:: Setiap Pemberian, Bernilai Di Sisi Tuhan ::

Tetamu Kehormat :

Monday, September 29, 2008

Yeye..Tempat Aku Ada Tol Baru!!

Kutipan tol Lebuh Raya Kajang-Seremban mulai Ahad

KUALA LUMPUR: Bayaran tol bagi Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) yang dibuka secara rasminya pada 22 Ogos lalu akan dikenakan mulai jam 12.01 tengah malam, Ahad ini.

Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Ir Mohamad Razali Othman, berkata kutipan tol itu adalah bagi laluan lebuh raya sepanjang 18.20 kilometer bermula dari Persimpangan Bertingkat Kajang Selatan dan berakhir di Persimpangan Bertingkat Pajam.

Beliau berkata terdapat tiga plaza tol iaitu di Kajang Selatan, Semenyih dan Pajam dengan bayaran serendah 40 sen hingga RM5.60 bergantung kepada kelas kenderaan.

sumber : http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Mutakhir/20080929144453/Article/index_html

Saturday, September 27, 2008

Suatu Kehilangan..

A Tribute To A Laptop

25 September 2008
Suatu kehilangan..

"Bang, ada ambil laptop saya ke?" Azizul menelefon.
"Mana ada. Kenapa? Letak kat mana?"
"Dalam almari. Takde rezki, hilang la tu.."
"Ya Allah..Kejap lagi abang datang.."

Begitulah lazimnya apa yang berlaku setiap kali musim cuti menjelang di mana-mana asrama. Peluang yang paling baik untuk mencopet dan mencuri kerana hasilnya boleh dibawa pulang sebaik sahaja cuti bermula dan tidak perlu di'tapuk' lama-lama.

Tarbiyyah untuk yang mentarbiyyah

Baru dua hari sebelumnya anak usrah Azizul, AlAizat juga kehilangan laptop. Kalau sebelumnya si naqib cuba memujuk anak buah usrahnya supaya bersabar dan redha dengan ujian tersebut, tanpa diduga beliau turut diuji dengan perkara yang sama. Saya dapat merasai betapa Azizul terkesan dengan kehilangan laptopnya. Beliau seorang yang cukup menjaga segala macam hartanya dengan begitu teliti, daripada sekecil-kecil benda bermula nametag program yang diperolehi daripada aktiviti yang diikuti sehinggalah kepada buku-buku dan lain-lain barang peribadinya. Termasuk bantal MASnya yang masih berada di tangan saya.

Isteri Pertama

Pernah saya sebutkan kepadanya, betapa saya melihat yang beliau mempunyai 4 isteri; laptop, kereta kancil, handset 'Sony Ericsson' dan kamera 'Sony'nya. Tetapi antara yang paling berharga tentu sekali isteri pertama, laptop Acer 5050 yang dibeli dengan duit simpanan sendiri tanggal 4 Januari 2007 ketika semester 2 matrikulasi baru bermula. Laptopnya menjadi tempat menyimpan segala bentuk asainmen, ratusan artikel Saiful Islam, ribuan gambar-gambar dan nostalgia, laptopnya juga dibimbit ke hulu hilir, digunakan untuk menghasilkan bookmark untuk dijual, kertas kerja program, poster dan flyers, tayangan multimedia dan 1001 macam bahan lagi. Dalam usaha dakwah, laptopnya hampir tidak ada galang ganti. Laptopnya ibarat sebelah tangan yang digunakan bagi menggerakkan minda-minda berfikir, jiwa-jiwa dihidupkan dan akal fikiran digerakkan ke arah mengenali Pencipta. Kini sebelah tangannya tidak ada lagi.

Muhasabah untuk Semua

Bagi yang kehilangan harta benda, samada dicuri, hilang, tercicir, jatuh ke lubang tandas dan sebagainya, marilah kita bermuhasabah dan berfikir, samada rezki dan kurnia yang telah diberi oleh Allah itu benar-benar telah digunakan sebelumnya untuk membawa diri dekat kepada Tuhan dan bukan menjauhinya. Samada nikmat yang dianugerahkan digunakan sebagai wasilah untuk memacu dakwah atau sebagai alat berhibur dan berfoya-foya. Saya pernah kehilangan handset dan tidak merasai penyesalan malah bersyukur kerana merasakan bahawa nikmat hansdset tersebut tidak digunakan sebaiknya sebelum ini.

Kepada Sang Pencuri, jika hati gelapmu masih dapat ditembusi, belajarlah untuk menilai harta yang hendak diambil. Jika laptop atau PSP yang dicuri sah digunakan oleh tuannya untuk melayari laman web yang tidak baik, menonton VCD lucah dan bermain game, mungkin ada baiknya anda mencuri laptop atau PSP tersebut bagi menyelamatkannya daripada terus bergelumang dengan dosa dan kesia-siaan ( walaubagaimanapun perbuatan anda ini tentu sekali tidak menyelamatkan anda daripada api neraka! ). Tetapi jika tuan empunya harta menggunakannya untuk berdakwah dan menimba ilmu dan pengetahuan, sungguh-sungguh anda tidak sepatutnya memotong sebelah tangannya yang menggerakkan dakwah tersebut! Mujur sahaja negara kita bukan Negara Islam, kalau tidak anda pasti merintih dengan tangan yang kudung. Di bulan Ramadhan yang mulia ini bertaubatlah sementara masih ada ruang dan kesempatan.

Hadiah buat Sang Pencuri..

Akhir sekali untuk Sang Pencuri saya hadiahkan qunut nazilah ini, moga setiap yang membaca artikel ini mengaminkannya..

Ya Allah, sesungguhnya kami bermohon pertolongan Mu, kami meminta ampun kepada Mu, kami memohon petunjuk dari Mu, kami beriman kepada Mu, kami berserah kepada Mu dan kami memuji Mu dengan segala kebaikan, kami mensyukuri dan tidak mengkufuri Mu, kami melepaskan diri daripada sesiapa yang durhaka kepada Mu.

Ya Allah, Engkau yang kami sembah dan kepada Engkau kami bersalat dan sujud, dan kepada Engkau jualah kami datang bergegas, kami mengharap rahmat Mu dan kami takut akan azab Mu kerana azab Mu yang sebenar akan menyusul mereka yang kufur.

