:: Setiap Pemberian, Bernilai Di Sisi Tuhan ::

Tetamu Kehormat :

Tuesday, June 26, 2012

Kembara Khilafah (3)

Khinkal dan Rapunzel

Minggu pertama di Istanbul, saya berpindah tempat penginapan beberapa kali. Pertamanya di rumah Abdullah, sahabat dari Dagestan sebelum semalaman di hostel murah di Sultanahmet, berpindah ke rumah musafir di markaz Naqsyabandi di Ismail Agha Cami di kawasan Fateh sebelum ke rumah Ahmad sahabat dari Chechnya.

Hari-hari pertama di rumah Abdullah, dihabiskan dengan mengenali keluarga beliau dengan lebih rapat, budaya dan tradisi mereka. Ukhuwwah Islam sudah cukup untuk membolehkan saya selesa tinggal di rumah mereka, seolah berada di rumah sendiri. Empat hari itu kami dihidangkan dengan makanan seolah-olah mahu membalas dendam dengan makanan di dewan makan asrama yang agak sukar ditelan pelajar-pelajar Rusia. Lebih-lebih lagi dengan sifat pemurah Abu Abdullah, setiap malam rumah beliau dikunjungi sahabat-sahabat sekampung mereka yang berhijrah mencari kehidupan ke Istanbul, dan setiap kali itulah saya berpeluang merasai murtabak versi Dagestan, dolma - daging dan nasi berbalut sayur - dan khinkal, makanan masyhur di sebelah Caucas seakan pasta yang dimakan dengan sup daging.

Hari terakhir saya memohon izin Abdullah untuk memasak – memberi mereka peluang merasai air tangan bujang Melayu ini. Malangnya perancangan asal memasak ayam kurma terpaksa diubah menjadi ayam lemak black pepper kerana tersalah membawa perencah daripada Syam.

Cumanya, dengan keberadaan ahli keluarga perempuan Abdullah, saya tidak bebas bergerak keluar masuk dari bilik yang disediakan untuk saya.

Nah, begitu sekali mereka menjaga anak perempuan dan wanita mereka, sehinggakan selama tempoh empat hari saya berada di sana, sekalipun saya tidak melihat ahli keluarga mereka selain Abdullah, ayahnya dan anak bongsu lelaki beliau, Bilal.

Teringat beberapa ketika dahulu saya berseloroh dengan Abdullah, Ahmad dan Ali Dagestan, kalau-kalau mereka mahu mengahwini adik perempuan saya. Mereka separa senyum dan tidak menjawab. Rupanya, kepada mereka, bercakap tentang ahli keluarga perempuan, walaupun dengan nada bergurau, adalah aib besar. 

Kerana itu juga, pergerakan yang terbatas menjadikan saya Rapunzel yang asyik merenung keluar tingkap bilik, menunggu peluang menjenguk dunia luar.

Abdullah dan adik bongsu Bilal. Setiap pagi, Bilal akan datang memeluk abangnya 
dan tidur di sebelah beliau sehingga abangnya terjaga.

Bediuzzaman dan Mahathir

Masuk hari kelima melewati tempoh 3 hari adab bertamu, saya mula tidak senang duduk dan memohon izin tuan rumah keluar dan bertemu dengan beberapa insan yang berpotensi membantu saya mencapai matlamat kembara ke Turki. Ditemani Abu Abdullah, saya menemui saudara Mansur Uzbekistan, pengikut Bediuzzaman Said Nursi dan Fethullah Gulen di Fatih Cami. Borak panjang petang itu berkisar pergerakan Rasail Nur, dan cadangan beliau supaya saya menjadi penuntut aliran tersebut. Manfaat mendalami kitab tersebut, jelas beliau, adalah khidmat iman sedangkan mencari pengalaman dan bergerak bersama pertubuhan seperti IHH, sebagaimana perancangan saya, adalah khidmat kemanusiaan. Justeru menyelamatkan kehidupan akhirat adalah lebih utama daripada menyelamatkan kehidupan dunia mereka yang memerlukan.

