:: Setiap Pemberian, Bernilai Di Sisi Tuhan ::

Tetamu Kehormat :

Friday, July 31, 2009

Harapan Ramadhan - Raihan

'Rumah' Raihan. 4 keping papan lapis yang menutupi satu ruang tidur-makan-masak-berehat.

Hanya bermain yang Fendi pandai. Bagaimanakah nasibnya 3,4 tahun akan datang?

Melangkah keluar daripada Masjid Negeri dengan tersenyum. "Ini kali pertama saya memasuki masjid dan menunaikan solat sejak tahun 2003 saya memeluk Islam."


Petang itu kami sekali lagi ke rumah Saudara Raihan di Kampung Log Poring, Sepanggar. Pertemuan kali pertama bertujuan membawa sedikit sumbangan sambil bertanya khabar, mendambakan kunjungan kali kedua. Saudara Raihan perlukan bantuan untuk mengurus surat beranak anaknya. Sebelum ini dia hanya tunduk pada cakap-cakap orang bahawa untuk mengurus surat beranak anak-anak begitu susah. Tetapi setelah isterinya meninggal dunia bulan Mei yang lepas, dia nekad untuk memastikan masa depan anak-anaknya, Fendi, 4 tahun dan Ariana, 2 tahun, cerah.


Zam-zam Cola Merah menuju ke Wisma MUIS. Kami telah mengatur temujanji dengan Ustaz Ridhuan, Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan JHEAINS untuk bertanyakan prosedur paling mudah mengurus kesulitan Raihan. Nyata sekali prosedur tidak semudah yang disangka. 'Kawan' yang membantu mengurus perkahwinan Raihan pada tahun 2004 yang lepas tidak dapat dikesan. Perkahwinan yang tidak dihadiri oleh wali daripada pihak perempuan diragui. Kami bertemu Ustaz Ridhuan semula. Dia menggeleng kepala. Kami diminta membuat surat akuan sumpah butiran perkahwinan. Kaki menapak ke Pejabat Pesuruhjaya Sumpah di tingkat bawah MUIS, bertemu Haji Adenan, yang bertugas di pejabat tersebut. Bertubi-tubi dia menyoal Raihan. Kamu kahwin ke, akad nikah ke ijab kabul? Raihan yang memeluk Islam pada tahun 2003 dan langsung tidak pernah diajar tentang Islam terbeliak biji mata. Dan terus membela diri. Lalu disanggah oleh Haji Adenan. Kamu belum berkahwin, dakwanya. Kami yang cuba membela dilontarkan dengan ancaman daripada Al-Quran. 'Wailullil mukazzibin', sebut Haji Adenan. 'Celaka besarlah bagi mereka yang berdusta'. Aduh. Akhirnya Haji Adenan meminta supaya kami ke JPN membuat pengakuan bahawa Fendi dan Ariana adalah anak sah Raihan, tetapi bukan melalui perkahwinan yang sah. Kami meminta diri.

Raihan bingung. Kejujurannya dipertikaikan. Kami memujuk dan mengajaknya ke kedai buku berhampiran. Katanya, dia bersungguh-sungguh mahu belajar menunaikan solat tetapi tiada yang dapat mengajar. Kami membelikannya beberapa bahan bacaan ringan dan berjanji membantu sedaya mungkin. Dia mengangguk.

Dia bimbangkan nasib anak-anaknya dalam keadaan dia tidak berwang. Dia bimbangkan anak-anaknya yang sentiasa diminta untuk dibela oleh saudara-saudaranya yang bukan Islam. Malah dia pernah ditawarkan RM2000 untuk Ariana. Dia bimbangkan keadaan rumahnya yang bergoyang kuat apabila ditiup ribut, dan risaukan abangnya yang juga beragama Islam, tetapi hidup bersama seorang lagi abangnya yang bukan beragama Islam, dan bimbangkan keadaan mereka yang membiarkan anjing keluar masuk rumah. Dia bimbangkan masa depan anak-anaknya jika dia hilang hak penjagaan. Dia lebih bimbang lagi jika aqidah anak-anaknya terancam.


Akhir sekali kami mempelawa Raihan makan di sebuah restoran. Dia enggan memesan makanan. Ujarnya, ini kali pertama dia menemui orang Islam sebaik ini sejak dia mula memeluk agama Islam. Orang Islam yang prihatin akan nasibnya dan bersungguh-sungguh cuba membantunya. Kami meyakinkan dia bahawa masih ramai umat Islam di luar sana yang ingin membantu beliau tetapi tidak mendapat maklumat. Kami meyakinkan dia bahawa jika mengetahui apa yang berlaku terhadap dirinya dan anak-anaknya, pasti ramai yang akan membantu. Dia yakin dengan kata-kata kami. Dia yakin dengan anda. Dia yakin bahawa anda akan membantu menunaikan sebuah harapan menjelang Ramadhan. Harapan Ramadhan Raihan.