Ya Allah, Muliakanlah Islam dan masyarakat Islam. Hentikanlah segala macam kezaliman dan permusuham, Bantulah saudara-saudara kami di mana sahaja mereka berada. Angkatlah dari mereka kesusahan, bala, peperangan dan permusuhan.

Ya Allah, selamatkanlah kami dari segala keburukan dan janganlah Engkau jadikan kami tempat turunnya bencana, hindarkanlah kami dari segala bala kerana tidak sesiapa yang dapat menghindarkannya melainkan Engkau, ya Allah.”

Amin Ya Rabbal A'lamin..

Sambutan Raya Mahasiswa ( PRoM '08 )

Mari-Mari, Turun Mengundi


Mari-Mari
Turun mengundi
Ringankan tulang
Cerahkan mata
Pekakan telinga
Gerakkan kaki
Hidupkan hati

Mari-mari
Turun mengundi
Kewajipan kita
Sebagai mahasiswa

Mari-mari
Turun mengundi
Kuasa milik bersama
Pilihan kita empunya
Hak kita semua
Jangan dipersia

Mari-mari
Turun mengundi
Satu undi untuk demokrasi
Satu undi untuk perpaduan
Satu undi untuk ketelusan
Satu undi untuk keadilan
Satu undi untuk masa depan

Mari-mari
Turun mengundi
Satu undi menumbang kezaliman
Satu undi menjatuh kepincangan
Satu undi menggugat ketidakadilan
Satu undi menolak pilih kasih dan kebobrokan

Mari-mari
Turun mengundi
Buat bekalan
Hidup yang aman
Dunia yang fana
Akhirat yang selamanya

Karya ini dinukilkan ketika Pilihanraya Kampus untuk kerusi Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa yang lalu. Tahniah kepada semua yang turun mengundi, dan tahniah kepada semua yang telah dipilih oleh Allah menjadi khalifah di muka bumi dan pemimpin oleh rakyat kampus. Sesungguhnya anda semua akan dipersoalkan atas segala yang menjadi bebanan dan tanggungjawab ke atas anda. Selamat bekerja!

"Airmata milik anda, Kesusahan milik rakyat, Perjuangan milik Allah"

Thursday, September 25, 2008

Forum Remaja KML - Hikayat Sebuah Perjalanan

Azzam dan Keazaman, Dusun, KML

"Azzam, petang ni free tak? Tolong hantar abang gi airport," ku menyapa Azzam.
"Watpe sane?"
"Naik kapal terbang la.." aku berseloroh.
"Biar betul? Abang nak balik rumah? Kenapa?" Aik. Serius pulak dia.
"Abang nak gi KML la. Jemputan panel forum remaja tu.Flight abang jam 4pm.."
"O..ba bolehlah..kita jalan sekarang.."

3.00pm
"Kak Karmila punya kakak minta hantar juga gi airport. Kita ambil dorang di KK."
"Ok ja.."

3.10pm
"Orang Barat menghargai manusia, sebab tu ilmu psikologi, sosiologi dan lain-lain banyak datang dari Barat..Orang Jepun lepas dah habis satu kerja bukan dia rehat, lega, tapi dia usaha lagi untuk hasilkan benda yang seterusnya pula...Aku pernah mengimpikan untuk mengubah dunia, tapi setelah usiaku makin lanjut..Understand, then seek to be understood.."petah Azzam bercerita dan menghurai artikel-artikel nukilan Ustaz kesayangannya, Saiful Islam. Ni yang seronok bila teman atau ditemani Azzam terutamanya bila dalam permusafiran. Input tak henti. Ilmu bertambah dengan setiap putaran roda. Masa yang berlalu pun tak terasa..

3.45pm
Tiba di Terminal 1. Aku bergegas ke kaunter pertanyaan.
"Kat mana ya nak check-in untuk flight ke Labuan?" ku bertanya.
"Cuba pergi kat kaunter sana," abang yang baik hati menjawab.

Langkah diatur ke kaunter check-in. Barisan dipotong kerana niat semata-mata untuk bertanya di manakah gerangan tempatku mendaftar masuk.

"Hoi, jangan potong, nanti orang lain marah!" Belum sempat memberi salam marah sudah penjaga kaunter.
"Saya nak tanya flight saya ke Labuan ni encik, jam 4.10pm, lewat dah ni.."
"Takde,takde..terbang dah tu.."
Aku tersenyum. pakcik ni memang dah takde hati nak membantu. Telefon dicapai.
"Azzam, abang terlepas flight. Macam mana ek?"
"La..abang tak cuba tanya kaunter?"
"Dah..dia kata dah terbang,"
"Bah, abang tunggu jak situ, kita cuba tengok di Padang Merdeka entah-entah ada teksi ke Menumbok."
"Ba. Abang tunggu tempat tadi." Terima kasih Azzam kerana tidak meninggalkan aku terkapai-kapai sendirian.

4.00pm
"Bang, ada lagi teksi pergi Menumbok?"
"Ada tapi baru dua orang. Tadi ada Pakistan sorang tapi entah dah cabut ke mana."
"Tak sempat juga tu dik kalau berkejar ke Menumbok pun. Feri terakhir jam 6pm." Seorang pakcik yang mendengar perbualan kami tiba-tiba mencelah.
"Takpe pakcik, yang penting kita cuba dulu!" Aku meniupkan semangat dan harapan ke dalam diri pakcik yang tak mendambakan semangat dan harapan itu.
"Betul!" Dia tiba-tiba menyahut. Aku pula yang termotivasi. Lalu aku meletakkan keazaman, apapun terjadi aku tidak boleh mengecewakan siapa-siapa pada malam ini. Aku mesti samapi juga ke KML!

"jadi berapa la tambang satu kereta ke Menumbok?"
"RM120.00"Pakcik drebar menjawab.
Gulp."Bulan Ramadhan ni pakcik. Kurang la sikit."
"RM110.00 la.."
"Ba." Lalu aku mendekati brader lagi sorang yang nak ke Labuan. "Bang, jadi tak nak gi Menumbok?"
"Saya pergi esok pun takpe. Flight saya dari Labuan ke KL petang,". Pulak. "Kenapa?" Dia bertanya.
"Saya kena ke sana malam ni juga. Saya kena jadi panel forum di KML."
"O. Ba kita jalanlah gitu. Tapi aku kering ni. RM40 je ku boleh bayar. Tu pun dah extra RM10 dari harga asal. Sampai sana kita naik RO-RO. Jam 9pm sampailah."
"Ok. Saya bayar RM70," Aku nekad. Asal sampai.

