:: Setiap Pemberian, Bernilai Di Sisi Tuhan ::

Tetamu Kehormat :

Thursday, July 15, 2010

KRU - 'DIA Dalam Cahaya'

Sudah bertahun-tahun DIA hidup sebegitu. Rumahnya tidak pernah mendapat elektrik. Mandi teraba-raba mencari sabun, masak menggunakan kayu api, tidur dalam kepanasan dan belajar menggunakan cahaya suram daripada lilin. Nasibnya tidak pernah diendahkan. Khabarnya jarang sekali ada yang bertanya. Bukan tidak ada yang peduli, tetapi DIA berat untuk berkongsi. DIA janggal menyusahkan orang lain. Ah, biarlah! DIA sudah serasi berkawan dengan malam. DIA sudah lali berbasah peluh di atas tilam. DIA sudah sebati bertemankan cahaya suram. DIA sudah biasa hidup dalam kelam...

Mujur nasibnya tidak kekal begitu. Mujur ramai yang terketuk hati. Mujur ramai yang masih sudi menghulur simpati. Mujur ramai yang masih mengerti. Malam itu, 13 Julai 2010, rumahnya disimbahi kerahan ukhuwwah sahabat-sahabat yang mahu terus memberi...

Set generator yang dihadiahkan kepada DIA,
hasil sumbangan penggerak-penggerak kempen Sinar 4 Sahabat

Terima kasih, KRU di pelosok negeri. Ponsikou, penyumbang-penyumbang kempen Sinar 4 Sahabat. Magsukul, hamba-hamba Allah yang masih sudi berkongsi. Syukran, insan-insan yang sanggup berbudi. Kalian pembukti, ukhuwwah Islam tempatnya di hati!

DIA, kau mendukung amanah kami membebaskan keluargamu dari belenggu itu! Mudah-mudahan kau istiqamah.

Tangki Air yang dihadiahkan kepada Surau Al-Aqsa, Kampung Kobuni Inanam
hasil titik-peluh KRU Tuaran & KRU Penampang dalam kempen 'Jom Remaja' Mei lepas.

Masih ada dua ahli KRU yang dikesan memerlukan bantuan generator. PSS menunggu maklumat dari kawasan-kawasan untuk menyalurkan bantuan kepada ahli yang memerlukan, dan meneguhkan tekad memelihara kebajikan penggerak-penggerak persatuan.


Sebutir Pasir

Aku bermula sebutir pasir
Terdampar di pantai kehidupan
Ditiup angin berterbangan
Dihembus ke kiri ke kiri
Dihembus ke kanan ku ke kanan

Tika ini
Hidupku tidak pernah sepi dari noda dan dosa
Tidak pernah sepi dari leka dan alpa
Lemas dalam jurang-jurang durjana
Tersasar jauh dari hakikat hamba

Suatu hari
Aku disapa Sang Pengembara
Aku diangkut ke medan mulia
Dibelai dakwah
Diusap tarbiyyah

Diriku diadun dengan airmata takwa
Disebati dengan tanah dan lumpur perjuangan pusaka

Lalu aku semakin teguh
Ditiang oleh aqidah
Disimen oleh ukhuwwah
Diteduh oleh atap mahabbah
Disusun dan diatur menjadi bangunan teguh yang tak bisa roboh
Tegak dan kukuh

Masa terus berlalu
Bangunan kian usang disalut debu
Di tapak kukuh mula tampak retak dan rekah
Debu putus asa dan marah
Retak oleh tarbiyyah ruhiyyah
Rekah oleh lemahnya thaqafah

Duhai pasir
Kau kini bukan lagi sebutir
Kau tidak boleh mengalah
Disisimu akan ada teman-teman yang sama melangkah
Yang sama bercita menuju mardhatillah

Duhai pasir
Jika kau hendakkan istiqamah
Jangan kau turuti nafsu serakah
Jika kau mahu kekal di jalan ini
Jangan kau cari cinta duniawi
Jika kau dambakan damai abadi
Jangan kau bergantung pada kasih insani

Carilah Ilahi

(nurilhakim, 5 September 2008)


Tahniah, Kelab Remaja Ukhuwwah. Perjuangan baru bermula. Teruskan melangkah..

