terpaksa meminjam beg sekolah kawan untuk ke sekolah. Saya menjanjikannya beg sekolah baru dan meninggalkan pesan supaya beliau menjaga adik-adiknya dengan baik, selain menyatakan akan menyampaikan salamnya kepada ibu di rumah. Beliau mengangguk dan menggenggam tangan saya erat seolah tidak mahu dilepaskan.

Program Pemantapan Aqidah minggu berikutnya membolehkan kami mengenali penghuni RAY Tambunan dengan lebih dekat memandangkan RAY adalah tempat berlangsungnya program untuk golongan dewasa, sedangkan pelajar sekolah dikumpulkan di SMK Tambunan. Kami sempat menganjurkan satu slot program bersama penghuni RAY; saya sempat menyampaikan sumbangan beg sekolah kepada Azmi, dan selain itu, kami bertemu pula dengan keluarga Auntie Maineh Radin, atau Liaina. Beliau datang membeli buku motivasi untuk anak-anaknya di gerai buku kami, dan mendengar pelat Dusunnya, saya mula menemuramah.

Rupanya Auntie Liaina mempunyai ENAM orang anak di RAY Tambunan! Mohd Firdaus-16, Mohd Fahmi-14, Nurain Hajratul Aswani-13, Mohd Faridzuan-12, Nurul Rabiatul Adawiyah-11 dan Nurain Nahdatul Syuhada-10, telah menetap di sana selama beberapa tahun, lebih ramai dan lebih lama daripada keluarga Azmi Ven. Berasal daripada Kg. Kemborongoh, Ranau, Auntie Liaina akan datang setiap sebulan atau dua bulan sekali dengan bas ke RAY Tambunan untuk menziarahi anak-anaknya. Setiap kali datang, dia akan menumpang di asrama selama 3-4 hari supaya dapat lama bersama anak-anaknya, menunggu keseorangan ketika anak-anaknya ke sekolah dan menghitung waktu yang tinggal sebelum terpaksa pulang ke kampung. Apakan tidak, keenam-enam anak itulah cahaya matanya yang ada, dan semuanya terpaksa ditinggalkan kepada budi orang kerana beliau tidak mampu menyara mereka.

Sebahagian keluarga Auntie Liaina. Berbaju jingga ialah Auntie Liaina, biru belang putih Adik Firdaus dan baju kurung merah, Adik Rabiatul.

Bapa mereka meninggalkan mereka pada usia Firduas 7 tahun, dan sejak itu, Auntie Liaina menampung kehidupan dengan menoreh getah, menanam dan melakukan kerja-kerja kampung yang lain. Kami spontan menghulurkan sumbangan kepada beliau dan dengan terharu, beliau menjemput kami ke rumahnya pada hari raya nanti. Apabila saya bertanya kemudiannya kepada Adik Rabiatul berhubung punca mereka tidak boleh balik berpuasa seminggu dua bersama ibu di rumah, jawapannya mudah,

"Ustaz, kalau balik masa puasa, takde dah la duit untuk balik masa raya."

Saya tersentak. "Duit untuk balik raya macam mana?"

"Kami dah kumpul daripada dulu lagi. Kalau ada tetamu datang, bagi duit, kami simpanlah untuk buat tambang nanti.."

Saya tidak tergamak untuk bertanya samada duit tambangnya telah cukup untuk pulang, atau dari mana beliau akan mencari duit untuk membeli baju raya. Itu akan dibincangkan dengan ibunya.

Saya memohon kepada mana-mana individu yang berkelapangan untuk menziarahi dua keluarga ini, dan lain-lain penghuni RAY Tambunan. Mungkin secara material mereka agak selesa, tetapi dari sudut pengisian rohani yang tersusun, pembangunan sahsiah dan kasih-sayang daripada masyarakat luar yang prihatin, mereka masih memerlukan tangan-tangan yang sudi menghulur.

Penghuni RAY Tambunan mendengar kuliah maghrib yang disampaikan Ustaz Mukhtar.

Mereka akan seronok setiap kali menerima kunjungan orang luar, walaupun bukan daripada ahli keluarga mereka.

Tahniah kepada pengurusan RAY Tambunan, khususnya guru-guru pembimbing kerana tidak mengenal erti penat lelah mendidik anak bangsa.

penggerak program Pemantapan Aqidah bersama sebahagian pengurusan RAY Tambunan. Dari kiri Ustaz Mazri, Ustaz Idris, Ustaz Hatta, Haji Ayub, Ustaz Saifuddin dan beberapa orang pembimbing guru muslimat.

Friday, August 7, 2009

UMS Beli FFM-22, Jual H1N1


Saya terkejut apabila dimaklumkan awal pagi tadi bahawa mesyuarat pengurusan semalam memutuskan bahawa UMS tidak akan dikuarantin. Sesi pengkuliahan akan berjalan seperti biasa dan program-program yang telah dirancang akan berjalan seperti yang dirancang. Barangkali jumlah 4 kes tidak cukup untuk menakutkan pentadbiran. Hairannya, tempat-tempat lain, seperti Sekolah Agama Menengah Inanam (SEMAI), yang ketara mempunyai pentadbiran yang lebih bijak, awal-awal mengkuarantin sekolah daripada dimasuki oleh orang luar walaupun belum ada kes yang dilaporkan.