7.15pm
Tiba di Menumbok.
"Nak ke mana ni?" Seorang lelaki menegur. Macam gaya awak-awak kapal.
"Labuan." Ku menjawab ringkas.
"Mana ada bot sudah malam-malam ni," Dia menjawab.
"Langsung takde? RO-RO pun tak jalan malam ni?"
"Tak. Kecuali..." dia berhenti sekejap, memikirkan sesuatu barangkali "kalau kita mau naik bot charter" dia membuka jalan.
"Charter? Berapala kalau charter?"
"Hmm..sekarang dah malam, kami takde lesen jalan malam. Angin kuat lagi. Kalau kena tangkap dengan polis marin kena saman lagi. Kami ambil harga biasa la. RM350."
Gulp. Gulp. Gila. Bot laju ke 5 star cruiser?
"Camane bang?"Ku meminta pendapat teman permusafiranku yang dari tadi asyik menelefon entah siapa.
"Ish. Shit la. Lari gila budget aku ni. Ish. Camane ni.." Puas dia mencarut baru dia berkata,
"Aku ni tolong kau je ni. Kalau bukan sebab kau ada ceramah aku tidur je mana-mana ni. Berapa kau sanggup bayar?"
Betul katanya. Takde faedah pun dia menolong aku melainkan atas suci murni hatinya sendiri.
"RM200." Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai mati berhutang.
"Ba. On." Dia bersetuju.

8.00pm
Kami masih menunggu bot laju di jeti. Lambat juga diorang bersiap. Tapi peluang tersebut digunakan untuk mengenali dengan lebih baik teman perjalanan yang dah menjadi begitu akrab denganku.

"Nama abang siapa? Asal dari mana?"
"Saya Dunstan. Asal Kota Marudu."
"Dusun?" Ku menduga.
"Ya. Macam mana kau tahu? Ramai kawan Dusun?"
Ya Allah. Sekali lagi baiknya pekerti orang Dusun terbukti. Mengorbankan beratus-ratus ringgit untuk aku yang tak dikenali. Walaupun berbeza agama dan tanahair. Hidup Dusun.
"Ramai juga. Orang Dusun ni baik-baik. Tu yang senang kenal."
"Haha.." Dia ketawa.
Dan kami terus berbual-bual kosong. Rupanya dia juga pelajar aliran Sains Marin di KUSTEM dahulu. Patutlah dia tau istilah RO-RO semua. Seronok kami membuat 'tag-team' mengenakan awak-awak tadi yang disyaki menipu kami dengan kisah ombak kuat dan angin menderunya. "Come on la nak tipu kami. Kami mariner," statement Dunstan yang ku ingat. Dunstan turut menasihati aku supaya tidak menyambung kerja di bidang Sains Marin kerana dakwanya, aku lebih sesuai menjadi ahli politik. Haha. Akan diteliti.

8.15pm
Menaiki bot laju dalam keadaan semua lampu ditutup dan dirempit pada kelajuan yang tinggi memberi gambaran bagaimana PATI diseludup ke negara kita. Tersilap rempuh kayu terapung, terlebih kelajuan dan dipukul ombak, nescaya akan teruji kemarinan yang kami banggakan sangat tadi. Apapun kami selamat sampai. Dunstan menawarkan untuk menghantarku ke KML tetapi aku menolak. Banyak sudah aku menyusahkannya. Lalu dia memberikanku nombor telefonnya dan memintaku menghubunginya kalau ada apa-apa permasalahan. Ponsikow Dunstan.
Aku menghubungi Abang Syukri dan meminta supaya diambil. Dia yang telah ku amanahkan untuk mengganti tempatku sekiranya aku gagal sampai tiba dengan berkain dan berbaju T-Shirt. Tinggi betul keyakinannya yang aku akan sampai. Pregio dipecut ke KML. Sebelum dia meninggalkanku aku sempat berjenaka dengannya. "Bang, hari ni abang satu-satunya orang bukan Dusun yang bantu saya untuk sampai ke sini." Dia ketawa.

9.00pm
Penganjur program tampak resah. Kebetulan telefon bimbitku mati jadi mereka tidak dapat menghubungiku. Tetapi sebaik sahaja melihatku, mereka tersenyum lega. Terima kasih Ya Allah kerana membolehkan aku sampai ke sini.

9.30pm
Aku yang diletakkan sebagai panel pertama memulakan sesi pada malam itu.

Kapak bukan sebarang kapak,
Kapak dibuat membelah kayu,
Batak bukan sebarang Batak,
Batak sudah masuk Melayu.

Meja bukan sebarang meja,
Meja dibuat tempat makan,
Remaja bukan sebarang remaja,
Remaja harapan sepanjang zaman.

Penonton bersorak. Subhanallah. Seronoknya bila dapat berbakti. teringat kata-kata anak murid maya Saiful Islam 'keghairahan dalam memberi menjadikan hidup kan lebih bernilai dan bererti..'

Terima kasih Azzam. Terima kasih Dunstan. Terima kasih Syukri. Terima kasih KML. Terima kasih Ya Allah..

Coret-coret Sejarah..

9 SEPTEMBER 2008
Islamnya Johan Iskandar
Hari ini cukup bermakna. Selepas tarawih nanti seorang lagi saudara akan diislamkan dan akan bersama berpayung di bawah aqidah yang sama. Saudara Johan Iskandar mengucap dua kalimah syahadah dengan disaksikan oleh Ustaz Nahar Matamin di rumah beliau di Kampung Likas. Alhamdulillah..tugas menyampaikan dakwah bertukar kepada tugas yang lebih rumit. Tugas mendidik dan mengekalkan saudara baru dalam aqidah Islamnya. Berikan kami kekuatan wahai pemilik segala kekuatan..

