:: Setiap Pemberian, Bernilai Di Sisi Tuhan ::

Tetamu Kehormat :

Friday, March 25, 2011

Blossoming Thoughts..




In years long past, the memories so vast,
I remember not when spring came along,
Because i was but a little boy then and only to my world did i belong.
But now as flowers start peeping through,
And rainbow colours become one hue,
Creepy crawlies emerge in dozens,
And the sun starts smiling from the heavens,
I'm glad i'm here with them to live,
To breath and learn to take and give,
and may that be so, for how long i don't know,
Hopefully for as long as need be, to reach the degree,
As loyal and beloved servant of He.

Thank You Allah.

22 March 2011,
Umawiyyeen Sq.,
On a bus and a boring journey back from school.

Sunday, March 20, 2011

Anak Indonesia Itu (2)

Hogwarts School of Witchcraft and Wizardry
Adik-beradik saya seramai lapan orang memungkinkan ibubapa kami bereksperimen dengan segenap sekolah yang ada di Malaysia. Kami pernah berada di SAMTEN, SAMBEST, KISAS, SMAP Kajang, Maahad Muhammadi Lelaki dan Perempuan, Maahad Darul Anuar, KOSPINT dan SMK Jalan Dua Bandar Baru Bangi. Rezeki saya berkenalan dan berprogram bersama produk sekolah-sekolah tersebut juga membawa kepada suatu konklusi hambar, yakni sistem pendidikan yang ditawarkan kepada anak bangsa masih di tahap agak longkang. Kalaupun mahu menilai secara jujur, saya meletakkan KISAS di tangga teratas dan beberapa sekolah lain searas di tangga berikutnya. Jika diberi pilihan untuk belajar semula di peringkat menengah, saya pasti akan memilih untuk belajar bersama Harry Potter di Hogwarts School of Witchcraft and Wizardy. Mustahil mungkin, tapi elemen-elemen ‘sekolah cemerlang’ yang diterapkan di sana alhamdulillah, sedang dirasai oleh seorang Anak Indonesia.

Bermula penggal dengan doktrinisasi menuju kejayaan dan penegasan matlamat oleh Pengetua Albus Dumbledore, kehadiran tenaga pengajar seperti Minerva McGonagall dan Rubeus Hagrid yang memainkan peranan keibubapaan yang sempurna dengan memantau, memperbetulkan serta tinggal bersama pelajar, malah mengajar dengan ikhlas dan bersungguh tanpa gaji, kecintaan luarbiasa pelajar kepada institusi pendidikan yang diduduki, sistem merit yang memberi ganjaran dan menghukum kesalahan kepada seluruh 'keluarga pelajar' selain hukuman detention individu untuk kesalahan lebih berat, sistem empat 'keluarga pelajar' atau 'four houses' yang menggalakkan pelajar bersaing, musim peperiksaan yang di'pesta'kan, sehinggalah kepada watak tarhib yang dimainkan oleh Severus Snape, segalanya ada di sebuah institusi yang sedang didiami oleh seorang Anak Indonesia bernama Ahmad Mubtasim Al-Lutfi Kamaruzaman. Segalanya, malah lebih dari itu.

Pondok Moden Gontor Darussalam
Pondok ini didirikan di Gontor, Ponorogo, Jawa Timur sejak tahun 1926 oleh tiga beradik yang disebut sebagai Trimurti, iaitu putra Kiai Santoso Anom Besari. Tiga bersaudara ini adalah KH Ahmad Sahal, KH Zainudin Fananie, dan KH Imam Imam Zarkasy. Mempertahankan intipati pendidikan salaf pesantren, lalu diadun dengan sistem pengajaran klasik sekolah biasa, pondok ini menawarkan pendidikan yang hampir sempurna. Bermula dengan kelas Tarbiyatul Atfhfal (taraf tadika), kemudiannya Kulliyatul Mu'alimin Al-Islamiah (KMI) yang setara dengan lulusan sekolah menengah, Pondok Moden Gontor melangkah gagah dengan mendirikan pula Institusi Studi Islam Darussalam (ISID) setaraf universiti pada tahun 1964. Dikelola oleh sebuah badan wakaf, Pondok Moden Gontor kini mempunyai 13 cawangan di seluruh Indonesia dengan jumlah pelajar hampir mencapai 15 ooo orang.

