:: Setiap Pemberian, Bernilai Di Sisi Tuhan ::

Tetamu Kehormat :

Friday, March 27, 2009

PSS - Earth Hour Bukan Setakat Mesej Pemanasan Global


EARTH HOUR
28 MAC 2009
8.30-9.30 malam
( Padamkan lampu selama sejam tanda sokongan kepada kesedaran isu pemanasan global )

Persatuan Siswazah Sabah bukan semata-mata badan kebajikan. Ia bukan institusi keagamaan. Ia jauh sekali organisasi politik. Malah ia merangkumi semua aspek kehidupan, dunia akhirat. Justeru Persatuan Siswazah Sabah menyambut baik dan menyokong penuh usaha WWF dan badan-badan lain yang menganjurkan Earth Hour. Isu pemanasan global bukan isu baru. Perubahan iklim, kenaikan aras laut, peningkatan kandungan gas karbon dioksida di udara, kesemuanya mendatangkan kesan negatif. Dan kesemuanya telah diberi amaran oleh Allah di dalam Al-Quran. Amaran bahawa punca kepada segala bentuk kerosakan ialah akibat pernuatan manusia sendiri,

“Telah nampak kerosakan di daratan dan di lautan disebabkan oleh perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka supaya mereka kembali (ke jalan yang benar).” (Surah ar-Rum, ayat 41)

Justeru Persatuan Siswazah Sabah menyeru semua ahlida penyokongnya di segenap penjuru dunia supaya menyahut seruan Earth Hour. Tetapi tidak cukup sekadar itu, Persatuan Siswazah Sabah ingin membawa pembaca berfikir dan merenung setapak lebih jauh dalam gelap pekat malam tanggal 28 Mac 2009, jam 8.30-9.30 malam ini.

1. PSS menyeru pembaca merenung kegelapan alam kubur dan siksaan yang bakal ditimpakan ke atas hambaNya yang meninggalkan suruhan, dan meninggalkan larangan. PSS mencadangkan kepada pembaca agar menutup sekali kipas untuk merasai sesak dan sempitnya alam kubur.

2. PSS menyaran supaya pembaca berfikir dan menghayati kesusahan masyarakat yang bergelap setiap malam kerana tidak mendapat bekalan elektrik, khususnya masyarakat Sabah.

3. PSS menyeru pembaca merenung gelapnya masa hadapan anak bangsa dan tanah air tanpa ada usaha bersungguh-sungguh umat untuk kembali kepada terang sinar Islam.

4. PSS mengecam sebarang bentuk aktiviti yang dijalankan samada dalam masa satu jam tersebut atau bersempena dengan Earth Hour, yang terkeluar daripada lingkungan syariat Islam, atas keyakinan bahawa kemusnahan dan kerosakan total datang dari kuasa Allah.

Jadikan sejam dalam kegelapan sebagai medan muhasabah, selangkah lebih kehadapan daripada orang lain. Selamat Bermuhasabah..

Wednesday, March 25, 2009

Kionsom Kecil- "Maaf, kami dah Islam!"


Bukit didaki, semak diharungi, gaung dititi, babi dilimpasi, akhirnya kami sampai ke destinasi. Dan seperti kampung-kampung lain yang memerlukan kecekalan dan keazaman tinggi untuk membolehkan kami sampai, keindahan kampung di bibir bukit-bukau, walau dalam gelap pekat malam, cukup untuk membayar harga risiko sepanjang perjalanan. Lebih-lebih lagi apabila kehadiran disambut oleh senyum mesra keluarga bekas ketua kampung, Encik Muksin Kangut.