12-14 SEPTEMBER 2008
Tamrin Nuqaba’ KML
Jemputan menjadi penganjur cum fasilitator di KML untuk program Tamrin Nuqaba’ KML terpaksa dipenuhi atas desakan daripada dalam dan luar. Berat untuk meninggalkan persiapan Konsert Motivasi Muadz separuh jalan, tergantung tak bertali di tangan AJK yang diletakkan secara adhoc. Merempit bersama Abang Pai dengan kelajuan maksima 120km sejam ( Setiap kali melebihi kelajuan tersebut Abang Pai akan menepuk-nepuk bahu saya dan berkata ‘Perlahan sikit Nadir, abang belum kahwin’ ) kami berjaya menaiki bot laju terakhir dengan bayaran ekstra RM5. Tiba di Labuan dan baru menaiki bas ke KML, telefon berbunyi. “Nadir, enta kena balik juga ada emergency” suara Abang Sidi. “Ba, ye la,” separuh hati. Baru jak sampai. Sempat juga mengikuti sebahagian program, esoknya Abang Syukri menghantar ke pelabuhan dan bot laju sekali lagi dinaiki ke Menumbok.
Minyak motor Hafiz yang sudah habis diisi dengan petrol dalam botol yang dijual di tepi jalan. RM8 = separuh tangki. Mahal. Pertemuan diatur pada jam 4.30pm. Sekarang dah jam 1.20pm. Motor dirempit dengan kelajuan 140km. Ku pun belum kahwin tapi kalau dah takde jodoh apa boleh buat. Baru sampai Klias motor mati. Minyak habis. Makcik yang menjual nenas di tepi jalan didekati. “Ada jual minyak ke makcik?” Makcik tertawa. “Nenas ada la.” Ku pun tertawa. Makcik yang betul ku teka berbangsa Dusun itu bersungguh-sungguh menelefon segenap orang untuk cuba membantuku. Hidup Dusun. Last-last ku ambil inisiatif mintak tolong ayah, pengetua Al-Aman. Lalu rempitan disambung. Alhamdulillah lewat sejam je...

14 SEPTEMBER 2008
Konsert Motivasi Muadz dan Ifthar Jamai’e ISEUMS
Program yang diluluskan last minute berjalan dengan sedikit huru-hara. Program digabung dengan majlis penutupan program Jejak Sinar Ramadhan Kolej Kediaman CD. Jemputan – Anak-anak yatim Al-Aman, SM Teknik Likas, Komuniti Persaudaraan Islam Cosmopoint, Pusat Islam Politeknik, warga UMS, para muallaf dll. Asalnya kami hanya diminta disediakan AJK Protokol. Jadi itu jak yang kami sediakan. Rupanya ada AJK JSR yang merungut kena buat kerja double, uruskan Muadz sekali. Minta maaf banyak. Miscommunication. Apapun majlis boleh tahan lancar. Muadz juga berkesempatan mengimamkan tahlil dan doa selamat selepas Maghrib. Terima kasih Muadz. Terima kasih Cik KB yang benarkan joint-venture program. Terima kasih JAKMAS CD dan AJK JSR yang bekerja lebih daripada sepatutnya. Barakallahu fikum...

19-21 SEPTEMBER 2008
Gema Ramadhan 2008 dan Qiyamullail Bulanan Kelab Remaja Ukhwah
Program tahunan EKSAH yang ditukar nama daripada Ihya’ Ramadhan kepada Gema Ramadhan. Dibuat di Masjid An-Nur, Tuaran. Peserta seramai kurang lebih 70 orang. Petang Sabtu kami disertai oleh adik-adik KRU daripada SMK Tebobon, SMK Kolombong, SMK Badin dan SMK Tamparuli yang kebetulan berprogram di tempat sama. Peserta program qiyamullail mereka? 125 orang. Dahsyat. Baru program qiam dah ramai sebegitu. Memang betul apaku selalu sebut. Masyarakat Sabah memang masyarakat yang TAK TAHU tapi SANGAT-SANGAT MAHU. Sayang Sabah. Kedua-dua program berjalan dengan lancar, Alhamdulillah.

Friday, September 12, 2008

Kampung Kobuniku Sayang..



Rabu yang lepas, 10 September 2008 merangkap 10 Ramadhan 1429H, selesai berusrah di SM Teknik Likas, saya dan Abg Arep, Pengarah PKS merempit dengan KAG melalui lorong-lorong gelap ke Kg. Kobuni. Kebetulan beberapa orang sahabat menjemput berbuka di sana, yang kemudiannya akan disusuli program penyerahan sumbangan. Kami pun mengambil peluang yang terbuka di depan mata. Cara paling mudah memungut pahala-menumpang program orang. Ketika kami tiba orang kampung dan rombongan yang telah tiba awal telahpun habis berbuka. Kami tanpa perlu menagih dihulurkan nasi tapau dan air sirap. Rata-rata kampung ini terdiri daripada masyarakat Dusun yang beragama Islam. Teringat pesan Abg Salman yang dinaqalkan daripada Abg Nazrey Johani, kalau nak cari calon, carilah daripada kalangan orang Dusun, mereka ini setia pada suami. Sudahlah setia pada suami, kalau dapat yang baik, setia lagi pada perjuangan..Subhanallah..yang hujung tu saya tambah sendiri. Apapun pengalaman berhempas-pulas dengan orang Dusun nyata membuktikan yang mereka ini memang setia, tinggi perasaan ambil berat dan kasih-sayang, selain teguh ikatan kekeluargaan dan kemasyarakatan. Ya Allah peliharalah setiap mereka yang dalam darahnya mengalir darah Dusun. Aik, lari suda fokus.



Maka kami pun makan dan minum dan lewatlah sedikit solat, sehinggalah waktu Isya hampir menjelma, terpaksa kami mengangkat punggung kerana ada usrah dan urusan di tempat lain pula. Apapun, bukanlah pengalaman yang tak seberapa ini yang hendak dicoretkan. Yang suka untuk diketengahkan ialah betapa dalam jerih-pedih berjuang, langkah tidak boleh terhenti kerana pasti dan pasti masih ada yang memerlukan kita. Daripada situ timbul kata-kata keramat, tangisan milik sendiri, kesakitan milik rakyat, perjuangan milik Allah. Mudahkah difahami kata-kata ini?

Monday, September 8, 2008

Bila masanya untuk orang lain?