Raihan

Harapan Ramadhan

Ku mengharapkan Ramadhan
Kali ini penuh makna
Agar dapat kulalui
Dengan sempurna

Selangkah demi selangkah
Setahun sudah pun berlalu
Masa yang pantas berlalu
Hingga tak terasa ku berada
Di bulan Ramadhan semula

Puasa satu amalan
Sebagaimana yang diperintahNya
Moga dapat ku lenturkan
Nafsu yang selalu membelenggu diri
Tiada henti-henti

Tak ingin ku biarkan Ramadhan berlalu saja
Tuhan pimpinlah daku yang lemah
Mengharungi segalanya dengan sabar
Kita memohon pada Tuhan diberikan kekuatan
Ku merayu pada Tuhan diterima amalan

Selangkah demi selangkah...
Dengan rahmatMu oh Tuhanku...
Ku tempuh jua

Thursday, July 30, 2009

Diari Seminggu PSS

Ziarah Azhan-Akhwan ke Kg. Luanti, Ranau ( 23-24 Julai 2009 )

Akhwan dan Azhan bersama Abg Iddin, Pengerusi JKKK Kg. Luanti

Antara aktiviti menggamit perhatian, Santai-Santai Roti Canai Akhwan dan isteri (lagi)

Azhan menghiburkan penduduk dengan nyanyian live. Paling kiri ialah Ketua Kampung, yang dipanggil Ibu.

Makan Malam Yayasan Amal (24 Julai 2009)

Nazrey Raihan menyumbang satu meja pada malam itu. Hasil kutipan pada malam itu akan digunakan untuk membeli 'water gravity pump' untuk dipasang di beberapa kampung di Keningau.

Qiamullail Bulanan KRU Kota Kinabalu (24-25 Julai 2009)


Antara peserta muslimin yang hadir. Qiamullail pada kali ini memecah tembok usia-sentimen Sabahan yang wujud di Masjid Jamek, Kg Likas sebelumnya.

Peserta muslimat dan sebahagian penduduk mendengar intipati forum yang disampaikan oleh Ustaz Nahar Matamin, Ustaz Bungsu Aziz dan dikelola oleh Saudara Renifezri Mohamed.

Azhan Atan di SMK Tambunan-RAY Tambunan ( 25 Julai 2009 )

Bos Syarikat Jalur Setia, Encik Najami atau mesra dengan panggilan Abe Mi menyampaikan sumbangan kepada anak yatim.

Penghuni RAY Tambunan seramai 150 orang mendengar motivasi yang disampaikan oleh Azhan Atan.

Kem Remaja Islam (KRIS) SMK Kanibongan, Pitas ( 23-26 Julai 2009 )


Program diadakan di Kem Rela Tuaran. Ucapan menyentuh hati oleh Ustaz Norazam dan sesi salam wida' menyebabkan pelajar muslimin turut menangis teresak-esak.

Kampung Kanibongan, Pitas antara sasaran lawatan Ramadhan PSS.

Qiamullail Bulanan KRU Tuaran (25-26 Julai 2009)


Program Titian Kasih II Kg. Estet Tenghilan (26 Julai 2009)

Tahlil Doa Selamat Ulangtahun Kelahiran dan Rumah Baru Kg. Kionsom Kecil (26 Julai 2009)


Ulangtahun kelahiran Fendi yang ke-11

Antara yang bermasyarakat - dari kiri Irham, Azizul Julirin dan Nije. Paling kiri ialah orang kuat kampung, Uncle Muhsin.

Tahniah pada semua penggerak PSS. Beramallah kerana Allah nescaya kan kekal di jalanNya, InsyaAllah.. ;)

Wednesday, July 29, 2009

Rumah Itu Kian Retak..


Penghuni rumah itu makin bersesak. Mereka tidak selesa lagi tinggal di situ. Rumah itu bukan lagi 'Home Sweet Home' jauh sekali 'Rumahku Syurgaku'. Puing-puing kerosakan telah jelas kelihatan di setiap sudut. Retak menanti belah. Reput menunggu musnah. Menghitung hari sebelum ke bumi ia menyembah.

Ketua-ketua rumah asyik bermesyuarat ke pagi. Kepala yang tidak gatal digaru-garu memikirkan solusi mengukuhkan semula rumah itu. Lalu dicadangkan setiap penghuni punya penjaga. Dicanangkan setiap anggota rumah diperiksa dan dijenguk secara berkala. Mungkin sahaja ada yang akan meluahkan punca resah di jiwa. Mungkin tak semena-mena ada yang akan berkongsi rasa. Tetapi anak buah degil-degil belaka. Penjaga dipandang sebelah mata. Tak membawa makna.

Bangkit seorang ketua lagi mencadangkan segala penghuni rumah dibawa keluar. Barangkali di luar lebih selamat. Barangkali di luar mereka boleh melihat dunia. Maka diatur majlis mengajar rakyat rumah bermusafir. Dibentuk mereka menjadi pengembara yang hebat mengkaji budaya dan agama. Tetapi ada yang kecewa. Yang menyahut untuk dilatih hanya beberapa. Yang hadir hanya mereka berdua, seorang ketua dan seorang penghuni setia.

