Rintih Si Pemandu Teksi 2 ( dan 3 )
8hb Jun 2008
Petang itu aku menyampaikan kuliah maghrib di SAMBESTARI, alma-mater yang dikasihi. Aku menyeru adik-adik menjadi pelajar yang haraki, belajar bersungguh-sungguh, mengasah minda dan bakat kepimpinan, keluar menjadi agen perubah masyarakat. Entah kata-kataku meresap atau tidak ke jiwa adik-adik. Yang penting aku dah mencuba. Lagipun bukan itu tujuan utama aku ke sekolah. Lebih utama daripada itu adalah hasrat untuk menemui budak-budak KIDS. Peserta-peserta yang telah mengikut Kem Kepimpinan, Ibadah Dan Sahsiah yang dianjurkan alumni tahun lepas dan telah dijemaahkan menjadi penggerak di sekolah. Selepas isya’ mereka berkumpul di tepi surau. Pelajar yang lain pergi ke kelas prep. Kalau di zamanku, dengan kuasa sebagai KP Akademik, malam yang mana pelajar baru balik daripada bercuti ku isytiharkan saja prep dibatalkan. Tapi zaman telah berubah. Kalau diberi kebebasan pun budak-budak akan berduyun-duyun ke kelas prep juga.
Budak-budak KIDS, atau panggilan yang lebih mereka gemari, ‘ahli jemaah KIDS’ duduk di dalam bulatan. Aku memulakan aluan dan memetik Surah Al-Mai’idah ayat 54. Kemudian aku bertanyakan keadaan SAMBEST. Alhamdulillah, semua dalam keadaan baik. Pelajar F5 memegang rekod masalah didiplin sifar setakat ini. Semua form bersatu. Kes pukul sangat minima dan terkawal. Tapi...guru-guru pula berantakan. Aku tergelak. Pelik-pelik sekolah ni. Pelajar dah bagus guru-guru pula slack. Yang terhimpit macam sandwic, kepimpinan pelajar. Pelajar biasa bahagian bawah roti dan pengurusan dan guru-guru roti bahagian atas. Kepimpinan pelajar dilenyek di tengah-tengah. Ahli KIDS la tu. Rata-rata mereka yang mendominasi kepimpinan pelajar di sekolah. Teringat ketika di SAMTEN dulu, guru-guru perempuan bergaduh sampai tarik-menarik rambut. Na’uzubillah, minta dijauhkan daripada SAMBEST. Di akhir pertemuan Syazwan, amir jemaah yang juga Ketua Umum di sekolah mengingatkan ahli tentang agenda islamisasi SAMBEST. Tapi bila ditanya tentang maksud islamisasi SAMBEST, semua terdiam. Aku ketawa, diikuti oleh budak-budak KIDS. Yang penting mereka tahu apa sebenarnya yang nak dicapai.
Jam menunjukkan pukul 10.00 malam. Sebelum menapak meninggalkan sekolah sempat aku bercerita dengan Majdi dan Imani, antara dua ahli KIDS yang paling rapat denganku. Dua buah permata yang tidak akan aku persia-siakan. Hasrat bertemu dengan Teacher Norkiah, guru Bahasa Inggerisku merangkap pelatih debat BI dan guru disiplin tak kesampaian kerana beliau kurang sihat. 10.35 malam. Aku terpaksa meminta diri, takut ketinggalan komuter.
Di depan Summit Subang, aku mengambil teksi ke stesyen komuter Subang. Aku memang minat bercerita dengan pemandu teksi. Golongan ini antara yang mempunyai kesedaran politik dan sosial paling tinggi, kerana mereka antara yang terjejas secara direct dengan apa-apa perubahan yang berlaku. Dan mereka banyak bertemu ragam manusia sepanjang seharian bekerja. Macam aku.
“ Daripada mana bang? ”
“Cheras dik.”