Ramadhan tahun ini mungkin antara Ramadhan paling berharga yang dilalui. Konflik dan masalah yang mendatang membuka mata dan hati untuk lebih mengenali Pencipta dan yang dicipta. Mengalih tumpuan daripada satu mendamba perhatian diraih oleh beribu. Sungguh tidak cukup manfaat, tenaga dan kasih-sayang untuk diberi kepada semua walaupun dirasakan sudah habis banyak diperah dan dikerah. Sungguh bila mampu memberi fokus dan mengalih diri daripada masalah peribadi banyak kerja yang minta dibereskan. Ramainya insan sepi yang mencari sokongan dan perhatian. Ramainya yang bermasalah mencari solusi dan motivasi. Ramainya yang baru dilontar hidayah mencari tempat berpaut. Sedangkan kita masih hanyut dengan masalah peribadi dan masalah hati..senangnya bercakap..

Sabtu lepas, 6 Ramadhan 1429H kami berbesar hati mengikuti rombongan Kolej Kediaman CD menziarahi wad pedriatik di Hospital Likas. Program ini merupakan anjuran Exco Kerohanian dan Sahsiah KKCD di bawah Saudara Faez Husin. Berbekalkan bubur lambuk yang dimasak sejak pagi, kami tiba di hospital sekitar jam 4.30pm dan memecahkan kumpulan kepada dua, satu kumpulan melawat Wad Melur 1 dan satu lagi melawat Wad Melur 2. Saya, Abg Hasnur dan Makbil membuat gerakan solo memandangkan kami adalah parasit yang menumpang pahala di program orang. Rata-rata mereka yang dilawati telah lama berada di hospital, kehadiran kami disambut dengan baik memandangkan kami membawa sedikit perubahan daripada rutin biasa. Yang paling memberi kesan ialah wajah anak-anak kecil yang baru berusia sebulan dua terpaksa bernafas menggunakan mesin dan alat-alat bantuan. Ibu-ibu mereka tabah mendampingi, tanpa ada sedikit rasa sesalan atau kekecewaan terpamer pada urat-urat wajah mereka. Cuma apabila kami bergerak meninggalkan wad sahaja kelihatan beberapa ibu mengesat air mata yang mengalir perlahan mengusap wajah-wajah kepenatan.

3 orang kanak-kanak secara peribadi meninggalkan kesan mendalam kepada saya. Yang pertama ialah adik Ivan. Adik Ivan mempunyai paru-paru yang dijangkiti kuman. Beliau telah berada di hospital sejak bulan September tahun lepas. Ibunya yang berbangsa Dusun dan menetap di Ranau telah menjaganya selama setahun, malah telah melahirkan adik kepada Ivan, bernama Putri, tiga bulan, dalam tempoh penjagaannya di hospital yang sama. Seperti ibu-ibu yang lain, saya yakin airmata ibu kepada Ivan telah kering, hanya mampu berdoa agar suatu hari nanti anaknya dapat melalui zaman kanak-kanak dengan normal. Ivan sedang tidur ketika kami sampai. Jarang sekali dapat menatap wajah yang begitu tenang walaupun terpaksa memakai alat bantuan pernafasan. Kami meninggalkan kereta mainan yang kami beli untuk lawatan tersebut, untuk adik Ivan bila beliau sembuh nanti.




(Ivan dan Putri)

Kemudian kami bergerak ke bilik seterusnya. Di sana kami melawat seorang adik yang diuji dengan demam panas. Wajahnya penuh dengan bekas luka atau keruping yang hampir sembuh. Keadaan beliau yang menangis tidak mengizinkan kami untuk bertanya lebih lanjut tentang keadaannya. Tiba-tiba kami terdengar suara seorang budak kecil sedang bercakap-cakap dengan ibunya melalui telefon. Suara comel itu datang daripada kanak-kanak yang berada di katil sebelah. Kami merapati beliau dan mula berbicara dengannya sebaik dia habis berborak dengan ibunya.


(Faizul)

"Assalamualaikum adik. Adik nama siapa?," saya memulakan.
"Waalaikumussalam. Faizul," dia menjawab.
"Berapa lama dah adik kat sini?"
"5 bulan"
"Lama juga tu. Adik sakit apa?"
"Tak tau.."
"Mama adik mana?"
"Dia balik sekejap"
"Adik tinggal di mana?"
"Kota Belud"
"Kadazan ek?"
"Sino"
"Pandai cakap Sino?"
Dia tergelak. "Tak"



"Ish, janganlah korek pipi tu. Nanti cabut kang sakit" saya menegur Faizul yang asyik menarik-narik pipinya dari tadi.
Di tergelak lagi.
"Cantik baju Faizul," saya memuji entah apa yang terpaksa dipakai di badannya untuk membantunya bernafas. Doktor memberitahu yang dia terpaksa bergantung pada alat tersebut untuk hidup.
Gelaknya makin bertenaga. Dah hilang takut agaknya. "Tu bukan baju la. Tu besi."
"Oooo..cantik baju besi Faizul."
"Hahaha"
"Emm, Faizul duk sini buat apa? Kalau abang bawa buku nak baca tak?"
"Taknak la. Boring dah hari-hari baca buku."
"Ni main SOS ni dengan siapa?" Saya menunjuk pada whiteboard kecil yang berada di tepi katilnya.
"Nurse"
"Die terror ke tak?"
"Tak..hahaha.."
"Nak try lawan abg?"
"Boleh juga."
Saya menang pusingan pertama. Dan memberi peluang untuk dia menang pada pusingan kedua.
"Alamak. Seri la pulak. Lain kali abang datang kita lawan penentuan a.."
"Boleh jugak."

Saya meninggalkan nombor telefon di whiteboard Faizul dan meminta beliau menghubungi kalau rindu. Dia tersenyum lagi.

Waktu maghrib makin hampir. Kami mengambil keputusan melawat seorang lagi pesakit. Mata yang melilau terpaku pada seorang budak yang sedang duduk seorang diri di atas katil. Saya mencari-cari senarai nama pesakit di dinding wad. Nak dibuat modal bergurau. Katil nombor 8 - Jason. Kami merapati budak tersebut dan menghulurkan tangan.

"Hi, nama saya Jason"
"Nama saya Steve," dia menjawab. Aik? Data pesakit tak update rupanya. Gurauan tak menjadi.
"Steve je?"
"Steve Owen"
"Wah, biar betul?"
"Betul. Masa saya lahir tengah sukan. Jadi ayah saya bagi nama Owen."

Tiba-tiba dia memandang seorang budak perempuan yang duduk di kerusi di tepi katilnya.