Tiba-tiba bangkit seorang ketua segala ketua, katanya aku punya idea berharga buat mengukuhkan rumah semula! Semoga jalannya kena. Semoga jalannya ke arah membina semula kekuatan di jiwa ahli rumahnya. Kosong dada lantaran Subuh berjamaah yang entah ke mana, qiam yang dihadiri Blogger dan penggila Friendster menumpang iktikaf 'wireless percuma', tuan rumah yang mabuk cinta dan khayal oleh kuasa tak membawa ke mana-mana. Biarlah rumah dipindah dari Kinabalu ke Uhud pun. Biarlah dindingnya dipahat dari Hajarul Aswad pun. Yang penting isinya. Yang penting kepala-kepalanyanya mampu membuat penghuni mendabik dada, kerana dia ini biarkan tulangku menjadi tiang, dan tubuhku menjadi atap, akanku pastikan rumahku tidak mencium tanah. Barulah penghuni hidup berbangga sebagai pejuang agama bangsa, bukan hidup dihimpit palsu dan retorika.

Semoga jalannya membawa faham kepada seluruh anggota, yang mereka kejar ialah reda Yang Maha Esa. Mereka bukan bersatu kerana tuntutannya supaya kamu berkumpulan dalam bekerja. Mereka bukan bersatu kerana tanpa mereka agama dan bangsa entah ke mana. Mereka bukan bersatu kerana agama harus didukung dan dijunjung sedayanya. Mereka bukan bersama kerana Islam menyuruh bersayang dan bekerjasama. Mereka bukan bersama untuk selamat dari bencana dunia. Mereka bukan bersama untuk beralasan di hadapan Allah nanti bahawa mereka pernah bersama. Fahamkan mereka. Mereka bersama kerana mengejar reda Allah Yang Esa.

Thursday, July 23, 2009

Jelajah Dakwah Ustaz Azhan Atan, Ustaz Akhwan Afandi


Meraih intipati daripada program yang dianjurkan sering dikatakan medan yang baik untuk mentarbiyyah diri di samping mentarbiyyah peserta. Walaubagaimanapun, tarbiyyah sebenar tidak boleh bersifat tumpangan dan curi-curi, tetapi hati, jiwa dan raga harus dipusat dan difokuskan ke arah itu. PSS mengharapkan supaya semua mengambil peluang daripada jelajah dakwah dua orang ustaz ini guna mengisi dan membentengi diri dengan perkara bermanfaat.

Jelajah dakwah Azhan-Akhwan meliputi beberapa daerah, bertujuan membawa mesej Islam sebagai cara hidup syumul melalui pendekatan ceramah bersahaja, ramahmesra bersama penduduk dan ziarah mahabbah. Ia juga membawa mesej hiburan Islam yang unggul melalui Konsert Mini dan Konsert Motivasi di beberapa sekolah dan kampung. Jadual mereka di Sabah daripada 23-27hb Julai 2009 adalah seperti berikut;

23 Julai 2009 ( Khamis )
Pagi-Malam
Azhan-Akhwan : Ranau


24 Julai 2009 ( Jumaat )
Pagi-Petang
Azhan-Akhwan : Ranau

Malam
Azhan : Kuliah Maghrib Kg. Gintisan
: Majlis Makan Malam Amal (Dapatkan tiket segera, hubungi : 0135305244)

Akhwan : Kuliah Maghrib Kg. Kuala Menggatal
:
Majlis Makan Malam Amal (Dapatkan tiket segera, hubungi : 0135305244)

25 Julai 2009 ( Sabtu )
Pagi-Malam
Azhan : Tambunan

Pagi-Petang
Akhwan : ProMis Politeknik KK

Malam
Akhwan : Kuliah Maghrib UMS

26 Julai 2009 ( Ahad )

Pagi-Petang
Azhan : Bertolak Pulang

Akhwan : Pr
oMis Politeknik KK

Jamuan Makan Malam Amal bertujuan mengumpul dana untuk memebeli 3 buah pam air untuk 3 buah kampung di Keningau. Nazrey Raihan akan turut bersama memeriahkan malam tersebut. Jangan ketinggalan, makan sambil menderma!!

Tuesday, July 21, 2009

Terapi Jiwa



Usrah Pemuda semalam membicarakan tafsir surah Al-Mulk, ayat 6-11. Surah yang kerap dibaca dengan mata dan kepala, tidak dengan mata hati. Surah Al-Mulk disebut sebagai Surah Munjiyyah, Surah Penyelamat. Ia mendokong tiga konsep utama, kekuasaan Allah, Keesaan Allah dan dalil-dalilnya, serta golongan derhaka yang dibalas. Awal tafsir Al-Mulk menyebut bagaimana Allah berkuasa atas tiap sesuatu, kebesarannya menciptakan mati dan hidup untuk menguji siapakah yang paling banyak melakukan kebaikan dan penciptaan langit yang berlapis tanpa sebarang cacat cela, dan bintang yang menghiasinya. Semuanya membawa tiga tujuan, untuk manusia memerhati kejadian alam dan menilai apa yang berlaku pada umat sebelumnya, sebagai sumber hidayah dan inspirasi serta kekuatan tentera Allah dari alam, misalnya bintang sebagai lembing untuk manusia dan syaitan. Hebatnya bahasa Al-Quran bila ada penegasan berulang. Dalam ayat 2 contohnya, setelah diceritakan tentang kuasa Allah menghidup dan mematikan, dan mengerah manusia berbuat kebaikan, ditegaskan di hujung ayat bahawa Allah bukan sahaja Maha Perkasa, tetapi juga Maha Pengampun.