Kampung ini terletak paling hujung di antara kampung-kampung yang lain, dan sekitar rumah Encik Muksin terdapat sekitar 8 buah rumah yang dihuni oleh orang Islam, dengan jumlah kira-kira 50 orang penduduk. Perjalanan ke sana tidaklah jauh, hanya mengambil masa lebih kurang 35 minit untuk sampai dari Pekan Inanam. Keluarga Encik Muksin telah 2 generasi memeluk Islam, tetapi belum ada penghayatan terhadap kehidupan Islam yang sebenar. Yang membanggakan, ialah kemahuan meluap-luap penduduk kepada Islam, walaupun agama mereka asasnya, hanya pada nama. Apabila ditanya samada kampung tersebut biasa diziarahi oleh misionari yang ligat berdakyah di kawasan Kionsom tersebut, Encik Muksin menjawab mudah,

"Bila mereka datang dan ajak masuk Kristian, kami beritahu mereka, tak boleh, sebab kami dah agama Islam. Lama-lama mereka pun tak datang dah." Kefahaman yang jelas warisan dan bukan bertitik-tolak daripada kefahaman.

Sambung beliau lagi, "Kami telah 5 tahun memohon untuk diwujudkan surau di kampung ini, supaya boleh dijadikan tempat solat, berkumpul dan belajar fardhu ain, tapi sampai sekarang tidak berhasil."

Sangka baik, mungkin surat tersebut tidak sampai kepada pihak JHEAINS atau prosedur permohonan tidak betul. Sangka buruk, mungkin JHEAINS hanya menjalankan tugas sebagai pkerjaan dan bukan menghidupkannya sebagai peluang dakwah. Walaupun cakap-cakap orang cenderung kepada pandangan kedua, kami optimis JHEAINS akan menghulurkan bantuan juga nanti. Lebih-lebih lagi bila Encik Muksin meluahkan harapan sama,

"Kami orang kampung pergi mungkin tak dilayan. Tapi persatuan kamu kuat. Mesti JHEAINS dengar."

Kami memandang sendirian bila dilabel persatuan yang kuat. Pada kami tidak ada kekuatan. Yang ada hanyalah keyakinan bahawa satu orang yang mahu, pun mampu melakukan perubahan, lebih-lebih lagi bila satu orang yang mahu bersatu di bawah satu payung. Payung aqidah Islam.

Kami lantas merisik alternatif mengisi haus penduduk sementara memohon mendapatkan surau, dan ternyata ada jalan yang dibuka oleh Allah.

"Di kampung ni ada balairaya. Selama ni orang Kristian ja yang guna untuk berkumpul dan jadi tempat ibadat. Mungkin kita boleh pohon daripada ketua kampung nanti untuk benarkan kita buat kelas fardhu ain di sana. Saya yakin dia akan bagi."

Alhamdulillah. Peluang sudah terbuka. Tinggal lagi siapa yang dapat meluang masa menjadi pengajar di sana. Mungkin di luar sana ada insan yang mencari ruang berbakti?

"Ada ke kawan abang yang boleh ajar kami fardhu ain?"

Alhamdulillah, 18 Mac 2009, fasa pertama dalam misi yang telah lama tertunggak untuk menyampaikan bantuan kepada penduduk Kampung Kionsom Kecil tercapai.


Wednesday, March 18, 2009

Saifulislam.Com Halalkan Couple? - Suatu Pencerahan

Saya seperti kebanyakan anda selalu mengikuti perkembangan penulisan Abu Saif. Lantaran banyaknya penulisan berhubung cinta belakangan ini, saya mencoret ulasan menanyakan perihal tersebut kepada Abu Saif. Alhamdulillah, beliau menjawab. Bukan dengan komen, tetapi dengan posting penuh [baca di sini]. Jelas penulisan beliau selama ini bukan menggalakkan cinta, tetapi memperbetulkan konsep cinta. Syukran lak, syaikhuna.

Suka saya sebutkan, saya bukan seorang yang 'anti'-cinta. Malah saya sendiri telah lama bergiat dalam lapangan ini semenjak di bangku tadika lagi. Saya masih ingat ketika di tadika saya bertemu seorang pelajar perempuan yang memang hangat dan top di sekolah (ketika itu di Edinburgh), dan menyatakan kepadanya ''I fancy you'', lalu langsung dia mencium pipi saya. Esoknya dia menemui saya dan berkata "'I've dumped you''. Begitu juga kisah-kisah romantis yang berlaku di sekolah, matrikulasi etc, yang tak perlu saya nukilkan memandangkan semua pembaca boleh menyelak sendiri lembaran kisah cinta masing-masing.