"Cewek ek?"
"Kahkahkah.." kami terkejut mendengar dia ketawa tiba-tiba."Bukanlah.."
Budak perempuan tersebut tersipu-sipu. Rupanya dia juga pesakit dan dia suka melawat Steve. Brenda namanya. Lama berborak dengan keduanya, Abg Hasnur meninggalkan nombor telefon dan kami bergerak meninggalkan wad dengan diiringi gelak tawa Steve yang kedengaran ke seluruh aras tersebut.

Selesai solat Isya' pada malam itu, telefon berbunyi dan nombor yang tidak dikenali terpapar di skrin.

"Assalamualaikum..siapa ni ya?"
"Ni Faizul. Abang tengah buat apa?"
.....................................................................................

Sunday, September 7, 2008

Duka Mesti Diiring Suka..

Malam itu seperti malam-malam yang sebelumnya. Rasa letih dan hampir putus asa mengelambui diri. Letih mendamba kasih dan mengaharap pada sebaik-bauk kejadian. Biasanya kalau dalam keadaan begini ku berbasmalah dan menyelak Al-Quran. Pasti dan pasti pada bukaan kali pertama atau kedua aku akan terserempak dengan ayat-ayat cinta dari Ilahi. Tepat dan menusuk. Dalam dan menyentap.Tetapi kali ini kaedah tersebut kurang berkesan. Hati masih berduka. Kotor agaknya. Jiwa masih membungkam. Tiba-tiba handset berbunyi. 'Tahniah atas Gema Inspirasi yang baru, lebih bermutu hasil pembacaan yang lebih mendalam," Jiwa sedikit terubat. Sedikit. Handset berbunyi lagi. "Bang! Esya (Bukan nama sebenar) gembira sangat! Abdullah (juga bukan nama sebenar) dah mengucap depan Esya!"..Subhanallah..hati terubat sepenuhnya..Silap kalau kita rasakan perjuangan tiada hasil. Yang wajib dibentuk ialah keyakinan bahawa segala hasil-mahsul usaha terpulang dan tertakluk pada Allah untuk memberi dan menzahirkan. Aku beristighfar panjang. Dan aku mula mendidik Abdullah mengenali Islam. Mudah dan indah membentuk jiwa-jiwa yang kosong dan mencari berbanding hati yang sudah terisi tetapi tercemar. Bermula dengan Abdullah, banyak pula maklumat tentang saudara baru atau yang ingin memeluk Islam sampai ke pengetahuanku. Subhanallah. Ya Allah, gagahi langkahku menelusuri sayap baru dalam dakwahku.. '

Friday, September 5, 2008

Sebutir Pasir

Sebutir Pasir

Aku bermula sebutir pasir
Terdampar di pantai kehidupan
Ditiup angin berterbangan
Dihembus ke kiri ke kiri
Dihembus ke kanan ku ke kanan

Tika ini
Hidupku tidak pernah sepi dari noda dan dosa
Tidak pernah sepi dari leka dan alpa
Lemas dalam jurang-jurang durjana
Tersasar jauh dari hakikat hamba

Suatu hari
Aku disapa Sang Pengembara
Aku diangkut ke medan mulia
Dibelai dakwah
Diusap tarbiyyah

Diriku diadun dengan airmata takwa
Disebati dengan tanah dan lumpur perjuangan pusaka

Lalu aku semakin teguh
Ditiang oleh aqidah
Disimen oleh ukhuwwah
Diteduh oleh atap mahabbah
Disusun dan diatur menjadi bangunan teguh yang tak bisa roboh
Tegak dan kukuh

Masa terus berlalu
Bangunan kian usang disalut debu
Di tapak kukuh mula tampak retak dan rekah
Debu putus asa dan marah
Retak oleh tarbiyyah ruhiyyah
Rekah oleh lemahnya thaqafah

Duhai pasir
Kau kini bukan lagi sebutir
Kau tidak boleh mengalah
Disisimu akan ada teman-teman yang sama melangkah
Yang sama bercita menuju mardhatillah

Duhai pasir
Jika kau hendakkan istiqamah
Jangan kau turuti nafsu serakah
Jika kau mahu kekal di jalan ini
Jangan kau cari cinta duniawi
Jika kau dambakan damai abadi
Jangan kau bergantung pada kasih insani

Carilah Ilahi
Ramadhan Bulan Perubahan

Panjang umur murah rezeki usia telah dilanjutkan untuk sekali lagi menyambut kehadiran bulan mulia Ramadhan Al-Mubarak. Mungkin ramai yang telah bersedia daripada segenap aspek bagi menyambut kedatangan bulan ini. Malah mungkin ada yang sudah terkehadapan dengan mula menempah baju raya dan persiapan menyambut Aidil Fitri walaupun belum pasti puasa pada tahun ini akan penuh atau tidak. Apapun, kita maklum bahawa sambutan Hari Raya Aidilfitri adalah manifestasi kesyukuran setelah sebulan berjaya mengekang hawa nafsu daripada menzalimi hak Allah dan melaksanakan amanatnya. Bagi yang belum menemui titik tolak atau garis mula untuk berubah, jadikanlah ‘madrasah tarbiyyah’ ini sebagai medan untuk mula menghayun langkah perubahan. Jangan kita menunggu sehingga Hari Perhitungan, di mana anggota-anggota kita yang akan menjadi saksi segala kemaksiatan yang dilakukan.

“Pada hari ini (Hari Kiamat) kami akan kunci mulut-mulut mereka dan akan bercakap kepada kami tangan-tangan mereka dan bersaksi di hadapan Kami kaki-kaki mereka terhadap apa-apa yang mereka telah perbuat (di dunia dahulu),” Surah Yassin, ayat 65

Sebagai garis panduan, mari kita merujuk kaedah meninggalkan maksiat yang digariskan oleh Imam Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin berhubung cara-cara meninggalkan maksiat, dengan penumpuan kepada tujuh anggota yang bakal menjadi saksi di Padang Mahsyar, yakni mata, telinga, lidah, perut, kemaluan, tangan dan kaki. Suka disebutkan di sini bahawa mujahadah atau perjuangan melawan hawa nafsu sangat-sangat berkait rapat dengan amalan hati, dan kerana itu sebelum menulis berhubung kaedah meninggalkan maksiat, Imam Ghazali menyeru kepada perkara-perkara yang lebih asas dalam bab-bab yang lebih awal, antaranya berhubung adab-adab, bermula daripada adab bangun tidur sehinggalah ke adab berpuasa dan solat berjamaah. Mudahnya, mujahadah melawan hawa nafsu tidak akan berhasil seandainya perkara-perkara asas tadi tidak diselesaikan dahulu. Jika anda sudah bersedia untuk menapak ke depan, ayuh kita lihat, anggota mana yang bermaksiat..