Tafsir 6-11 kemudian menegaskan bahawa tempat orang yang kufur ialah di dalam Jahannam. Allah menerangkan bahawa setiap kali penghuni baru dicampakkan ke dalam Neraka, ia akan menggelegak dan mendengus, lalu api akan makin marak dan menjulang, marah dengan yang diazab. Dalam kepedihan, Neraka bertanya pula kepada penghuninya, "Mengapa engkau masuk ke sini? Tidak pernahkah ada orang datang memperingatkan engkau?' Maka penghuni Neraka menjaab, "Ada, tetapi kami mendustakannya. Kami tidak mengendahkan katanya." Ketika itu penghuni Neraka mengakui dosa mereka, maka kebinasaanlah bagi mereka. Kerana itu Neraka disebut bukan sahaja sebagai tempat menyeksa fizikal, tetapi juga tempat diasak dan ditekan mental dan jiwa. Ia mirip apa yang dilakukan oleh seorang guru disiplin yang bengis, setelah dirotan dengan sekerasnya si anak murid, ditanya pula, "Sedap tak? Nak lagi?"

Alhamdulillah. Peringatan dan pengajaran itu terapi untuk jiwa. Bersama kanak-kanak yang tidak tidak berdosa dan tidak pandai menipu terapi untuk jiwa. Menyambut kepulangan orang yang disayangi setelah penat bekerja dan menjalankan amanah seharian, mendengarnya bergelak ketawa dan bercerita terapi untuk jiwa. Begitu juga memerhatikan alam dan menjadi sebahagian daripada alam.

Hati ibarat span. Bila ia dibasahkan dengan amal maka diri akan jauh daripada dosa. Bila ia kering dan kontang, syaitan mudah membisik. Tetapi amal itu mesti ikhlas dan sungguh-sungguh. Konsisten dan bersih dari mazmumah. Kalau tidak, jangan hairan yang berprogram ke hulu hilir melakukan dosa juga. Yang baru selesai menganjur program tarbiyyah boleh menyorok di balik tudung labuh bertiga dengan syaitan di dalam kereta. Yang mengikut usrah dan tamrin menghalalkan yang haram, berzina hati dan bercanda. Begitu juga penulis. Terutamanya penulis. Gah di luar. Kosong di dalam.

Penulis sangat banyak memerlukan terapi. Khususnya bila terlalu banyak berkata-kata. Maka diri ini mengambil keputusan untuk berhenti berkata-kata tentang semua yang tidak mampu dilakukan. Sehinggalah jiwa ini sembuh semula. Jangan lagi ada undangan bercakap tentang cinta dan muamalat selagi cinta itu membarahi dan merosakkan ahli-ahli terdekat. Jangan dijemput bercerita tentang nafsu bila nafsu sendiri tidak dapat dikekang. Jangan diharap membicarakan dosa pahala selagi diri sendiri tidak berhenti berbuat dosa. Kerana punca pengajaran tidak diterima oleh mereka yang terus-menerus alpa berpunca daripada diri ini. Kerana punca mereka lupa ialah kerana sibuknya mengurus dan membangun yang di luar sedang yang di dalam rumah pincang tarbiyyah dan punca fitnah. Selamatkan kami, dan berikan kami peringatan ya Allah. Kau bukan sahaja Maha Perkasa, tetapi Engkau juga Maha Pengampun.




Friday, July 17, 2009

PSS Berdemonstrasi Isu Xianjiang

Persatuan Siswazah Sabah dengan beberapa NGO lain, antara lain Yayasan Amal dan Persatuan Ulama Malaysia Sabah, berhimpun mengadakan unjuk rasa terhadap isu pembunuhan kaum minoriti Muslim Uighur di wilayah Xianjang, China. Unjuk rasa yang diadakan seusai solat Jumaat di Masjid Bandaran, Kota Kinabalu berjaya membuka mata kariah masjid dan masyarakat setempat untuk lebih peka terhadap insiden pencabulan hak asasi dan ketidakadilan yang melanda kaum majoriti Islam tersebut. Selain edaran risalah berhubung isu berkaitan dan ucapan oleh beberapa wakil persatuan, laungan 'Hidup Islam, Hancur Kezaliman' turut membakar jiwa umat yang cintakan perpaduan dan keamanan.




Islam adalah agama yang membawa mesej persefahaman dan permuafakatan kepada semua manusia tanpa mengira latar-belakang bangsa, fahaman politik dan kelas sosial. Justeru Islam sanagt wajar dijulang sebagai wadah yang mampu mengumpul dan menyatukan semua pihak bersatu-padu dan berdepan cabaran yang mendatang secara baik dan profesional. PSS menyeru pihak yang terbabit menyelesaikan segala pertelingkahan dan huru-hara yang berlaku melalui meja perundingan, dan pada masa sama meyakinkan mana-mana pihak bahawa seperti penganut agama lain, umat Islam tidak akan merelakan maruah agama mereka dipermain dan diperkotak-katikkan.

