:: Setiap Pemberian, Bernilai Di Sisi Tuhan ::

Tetamu Kehormat :

Saturday, June 14, 2008

YDP MPMUM - Demo Mengharu-Biru, Boikot Tak Berkesan?

Baru-bari ini saya terbaca surat pembaca dalam Majalah I edisi Jun yang dikirim oleh Saudara Afandy bin Sutrisno Tanjung , YDP MPMUM yang menidakkan kesan boikot kepada negara yang diboikot, malah berhujah bahawa ia merugikan ekonomi negara. Afandy juga menolak demonstrasi dengan mengatakan bahawa ia membuktikan lagi bahawa umat Islam adalah umat yang cepat meradang dan disruptif. Tanpa perlu mengeluarkan hujah sendiri, telitilah artikel-artikel di bawah;






Malah di dalam Majalah I edisi yang sama ada menceritakan bagaimana boikot memberi kesan kepada negara pengeluar. Saya tidak membawa pendirian bahawa boikot harus dilancarkan ke atas Belanda sebagaimana dilancarkan ke atas Denmark sebagai respon kepada Fitna, memandangkan kerajaan Belanda tidak sehaluan dengan idea yang didukung Geert Wilders'. Akan tetapi, bukan itu yang menjadi fokus perbincangan hari ini.

Dalam mengulas tentang demonstrasi, Saudara Afandy seolah-olah keliru akan hakikat demonstrasi yang berlaku di Malaysia dan yang berlaku di negara lain seperti Indonesia. Jelas sekali bahawa demonstrasi yang berlaku di Malaysia tidak pernah bersifat provokatif dan tidak pernah mengganggu ketenteraman orang awam. Berikut hujah-hujah syara’ yang membenarkan demonstrasi:

( disertasi.blogspot.com > Cakna Minda iii > Islam Membenarkan Demonstrasi, 12 Noktah Perhatian )

Sekali lagi, saya tidak memilih medan ini untuk membicarakan tentang penggunaan pendekatan demonstrasi sebagai langkah menyelesaikan masalah yang berlaku di kampus Universiti Malaysia Sabah.
Semoga pimpinan mahasiswa lebih kritis berhujah di masa hadapan agar kepercayaan dan keyakinan mereka yang dipimpinnya, khususnya anak buahnya sendiri tidak goyah dan rapuh dek tiada profesionalisme dalam mengeluarkan pendapat.


Bila Keris Disarung..

(11 Jun 2008)

Baru-baru ini kami bermusafir ke Terengganu dengan tujuan melaksanakan program. Hasrat asal berhenti di replika sotong dan udang gergasi di bandar Marang terbantut apabila semua terlentok dek lembutnya kerusi bas Ekspres Kesatuan yang kami naiki. Mujur Ayu terjaga dan menyuruhku meminta pemandu menghentikan bas. Hendak diharapkan Su baru dua minit bas berjalan dia sudahpun dibuai mimpi. Kami pun turun di depan balai polis Marang, yang tidak jauh pun daripada rendezvous yang sepatutnya. Tak lama kemudian datang Sidi dan Fizi menjemput kami. Aku duduk di hadapan, berborak dengan Fizi dan setelah agak lama berborak, prejudis mula terbentuk..

“Kawasan ni sape menang?” Aku bertanya.

“Kawasan ni buleh ke puok Pas. Sini Setiausaha Idris yang bertanding tapi kaloh pulok die,” Fizi menjawab dengan nada sedikit kesal.

“Aik. Ingat orang Terengganu ni rata-rata masih sokong Pas. Kawasan Tok Guru lagi tu. Macam sedih je dia ni Pas menang,” Aku bermonolog. Dan terus menukar topik perbualan.

Jam 4.30 pagi, sebaik tiba di rumah Fizi, tempat kami tumpang menginap, kami disambut dengan senyum lebar ayahnya, Pok A.R.

“Jemput masuk, buat macam rumah sendiri.”