“Oh. Jauh juga abang datang cari orang. ”
“ Semua tempat abang pergi. Kalau ke KL, KL lah. Kalau PJ, PJ lah. ”
“ Oh.” Sekali lagi aku mengangguk faham. Dan terus melontarkan soalan pembuka tirai, “ Kereta abang pakai gas ke petrol? ”
“ Gas dik, ”
“ Oh, jadi petrol naik tak bagi kesan la kat abang? ”
Dia ketawa.“Kalau LPKP bagi surat naiklah,” Rupanya dia tersalah dengar. Dia menyangka aku bertanya kalau-kalau harga tambang teksi telah naik.
“Maksud saya, abang tak terkesanlah dengan kenaikan harga petrol kan? Kecuali bila harga barang dah naik nanti. ”
“Barang naik dah dik! Semalam abang minum nescafe ais tepi jalan RM1.80! Gila betul!”
“ Mamak ke? Biasanya mamak yang berani naikkan harga ni,”
“Same je sekarang. Oarng Melayu pun laju dah sekarang,”
“Oh, ye ka? Selalunya Melayu ni paling lambat berubah,”
Abang teksi tergelak lagi. “ Tak lama dah tu,” Dia menyimpulkan.
Teksi sampai ke destinasi. Aku menyuruh abang teksi banyakkan bersabar dan mengucapkan terima kasih. Jam menunjukkan pukul 11 malam. Aku berlari anak ke stesyen KTM. Tren terakhir ke Seremban...jam 10.14 malam! Matila aku malam ni, hatiku berbisik. Aku berfikir panjang lalu mengambil keputusan untuk ke KL Sentral.
Sampai di sana, aku terus ke surau. Kunci! Tiada pilihan, aku melangkah keluar dari bangunan KL Sentral mencari hala tuju baru. Ha, ada kedai mamak. Apa-apa pun biar perut berisi dulu. Nasi goreng ayam dipesan dengan segelas air sejuk. Tak lama kemudian makanan sampai. Dan sedang khusyuk menjamah bil pulak sampai. Tersedak aku dibuatnya. Nasi goreng ayam – RM6! Air sejuk - 30sen! Gila, gila ,gila!
Selesai makan ku bertanya kepada cashier kedudukan masjid terdekat. Mamak cashier kurang faham. Ku membuat gaya orang sedang solat. Oh, dia mengangguk. Dan menyuruh aku berjalan terus dan mengambil simpang ke kiri yang pertama. Aku mengikut arah yang ditunjukkan dan tidak lama kemudian tersergam di depanku...sebuah gereja. Aduh. Aku menggaru kepala dan berpatah balik. Muka aku tak nampak macam Islam ke? Aku berjalan tanpa hala tuju dan tiba-tiba dari jauh kelihatan menara sebuah masjid. Macam masjid negara, ku mengagak. Ku pun berjalan ke arah menara tersebut. Tapi makin jalan macam makin jauh pula. Dan lama-lama terus hilang. Mungkin tersorok di balik bangunan-bangunan lain. Aku menghela nafas. Terpaksa aku menggunakan khidmat pemandu teksi lagi.
“Masjid Negara, bang.”
“Ok, naik,” Tak sampai setengah kilometer bergerak dia bertanya, “Kenapa tak jalan je?” Dekat je tu, adik naik ikut flyover tu dah sampai,” Cantik la bang. Kenapa tak beritahu esok je.
“Tak tau pulak bang. Tadi cari jalan tak jumpa. Abang punya kereta pakai gas ke petrol?”
Ku mula beraksi. Tapi abang teksi hanya mendengus. Mungkin malas menjawab. Atau keletihan. Begitulah seterusnya. Ditanya berjela, beliau hanya menjawab sepatah. Susah hendak menduga apa yang bermain di fikirannya. Tapi ku tidak berputus asa.
Hinggalah sampai ke tempat dituju, baru dia mengeluarkan statement yang menjelaskan badai yang berombak kencang dalam dirinya. “Rakyat mati!” kata beliau ringkas. Aku mengangguk tanda faham dan bersimpati, lalu turun dari teksi mencari tempat berlabuh untuk malam itu...