PSS Kecam Penindasan Etnik Uighur


PSS dan seluruh dunia Islam mengutuk sekeras-kerasnya penindasan ke atas 9 juta penduduk suku etnik Uighur di Xianjang, China. Setelah berpuluh tahun diasak oleh 'kaum pendatang' Han dan dilayan seperti penceroboh di tempat sendiri, rusuhan Urumqi pada 5 Julai 2009, yang berpunca daripada rasa tidak puas hati dengan cara kerajaan China mengendalikan kematian 2 orang pekerja kilang berbangsa Uighur di Guangdong, mengakibatkan 156 orang terbunuh dan 1080 cedera.

Penghapusan budaya Islam, larangan memasuki masjid bagi mereka yang berumur kurang daripada 18 tahun dan golongan pelajar, perobohan bangunan tradisi Uighur yang mempunyai nilai estetika Islam atas alasan binaan tersebut tidak kukuh dan sebagainya adalah sebahagian rutin hidup yang dialami masyarakat Uighur di China. PSS peka dengan keadaan tersebut dan membantah sebarang bentuk kezaliman yang dilakukan oleh mana-mana pihak terhadap mana-mana individu atas nama kemanusiaan sejagat. PSS juga mengecam sebarang bentuk diskriminasi dan pengabaian hak asasi oleh mana-mana badan. PSS sedar akan kemelut yang dihadapi oleh dunia Islam hari ini, samada pembunuhan beramai-ramai umat Islam di Selatan Thailand yang mendapat tempat di dada akhbar mahupun kes-kes yang disembunyikan daripada pengetahuan umum seperti pembunuhan Dr Marwa el-Sherbini di Germany tanggal 1 Julai 2009 yang lalu. PSS kesal dengan sikap sesetengah pihak yang masih meletakkan martabat dan kebebasan mengamalkan agama masing-masing di bawah tapak kaki golongan penguasa, sedangkan agama Islam membenarkan kebebasan beragama tanpa sebarang sekatan.

Justeru PSS berazam untuk terus mempertahankan Islam dan umat Islam di Sabah khususnya, dengan batang tubuh dan segala yang kami miliki, selain bertekad untuk terus membawa pemahaman tentang keadilan dan kesatuan yang dilaungkan oleh agama Islam kepada setiap pelusuk tempat, melewati sempadan agama, bahasa dan suku kaum. Islam Untuk Semua!

Wednesday, July 15, 2009

Permata Yang Hilang


15 Julai 2009 - Asal-usul Tambunan diambil daripada nama dua orang pahlawan yang banyak berjasa mempertahankan penduduk asal 'dataran' tersebut, yang diberi nama Tamadun dan Gombunan. Mereka mempertahankan puka yang berhijran dari Nunuk Ragang daripada puak Tonsundung. Nama mereka diabadikan, malah sebuah tugu dipacakkan di tengah-tengah pekan Tambunan untuk memperingati jasa mereka. Kalau mereka ini dikenali sebagai pahlawan yang mula meneroka bumi Tambunan, dunia Islam di Tambunan juga terhutang budi kepada dua orang pahlawan agama, yang menjadi pengasas atau antara pembawa Islam ke bumi ini. Mereka ialah Al-Fadhil Ustaz Darbi dan Ustaz Hadiq.

Dihantar oleh pondok tempat mereka menuntut di Indonesia dengan sebatang kara, mereka diarah memulakan kehidupan daripada kosong di bumi Tambunan, dengan hasrat membawa Islam ke sana. Setelah Ustaz Darbi mencapai usia lanjut 63 tahun, dan Ustaz Hadiq 55 tahun, Islam masih belu dapat bertapak secara kukuh di Tambunan, antara lain berpunca daripada liatnya orang tempatan menerima kehadiran mereka.

Kami tidak sempat mengenali susuk tubuh kedua-dua tubuh secara lebih dekat, tetapi selama 3 hari berada di Tambunan, kami merasakan aura yang dipancarkan oleh mereka berdua, khususnya apabila kami dimaklumkan bahawa Ustaz Darbi sedang terlantar sakit di Hospital Tambunan akibat jangkitan kuman di jantungnya. Orang yang menziarahinya tidak putus malah dikatakan seperti orang yang sedang berebut memasuki monorel. Zuhud dan tabahnya beliau berkhidmat sebagai guru Baitulmal dengan gaji RM500 sebulan, di samping mengisi setiap kekosongan jadual beliau dengan mengajar Al-Quran dan menyampaikan kuliah menggambarkan seorang yang cukup dikagumi oleh penduduk Islam, khususnya di kalangan mereka yang bersama-sama menggalas tuntutan dakwah. Mereka yang pernah mendampinginya tentu sahaja boleh menceritakan pengalaman menarik bersama beliau, samada khasyaf yang dimiliki, keluhuran budi dan amalan-amalan yang dilaksanakan secara istiqamah.

Kini, Ustaz Darbi tiada lagi.

Kami mendapat berita tentang pemergiannya pagi semalam, dan beliau selamat dikebumikan selepas Solat Zuhur. Tinggallah Ustaz Hadiq, yang membawa pendekatan lebih terbuka dan 'meriah' memimpin perjuangan Islam di Tambunan. Al-Fatihah.