Puas memaksa diri tersenyum, saya mula membantah. Menceritakan pengalaman bergerak di pedalaman Sabah, saya memberi pandangan tentang peri-pentingnya kedua-dua khidmat tersebut berjalan selari, bagaimana mereka di pedalaman dibuka hati mereka dengan khidmat kemanusiaan dahulu, sebelum dapat disuluh untuk menerima iman. Akhirnya beliau akur, dan setelah kami gagal mendapatkan penempatan di rumah musafir Rasail Nur, beliau menghantar saya ke hostel murah di Sultanahmet.

Saya tidak pasti kalau di sini saya cepat hilang sabar kerana meninggalkan Syam, atau peluang berbantah jarang datang sebelum ini. Beberapa kali saya hilang sabar di Istanbul, antaranya ketika seorang pakcik Syria mengecam ustaz-ustaz saya di maahad sebagai pro-kerajaan kerana masih meneruskan kelas pengajian Quran dalam suasana Dimashq sekarang, selain beberapa kali bertelingkah dengan pelajar Arab yang memuji Tun Mahathir melambung sambil menyalahkan saya sebagai kurang membaca dan tidak mengetahui hakikat setelah saya cuba menerangkan sikap sebenar Tun terhadap Islam kepada mereka. 

Lebih daripada separuh hayat aku kot hidup bawah lembayung kerajaan Mahathir!   

Pemandangan sekitar Masjid Biru atau Sultanahmet Cami.

Aya Sophia. Baru mengintai dari luar, belum ada nafsu nak masuk 
sebelum membaca tentangnya lebih lanjut.

Tenang di Celah Telanjang

Sebelum ke Turki, saya telah membuat persediaan dengan mengumpul maklumat tempat-tempat penginapan yang biasa didiami pelajar Malaysia (secara percuma!) selain mengambil nombor individu-individu yang berpotensi membantu mencapai hasrat kembara.

Dukacita, perancangan Allah menjadikan perancangan tersebut sia-sia, melainkan satu, iaitu rumah musafir Ismail Agha Cami di Casambar, berdekatan Fatih Cami. Bagi pelajar syariah Syria yang biasa mendampingi masyaikh yang lunak akhlaq dan senang dipandang, suasana di kawasan Casambar cukup menenagkan setelah puas menunduk di jalanan Istanbul yang sesak dengan pelancong separuh berpakaian.

Masyhur sebagai markaz pengikut tarikat Naqsyabandi, berada di Casambar seolah-olah melangkah setapak ke belakang, ke era kegemilangan Islam. Rata-rata penghuni kawasan ini, atau yang berurusan di sini memakai jubah terbuka, berjanggut dan membawa tongkat, sedangkan kaum wanita memakai jubah panjang hitam dan tidak ada yang kelihatan melainkan sebatang hidung dan sepasang mata berkelip-kelip suci.

Semalaman di rumah musafir Ismail Agha Cami, saya berkenalan dengan dua pemuda Turki, Jaafar dan Akif yang berasal dari wilayah Gumushane di timur Turki, yang membawa saya ‘mengeteh’ setelah melihat saya terpinga-pinga terlepas sarapan kerana tidak mengetahui jadual makan.

Perkenalan dengan mereka, adalah sentuhan pertama ukhuwwah bersama pelajar Turki yang saya cari-cari setelah membaca buku ‘Secangkir Teh Pengubat Letih’ Ustaz Hasrizal yang menjadi antara sumber rujukan sepanjang Kembara Khilafah.

Jaafar (kiri) dan Akif. Mereka kurang pandai berbahasa Arab dan saya belum mapu berbahasa Turki. Bahasa yang kami sama-sama fahami ialah senyuman.

Berkongsi Mimpi Sang Shishani

Hasrat menjadi tetamu di rumah Ahmad Shishan asalnya telah dibatalkan setelah beliau mengkhabarkan bahawa keluarga besar beliau dari Shishan akan meluangkan cuti musim panas di Istanbul. Walaubagaimanapun, perancangan ziarah sehari itu berlarutan seminggu setelah dibenarkan menumpang semalaman untuk melancarkan program telekonferens Dari Syam Kepada Alam (rakaman di sini) bersama penuntut-penuntut Malaysia di United Kingdom, dan beberapa usaha menyusun perancangan lain gagal.