Kehadiran pelajar baru disambut oleh pelajar lama yang mengurus seluruh perjalanan akademik dan kehidupan pelajar di bawahnya, dan hari-hari awal pelajar ditegaskan dengan mantra sakti pondok, iaitu man jadda wajada - siapa yang berusaha pasti akan berjaya. Guru-guru yang kesemuanya adalah alumni Pondok Gontor tidak digaji, hanya diberikan elaun sara hidup dan kediaman di dalam kawasan kampung. Disiplin yang ketat untuk pelajar baru mengekalkan yang mahu, pelbagai displin ilmu diajar manakala minat pelajar daripada seni muzik dan teater, olahraga, kewartawanan hinggalah ke bidang persilatan diraikan dengan disediakan fasiliti dan pengajar yang cukup supaya pelajar dapat mengembangkan bakat masing-masing. Kekuatan penerapan bahasa Inggeris dan Arab ke dalam kehidupan seharian serta latihan kelompok berterusan membolehkan pelajar menguasai malah berpidato di dalam kedua-dua bahasa setelah berada sekitar 4 bulan di pondok. Untuk mengajar penuntut untuk mandiri tanpa perlu bekerja dengan kerajaan atau ber'tuan', pondok memiliki kedai buku, kedai runcit, ladang dan ternakan yang kesemuanya diurus oleh pelajar.

Tidak berminat menceritakan keseluruhan sistem pondok di sini, saya meninggalkan ibubapa dan pembaca yang berminat menjadi dan menjadikan orang untuk terus mencari, dengan meninggalkan beberapa panduan di bawah. Saya mengesyorkan sungguh-sungguh kepada ibubapa untuk menghantar anak-anak ke sini, dengan terlebih dahulu mewujudkan mahu ke dalam diri mereka. Mudah-mudahan selesai permusafiran di bumi Syam, saya juga akan berpeluang menjadi santri di Gontor. Amin Ya Rabb.

Pintu gerbang utama pondok. Tidak ada masalah disiplin walaupun
kawasan pondok tidak ditutup oleh sebarang pagar.

Masjid untuk solat fardhu Maghrib dan Isya, mampu memuatkan
4000 pelajar pada satu-satu masa.

Novel lengkap tentang sistem dan pendekatan di Gontor dalam bentuk penceritaan
oleh alumni pondok - novelis Ahmad Fuadi. Sukar diperolehi, tapi ingat mantra sakti.




Adinda Ahmad Mubtasim Al-Lutfi, santri Pondok Gontor

Bersyukur sempat bertamu dengan kumpulan pensyarah IKRAB UKM sebentar tadi berkongsi kisah dengan model kejayaan tarbiyyah aulad, Dr Taufiq Ramadhan, anak Syeikh Ramadhan Buti di rumahnya. Lebih bersyukur memiliki ibubapa yang bijak membaca kelebihan dan kekurangan anak-anak, lantas mengatur masa depan kami dengan cemerlang. Sempena Hari Ibu yang diraikan setiap hari, terima kasih Che dan Abi. Jom raikan mereka;

رَوَى أبو داود؛ قَالَ رَسُولُ الله صلّى الله عَلَيهِ وَسَلّم: مَنْ قَرَأَ القُرْآنَ وَعَمِلَ بِمَا فِيهِ..أُلْبِسَ وَالِدَاهُ تَاجًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ ضَوْءُهُ أَحْسَنُ مِنْ ضَوْءِ الشَّمْسُ فِيْ بُيُوْتِ الدُّنْيَا، فَمَا ظَنُّكُمْ بالّذِي عَمل بهذا؟

"Barangsiapa yang membaca Al-Quran, dan beramal dengannya, Allah akan memakaikan mahkota kepada ibubapanya pada Hari Qiamat, yang mana cahayanya lebih terang daripada cahaya matahari di dunia (au kama qol)".

Lagi maklumat di sini dan sini.