1. Mata

Mata dicipta oleh Allah untuk melihat dan mentafsir alam, seterusnya menghargai dan mengagumi kehebatan dan kekuasaan Allah. Maka mata harus dipelihara daripada empat perkara;

a) Melihat perempuan yang bukan mahram
b) Melihat gambar-gambar lucah yang membangkitkan syahwat
c) Melihat orang lain dengan pandangan penghinaan
d) Melihat keaiban orang lain

2. Telinga

Telinga dicipta oleh Allah untuk mendengar alunan Al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah, hikmah para Auliya’ dan ilmu pengetahuan. Maka jauhkanlah daripada mendengar akan maksiat, dan janganlah mengatakan bahawa dosa orang yang memperkatakan orang hanya tertentu bagi orang yang berkata sahaja, tetapi dosa itu juga akan terkena pada yang mendengar, berdasarkan hadis Rasulullah,

‘Sesungguhnya orang yang mendengar (seseorang yang mengumpat orang lain) adalah bersekutu (di dalam dosa) dengan orang yang berkata itu. Dan dia juga dikira salah seoarang daripada dua orang yang mengumpat.’

3. Lidah

Allah menciptakan lidah untuk berzikir dan membaca Al-Quran, membimbing manusia ke jalan kebenaran, dan melahirkan perasaan dan kehendakmu, samada perkara berhubung dunia atau akhirat. Lidahmu adalah anggota yang paling berkesan di atas dirimu dan orang lain. Berapa ramai nanti yang akan dihumbankan ke dalam api neraka dengan sebab maksiat yang dilakukan oleh lidah mereka. Maka kekanglah lidahmu sekuasamu daripada lapan perkara;

a) Bohong, samada bersungguh-sungguh atau bergurau.
b) Menyalahi janji
c) Mengumpat orang, walaupun disebut tentang perkara yang benar ada pada yang diumpat.
d) Berdebat atau bertengkar dan suka membantah perkataan orang lain, kerana sering menyakiti hati orang yang dibantah, terkadang sampai memperbodohkannya atau menyentuh peribadinya, pada masa yang sama tidak terlepas daripada memuji diri sendiri.
e) Memuji diri sendiri, kerana ahli hikmah menyebut bahawa memuji diri adalah ‘kebenaran yang paling buruk’
f) Melaknat, samada manusia atau binatang atau apa-apa sahaja daripada makhluq Allah
g) Mendoakan celaka bagi orang lain, kerana boleh jadi kecelakaan yang didoakan ke atas orang lain melebihi kezaliman yang dilakukan ke atas dirimu, maka orang yang didoakan pula yang akan menjadi orang yang dizalimi.
h) Bergurau, mengolok-olok dan mengejek orang lain.

4. Perut

Perut hendaklah dijaga daripada sesuatu yang haram dan syubhat, dan apabila telah memperoleh makanan yang halal maka hendaklah berhenti sebelum kenyang, kerana perut yang kenyang itu mengeraskan hati, menumpulkan akal, memberatkan anggota daripada beribadat dan mencari ilmu, malah menguatkan syahwat dan membantu tentera syaitan.

5. Kemaluan

Kemaluan hendaklah dijaga daripada apa yang diharamkan Allah, dan ini tidak dapat dilakukan kecuali apabila engkau menjaga matamu daripada melihat yang haram, menjaga hatimu supaya tidak berfikir yang bukan-bukan dan menjaga perut daripada makanan yang syubhat dan berlebihan, kerana semua ini adalah penggerak bagi syahwat.

6. Tangan

Hendaklah kedua tanganmu dijaga daripada memukul seorang Muslim dan daripada mencapai sesuatu yang diharamkan atau menyakiti sebarang makhluq Allah, dan daripada mengkhianati amanah atau simpanan orang dan daripada menulis sesuatu yang tidak boleh dituturkan.

7. Kaki

Kedua kakimu hendaklah dipelihara daripada melangkah ke suatu tempat yang haram, dan daripada melangkah mendekati seorang Sultan atau pemimpin yang zalim.


Wahai manusia, ketahuilah bahawa perbuatan anggotamu yang zahir hanyalah timbul daripada arahan yang datang dari hatimu. Nescaya untuk memelihara segala anggota zahir, maka mulakanlah dengan membersihkan hatimu, menjaga hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia, dan ini dinamakan taqwa batin, dan kebersihan hati itu hanya dicapai melalui Al-Muraqabah, iaitu menghadirkan hati bersama Allah dan merasakan pandangannya pada setiap masa.

Jom mengorak langkah perubahan bermula Ramadhan!!
Tamu Gadang ; Antara Menjunjung Kesarjanaan Graduan dan Meningkat Intelek Masyarakat

Seperti sebelumnya Pesta Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah, yang lebih dikenali oleh warga kampus dan masyarakat setempat sebagai Pesta Tamu Gadang berjalan meriah. Sambutan selama 6 hari menyaksikan ribuan umat berpusu-pusu mengunjungi puluhan gerai dan booth pameran, dan para penjual bertepuk tangan girang bila produk samada makanan, bunga-bungaan, minuman dan sebagainya habis dijual. Bukan setakat itu, Pesta Tamu Gadang adalah acara yang dikenali di peringkat negeri, penganjurannya melonjak industri pelancongan tempatan, memberi keuntungan berlipat-ganda kepada syarikat-syarikat pengangkutan dan perhotelan malah membawa nama baik Universiti menghiasi dada-dada akhbar dan corong-corong radio. Ringkasnya, aura dan penangannya meliputi dan merangkumi kelompok masyarakat yang cukup luas dan ramai. Peluang yang kalau digunakan dengan baik tentu sekali mampu menjadi wadah pencorak pemikiran masyarakat dan pembangunan negara.