Wednesday, July 14, 2010

Mahar Haji Nahar

Persatuan Siswazah Sabah dan Allahyarham Ustaz Nahar mempunyai sejarah yang panjang. Beliau merupakan penceramah kegemaran untuk pengisian berunsur tasawwuf. Malah, beliau pernah menawarkan untuk mengadakan kelas tasawwuf mingguan untuk ahli PSS, tetapi tidak kesampaian. Sejak awal bulan dua sehingga kini, PSS juga menyewa sebuah lot rumah untuk dijadikan pusat tuisyen dan pengajian Al-Quran Akademi Muhammad Al-Fateh (MUFAT) di bawah kendalian persatuan. Kali terakhir PSS berkongsi pandangan dan perancangan pembangunan remaja dan masyarakat Sabah adalah pada 10 Julai 2010, bersamaan hari Sabtu, sebelum beliau meninggalkan dunia fana ini dua hari kemudian. Perkongsian suka-duka bersama allahyarham boleh dilayari di hujung penulisan, sementara artikel ini mempunyai tujuan lebih khusus untuk menggugah semangat dan jiwa ahli PSS-KRU dan pembaca untuk membayar mahar pemergian beliau;

1. Mati itu sesuatu yang pasti, justeru setiap Muslim wajib 'merancang kematian'. Pastikan pemergian kita dalam keadaan sentiasa bersedia untuk meninggalkan keluarga berhadapan dengan ketiadaan kita, baik daripada segi emosi malah ekonomi. Malah Islam mengajar kita menyegerakan menulis wasiat dan mencatatkan segala rekod hutang-piutang, mudah-mudahan tiada amal yang tergantung dengan punca hutang yang tidak terbayar. Tarbiyyah Ustaz Nahar kepada keluarganya jelas digambarkan oleh kesabaran dan tenangnya isteri dan anak-anak beliau berhadapan dengan pemergiannya.

Sebahagian ahli keluarga dan kenalan yang mendoakan kesejahteraan allahyarham.

2. Kepulangan Ustaz Nahar menghadap Allah diiringi ribuan manusia sepanjang dua hari urusan pengebumiannya, membuatkan kita berfikir, bagaimana kematian kita kelak akan diterima? Barangkali orang gembira dengan kematian kita oleh kerana rosaknya akhlaq dan pekerti yang dimiliki, atau langsung tidak ada yang sudi menjenguk kita tatkala nazak. Na'uzubillah. Bagaimana pula kematian kita disambut oleh Munkar Nakir, dan kemudiannya Ridhwan dan Malik?

3. Antara yang merunsingkan penulis ialah apabila meneliti bahawa sebahagian besar hadirin yang bersama ketika majlis tahlil dan doa selamat tidak dapat membaca Al-Quran, lantas tidak dapat bersama mendoakan allahyarham. Tugas mengajarkan Al-Quran kepada umat adalah tugas asasi paling mudah yang perlu digalas oleh setiap ahli persatuan di setiap tempat dengan sedaya yang mampu. Malah, pelajar didedahkan dengan konsep berdoa dan bermunajat menurut Islam.

Anak sulung Ustaz Nahar, Nasyraf, pelajar tingkatan lama
di Sekolah Menengah Agama Inanam.
Beliau merangkul johan MTQ hafazan Al-Quran peringkat kebangsaan di Terengganu tahun ini.

4. Anak-anak perlu sentiasa bersedia menerima pemergian orang tua dengan istiqamah melaksanakan amal soleh dan meninggalkan maksiat. Jangan sampai dosa yang dilakukan anak-anak mengheret ibubapa ke neraka. Lebih dari itu, anak-anak perlulah diasuh dengan keupayaan mengurus jenazah agar mereka mampu mengurus ibubapa apabila mereka meninggal.

5. Paling penting, ruang kosong yang ditinggalkan oleh Ustaz Nahar bukan pinta diratapi berterusan tetapi hendaklah diisi dengan usaha bersungguh-sungguh khususnya oleh anak Sabah, untuk menjadi ulama' muda yang haraki dan pendokong agama kelas pertama.

Maka jika tuntutan-tuntutan ini dipenuhi, terbayarlah mahar Haji Nahar dan tidak sia-sialah usaha dakwah bilhal dan dakwah turun padang berterusan yang didokong beliau. Semoga Allah menempatkan allahyarham bersama orang-orang yang soleh, Amin Ya Rabbal 'Alamin.

Suka-duka bersama Ustaz Nahar di laman -

1. abunuha.wordpress.com
2. abuawatif.wordpress.com
3. mujahideen-islam.blogspot.com

4. kamarudintoyoas-sabahi.blogspot.com
5. hjnahar.blogspot.com

Friday, July 9, 2010

Piala Dunia Songsang


Setiap kali menyampaikan usrah, tazkirah atau mengisi mana-mana ruang dalam program seminggu dua ini saya akan memulakan dengan lagak serius..

'Kita hidup pada hari ini dalam dunia yang sangat songsang. Perkara-perkara yang berlaku di sekeliling kita tidak lagi mengikut fitrah kejadian yang sebenar. Yang kecik tidak lagi di bawah dan yang kuat tidak semestinya di atas. Malah, baru-baru ini kita digemparkan dengan dua peristiwa yang sangat menghairankan dan memeranjatkan seluruh umat manusia. Peristiwa tersebut ialah....' saya menghela nafas panjang bagi menimbulkan suasana dramatik, 'kekalahan 'Brazil kepada Belanda 2-1 dan kekalahan Argentina 4-0 kepada Jerman'. Ketawa audiens berderai. Kemudian saya menyambung, 'Mujur sahaja ego Jerman dapat ditundukkan oleh Sepanyol yang pasti akan menjadi juara Piala Dunia pada tahun ini.' Deklarasi yang tidak di'syura'kan bahawa Persatuan Siswazah Sabah menyokong pasukan Sepanyol di pusingan akhir.

