:: Setiap Pemberian, Bernilai Di Sisi Tuhan ::

Tetamu Kehormat :

Saturday, December 31, 2011

PSS Untuk PSS



1. Tahun 2012, PSS genap 8 tahun mewarnai dakwah di bumi Sabah, mengungguli pembangunan remaja dan pembentukan golongan muda Negeri Bawah Bayu. Kanak-kanak wajib diperintahkan untuk solat pada usia tujuh tahun, melalui proses pematangan dan berdikari selama tiga tahun sebelum dipukul jika meninggalkan solat semasa berusia sepuluh tahun. Justeru PSS ibarat melalui proses pematangan, supaya kelak tidak terpukul jika cuai melangkah pada perkara yang jelas tuntutannya.





2. Perkembangan PSS yang begitu pesat adalah dua kayu ukur yang sentiasa berulang dalam sejarah - bahawa manusia akan sentiasa pulang untuk mencari fitrahnya, dan kejatuhan organisasi biasanya berlaku tatkala berada di tempat yang tinggi; jatuh tidak berlaku di tanah landai.





3. Justeru penggerak sentiasa perlu diingatkan berkenaan bisnes yang mereka jalankan - di mana mereka adalah penjual, dan Allah serta masyarakat membeli – iaitu DAKWAH. Berdakwah harus dijalankan dengan keyakinan bahawa kita sedang mencari untung, bukan memberi untung.





4. Penggerak sentiasa perlu diingatkan bahawa the customer is always right, atau lebih tepat, the customer is always better than the seller. Ia dijalankan dengan kesedaran bahawa mereka yang kita dakwahkan adalah lebih mulia daripada kita – mereka melakukan dosa dalam keadaan tidak tahu dan mahu berubah, sedangkan kita dalam keadaan tahu, masih tidak mampu meninggalkan maksiat.





5. Abu Bakar As-Siddiq, sebaik-baik lelaki setelah para anbiya’, dalam khutbah pertama selepas dilantik menjadi khalifah, menyebut bahawa ‘aku diberi tanggungjawab memimpin kamu tetapi aku bukanlah yang terbaik di antara kamu’. Umar Al-Khattab, selalu dilihat oleh sahabat-sahabat lain menarik-narik janggutnya yang basah dengan airmata dan bercakap sendirian ‘Celakalah engkau Umar, ingatlah bahawa kalau engkau melakukan maksiat engkau juga akan dicampakkan ke dalam api neraka’.





6. Membaca respon adik-adik terhadap beberapa program mutakhir, menggambarkan suatu harapan dan sandaran yang cukup besar kepada abang-abang dan kakak-kakak penggerak, justeru mengkhianati kepercayaan tersebut adalah sebab terbesar yang akan menyebabkan mereka kembali kepada jalan gelap yang dilalui sebelumnya.





7. Penggerak tidak boleh lalai pada melazimi amalan asas seperti membaca Al-Quran, ma’thurat, zikir harian dan qiamullail kerana laluan untuk dakwah sampai ke hati, ialah dari bawah ke atas, lalu turun ke bawah semula. Dakwah bukan semata soal skil dan tarikan zahir, tetapi produk perlu melalui quality control oleh Allah sebelum dihantar kepada hati pembeli. Produk yang datang daripada hati yang kering, tidak bermutu dan biasanya dibuang oleh pembeli setelah waktu yang singkat. Hadis Nabi menyebut, banyak bercakap tanpa istighfar, mengeraskan hati.





8. Santuni selemah-lemah ahli, dan nilai kekuatan mereka untuk dibangunkan bagi membantu dakwah. Abdullah Ibn Ummi Maktum yang buta beberapa kali diwasiatkan oleh Rasulullah S.A.W untuk memangku ketiadaannya di Madinah, sedangkan pembesar Quraisy yang didakwah oleh Rasulullah S.A.W tatkala memasamkan muka kepada Abdullah (Surah ‘Abasa), antaranya Abu Jahal, menjadi penentang yang paling kuat.





9. Tenaga baru (dan lama) perlulah dibangunkan secara terancang dengan dua ciri pemimpin Islam – amin dan qawi. Mereka melengkapi diri sebagai mukmin dengan keperluan ilmu dan spiritual (amin), dan dilengkapkan dengan profesionalisme dan pengkhususan kepakaran (qawi). Para Nabi bukan sahaja sebaik-baik mukmin, tetapi jua pakar dalam bidang masing-masing. Nabi Adam adalah pakar pertanian, Nabi Idris pakar jahitan, Nabi Daud adalah pakar besi, Nabi Yusuf pakar pentadbiran dan ekonomi dan seterusnya.





10. Dunia adalah pinjaman dan jambatan ke akhirat. Pensil yang dipinjam wajib dipulangkan, begitu juga tangan, kaki, mata dan turun naik nafas. Jangan dilekakan oleh kehidupan yang sementara, dan jangan gopoh untuk menjadikan dakwah sebagai bahan niaga mendapatkan untung duniawi. Kelompok banyak, adalah kelompok yang tidak mampu membayar untuk diajar bagaimana berubah.





11. Dakwah adalah cinta, tetapi majoriti yang didakwah tidak akan jatuh cinta pandang pertama. Kita bermula sebagaimana mereka, justeru jangan lupakan cinta penggerak-penggerak yang dahulunya membentuk kita. Kalau dahulu mereka mudah berputus asa, boleh jadi kita masih terapung-apung dibuai leka.





12. Tanda pertama hari qiamat ialah wafatnya Rasulullah S.A.W 1423 tahun yang lepas. Qiamat sudah dekat, pilihlah kehidupan dengan bijak.





13. Perkongsian ini meliputi Kelab Remaja Ukhuwwah, adik-beradik baru dan lama, serta lain-lain penggerak dakwah di Sabah. Mudah-mudahan bingkisan ini, terlebih dahulu manfaatnya buat penulis, si anak dakwah di rantauan (andartau).




Teruskan berjuang, duhai mujahid setia!










Tak Kenal Tak Cinta

Penulis adalah insan yang cintakan seisi dunia dalam perjalanan menuju akhirat. Cinta kepada isi dunia, membawa diri cinta untuk memberi.

Diberi ruang memberi sejak di bangku Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) Subang Jaya, Exco Kerohanian dan Sahsiah MPP Universiti Malaysia Sabah, Timbalan Presiden Persatuan Siswazah Sabah dan kini mencari ruang memberi dengan berkongsi mengasaskan Rabithah Tullab Ad-Dawli.

Pemegang ijazah Sains Marin daripada Universiti Malaysia Sabah dan meneruskan pengajian di dalam bidang syariah dan Bahasa Arab di Maahad Dawli, Dimashq.

Rabithah Tullab Ad-Dawli

Rabithah Tullab Ad-Dawli memerlukan sumbangan berterusan untuk menjalankan agenda kebajikan.

Salurkan sumbangan anda ke akaun sementara:

Maybank : 162263440765
(Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Pengurus Rabithah)

Persatuan Siswazah Sabah

Persatuan Siswazah Sabah
Misi Menyelamatkan Aqidah Anak Sabah

Mereka Juga Membaca :

Sebarkan Pahala Itu :

There was an error in this gadget

Kunjungan VIP:

Ilmuwan