“Barang seiapa menyembah Nabi Muhammad ,sesungguhnya Rasulullah benar-benar telah wafat.Dan barang siapa menyembah Allah,maka Allah tidak pernah mati dan abadi selama-lamanya.” - Abu Bakar

PSS Buka Pasaran Baru, Raih Perhatian Akhbar

Program Kem Kesempuraan Solat yang diadakan di SMK Nambayan, Tambunan tanggal 10-12 Julai 2009 dijangkakan seperti program-program lain yang melibatkan PSS. Jangkaan itu meleset sama sekali apabila ahli PSS yang terlibat dibawa menyoroti praktikal dan cabaran dakwah di Tambunan, lantas melabuhkan cinta kami kepada perjuangan di bumi ini.


Bermula dengan perjalanan empat jam yang mencabar, sehari lebih awal melalui 'jalan maut' Kimanis-Keningau yang meragut nyawa Allahyarhamah Aisyah Bakri, dalam suasana hujan lebat dan angin membadai menyajikan mukaddimah menarik untuk 3 biji motor yang ditunggangi rombongan pertama fasilitator. Cuaca buruk memaksa kuliah maghrib yang dijadualkan di SMK Tambunan dibatalkan, dan rombongan mengambil keputusan menginap di Keningau. Walaubagaimanapun, hikmahnya terpancar bila rombongan PSS sempat mengadakan ziarah ke IPG Keningau, melewati Saudara Asdar, pendekar solo di institusi berkenaan.

Esoknya, wajah-wajah pelajar SUI Tambunan menyambut kami menantikan perkongsian ringkas yang dijanjikan. Diurus oleh pendakwah tegar di bumi Tambunan, Ustaz Idris dan Ustaz Hatta, kami seterusnya dibawa menikmati makan tengahari sebelum tiba di tapak program petang itu. Baki fasilitator seramai 4 orang, seorang daripadanya ahli KRU Kota Belud, tiba pada malam yang sama.



Solat merupakan kaedah mendisiplin paling ampuh. Itulah yang dapat kami simpulkan berhubung kem tersebut. Kumpulan pelajar seramai 61 orang yang secara sukarela mengikuti kem asalnya keliru dalam pencarian matlamat hidup, tidak pandai membaca Al-Quran dan tulisan jawi malah hidup dalam suasana Islam yang 'non-existent', lahir menjadi kelompok yang berazam tidak mahu meninggalkan solat, menguasai sekurang-kurangnya 70% bacaan solat dan bersedia dilatih membimbing umat Islam Tambunan. PSS menyeru ibubapa, guru-guru dan ahli masyarakat memartabatkan solat sebagai kaedah mendisiplinkan anak-anak samada melalui kempen solat, bengkel kesedaran dan sebagainya. Ahli PSS juga sempat berkongsi kesedihan yang dirasai pejuang-pejuang Islam Tambunan lantaran sakit jantung yang tiba-tiba menyerang murabbi mereka, Ustaz Darbi kira-kira seminggu yang lepas. Program turut mendapat liputan akhbar Utusan Borneo selama dua hari berturut-turut, sejarah baru buat PSS.


Dalam perjalanan pulang, melalui Gunung Mas, salah satu 'kuda tunggangan' meragam, memaksa dua orang mencari bahan ganti sedang yang lain mengambil peluang beristirehat di jalanan, bertafakur memerhati keindahan bumi Tambunan yang terbentang.


Dakwah di Tambunan dibelenggu beberapa masalah, antaranya kesukaran masyarakat menerima pendakwah daripada luar, susahnya melahirkan pendakwah daripada kalangan orang tempatan dan hakikat bahawa ia merupakan pusat misionari paling besar di Sabah. Malah pendakwah yang datang seolah-olah masih hidup di zaman Rasulullah, dicemuh, ditujah kepala, difitnah, dihalau dan dimaki-hamun walaupun bertungkus-lumus mendidik anak tempatan tanpa sebarang ganjaran. Menariknya, golongan muda sendiri, seperti mana-mana tempat di Sabah, masih terbuka menerima pembangunan minda dan jiwa.

Syukran jazilan Ustaz Hatta, Ustaz Husnun, Ustaz Hafiz, Ustaz Idris, Israfil dan semua pendidik di bumi Tambunan. Pesan kami, jangan berputus-asa! PSS berazam meletakkan Tambunan sebagai salah satu tempat prioriti dakwah dan menjadikan pembangunan remaja di sana sebagai salah agenda utama persatuan. Kami berjanji, bahawa selagi kami diterima, kami akan kembali, dan sekiranya kami ditolak, kami akan terus kembali dan kembali!

Wednesday, July 8, 2009

Bila Mulut Melantun Kata..


Lidah merupakan senjata psywar yang paling ampuh. Kemampuan lidah bersilat menguntum hujah dan petah bicara menganyam kata mampu merubah dunia. Begitulah kekuatan yang dimiliki oleh tokoh-tokoh pelakar sejarah seperti Martin Luther King Jr., Hitler, Mahatma Gandhi dan terkini, Barack Obama. Senajata sama dimiliki oleh beberapa tokoh tempatan seperti Anwar Ibrahim dan Mahathir Mohd.

