:: Setiap Pemberian, Bernilai Di Sisi Tuhan ::

Tetamu Kehormat :

Saturday, October 8, 2011

Ashabul Hudud Part 2

Dua Ashabul Hudud (Penghuni Sempadan) menikmati teh di sempadan Lubnan.

Watak-Watak Kecil Yang Bernilai Besar

2-5/10/2011

4 hari berlalu tanpa banyak beza. Hari-hari diisi dengan penantian, bertafakkur dan tidur, berpusing-pusing di Hamra’ dan Souq Bundle berdekatan Kedutaan Kuwait, menziarahi kedai buku, membaca, penantian, bertafakkur dan tidur. Lubnan banyak diwarnai peristiwa penting kepada rantau ini, antaranya Perang Saudara 1975-1990, pembunuhan pelarian Palestin Shabra-Shatila 1982, pembunuhan bekas Perdana Menteri Rafik Hariri 2005 dan serangan Israel ‘untuk menghapuskan Hizbullah’ tahun 2006 [40 000LL tambang, buku, makan].

Banyak watak yang mengisi hari-hari ini, dan masing-masing meninggalkan nilai pengajaran kepada hari yang akan datang.

Dua ahli Malaysian Battalion (MaBatt) yang menjaga sempadan selatan Lubnan-Israel dalam misi bersama United Nations, Encik Sulaiman dan Encik Pasli, singgah di kedutaan, dan bukan sahaja menghidang 1001 pengalaman, juadah nasi himpit dan serunding, tapi turut menghulur duit belanja 'tanda ingatan'. Encik Sulaiman merupakan lepasan Maahad Muhammadi Lelaki, Kelantan, sementara Encik Pasli alumni di SAMT Batu 38, Sabak Bernam, sebelum kedua-duanya menyertai tentera. Takdirnya, mereka antara yang tiang kehidupan beragama di dalam batalion mereka.

Kakak cleaner daripada Sri Lanka, yang mampu berbahasa Inggeris dan Arab dengan lancar setelah dua tahun bekerja di Lubnan, menjadi tempat bersembang petang.

Encik Azman, second-in-charge di kedutaan, yang baru dua bulan bertugas di sana, sentiasa bertanya khabar, malah menghulurkan stok mee segera, sardin, biskut dan lain-lain agar kami tidak perlu berpuasa setiap hari.

Cik Rosnah, Encik Mohd Noor, Encik Muhammad bodyguard kedutaan, Cik Manal di kaunter, Encik Usman ‘handyman’ yang tidak putus menyuntik semangat ‘Allah Karim’ ke dalam diri kami; kesemua mereka sekurang-kurangnya bertanya khabar dan menjalankan tugas cuba membantu kami.

Yang saya tidak berkesempatan bertentang mata walaupun sekali ialah TYT Duta sendiri (dua orang kawan saya sempat terserempak dengan beliau sekali). Saya jangkakan beliau teramat sibuk dan tak sempat untuk menjeling nasib kami bertiga. Sukacita, pada hari terakhir, pegawai beliau sempat menyampaikan pesan bahawa beliau teramat mengambil berat apa yang berlaku terhadap kami, sebelum memaklumkan bahawa beliau tidak lagi membenarkan kami tinggal di kedutaan kerana mempunyai security-risk yang tinggi.


Spesies Arab Tidak Boleh Digantung Harap

6/10/2011

11.00am :

Setelah 6 hari kami dibawa ke Kedutaan Syria di Beirut untuk mengambil visa masuk ke Syria. Menjangkakan ditemani pegawai kedutaan Malaysia tetapi hampa. Rupanya penantian 6 hari itu menanti pemandu kedutaan cukup lapang untuk membawa kami. Kedutaan Syria memaklumkan bahawa rakyat Malaysia tidak memerlukan visa untuk masuk ke Syria. Sekali lagi kami menjadi mangsa kedunguan sistem.

Menghubungi Kedutaan Malaysia di Syria, yang ternyata lebih bersungguh-sungguh untuk membantu. Alhamdulillah, Encik Hussin, pegawai kedutaan di Syria mempunyai urusan di Beirut keesokannya, dan kami dibenarkan menumpang beliau pulang.


Diagnosis Tempoh Hayat

7/10/2010

4.30pm :

Perjalanan ke sempadan Syria petang itu umpama perjalanan pesakit barah ke hospital untuk mengetahui berapa hari lagi berbaki untuk hidup. Jalan yang sesak menyebabkan kami sampai 4 jam lebih lewat daripada jangkaan.

9.00pm :

Tiba di sempadan Syria. Pemandu kedutaan mengambil semua pasport dan masuk ke pejabat imigresen. Agak lama menunggu, beliau keluar dan memaklumkan bahawa bos imigresen ingin berjumpa kami bertiga.