Saya percaya keputusan yang dicapai semalam bukanlah keputusan sebulat suara, kerana desas-desus mengatakan bahawa ada pihak yang mempertikaikan tahap keselamatan dan langkah kurang bijak mengumpulkan mahasiswa UMS dengan pihak luar secara beramai-ramai dalam tempat tertutup seperti pada Malam Anugerah FFM-22. Pada saya, saya yakin Malam Anugerah tersebut merupakan antara titik pertimbangan yang besar kenapa UMS tidak boleh ditutup. Seperti yang disebut Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Iliyas Ibrahim, dalam sidang media FFM-22 di Novotel 1Borneo baru-baru ini, "Kita berbangga setelah menunggu hampir 21 tahun, Sabah menjadi tuan rumah bagi acara ini". Mustahil mudah-mudah sahaja acara gilang-gemilang tersebut hendak dibatalkan dengan sebab ancaman wabak H1N1?

Maka pilihan yang dibuat ialah membelakangkan kepentingan ramai, khususnya kelompok warga kampus yang kurang bijak menghadiri acara tersebut, dan menyerahkan segalanya kepada takdir. Kita tidak pasti samada H1N1 akan semakin merebak di kampus setelah acara tersebut, tetapi yang kita pasti ialah amaran Allah supaya jangan menjebakkan diri di dalam perkara-perkara bodoh;
Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu mencampakkan dirimu ke dalam kebinasaan dengan tangan-tangan kamu sendiri, dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik. (Al-Baqarah,195)

UMS telah mengambil keputusan membeli FFM-22, dan menjual H1N1. Maka jika berlaku apa-apa masalah di kemudian hari, 'kotoh'.

Thursday, August 6, 2009

PSS Kecam Penganjur FFM-22


5 Ogos 2009 - Persatuan Siswazah Sabah mengecam pihak penganjur Festival Filem Malaysia Ke-22, apabila mereka masih lagi berniat mengadakan Malam Anugerah FFM-22 itu di Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah tanggal 8 Ogos ini, walaupun kampus tersebut telah mula diancam wabak selsema babi (H1N1).


Presiden Persatuan Siswazah Sabah, Saudara Bunyamin Bakri, apabila dihubungi menegaskan, hasrat penganjur untuk tidak membatalkan acara tersebut, seolah-olah bertolak-tali dengan peringatan yang diturunkan oleh Allah dalam bentuk wabak selsema babi. “Sejarah menukilkan kisah penghapusan sesuatu kaum atau bangsa secara keseluruhan dengan sebab keingkaran mereka untuk tunduk kepada Allah, sebagaimana penghapusan Kaum Tsamud di zaman Nabi Shalih dengan ditelan oleh bumi, tentera Firaun yang ditenggelamkan oleh Laut Merah di zaman Nabi Musa dan lain-lain kisah pengajaran.” Beliau menambah dengan nada sinis, “Barangkali dengan sebab umat Nabi Muhammad ini diberi kelebihan oleh Allah iaitu tidak dihapuskan secara sekaligus, mereka menganggap kuasa Allah telah mula weak kerana Ribut Greg 1999, tsunami 2006 dan terkini selsema babi ini hanya memusnahkan atau menimpa segelintir sahaja manusia.”


Beliau turut menyatakan kekesalan apabila mendapat laporan bahawa gejala Kristianisasi telah mula menular semula di dalam kampus, selain penggunaan institusi pengajian tinggi sebagai tempat pelaksanaan Persidangan UMNO Sepanggar tanggal 2 Ogos yang lalu yang terang-terang mencabuli akta dan peraturan Universiti. Akhirnya beliau menyatakan hasrat menghantar memorandum kepada Naib Canselor UMS, Kolonel Prof. Datuk Dr Kamaruzaman Haji Ampon dan mengatur pertemuan dengan beliau secepat mungkin bagi membincangkan isu-isu tersebut.


FFM-22 telah bermula sejak 3 Ogos di Sabah, dan antara aktiviti yang dijalankan adalah bengkel penerbitan video, bengkel penulisan skrip, bengkel lakonan, sesi bertemu bintang legenda serta tayangan filem percuma bermula 6 Ogos sehingga 8 Ogos di GSC 1Borneo dan GSC Kilan, Kota Kinabalu, Sabah. Keputusan samada Malam Anugerah Festivel Filem Malaysia ke-22 yang dijangka akan dihadiri oleh 600 penggiat seni tanahair, dan mengedar 5000 tiket percuma kepada orang awam, mahasiswa dan sebagainya akan ditentukan petang esok melalui pengumuman samada UMS terpaksa dikuarantin berikutan beberapa kes yang telah dikenalpasti menjangkiti warga kampus.


PSS optimis pihak pentadbiran UMS akan mengambil keputusan yang betul dan mendahulukan mahasiswa sebagai rakyat di Universiti, bertepatan dengan slogan 1Malaysia yang sering ditonjolkan mutakhir ini, 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'.

Tak Kenal Tak Cinta

Penulis adalah insan yang cintakan seisi dunia dalam perjalanan menuju akhirat. Cinta kepada isi dunia, membawa diri cinta untuk memberi.

Diberi ruang memberi sejak di bangku Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) Subang Jaya, Exco Kerohanian dan Sahsiah MPP Universiti Malaysia Sabah, Timbalan Presiden Persatuan Siswazah Sabah dan kini mencari ruang memberi dengan berkongsi mengasaskan Rabithah Tullab Ad-Dawli.

Pemegang ijazah Sains Marin daripada Universiti Malaysia Sabah dan meneruskan pengajian di dalam bidang syariah dan Bahasa Arab di Maahad Dawli, Dimashq.

Rabithah Tullab Ad-Dawli

Rabithah Tullab Ad-Dawli memerlukan sumbangan berterusan untuk menjalankan agenda kebajikan.

Salurkan sumbangan anda ke akaun sementara:

Maybank : 162263440765
(Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Pengurus Rabithah)

Persatuan Siswazah Sabah

Persatuan Siswazah Sabah
Misi Menyelamatkan Aqidah Anak Sabah

Mereka Juga Membaca :

Sebarkan Pahala Itu :

Kunjungan VIP:

Ilmuwan