Tujuan saya bukan itu. Perkongsian saya sebenarnya dipimpin ke arah keajaiban yang lebih besar yang berlaku pada bulan Rejab, bulan Piala Dunia ini iaitu peristiwa Isra' dan Mi'raj. Saya biasanya hanya menyebut sekilas peristiwa-peristiwa yang berlaku, daripada Rasulullah S.A.W dibawa ke Masjidil Haram, dibedah dan dibersihkan hatinya, sampailah baginda ke Masjidil Aqsa mengimamkan sekalian anbiya' dan mursalin di sana seterusnya diangkat ke Sidratul Muntaha bertemu dengan Allah dan diamanahkan dengan ibadah solat.

I'brah haraki yang terkandung dalam peristiwa Isra' Mi'raj meruntun penggerak-penggerak dakwah menilai intipati tersirat di sebalik peristiwa tersebut:

1. Pensyariatan solat secara terus oleh Allah kepada Nabi Muhammad menggambarkan betapa besar ibadah tersebut sebagai amalan tunjang yang menjadi kayu ukur keimanan dan benteng kekuatan umat Islam. Justeru sebagai da'ie solat tidak boleh dilengahkan dan pemahaman terhadap solat haruslah dipupuk dengan bersungguh-sungguh agar mesej besar di sebalik solat dapat disampaikan kepada madhu'u.

2. Tujuan Isra' Mi'raj antaranya ialah mengubat hati Rasulullah S.A.W yang berdukacita selepas kewafatan isterinya Khadijah Khuwailid dan bapa saudaranya Abu Talib, dua orang yang paling gigih mendukung perjuangan baginda, selain kegagalan usaha dakwah yang dibawa ke Taif. Ia meyakinkan kita bahawa setiap kesusahan dan kerumitan yang dilanda oleh penggerak dakwah, pasti akan dituruti dengan kesenangan dan kegembiraan. Persoalannya bila? Tentu sekali apabila kita sudah cukup berusaha. Malangnya kita pada hari ini, belum pun berhadapan kematian orang-orang tersayang secara berturutan, belum pun berdarah-darah dilontar batu oleh penentang, sudah mengeluh dan mengadu susah berjuang.

3. Rasulullah tetap menyampaikan kebenaran peristiwa yang dialaminya walaupun baginda tahu bahawa mustahil untuk kafir Quraisy menerima berita tersebut dengan rasional akal. Hari ini pendokong dakwah merasa goyah dan takut-takut dengan apa yang mahu disampaikan. Susah bercakap meyakinkan orang dengan hukum hudud yang kalau mengikut logik akal sukar diterima, susah menasihatkan orang terdekat dan ahli keluarga yang jelas melakukan maksiat membuka aurat dan tidak bersolat, berkira-kira untuk mempamerkan akhlaq yang baik kerana takut dituduh 'temberang' dan sebagainya.

Kita optimis sebagaimana tumpasnya pasukan gergasi Brazil dan Argentina oleh pasukan 'underdog', gergasi nifaq, syirik dan batil turut akan rebah mengikut putaran alam, selagi mana usaha-usaha 'underdog' duta-duta kecil Islam daripada kalangan ahli KRU dan PSS khususnya, tidak mengenal erti jemu dan putus asa.

Selamat berjaya Sepanyol.

Tak Kenal Tak Cinta

Penulis adalah insan yang cintakan seisi dunia dalam perjalanan menuju akhirat. Cinta kepada isi dunia, membawa diri cinta untuk memberi.

Diberi ruang memberi sejak di bangku Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) Subang Jaya, Exco Kerohanian dan Sahsiah MPP Universiti Malaysia Sabah, Timbalan Presiden Persatuan Siswazah Sabah dan kini mencari ruang memberi dengan berkongsi mengasaskan Rabithah Tullab Ad-Dawli.

Pemegang ijazah Sains Marin daripada Universiti Malaysia Sabah dan meneruskan pengajian di dalam bidang syariah dan Bahasa Arab di Maahad Dawli, Dimashq.

Rabithah Tullab Ad-Dawli

Rabithah Tullab Ad-Dawli memerlukan sumbangan berterusan untuk menjalankan agenda kebajikan.

Salurkan sumbangan anda ke akaun sementara:

Maybank : 162263440765
(Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Pengurus Rabithah)

Persatuan Siswazah Sabah

Persatuan Siswazah Sabah
Misi Menyelamatkan Aqidah Anak Sabah

Mereka Juga Membaca :

Sebarkan Pahala Itu :

There was an error in this gadget

Kunjungan VIP:

Ilmuwan