Kemampuan bercakap dengan baik bukanlah anugerah yang dikurniakan sejak lahir atau warisan genetik yang hebat. Tetapi kemampuan ini mampu dikecapi oleh semua yang berminat mendalami ilmu pengucapan awam. Berikut serba-sedikit tips-tips bercakap di khalayak buat mencungkil semangat:

Teknik menghilangkan gemuruh di depan khalayak:
Banyakkan berselawat, gerakkan jari-jemari dan pandang ke dalam mata audiens, satu-persatu. Lontarkan pandangan ke seluruh audiens dan kecilkan skop pemandangan dengan memfokuskan audiens kepada satu titik sahaja. Lakukan ini untuk audiens yang seberapa besar pun.

Politikus biasanya menggunakan kaedah Bercakap Untuk Memujuk (Persuasive Speech). Ia juga boleh diamalkan oleh para pendakwah. Antara kaedah yang paling biasa digunakan adalah kaedah Monroe:

1. Dapatkan perhatian audiens
2. Jelaskan mengapa perlunya perubahan daripada situasi atau keadaan semasa
3. Puaskan rasa keperluan kepada perubahan tersebut dengan menyediakan alternatif
4. Berikan gambaran bagaimana alternatif tersebut akan membuahkan kejayaan dan
menyelesaiakn masalah
5. Terangkan tindakan yang sewajarnya diambil oleh audiens untuk berubah!

Contoh mendapatkan perhatian audiens;

Hadirin yang dihormati sekalian,
Cuba bayangkan wajah 3 orang wanita yang paling anda sayangi. Tenung dalam-dalam ke wajah mereka. Perhatikan lirikan senyum mereka. Ok, sekarang cuba teka yang mana satukah akan dirogol, dibunuh dan dibakar dalam masa 8 jam terdekat? Kerana statistik menunjukkan bahawa dalam setiap 3 jam. seorang daripada 3 wanita dirogol, dibunuh dan dibakar hidup-hidup.

Apa aspek yang patut diperhatikan dalam audiens untuk memastikan pengucapan sampai kepada mereka?

Bagaimana menghasilkan teks ucapan yang pendek dan padat, tetapi memukau?

Apakah kaedah membuka dan menutup ucapan yang akan memastikan ucapan anda termaktub dalam sejarah sebagai ucapan yang menggugat status quo?

Penulisan ini seperti yang disebutkan awal tadi bukan bertujuan mengajar kaedah bercakap yang berkesan, tetapi lebih kepada tujuan untuk mencetuskan keinginan belajar bercakap dengan lebih baik. Nantikan Bengkel Membentuk Wakil Rakyat anjuran Persatuan Siswazah Sabah.

Halatuju Gerakan Islam Sabah

Baru-baru ini telah diadakan suatu bengkel halatuju gerakan Islam Sabah yang dilaksanakan di Kota Kinabatangan. Sekitar 7 kelab, persatuan dan pertubuhan Islam bersidang mengemukakan resolusi halatuju dan arah tumpu gerakan dakwah di Negeri Bawah Bayu, dan bersetuju meluluskan beberapa perencanaan;

1. Menguasai dan mendekati golongan muda dan belia dan melebihkan tumpuan dakwah kepada mereka

2. Penggunaan media baru sebagai medium dakwah (facebook, friendster etc)

3. Menampilkan gerakan-gerakan Islam sebagai golongan yang prihatin dan mengambil berat isu rakyat

4. Membina dan menonjolkan tokoh-tokoh daripada kelompok pemuda-pemudi Islam

5. Memperkukuhkan jaringan kerjasama sesama gerakan Islam

Justeru Persatuan Siswazah Sabah mengambil inisiatif menyeru pertubuhan-pertubuhan lain, samada yang berstatus kerajaan, swasta atau bukan kerajaan untuk menyambut baik halatuju yang digariskan, dan membuka seluasnya ruang perbincangan dan kerjasama dengan mana-mana pihak yang berminat membangunkan anak watan.

Masih Mencari Ruang Berjuang?


Buat mereka yang masih mencari ruang berbakti, berikut disenaraikan 9 program PSS sepanjang bulan Julai buat memilih laluan berkhidmat;

Minggu 1

3-5 Julai 2009 : Program Pemantapan Aqidah SMK Tamparuli (PIC : Cikgu Faridah)

Minggu 2

10-12 Julai 2009 : Kem Smart Solat SMK Badin (PIC : PSS Tuaran - Saudara Aminuddin)
10-12 Julai 2009 : Kem Smart Solat SMK Nambayan, Tambunan (PIC : PSS KK - Saudara Hafiz)
12 Julai 2009 : TOT Pemantapan Aqidah (PIC : PSS KK - Saudara Faez Husin)

Minggu 3

17-19 Julai 2009 : Kem Smart Solat Bongawan (PIC : PSS Papar - Saudara Zulzaim)
17-18 Julai 2009 : Program Pemantapan Aqidah SMK Tansau (PIC : PSS Tuaran - Saudara Faiz)
19 Julai 2009 : Program Keluargaku Sayang Kg. Topokon (PIC : PSS Tuaran - Saudara Misran)

Minggu 4

23-26 Julai 2009 : Kem Smart Solat SMK Kinabongan, Pitas (PIC : PSS KK - Saudara Azizul Julirin)
25 Julai 2009 : Jelajah Dakwah Azhan Atan (PIC : PSS KK - Saudara Nadir)
26 Julai 2009 (belum tetap) : Program Susulan Titian Kasih Kg. Estet Tenghilan (PIC : PSS Tuaran - Saudari Maryam)

Masih mencari? Jangan ketinggalan!