Yang saya 'anti' ialah wabak-wabak yang merencatkan usaha dakwah. Dan amat malang sekali bila cinta itu antara yang mendapat tempat tertinggi di dalam senarai perosak.

Ada benarnya pemikiran saya sedikit sebanyak dipenjara oleh buruknya kesan virus cinta yang melanda umat, khususnya golongan umat di kampus yang mengaku berjuang di jalanNya. Wabak yang menatijahkan mereka yang diangkat menjadi pimpinan tidak mahu melepaskan belenggu cinta, penyakit PMI-Persatuan Mencari Isteri dan kudis bercinta ala islamik yang makin merebak. Ya, yang paling menyakitkan ialah kudis ini.


Ramai yang menelan pil cinta islamik sebagai alasan bercinta. Ramai yang berteleku 'Di Atas Sejadah Cinta', meratib 'Ketika Cinta Bertasbih', dibuai 'Ayat-Ayat Cinta', dan maaf Abu Saif, menerima 'Aku Terima Nikahnya' tanpa berteleku di atas sejadah qiamullail, meratib istighfar minta dipelihara dari nafsu, mengalun ayat-ayat cinta secara istiqamah dan menjalankan kehidupan beragama yang Abu Saif jalani dari segenap aspek. Mudahnya, yang dipetik dari penulisan-penulisan ini hanyalah ideologi ‘cinta islamik’ tanpa penghayatan kehidupan beragama secara menyeluruh. Perkara yang sama berlaku kepada Islam, “choose what you like, leave out the rest.”


Saya meyakini bahawa tarbiyyah yang baik mampu membetulkan langkah sesiapa sahaja, asalkan penerimaan tarbiyyah diiringi hati yang ikhlas dan lapang. Tidak ada alasan 'sudah terlalu lama bercinta' disusuli telefon dan mesej yang tidak henti, 'kami bercinta islamik' dilazimi pertemuan yang kerap dan 'laluan kami betul', tanpa melalui saluran pun untuk meraih teman hidup mati. Hapuskan dogma pemikiran 'cinta islamik 'yang telah dianuti dari sekolah menengah, dari pembacaan, dari kefahaman yang bersifat 'mengambil peluang' atau dari mana-mana pun. Apatah lagi cinta yang langsung tidak boleh disarungkan dengan kulit Islam. Berhenti menodai pemikiran Abu Saif, Habiburrahman dan lain-lain pengarang dengan menyandarkan dosa anda ke atas penulisan mereka.


Maaf, dari hambaNya yang mungkin tidak cuba mengerti. Wallahua'lam.

Wednesday, March 11, 2009

Program Pemantapan Aqidah Fasa 2, Pitas

Ahli-ahli PSS telah lama berkecimpung dan menerima latihan dalam bidang perbandingan agama, atau comparative religion, sehinggakan telah wujud satu kumpulan yang mampu membimbing masyarakat tentang asas persamaan dan perbezaan antara agama, khususnya agama Islam dan Kristian, dengan tujuan tunggal untuk mencari kebenaran dan mengeratkan persefahaman. Usaha ini telah dicetuskan oleh bekas ustaz di SMK Tebobon, Ustaz Abdullah Din dan kini giat diteruskan oleh sahabat-sahabat beliau, Cikgu Jamil (SMK Kolombong), Ustaz Khidir (SMK La Salle), Ustaz Amir (SMK St. Peter) dan Encik Nordin Saad (UMS) selain beberapa individu lain.

Hujung minggu lepas, ahli PSS sekali lagi dibuka peluang untuk mendalami cabang ilmu fardhu kifayah tersebut, dengan bimbingan dua tokoh terkenal perbandingan agama, iaitu Tuan Haji Ayub bin Abdullah dan Tuan Haji Nicholas Slyvester@Muhammad Abdullah, seorang bekas Pengampun Dosa Antarabangsa dan seorang bekas Tentera Kristus. Program Pemantapan Aqidah Fasa 2 ini telah diadakan di SK Pekan Pitas 2, dan merupakan kesinambungan program fasa pertama yang diadakan di Kota Marudu sebelumnya.