Tujuan Pesta Tamu Gadang dianjurkan adalah untuk meraikan graduan-graduan yang telah tamat belajar, bagi mengiktiraf kesarjanaannya dan menjadi simbol bahawa mereka adalah lepasan Universiti ini, sudah cukup mampu dan matang untuk melangkah ke dunia realiti, meneruskan perjuangan dan berbakti di tengah-tengah kelompok masyarakat. Seharusnya aura dan nilai intelek ini juga yang dirasai oleh mereka yang berkunjung ke pesta ini. Perasaan menghargai dan mencintai ilmu. Perasaan mengagumi golongan yang diangkat martabatnya oleh Allah dengan pengetahuan dan menjunjung menara gading tempat menuntut ilmu. Perasaan ingin bersama menjadi penuntut dan pemburu ilmu sepanjang hayat. Sama seperti sambutan Hari Pahlawan yang bertujuan meraikan para pejuang tanahair, pada masa yang sama merangsang mereka yang bersama-sama meraikan sambutan untuk merasai penat-lelah dan pengorbanan pahlawan tanahair. Sama seperti Sambutan Hari Ibu, mengiktiraf pengorbanan golongan ibu pada masa yang sama membuatkan orang yang turut sama menyambut merasai jerih-perih dan susah-payah perjuangan seorang ibu membesarkan anak-anak. Malang sekali bila motif utama dan tujuan sambutan sesuatu perayaan atau acara tidak dirasai secara kolektif oleh seluruh yang bersama meraikannya, malah dicemari oleh anasir-anasir yang jauh menyimpang dari matlamat asalnya.

Penulis berpendapat perkara yang sama berlaku saban tahun pada sambutan Pesta Tamu Gadang. Jika dibuat analisis rambang ke atas pengunjung sambutan selain mereka yang bergraduasi, tentang perkara pertama yang terlintas di kepala mereka apabila disebut Tamu Gadang, penulis meyakini semua akan berpendapat bahawa kata-kata yang pastinya kedengaran adalah ’konsert!’ atau ’Battle of The Band!’ atau ’gerai makan yang banyak!’. Pastinya jarang atau tidak langsung kedengaran jawapan seperti ’majlis yang meninggalkan nostalgia mendalam kepada mereka yang telah berhempas-pulas menuntut ilmu di Universiti’ atau ’pengiktirafan ilmiah buat para graduan’. Malah antara ramai-ramai orang luar yang hadir mungkin ada yang tidak tahu pun bahawa Pesta Tamu Gadang bukan semata-mata pesta malah medan menyerahkan segulung ijazah kepada para siswazah.

Tidak ada pihak yang boleh disalahkan secara total berhubung isu ini. Kerana doktrinisasi yang berlaku dan mind-setting yang telah sebati terbentuk di dalam benak warga kampus dan warga masyarakat walaupun mungkin tidak akan diakui secara lisan berbunyi ’Tamu Gadang adalah medan berseronok bagi meraikan graduan baru dan menarik orang luar datang ke kampus’. Kerana itu pesta ini perlu dipenuhi dengan acara-acara yang paling menarik dan vogue agar sambutan terhadapnya memuncak. Kerana itu artis-artis yang hebat dan dahsyat perlu dipanggil supaya dataran Dewan Canselor dibanjiri peminat. Yang menjadi ukuran berjaya atau tidak Tamu Gadang ialah ramai mana orang yang hadir ke majlis pembukaan yang diserikan Adam dan Stacy. Ramai mana yang datang ke penutupan yang daya penariknya adalah para artisan. Sedangkan jika mesej sebenar yang cuba dibawa oleh Tamu Gadang tidak diseleweng, yang sepatutnya menjadi ukuran ialah sejauh mana Tamu Gadang telah memberi manfaat kepada masyarakat melalui program wacana ilmiah seperti forum kekeluargaan, ceramah motivasi dan sebagainya. Yang sepatutnya diletakkan sebagai kayu ukur ialah sejauh mana minda dan pemikiran masyarakat telah terbentuk ke arah lebih menghargai dan mencintai ilmu. Yang sepatutnya menjadi pertikaian ialah sejauh mana masyarakat mengiktiraf dan menghormati peranan mahasiswa yang baru bergraduasi sebagai agen yang akan membentuk dan membawa perubahan dalam kehidupan mereka. Apapun tahniah buat Ecxo Projek dan Protokol, dan semua penganjur Tamu Gadang. Perubahan memerlukan masa dan kesungguhan. Secawan air tidak dapat mencairkan sekawah dodol.

Apa yang pasti, Tamu Gadang perlukan satu anjakan!

Wednesday, September 3, 2008

Malam Apresiasi 'Amilin

Malam Apresiasi 'Amilin diadakan pada tanggal 24 Ogos 2008 bagi meraikan abang-abang dan kakak-kakak senior yang bergraduasi. Matlamat adalah untuk mengikut ukhuwwah dan memastikan kesinambungan gerakerja dakwah selepas keluar ke alam realiti. Saya turut dijemput hadir memandangkan kakanda Nada juga bergraduasi pada kali ini.








Semoga kalian terus dan terus istiqamah..

Tak Kenal Tak Cinta

Penulis adalah insan yang cintakan seisi dunia dalam perjalanan menuju akhirat. Cinta kepada isi dunia, membawa diri cinta untuk memberi.

Diberi ruang memberi sejak di bangku Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) Subang Jaya, Exco Kerohanian dan Sahsiah MPP Universiti Malaysia Sabah, Timbalan Presiden Persatuan Siswazah Sabah dan kini mencari ruang memberi dengan berkongsi mengasaskan Rabithah Tullab Ad-Dawli.

Pemegang ijazah Sains Marin daripada Universiti Malaysia Sabah dan meneruskan pengajian di dalam bidang syariah dan Bahasa Arab di Maahad Dawli, Dimashq.

Rabithah Tullab Ad-Dawli

Rabithah Tullab Ad-Dawli memerlukan sumbangan berterusan untuk menjalankan agenda kebajikan.

Salurkan sumbangan anda ke akaun sementara:

Maybank : 162263440765
(Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Pengurus Rabithah)

Persatuan Siswazah Sabah

Persatuan Siswazah Sabah
Misi Menyelamatkan Aqidah Anak Sabah

Mereka Juga Membaca :

Sebarkan Pahala Itu :

There was an error in this gadget

Kunjungan VIP:

Ilmuwan