Alhamdulillah, setelah melalui perjalanan hampir sehari suntuk; 8 jam KL-Kuwait, 8 jam transit di Kuwait International Airport dan 2 jam setengah Kuwait-Syria, kami akhirnya tiba di Syria. Cuaca dingin sekitar 14˚C, dan kadangkala boleh mencecah 2˚C mengalukan kehadiran kami. Dingin, sedingin wajah pak imigresen yang ragu-ragu untuk membenarkan musafir ilmu bertapa di tempatnya. Teringat sekilas berprogram di Kundasang; walaupun sumandak Syami tidak mampu mengancam sumandak Kundasang, tapi tetap jua menggugah kalbu. Perasaan bercampur-baur, menjejakkan kaki ke bumi yang belum pasti, bumi yang penuh kemungkinan, bumi bertuah yang diiktiraf Rasulullah S.A.W. Seronok pertama dikecapi bila disambut Ustaz Muaz Hasan, ulama' Melayu yang hampir 8 tahun berkelana di Syam, selain Ustaz Firdaus dan isteri, yang kebetulan merupakan dua pupu kami dari sebelah bapa. Kami diberi taklimat sepanjang perjalanan menaiki coaster, mengagumi ratusan masjid-masjid yang masing-masing dibentengi oleh menara-menara hijau, sampai ke rumah baru kami di Ruknuddin, sebelum dijamu nasi mandi berlaukkan ayam buat makan malam.
Hampir seminggu di sini, ternyata cakap-cakap orang benar belaka, masyarakat Arab Syria mudah meraikan tetamu khususnya tetamu ilmu, tidak memperlekehkan Bahasa Arab Fushah kami yang terangkak-rangkak, sangat gemar bertabarru' dan yang paling menarik, setiap yang keluar dari mulut mereka kebanyakannya adalah doa. Untuk Sang Malas Berdoa, cukup berdiri di depan rumah dan memberi salam kepada semua yang mundar-mandir, maka tentunya mereka akan dihujani dengan doa seperti ahlan wasahlan, Allahu ma'ak, Allahu yubarik fik dan sebagainya. Teringat hari kedua kami bersolat Subuh di masjid, atau Jami' Salahuddin berdekatan rumah, sepupu saya Muhajir yang tunduk ketika zikir selepas solat dibaling dengan gula-gula oleh Pak Arab yang menyangkanya tidur. Bukan sebiji tetapi empat biji dibaling di depannya, dan begitulah setiap hari, sampai kami bimbang menghidap kencing manis jika terlalu kerap solat Subuh berjamaah. Pengalaman yang diperolehi setakat ini sahaja pun, tidak terdaya dinukilkan di sini. Semoga Allah bersama kami dan bersama kamu, Syria Bumi Berdoa.
Malam ketiga dijamu makanan Melayu+Arab oleh
Ustaz Firdaus dan Ustazah Raba'ah. Terima kasih tuan rumah.
Ustaz Firdaus dan Ustazah Raba'ah. Terima kasih tuan rumah.
Majis Umayyad, hasil peninggalan kerajaan Umayyah.
Menyimpan 1001 khazanah, antaranya mimbar tempat Ibnu Taimiyyah
melancarkan jihad ke atas Tartar, ruang Imam Ghazali menulis Ihya' Ulumuddin,
makan Nabi Yahya, Salahuddin Al-Ayubi,
malah Menara Putih tempat disebut Nabi Isa akan turun.
Menyimpan 1001 khazanah, antaranya mimbar tempat Ibnu Taimiyyah
melancarkan jihad ke atas Tartar, ruang Imam Ghazali menulis Ihya' Ulumuddin,
makan Nabi Yahya, Salahuddin Al-Ayubi,
malah Menara Putih tempat disebut Nabi Isa akan turun.
Syria dikelilingi oleh Turki di Utara, Jordan di Selatan, Iraq di Timur dan Lubnan serta Palestin di Barat. Diperintah oleh Parti Baath dengan dominasi keluarga Asad, ia kini diperintah oleh Bashaar Asad daripada pemerintahan ayahnya, Hafiz Asad. Pernah dijajah oleh Perancis selepas Perang Dunia Pertama, dan mencapai kemerdekaan pada 1946, sebahagian Syria dipecah-belahkan, antaranya Golan Heights yang sekarang diduduki Israel, dan sebahagian barat daya Syria yang kini adalah Lubnan. Dimashq, ibu negara Syria pernah menjadi pusat pemerintahan Umayyad, dan sebahagian keagungan zaman tersebut masih kelihatan di beberapa tempat di Syria. Syria adalah negara yang tidak konsisten dalam menyatakan pendiriannya terhadap isu-isu antarabangsa msialnya kecondongan terhadap Palestin atau Amerika-Israel. Hari ini, Syria dikelilingi oleh negara-negara yang bergolak dan ia berisiko berhadapan ancaman sama yang dilihat berlaku di Tunisia, Lubnan, Mesir, Iraq, Jordan, kerapuhan kerajaan Iran dan dilema sepanjang zaman umat Islam Palestin. Malah, Syria dikatakan 'negara Islam' terakhir menunggu nasib ditentukan oleh rakyat.
Merindui semua yang ditinggalkan di Malaysia. Semoga kepulanganku kelak membawa lebih makna. Taqabalallahu minkum.