Friday, March 18, 2011

Anak Indonesia Itu (1)

“Thaqqil ghin, wa sakkin tamaman,” tegur Syeikh Abassam membetulkan bacaan Al-Fatihahku untuk entah kali ke berapa. Seorang budak berkulit sawo matang tiba-tiba merapati, dan tersenyum menyeringai. Cis. Budak ini cuba bertakabbur denganku, getus hati dengan refleks su’uszon hasil didikan syaitan. Sudah lama aku memerhatikan budak ini, dan mulanya ku sangkakan bahawa dia dari Malaysia, sehinggalah pada pagi itu dia bersuara;

“Kakek dari mana sih? Belum pernah saya lihat sebelum ini. ”


Oh, Indonesia rupanya. Pertemuan pagi itu rupanya antara sorotan pembuka mata hatiku untuk lebih bertungkus-lumus. Milhan Sayuti, 14 tahun, merupakan anak kelahiran Daerah Permatang Jernang, Sumatera Utara. Belajar secara talaqqi di Syam sejak beberapa bulan, dia melahirkan kekesalan dengan keadaan kampung asalnya.


“Kampung saya jauh di pedalaman, dua jam perjalanan dari pekan kecil yang terdekat. Di kampung saya ada musolla, tapi sudah lama azan tidak berkumandang dari situ. Saya mahu jadi syeikh dan ulama’, supaya saya dapat pulang menghidupkan semula Islam di Indonesia,” tegas beliau bersungguh-sungguh. Aku mengangguk perlahan tanpa mempersoal dan meremehkan; sudah lama aku belajar dari pengalaman bahawa bahana memandangsebelah mata pada orang lain, biarpun anak kecil, ibarat menunggu ludah sendiri jatuh ke muka.


Pendidikan Awal Anak

Meneliti beberapa bahan berhubung perkembangan awal kanak-kanak, saya belum mendapat jawapan syumul yang menepati pemerhatian saya terhadap punca kanak-kanak mampu membayang dan melahirkan diri mereka sebagai individu hebat semenjak kecil. Mungkin sekelumit bersusah-payah merubah kehidupan, samada dengan bekerja atau menuntut ilmu setelah gundah-gulana diajar erti kesusahan melalui pengalaman mematangkan mereka, tetapi bagaimana pula dengan majoriti anak-anak yang lapar disuapkan, mengantuk dibuaikan? Teori psikoanalitik Sigmund Freud yang harus diyakini, atau teori pembelajaran melalui suasana dan pembentukan kelompok, atau teori perkembangan kognitif Jean Piaget paling tepat?


Thorndike’s Laws of Learning

Sebahagian jawapan yang dicari ditemui melalui kajian Laws of Learning yang dicetuskan oleh Edward L.Thorndike pada awal 1900an dan seterusnya dikembangkan oleh ahli psikologi lain. Cuba-cuba menterjemah, dengan ulasan sendiri dalam konteks pendidikan anak, undang-undang atau prasyarat tersebut menyebutkan;


Kesediaan (Law of Readiness)

Pelajar/anak yang bersedia dari segi mental dan fizikal lebih mudah diajar berbanding pelajar yang sebaliknya. Kesediaan fizikal adalah infrastruktur dan suasana yang baik untuk pembelajaran. Kesediaan mental dibentuk dengan menerangkan matlamat hidup dan belajar sedari awal, memupuknya kemas-kemas ke dalam diri pelajar serta menjauhkan mereka daripada tekanan dan masalah sebelum sesi pembelajaran.


Terangkan matlamat hidup sebagai hamba dan khalifah kepada anak sejak kecil, dan tujukan segala bentuk pendidikan samada formal atau tidak, dunia atau akhirat, kearah matlamat tersebut.


Pengulangan dan Kekerapan (Law of Exercise & Law of Recency)

Latihan yang kerap, pengulangan dan penegasan terhadap aspek-aspek atau point penting dalam pembelajaran membolehkan pelajar lebih mudah mengingat dan menangkap maksud yang cuba disampaikan. Pelajar akan mengingati bahan yang paling baru berbanding pelajaran lama.


Mesej yang baik kepada anak, samada matlamat hidup, nasihat dan tegahan harus diulang secara kerap, dalam bentuk yang kreatif supaya anak tidak muak dan lali dengan apa yang disebut. Terapkan ke dalam bedtime story, filem yang ditonton bersama dan angkat watak-watak tertentu untuk dijadikan role model oleh anak.