Ternyata diagnosis jangka hayat kami benar. Kami hanya diberi masa dua minggu untuk hidup. Menghidupkan hati dan akal dalam barakah bumi Syam, sebelum diarahkan keluar melalui lapangan terbang.

Sungguh saya tidak pernah menemui kelompok yang lebih benci kepada penuntut ilmu syariah berbanding makhluk-makhluk ini. Mujur segala maki-hamun, qunut nazilah dan sumpah seranah tenggelam dalam teguran Allah melalui mulut imam solat Jumaat esoknya :

Dan (ingatlah), ketika orang-orang kafir (Quraisy) memikirkan daya upaya terhadapmu untuk menangkap dan memenjarakanmu atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka memikirkan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya itu. Dan Allah sebaik-baik Pembalas tipu daya (Al-Anfaal : 30)

Ternyata, 144 jam, 2150 Lera Syria dan 113 000 Lera Lubnan kemudian, Allah memberikan kami pinjaman 2 minggu sahaja lagi untuk berada di Syam, kalau segala bentuk rundingan yang akan dibuat dalam tempoh tersebut gagal.

Musafir, membawa kita mengenali sahabat di waktu susah dan senang, dan mengenali diri sendiri samada menyusah atau menyenangkan orang lain.

Ujian, datang untuk menilai tahap kesabaran dan kesungguhan meletakkan keyakinan pada Allah.

Bumi, boleh dibatasi oleh garisan sempadan dan peraturan manusia yang berlaku bongkak dan merasai dirinya tuan, tetapi hakikatnya, bukan sahaja kawasan di antara dua garis sempadan dipanggil no man’s land.

Kerana sesungguhnya, seluruh bumi, adalah bumi Allah, Allah’s Land, dan kita hanyalah penumpang sementara.

Jazakallahu Khair, kepada semua yang mendoakan.

Sunday, October 2, 2011

Ashabul Hudud Part 1

Jami' Rafiq Hariri, Beirut.

30/9/2011

8.48am :
Tiga orang pelajar meninggalkan perhentian bas Syumairiyah menuju ke Lubnan. Seorang untuk mengeluarkan wang (sejak sekatan ekonomi US ke atas Syria, ATM di Syria tidak lagi boleh digunakan), sementara dua orang ingin memperbaharui visa. [500LS tambang, 500LS cop keluar].

11.55am :
Tiba di Perhentian Bas Beirut, menaiki teksi eksklusif ke Bank Audi, di sana dan kemudian menunaikan Solat Jumaat di Jami' Rafik Hariri, sebelum menziarahi makamnya. Ditipu tambang oleh pemandu teksi [40 000LL tambang]. Ziarah tugu dan berjalan ke pelabuhan sebelum ke perhentian bas semula untuk pulang ke Syam.

3.00pm :
Teksi bertolak ke Syria semula. [600LS tambang].

Sistem Korup, Iman Bankrup

5.30pm :
Tiba di Hudud Al-Jadidah (Border Syria), pegawai tentera di hudud enggan membenarkan kami masuk dan ingin menahan kami di tahanan. Dia mengatakan bahawa sebab kami tidak dibenarkan masuk banyak, tapi tidak satu sebab pun dapat diberi. Pemandu teksi datang bercakap kepada pegawai tanpa hasil. Kami ditinggalkan di hudud oleh pemandu teksi. Kami diiringi keluar oleh pegawai dan diarah untuk ke Lubnan semula.

Ashabul Hudud, Menjadi Penanti di No Man's Land

6.00pm :
menghubungi pihak PPMS dan Kedutaan Malaysia di Syria, tidak ada pilihan melainkan kembali ke Lubnan. Bertolak ke Hudud Masna' (Border Lubnan) untuk ke Beirut dan berbincang dengan Kedutaan Malaysia di sana. [50LS tambang]. Pegawai di Hudud Masna' enggan memberikan cop masuk untuk kali kedua ke Lubnan pada hari yang sama, lalu kami diarahkan ke Hudud Jadidah semula untuk memohon sekali lagi masuk ke Syria. Sempat menghubungi Encik Mohd Noor, pegawai kedutaan di Beirut [5000LL untuk 4 minit setengah] sebelum sai'e antara Masna' dan Jadidah untuk kali keempat [tambang 50LS].


7.00pm :
Tiba di Hudud Jadidah, mengisi perut di sana [6500LL Shish Took]. Dinasihatkan oleh semua pihak supaya tidak terus memohon cop untuk kali kedua, untuk mengelakkan daripada ditahan. Bergerak ke surau hudud, solat Isya' dan Maghrib. Suhu sekitar 16 darjah celcius, masing-masing terketar-ketar menahan sejuk. Bertawajjuh sehingga jam 9pm, Akmal tiba-tiba bangun mendirikan solat sunat dua rakaat, lalu mengambil semua pasport kami dan bergerak nekad seorang diri ke hudud. Hampir dua puluh minit kemudian, dia datang semula tanpa membuahkan hasil. Pegawai semua berjaya dijampi, cuma nama telah direkod ke dalam komputer dan komputer itu tak makan jampi.