Wakil PSS yang diketuai oleh Saudara Fairuz Bend, Setiausaha PSS dan pengelola blog perbandingan agama renung2fikir2.blogspot.com, bertolak sekitar jam 7 pagi ke Pitas. Salah seorang penceramah, Tuan Haji Ayub diberi slot untuk berceramah kepada saudara baru di Masjid Kota Marudu, dengan ditemani oleh seorang ahli PSS. Kehadiran begitu menggalakkan, dengan hampir 220 orang saudara baru yang hadir. Kami difahamkan mereka mengikuti kelas pengajian berkala setiap minggu di masjid tersebut, dan kehadiran saudara baru adalah konsisten seramai 200 orang setiap minggu. Tahniah JHEAINS Kota Marudu!

Ceramah Tuan Haji Ayub bersama saudara baru di Masjid Pekan Kota Marudu

Rombongan kedua bersama Tuan Haji Nicholas Sylvester meneruskan perjalanan ke Pitas bagi melangsungkan program utama di sana. Program selama 2 hari 1 malam itu, yang dihadiri kira-kira 100 orang ustaz, guru, pelajar dan penduduk dari daerah Pitas, Kota Marudu dan Kudat nyata memberikan input bermanfaat kepada para peserta program berdepan dengan pelbagai ancaman aqidah mutakhir ini. Ramai yang tidak menyangka bahawa wujudnya pelbagai persamaan antara agama Islam dan Kristian, yang mana banyak suruhan Allah juga terdapat di dalam Bible, misalnya suruhan berkhatan (Genesis 17:14), tegahan memakan khinzir (Lev 11:7-8), dan arahan bertudung (1 Cor 11:5-6). "Jadi, kalau orang Kristian tidak mengamalkan apa yang ada dalam kitab dia tapi orang Islam yang mengamalkan, maka mereka lebih Kristian daripada orang Kristian!" Tuan Haji Nicholas menyimpulkan, separuh bergurau.

Perpustakaan SK Pekan Pitas 2


Forum yang diadakan pada sebelah malamnya di Masjid Kampung Kalumpang, Pitas. Moderator ialah Ustaz Bungsu@Aziz bin Jaafar, dan panel ialah kedua-dua bekas paderi.

Misi PSS tidak berakhir setakat itu. Rupanya ada tugas lain yang Allah minta selesaikan. Pada hari pertama program, dengan tidak sengaja, seorang makcik cleaner di SK Pekan Pitas 2, Makcik Regina Dayari meluahkan yang beliau telah 18 tahun memeluk agama Islam tetapi tidak pernah mendapat bimbingan berkenaan Islam, lebih-lebih lagi setelah suaminya meninggal dunia. Apabila berhubung dengan pihak yang sepatutnya untuk bertanyakan perihal tersebut, beliau dilayan dengan kurang baik dan dituduh hanya mahukan wang. Pagi Ahad itu, dengan ditemani Encik Nordin, sedang yang lain sibuk berprogram, kami mencuri peluang untuk menziarahi Kampung Saab, tempat makcik tersebut tinggal. Menempuh perjalanan yang agak mencabar, kami disambut oleh beliau di sebuah rumah usang peninggalan arwah suaminya, yang kini didiami 8 beranak. Setengah jam di sana, kami dimaklumkan bahawa terdapat kira-kira dua puluh keluarga berbangsa Sungai yang tinggal di sana, yang selama ini teraba-raba mencari erti agama Islam setelah beralih dari agama pagan. Kami berjanji akan melakukan sesuatu. Kami mengatur langkah untuk pulang..

Merenung jauh masa depan dirinya dan anak-anak..

Penduduk Kampung Saab, kami tidak akan membiarkan aqidah kalian dinodai sekali lagi oleh manusia tidak bertanggungjawab, kami tidak akan merelakan kalian memandang remeh pada agama Islam dengan sebab sesetengah pihak yang sambil lewa melaksanakan tugas, dan kami sesekali tidak akan redha membiarkan kalian kembali kepada kegelapan!