Bertamu di rumah Ahmad, menutup tirai fasa pertama kembara di Istanbul, fasa menyusun dan mengatur kerja-kerja seterusnya. Tetapi penutup itu, secara tersendiri membuka pintu baru kesedaran, keazaman dan kebersamaan yang membuak-buak – pintu perjuangan rakyat Chechnya yang lama sepi dilupakan umat. 

Blini / ghemsh, daging dan nasi dibungkus selaput tepung.

 'Khinkal' versi Shishan yang dipanggil 'jijg galnash'. 

 Bersama Saifullah sahabat Ahmad. 1Malaysia? Oh tidak.
Isyarat ini di kalangan mujahidin Caucas bermakna Allahu Ahad.

Si comel Soleh yang barangkali akan selalu menghantui mimpi saya setelah balik nanti. Beliau merenung aneka biskut, jem dan manisan yang secara tradisi dimakan oleh masyarakat Caucas bersama teh untuk menggantikan gula.

Thursday, June 7, 2012

Kembara Khilafah (2)

Sebelum Bermusafir atau Berurus Niaga

Rombongan saya terdiri daripada 12 orang pelajar Dagestan, seorang pelajar Shishan (Chechen) dan saya lelaki Melayu terakhir.

Bagi pelajar Malaysia di Syria, atau mungkin di mana-mana tempat, biasanya sebut sahaja pelajar Dagestan, akan menjadi igauan ngeri bagi mereka. Fitrah sebahagian mereka yang agak kasar, selalu melawan cakap ustaz dan bertelingkah selain anti-establishment, merosakkan susu sebelanga. Masalahnya Melayu kita juga lebih mudah menghukum dan melabel. Barangkali itu yang termudah, melabel ‘depa sengal’ dan melarikan diri. 

Saya lebih suka mendekati dan lama-kelamaan - dengan sedikit bahasa Rusia, dengan sedikit kajian sejarah negara mereka dan seperti biasa, dengan kuasa taaruf sebiji gula-gula - kelompok pelajar ini menjadi antara yang paling akrab dengan saya, justeru memungkinkan saya menjadi Ugly Duckling (kerana ganjil, bukan hodoh!) dalam rombongan mereka. 

Pelajar-pelajar belah Rusia, atau Caucaz yang tidak mempunyai persatuan pelajar, biasanya mempunyai sistem amir yang mengetuai satu-satu kelompok pelajar lain, khususnya yang datang daripada rumpun atau kampong yang sama. Amir kami dalam rombongan ini ialah Abu Bakar, pelajar tahun 4 di Maahad Syeikh Badruddin Al-Hasani.

Bas bergerak keluar jam 11 malam. Abu Bakar mula mengedar buku doa kecilnya, mengarahkan ahli rombongan yang rata-rata masih kecil untuk membaca doa safar, kemudian mengedar makanan ringan dan membuka tv kecil di hadapannya, sebelum memadamkannya semula. “Semuanya maksiat”.

Datang kelompok manusia kepada Saidina Umar Al-Khattab (R.A) dan memuji-muji saudara mereka yang sedang bersolat. Saidina Umar lalu berkata ‘Adakah engkau pernah bermusafir bersama mereka? Atau berjual-beli dengan mereka? Kalau belum, maka engkau belum mengenalinya’.

Jaish Hur dan Cinta Pandang Pertama

Bas kami berhenti sekitar jam 12 tengah malam selama 3 jam, untuk mengelak daripada tersepit di celah pertempuran jaish Hur dan jaish asad di jalan, yang biasanya bertukar-tukar tembakan selepas tengah malam.

Kami tiba berhampiran ke kawasan ‘panas’ Idlib, sekitar jam 5 pagi ketika hari telah cerah, dan pertama sekali ditahan oleh jaish asad. Mereka tidak banyak bertanya, hanya melambai tangan menyuruh kami pergi. Kali kedua juga ditahan oleh jaish asad, dan perkara sama berulang.

Kali ketiga, tentera yang menahan kami dan memakai bas memakai scarf bendera Syria. Cuma benderanya tidak berwarna merah dan berbintang hijau, sebaliknya ia berwarna hijau dan berbintang merah tiga. Warna Bendera Rakyat.