Pejim celik pejam celik sehingga ke pagi, dan beberapa kali bermimpi sedang berprogram di Sabah semula.

Masjid Disempit, Saudara Islam Dihimpit

4.00am :
Dua orang sekuriti dari Syria Duty Free Complex berdekatan datang ke jami' dan mendapati kami yang sedang tidur. Kami dimarahi kerana menggunakan tempat solat sebagai tempat tidur, dan diarahkan keluar daripada jami'. Keadaan semakin tegang apabila salah seorang sekuriti terlihat buku yang saya jadikan bantal, What Every American Should Know About The Middle East. Semua yang berlabel Amerika tentu sekali jahat pada pandangan matanya, melainkan seluar dalam Crocs yang dipakai. Keadaan hanya menjadi tenang semula setelah Akmal menegaskan, 'La takhof, lasna terrorist'. Sekuriti tersenyum, kami memohon untuk mendirikan solat sunat tahajjud sebelum keluar daripada jami'.

31/9/2011

7.50am :
Kami bergerak semula ke Hudud Masna' (Lubnan) [50LS tambang], memohon untuk masuk ke Beirut untuk berbincang dengan pihak kedutaan di sana. Rupanya kami masih tidak dibenarkan masuk ke Beirut. Kami memohon budi bicara, lalu diminta menunggu pegawai Bahagian Aman datang daripada Beirut. Sempat bersarapan kopi dan teh [2500LL].

11.11am :
Berjaya mendapatkan visa transit selama seminggu, menaiki kereta sewa ke Ashtura [400LS] , makan tengahari di Mata'am Ikhlas [22000LL], lalu meneruskan perjalanan ke Beirut [1200LL].

Ahli Syam - Berakhlaq Mulia Di Mana Saja

2.30pm :
Tiba di Beirut, terus ke Kedutaan Besar Malaysia di Beirut, dicas 20 dolar oleh pemandu, dimaki oleh Akmal [7000LL tambang]. Tiba di kedutaan tetapi tutup kerana hari cuti, menghubungi pegawai kedutaan Encik Mohd Noor. Meminjam telefon pekerja kedai makan setelah lama berpusing meminta belas. Beliau berasal dari Suwaida', Syria. Menunggu pekerja kedutaan datang membuka pintu sejam kemudian, tinggal di sana sehinggalah malam.

Kalaulah Umat Islam Bersatu

9.00pm :
Diberi tazkirah oleh pekerja tersebut, seorang Afrika yang bernama Usman. Beliau bercakap soal kesatuan umat atas dasar berpegang kepada kalimah tauhid, Lailahaillallah Muhammadurrasulullah. Bercakap soal perpecahan, soal Hizbullah, soal Syiah dan kemenangan kuffar ke atas perpecahan tersebut. Perkongsian menarik beliau selama dua jam berakhir dengan memakan roti cicah kari yang dimasak oleh askar UN di border Lubnan-Palestin.

Bersambung..

Ramai orang mungkin pernah bertanya kepada dirinya, apa ukuran iman, lalu tidak pernah mendapatkan jawapan. Bagi kami penuntut ilmu di Syam, diberi peluang belajar di bumi terpilih tersebut, yang dikhususkan untuk orang terpilih, adalah salah satu ukuran iman. Semoga Syam menerima kami semula. Semoga kami tergolong di kalangan orang-orang beriman.

Alfatihah.





Tak Kenal Tak Cinta

Penulis adalah insan yang cintakan seisi dunia dalam perjalanan menuju akhirat. Cinta kepada isi dunia, membawa diri cinta untuk memberi.

Diberi ruang memberi sejak di bangku Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) Subang Jaya, Exco Kerohanian dan Sahsiah MPP Universiti Malaysia Sabah, Timbalan Presiden Persatuan Siswazah Sabah dan kini mencari ruang memberi dengan berkongsi mengasaskan Rabithah Tullab Ad-Dawli.

Pemegang ijazah Sains Marin daripada Universiti Malaysia Sabah dan meneruskan pengajian di dalam bidang syariah dan Bahasa Arab di Maahad Dawli, Dimashq.

Rabithah Tullab Ad-Dawli

Rabithah Tullab Ad-Dawli memerlukan sumbangan berterusan untuk menjalankan agenda kebajikan.

Salurkan sumbangan anda ke akaun sementara:

Maybank : 162263440765
(Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Pengurus Rabithah)

Persatuan Siswazah Sabah

Persatuan Siswazah Sabah
Misi Menyelamatkan Aqidah Anak Sabah

Mereka Juga Membaca :

Sebarkan Pahala Itu :

There was an error in this gadget

Kunjungan VIP:

Ilmuwan