Friday, March 6, 2009

Elfion : "Poinsikou, Abang, Kakak!"

Home Sweet Home - rumah keluarga Elfion


Papan karom hadiah PSS-ISEUMS tersemat kemas di dinding rumah dan hanya diturunkan apabila hendak bermain.


Membawa Elfion dan emaknya membeli-belah

Kami tiba di rumah Elfion di Kampung Andus, Papar pada 21 Februari yang lepas sekitar jam 6.30 petang. Rombongan berempat, saya, Abang Fairuz, Sharil Kg. Kobuni dan Sazali, pelajar SMK Tamparuli disambut oleh emak beliau yang menanti di luar rumah. Salam dihulur, kami automatik menunduk sahaja tanda hormat. Aduh, tersilap langkah. Mungkin lebih wajar kami mengambil pendapat yang lebih ringan dan menyambut tangan beliau. Kerana selepasnya berpanjangan emak Elfion menjadi serba salah dalam tindakannya;

"Em, bolehkah kamu masuk rumah kami?"
"Minta maaf, boleh makcik," kami menjawab.

Sebuah altar patung Jesus yang besar memenuhi sebahagian ruang tamu. Tiada masalah.

Dukacitanya emak Elfion memaklumkan yang beliau tidak berada di rumah. Beliau telah keluar bersama ayah kerana telah lama menunggu kami sejak petang. Lebih menyedihkan, beliau keluar ke rumah nenek beliau yang baru meninggal dunia pada pagi tersebut. Salah timing. Kami terpinga-pinga sebentar dan meminta izin bermesyuarat mengatur perancangan alternatif. Solat mesti didahulukan.

"Surau kat depan jalan depan tu, dekat cabang. Macam tak pernah buka je, mungkin kamu kena pergi ambil kunci dengan kakek, orang Jawa yang tinggal kat hujung jalan tu."

Patut pun orang bukan Islam tak kenal Islam walaupun duduk sekampung dengan orang majoriti Islam. Surau pun tak hidup. Kami mencuba nasib. Alhamdulillah, surau tak berkunci. Cuma seolah-olah sudah bertahun ia tidak dikunjungi oleh makhluq selain jin. Tidak hairan emak Elfion tidak yakin ia masih digunakan. Selesai solat dan berbincang, kami mengambil keputusan menziarahi Elfion di rumah neneknya. Ziarah sekadar melepas rindu dan bertanya khabar. Emak Elfion meminta anaknya Stanley, abang kepada Elfion menemani kami menjadi penunjuk jalan, tetapi beliau terpaksa mengahdiri kelas komputer.

"Makcik boleh temankan kamu untuk tunjuk jalan, tapi.....takpe ke kalau makcik naik kereta dengan kamu?" tiba-tiba emak Elfion mencelah. Aduh, terkena lagi.

"Boleh makcik. Tiada masalah." Kami menjawab pantas.

"Nanti kami balik sini dengan suami makcik, sebab kampung nenek dekat jalan menghala ke KK," beliau menyambung.

"Em, macam mana kalau kami bawa makcik dan Elfion beli barang-barang keperluan dulu, baru kami hantar pulang ke rumah?" Terdetik idea di kepala saya setelah terbayang tiga beranak itu terhimpit menyabung nyawa menunggang sebiji motosikal. Kerana kami dimaklumkan tadi, itu sahaja kenderaan yang mereka ada. Beliau mengangguk. Kami lega.

20 minit kemudian, kami tiba ke destinasi dan kelihatan Elfion menunggu di tepi jalan. Alhamdulillah, wajah beliau sedikit berisi, dan beliau jelas kelihatan lebih sihat daripada sebelumnya, walaupun terpaksa menelan enam biji ubat berbeza setiap hari, yang tanpanya jantung beliau boleh tersumbat dan berhenti berfungsi. Beliau memilih untuk berhimpit dengan emaknya di depan, segan mahu duduk di belakang bersama kami. Tetapi di Giant, beliau lebih ramah, memilih itu dan ini untuk dibeli. Memang kehadiran kami dan sumbangan orang ramai tidak sia-sia. Nyata masih banyak keperluan sekolah beliau yang masih belum lengkap, daripada kasut sekolah sehinggalah ke alat geometri. Akhir sekali beliau membeli sebuah jam tangan, dan sebuah cap untuk abangnya. Beliau tersenyum puas.