Beliau mula membelek-belek kad pengenalan penumpang, lagaknya mencari shabiha atau tentera asad di kalangan penumpang. Sampailah kepada kami. Ahli rombongan kami, selain saya, semuanya menggunakan pasport Russia. Hati berdegup kencang. Kalau tentera ini terpelajar, dia akan tahu bahawa rakyat Dagestan adalah rakyat Muslim yang juga ditindas oleh kuasa besar seperti mereka. Tetapi kalau pengetahuannya lemah…barangkali warna biru merah Rusia akan mengelabui matanya. 

Kami Adalah Muslimin

Konduktor bas segera bersuara. “Mereka ini pelajar, semuanya Dagestan dan bersama kita.” Tentera tersebut memandang wajah sahabat-sahabat saya satu demi satu dan bertanya. “Kamu ini bersama Asad atau siapa?”.

Ali, pelajar kelas saya yang terkenal bermulut lancar pantas menjawab, “Nahnu ma’al Muslimin (kami bersama Muslimin) ”.

Dan disahut sang askar “Nahnu Muslimin, bi izin Wahid wa Ahad (kamilah Muslimin, dengan izin Yang Satu dan Esa”.

Lalu beliau separa tersenyum, dan mula membuka cerita tentang pertempuran yang berlaku malam sebelumnya, dan bagaimana terdapat katibah baru daripada jaish asad yang berpaling tadah untuk bersama Jaish Hur. Kami menarik nafas lega.

Kali keempat kami juga ditahan oleh Jaish Hur, dan selesai melakukan pemeriksaan askar tersebut mendoakan keselamatan perjalanan kami.

Selepas itu sahabat-sahabat saya tidak berhenti bercerita tentang sopannya Jaish Hur, akhlaq mereka dan bagaimana mereka ingin menjadi sebahagian mereka.

Di Antakya - Selamat Jalan Ikhwanku

Kami tiba di Antakya, bandar paling selatan Turki sekitar jam 9.30 pagi dan tidak menghadapi banyak masalah di sempadan. Selesai sarapan bekalan roti yang dibawa Abu Bakar, saya, Abdullah dan Ahmad Shishani melambai ahli rombongan lain. Bas kami akan bertolak ke Istanbul jam 11 pagi, sedang perjalanan mereka masih bersisa tiga hari – ke Trabzon di timur Turki, lalu ke Georgia, seterusnya ke Azerbaijan sebelum masuk ke Dagestan. 

Ada rezki, cuti akan datang destinasi saya ialah ke Dagestan.



Bergambar bersama sebahagian ahli rombongan di sempadan Syria-Turki

Monday, June 4, 2012

Kembara Khilafah (1)

Keluarga antarabangsa saya di Mabit Saad, Maahad Dawli


Kembara saya ke Turki, saya namakan Kembara Khilafah. Pertamanya, kerana kembara itu destinasinya ke bumi Turki, bumi Khilafah. Kedua, kembara ini suatu proses melengkapkan diri untuk suatu hari nanti, berganding bersama 'pengembara' lain mengembalikan khilafah. Alfatihah.


Jalan Masuk Ke Hati

Janji bahawa kembara ke bumi khilafah bakal menjanjikan 1001 pengalaman baru terserlah sejak perjalanan ke Stesyen Bas Bulman lagi. Saya menaiki teksi dan seperti kebiasaan membuka bicara berborak bersama pemandu, setelah setengah jam berwida’ dengan ahli Mabit Saad. Walaupun baru tiga minggu berada di asrama, mereka sudah menjadi sebahagian keluarga besar saya. Saya pasti, selagi mana komunikasi tidak terputus antara kami, di mana sahaja kaki menjejak – Pakistan, Ukraine, India, Afrika, Perancis, Indonesia selain seluruh bumi Tan - akan ada tempat untuk saya berteduh semalam dua. Ikatan antara kami, kebanyakannya bermula dengan menghulur sebiji gula-gula.