Friday, July 3, 2009

Dari Sipitang ke Kionsom Kecil

"Mogihum oku tanak Dusun," bisik hati kecil Azizul, lalu diaminkan semua pembaca. Beliau mengajarkan saya satu tips berguna malam itu. "Lekapkan telinga anak yang menangis pada jantung, dia akan tenang mendengar degupannya."

Tanggal 31 Mei 2009, belum selesai Kem Remaja Islam Sipitang, kami terpaksa bergegas pulang. Janji yang telah dilafazkan kepada masyarakat yang mengharap tidak boleh disia-siakan. Siap menghantar penumpang yang lain, kami keluar semula menuju destinasi seterusnya - Kampung Kionsom Kecil. Tidak ramai yang berkelapangan. Andaian dapat membawa bersama sekurang-kurangnya 5 orang meleset. Hari itu saya hanya ditemani oleh Ustaz Azizul Julirin.

Sangkaan kami hanya seorang bayi yang akan dikorbankan malam itu. Rupa-rupanya orang kampung mengambil peluang dengan kehadiran Ustaz Azizul ke situ. Tiga bayi menunggu untuk dicukur dan ditahnik. Pengalaman pertama ini tentu membuka laluan untuk menjadi pendamping masyarakat yang lebih berani.

Keberanian tercabar. Selain bahan-bahan yang 'agak' biasa digunakan seperti kelapa muda dan daun sirih, tuan rumah mengeluarkan sepinggan beras dan sekotak rokok. Mujur sahaja Ustaz Hafizullah awal-awal telah berpesan supaya hanya melaksanakan bercukur dengan kaedah biasa dengan mengabaikan lain-lain 'objek ganjil'. Dan mujur sahaja 'tanak wagu' yang menemani pada malam itu biasa melihat orang bercukur. Saya hanya pernah berkenalan dengan gunting, air zamzam dan kurma sahaja dalam upacara sebegini.

Pendakwah di Sabah begitu sinonim dengan gerakerja masuk kampung. Selain dengan cara masuk secara formal melalui kertas kerja dan tawaran program, ramai juga yang cuba mendekati masyarakat dengan cara melazimi surau atau masjid setempat. Kaedah kedua ini memerlukan istiqamah dan kreativiti yang lebih. Bilangan jamaah yang bermula dengan 2,3 orang tidak boleh dibiarkan kekal sebegitu walaupun setelah berminggu-minggu merapati masyarakat. Pendakwah harus bijak memenangi hati masyarakat atau jamaah sedia ada untuk memastikan dakwah menjangkaui ruang lingkup lebih besar. Kanak-kanak dan remaja misalnya mudah tertarik dengan kuliah yang diiringi tayangan multimedia, sedangkan orang tua lebih suka dibawa bercerita tentang masalah kampung selepas daripada kuliah.

Yang ingin ditegaskan ialah betapa gerakerja dakwah secara turun padang ini harus menjunjung falsafah yang diturunkan oleh Ustaz Azizul riwayat gurunya, 'people do not care how much you know until they know how much you care'. Pasang orang kuat di kampung tersebut, dan jelaskan kepadanya bahawa anda bukan sahaja ingin datang berlagak pandai agama setiap minggu dengan memberikan kuliah, tetapi anda juga berminat membacakan yasin dalam majlis tahlil yang diadakan untuk penduduk yang meninggal dunia, anda juga akan gembira sekiranya dapat berarak bersama pengantin yang berkahwin di kampung tersebut dan anda akan berbesar hati untuk meraikan kelahiran 'orang baru' di kampung dalam majlis bercukur dan seumpamanya. Atau lebih baik lagi, sekiranya anda mencari jodoh di kampung tersebut dan terus menetap di sana...


Tak Kenal Tak Cinta

Penulis adalah insan yang cintakan seisi dunia dalam perjalanan menuju akhirat. Cinta kepada isi dunia, membawa diri cinta untuk memberi.

Diberi ruang memberi sejak di bangku Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) Subang Jaya, Exco Kerohanian dan Sahsiah MPP Universiti Malaysia Sabah, Timbalan Presiden Persatuan Siswazah Sabah dan kini mencari ruang memberi dengan berkongsi mengasaskan Rabithah Tullab Ad-Dawli.

Pemegang ijazah Sains Marin daripada Universiti Malaysia Sabah dan meneruskan pengajian di dalam bidang syariah dan Bahasa Arab di Maahad Dawli, Dimashq.

Rabithah Tullab Ad-Dawli

Rabithah Tullab Ad-Dawli memerlukan sumbangan berterusan untuk menjalankan agenda kebajikan.

Salurkan sumbangan anda ke akaun sementara:

Maybank : 162263440765
(Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Pengurus Rabithah)

Persatuan Siswazah Sabah

Persatuan Siswazah Sabah
Misi Menyelamatkan Aqidah Anak Sabah

Mereka Juga Membaca :

Sebarkan Pahala Itu :

There was an error in this gadget

Kunjungan VIP:

Ilmuwan