Sebelum menghantar mereka pulang kami menyinggah di restoran untuk makan malam. Di situ ibunya merungkai satu-persatu permasalahan yang dihadapi mereka sekeluarga, dari perihal Elfion yang masih sakit dan lemah terpaksa berjalan kaki separuh perjalanan untuk sampai ke sekolah, anaknya yang ramai masih belajar dan kerjanya di sebuah kilang kayu. Itu yang paling menjengkelkan, kisahnya bagaimana kerja penat lelah seharian hanya dibayar RM16 sehari, beliau hanya dibenarkan bekerja 4 hari seminggu kerana 'kejatuhan ekonomi dunia', di mana salah satu daripada hari tersebut beliau terpaksa mengambil cuti untuk pemeriksaan mingguan Elfion di hospital. Bukan beliau sahaja, yang telah bekerja selama 10 tahun di kilang tersebut, malah ada segelintir pekerja yang telah berusia 60 tahun ke atas pun, mendapat gaji yang sama! Gaji mereka tidak boleh melebihi RM450 sebulan, belum ditolak barang dapur yang mereka ambil dari kilang, kos pengangkutan pergi-balik ke tempat kerja, bayaran sewa jika tinggal di kuarters kilang, dan potongan RM200 untuk memperbaharui permit pasport bagi pekerja asing! Lebih menjelikkan, mereka pernah diberitahu yang nilai satu kontena kayu yang diproses dan dieksport ke luar negara sahaja sudah cukup untuk membayar gaji mereka sebulan, dan sdalam sehari, kilang tersebut mampu menghasilkan sekurang-kurangnya LIMA kontena kayu untuk dieksport!

Awas, kami akan menyelidiki perkara ini dan mengesahkan kesahihannya. Dan kami bukan spesies menerima duit kopi seperti pegawai badan buruh dan lain-lain pegawai korup yang memantau di sana!

Sementara itu, Elfion dan keluarga, bersabarlah. Hidup mesti diteruskan!

p/s: Penulis meminta maaf kerana tidak dapat melampirkan koleksi penuh gambar, yang dipadam secara tidak sengaja. Penulis juga merakamkan jutaan penghargaan kepada PSS Cawangan Labuan yang mengambil tanggungjawab menjaga kebajikan kakak Elfion dan anaknya yang berada di Labuan.

Tak Kenal Tak Cinta

Penulis adalah insan yang cintakan seisi dunia dalam perjalanan menuju akhirat. Cinta kepada isi dunia, membawa diri cinta untuk memberi.

Diberi ruang memberi sejak di bangku Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) Subang Jaya, Exco Kerohanian dan Sahsiah MPP Universiti Malaysia Sabah, Timbalan Presiden Persatuan Siswazah Sabah dan kini mencari ruang memberi dengan berkongsi mengasaskan Rabithah Tullab Ad-Dawli.

Pemegang ijazah Sains Marin daripada Universiti Malaysia Sabah dan meneruskan pengajian di dalam bidang syariah dan Bahasa Arab di Maahad Dawli, Dimashq.

Rabithah Tullab Ad-Dawli

Rabithah Tullab Ad-Dawli memerlukan sumbangan berterusan untuk menjalankan agenda kebajikan.

Salurkan sumbangan anda ke akaun sementara:

Maybank : 162263440765
(Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Pengurus Rabithah)

Persatuan Siswazah Sabah

Persatuan Siswazah Sabah
Misi Menyelamatkan Aqidah Anak Sabah

Mereka Juga Membaca :

Sebarkan Pahala Itu :

There was an error in this gadget

Kunjungan VIP:

Ilmuwan