Kesan dan Penglibatan (Law of Effect & Law of Intensity)

Pembelajaran sangat berkait dengan emosi. Rasa puas, dihargai dan gembira dalam pembelajaran menghasilkan natijah yang jauh lebih baik. Penggunaan alat bantu mengajar yang baik, samada visual atau audio, mampu membawa pelajar menghayati dan menyelami apa yang diajar dengan lebih baik.


Sentiasa hargai tingkah laku baik dan kejayaan anak-anak dengan hadiah atau pujian, pada masa sama menghukum untuk kesalahan yang dilakukan. Pendirian peribadi saya bahawa the carrot is always better than the stick. Elakkan daripada menggunakan hukuman berbentuk fizikal, dan santuni mereka sebagaimana mengikut tahap umur sebagaimana diajar Islam, samada sebagai bapa dan pelindung, sahabat dan pendengar setia atau orang dewasa.


Jebakkan anak-anak ke dalam nilai yang diajarkan. Ajarkan anak-anak membantu orang susah, bawa anak-anak ke program tarbiyyah dan gelumangkan mereka ke dalam perjuangan, justeru intipati apa yang disampaikan akan meresap ke dalam hati dan benak fikiran.


Yang Awal Akan Kekal (Law of Primacy)

Pelajaran yang dipelajari awal-awal biasanya melahirkan impresi yang kekal, justeru pengajar perlu memastikan ia sahih dan tepat. Menghafal sifir sejak awal dengan betul misalnya, melahirkan andaian bahawa matematik itu mudah walaupun telah sampai ke peringkat yang lebih tinggi.


Mesej dan penilaian yang diperolehi oleh anak di usia kecil akan kekal dan menjadi garis panduan kehidupan seterusnya. Penilaian awal kebanyakannya dipengaruhi oleh pemerhatian terhadap role model awal iaitu ibubapa, misalnya samada ibubapa mementingkan ibadah fardhu dan sunat, menonton jenis-jenis cerita tertentu dan sebagainya.


Benarlah apa yang disebutkan oleh pakar perkembangan kanak-kanak, John Locke (1632-1704) bahawa anak-anak ibarat tabula rasa – papan batu kosong yang menunggu dicorakkan oleh ibubapa. Dan maha benarlah apa yang disebutkan oleh Rasulullah S.A.W lebih seabad sebelumnya;


Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah yakni suci dan bersih. Kedua-dua orang tuanyalah yang menjadikan dia Yahudi, Nasrani atau Majusi (Hadis riwayat Bukhari)..

Hubungan keluarga yang sangat rapat antara anak-ibu dalam keluarga Dusun,
mungkin kerana mesej 'aku sayang kamu' sangat jelas semenjak kecil.
(Gambar ihsan Google)

Kemesraan ibu-anak yang sukar dilihat dalam masyarakat moden.
(Jelajah Dakwah Sabah MARSIS-PSS 2010)

Anak Arab petah bercakap sejak kecil, bila dibawa ke majlis ilmu
dan khutbah Jumaat sebaik boleh berjalan dibiasakan.

Sedih bila melihat kehidupan anak-anak yang tidak didesak oleh tarbiyyah sejak kecil. Sedih melihat guru-guru melabel anak murid sebagai 'sudah tidak ada harapan' dan 'kelompok budak nakal' tanpa mentarbiyyah dengan kaedah yang betul. Mahu mewujudkan generasi pemutus (the severing generation) yang menjadi titik tamat kehidupan ibubapa yang gagal agar tidak diwarisi oleh generasi seterusnya.

p/s:
Penulisan ini diselitkan dengan teori dan fakta membebankan agar kerja rumah pembacaan seterusnya dapat dilakukan oleh ibubapa/pendidik. Ilmu men
didik anak, atau parenting skills bukanlah anugerah yang dilahirkan bersama-sama dengan anak. 'Parenting skills are not part of the parcel of getting a child.'

Saturday, March 5, 2011

'Ayat-Ayat Cinta' - The Damascus Chronicles

Tuppp!!