Borak santai dengan pemandu seperti biasa bermula dengan soal kerja, keadaan hidup yang semakin susah sebelum masuk ke topik perkahwinan dan keluarga. Pemandu muda, biasanya mudah dibawa bercerita, sedangkan yang lebih tua perlu diusik nakal, ditanya jumlah isteri misalnya, sebelum mula membuka telefon bimbit dan menunjuk bangga gambar anak masing-masing.

Si pemandu mengeluarkan kad pengenalannya untuk mengiyakan bahawa umurnya 24 tahun. Saya mencuri pandang dan menemui titik persamaan; beliau seperti saya, lahir pada bulan November. Nyata saya berjaya menarik perhatian beliau apabila saya mula membongkar hasil kajian saintifik bahawa mereka yang lahir pada bulan November terdiri daripada orang yang romantik dan berjiwa sensitif.

Manusia, apabila melihat gambar, secara fitrah akan mencari dirinya sendiri terlebih dahulu sebelum membelek wajah orang lain. Justeru berkenalan, perlu bermula dengan meraikan fitrah ini – meletakkan orang yang mahu dikenali, sebagai pokok pembicaraan.

Demi Cinta Ku Buang Segala

Kereta di hadapan tiba-tiba mengelak mendadak, seakan-akan ada halangan di hadapan. Pemandu teksi saya menurut, bunyi hon dan tayar dicengkam brek membingitkan telinga. Seorang lelaki kelihatan separa baring di tengah jalan seolah-olah telah dipukul. Pemandu memperlahankan kenderaan, melihat-lihat kalau ada yang boleh dibantu. Dalam kelam malam, susuk tubuh seorang wanita kelihatan di tepi jalan, meraung dan merayu kepada sang lelaki, sebelum beliau bingkas bangun dan mendapatkannya.

Ya Haram!

Rupanya si lelaki mengugut membunuh diri demi meraih semula cinta sang wanita. Saya dan pemandu berpandangan dan menggeleng kepala. Perbualan langsung bertukar topik, menyesali sikap manusia yang sanggup membuang nyawa demi cinta, sedang anak bangsanya bermatian-matian bertaruh segala demi akidah dan kebebasan generasi akan datang..

Bercinta tidak salah, selagi berlandaskan syariat, dan saling memberi manfaat. Cinta pelajar sekolah yang tidak punya halatuju jelas dan jalan mencapai halatuju, tidak berlandas syariat. Kasih abang kepada adik angkat sehingga membelanya apabila melakukan kesalahan, bukan dikira manfaat. Lihat bagaimana ekspresi cinta Rasulullah S.A.W kepada sahabat di dalam hadis musalsal, padat dan berkat;

Ya Muaz, sesungguhnya aku mencintaimu. Maka katakanlah selesai setiap kali solat, Ya Allah, bantulah kami dalam mengingatiMu, mensyukuriMu dan sebaik kepatuhan kepadaMu.

Kami tiba di Bulman, di mana rombongan saya sedang menunggu..

Tak Kenal Tak Cinta

Penulis adalah insan yang cintakan seisi dunia dalam perjalanan menuju akhirat. Cinta kepada isi dunia, membawa diri cinta untuk memberi.

Diberi ruang memberi sejak di bangku Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) Subang Jaya, Exco Kerohanian dan Sahsiah MPP Universiti Malaysia Sabah, Timbalan Presiden Persatuan Siswazah Sabah dan kini mencari ruang memberi dengan berkongsi mengasaskan Rabithah Tullab Ad-Dawli.

Pemegang ijazah Sains Marin daripada Universiti Malaysia Sabah dan meneruskan pengajian di dalam bidang syariah dan Bahasa Arab di Maahad Dawli, Dimashq.

Rabithah Tullab Ad-Dawli

Rabithah Tullab Ad-Dawli memerlukan sumbangan berterusan untuk menjalankan agenda kebajikan.

Salurkan sumbangan anda ke akaun sementara:

Maybank : 162263440765
(Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Pengurus Rabithah)

Persatuan Siswazah Sabah

Persatuan Siswazah Sabah
Misi Menyelamatkan Aqidah Anak Sabah

Mereka Juga Membaca :

Sebarkan Pahala Itu :

There was an error in this gadget

Kunjungan VIP:

Ilmuwan