Sebuah lagi 'peluru berpandu' menjunam dari langit. Hampir mengenai telingaku. Mataku langsung memandang ke atas, melilau-lilau mencari si pelaku. Kedudukan rumah kami di tingkat bawah memang selalu menjadi mangsa buangan sampah, air dan segala sisa dari penghuni apartmen atas. Tetapi warkah ini, bukan yang biasa. Warkah ini daripada 'seberang'. Aku membongkok, mengutip bungkusan tersebut dan meletakkannya ke atas meja, lalu meneruskan kerja membasuh sahah. Hendak dibiarkan, takut basah dan mengoyakkan rasa sang pelontar tanpa perlu. Hendak dibaca terus, jual mahal. Selesai kerja, bungkusan dibawa masuk ke dalam rumah dan dibuka. Kali ini kertas putih ditarik graviti dengan bantuan sepotong batoto.

Sudah! Warkahnya makin menjadi-jadi. Kalau sebelum ini hanya pinta untuk berkenalan, melepaskan rindu pada tanah air. Kali ini sudah pandai ber'sayang'. Acuh tak acuh, aku meletakkannya bersama himpunan warkah yang sebelumnya, dan terus memakai tuala untuk bersiap ke Maktabah Al-Asad. Ah, baju bersih lupa diangkat pula. Dengan tuala dan t-shirt, aku sekali lagi keluar ke belakang rumah, menerjah dingin pagi. Sedang sibuk meraba-raba memilih pakaian yang sudah kering, tiba-tiba hati menggamit untuk memandang ke atas. Persis seruan munsyid top Fares dalam lagu Albi Nadak;

Yah albi nadak wetmannak teb enta wayaya
Yah ba'd esneen shok wa khaneen alak eek hena ma'aya
Yah dommeni leek, danta habibi hayaty leek
We ha'eesh 'omri 'ashan 'ineek
Wa 'omri fadak.

Hatiku memanggil
Harapkan engkau sentiasa kekal
Hanya dirimu
Selepas bertahun lihatlah sayang
Kita berjumpa di sini dan bersama
Airmataku mengalir keranamu
Engkaulah kekasih, hidupku hanya untukmu
Seluruh hidupku, usiaku..
Kerna matamu, aku serahkan segalanya.

Nah! Seorang gadis Indonesia mengintai-ngintai daripada jendela rumah atas. Dia tersenyum sayu. Hatiku berdegup makin kencang, langsung menimbulkan seribu macam persoalan. Adakah dia butuhkan pertolongan? Mungkinkah tuannya tak memberi makan?Apakah dia kangen dan langsung tak punya teman? Adakah episod baru Ayat-Ayat Cinta akan terukir di Damascus kota tinggalan zaman???



Kisah ini adalah adaptasi daripada pengalaman sebenar penulis di Kota Dimasyq, disensasikan pada penulisan, tidak diubah pada kebenaran, sebagai mukaddimah dan pembuka selera kepada penulisan seterusnya bertajuk 'Anak Indonesia Itu'. :)

Tak Kenal Tak Cinta

Penulis adalah insan yang cintakan seisi dunia dalam perjalanan menuju akhirat. Cinta kepada isi dunia, membawa diri cinta untuk memberi.

Diberi ruang memberi sejak di bangku Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) Subang Jaya, Exco Kerohanian dan Sahsiah MPP Universiti Malaysia Sabah, Timbalan Presiden Persatuan Siswazah Sabah dan kini mencari ruang memberi dengan berkongsi mengasaskan Rabithah Tullab Ad-Dawli.

Pemegang ijazah Sains Marin daripada Universiti Malaysia Sabah dan meneruskan pengajian di dalam bidang syariah dan Bahasa Arab di Maahad Dawli, Dimashq.

Rabithah Tullab Ad-Dawli

Rabithah Tullab Ad-Dawli memerlukan sumbangan berterusan untuk menjalankan agenda kebajikan.

Salurkan sumbangan anda ke akaun sementara:

Maybank : 162263440765
(Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Pengurus Rabithah)

Persatuan Siswazah Sabah

Persatuan Siswazah Sabah
Misi Menyelamatkan Aqidah Anak Sabah

Mereka Juga Membaca :

Sebarkan Pahala Itu :

There was an error in this gadget

Kunjungan VIP:

Ilmuwan