Puas tidur sepanjang perjalanan, aku menemankan Sidi di depan TV. Sidi sempat berbisik kepadaku “ Pakcik ni Bendahari UMNO kawasan,”. Oh, baru ku mengerti. Tidak lama kemudian datang semula Pakcik A.R, memujuk ku masuk ke bilik untuk berehat. “Takpela pakcik, puah doh tidur sakni,” Aku menzahirkan sedikit darah Terengganuku. Pok A.R pun terus duduk di sisi kami, menemani kami berborak. Antara perkara yang kami bincangkan ialah isu kenaikan harga minyak. “Ape kesannya pakcik kepada penduduk kampung ni?” Aku cuba menghangatkan dingin pagi. Pok A.R ketawa kecil. “Orang sini nok bergomol doh. Orang ni kate ke orang ni, orang tu kate ke orang tu,” Beliau mengulas “tapi memang berat betul. Banyak sangat doh tu naik. Kalau orang besor-besor, orang kaya takpe, tapi kita ni hok orang kampung yang dokleh gi,”. Kami mengangguk tanda setuju. Sampailah ke Subuh, Pok A.R melayan pertanyaan kami, menceritakan pengalaman beliau menembak ‘payau’ di Tawau dan macam-macam lagi.

Dan begitulah seterusnya kami dilayan untuk beberapa hari seterusnya, seperti melayan anak sendiri, dihantar ke sana ke mari, baju digosokkan, baju dicuci ( dengan mesin basuh ), makanan dengan tiga, empat lauk dimasakkan dan dihidangkan, mandi...mandi sendiri la. Ditambah lagi dengan gelagat adik bongsu Fizi yang manja dan becok, menceritakan tentang ‘cewek’nya di sekolah dan artis-artis kegemarannya.

Sampai ke hari terakhir, emak Fizi datang menemui kami seorang demi seorang dan menyuakan kain pelikat. “Ini je yang kami ada, ambillah,” ujar beliau. “Terima kasih makcik, banyak sudah ni,” kami menyambut. “Datang lagi ya bila-bila,” ibu menambah.

Selesai bersalaman dan mengucapkan terima kasih, kami bertolak ke tempat program. Pok A.R yang menghantar. Dalam perjalanan beliau sempat berpesan, “Nah, ambil ni nombor telefon pakcik. Bila-bila ada kat Terengganu, kat mana-mana pun, tak kira kat mana, tak kira pukul berapa, kalau ada masalah, telefon pakcik,” Untuk kesekelian kalinya kami terharu. Dan prejudisku lebur, hancur-berkecai dan pergi ditiup semilir pagi Terengganu.

Mulianya bangsa Melayu dan murninya adat ketimuran bila fahaman politik tidak menjadi kayu ukur. Tingginya kasih-sayang dan mesranya tidak dapat dinilai daripada bendera apa yang berkibar di atap rumah atau gambar siapa yang tergantung di dinding.

Indahnya kehidupan jikalau ideologi perjuangan dapat disatukan dan diperkasakan di bawah lembayung fitrah. Megahnya ketamadunan andai hati-hati dapat dikumpulkan dibawah payung aqidah.

Betapa akhlaq mulia dan kesopanan bukan milik sebelah pihak. Tetapi akhlaq mulia dan kesopanan milik seluruh yang bergelar Islam. Betapa masalah-masalah yang membebani masyarakat tidak membebani sebelah pihak. Tetapi seluruh rakyat terhimpit. Betapa tanggungjawab dakwah tidak harus tertumpu kepada mana-mana pihak, tetapi tanggungjawab dakwah harus menjangkaui semua pihak. Khususnya mereka yang masih mencari. Khusunya mereka yang belum mengerti. Khusunya mereka yang diikat oleh tradisi.

Ayuh mahasiswa, memangkin perubahan!!

"ubah gaya hidup.."

Penerangan Shabery Chik berhubung isu minyak dalam Helo Malaysia
( 11 Jun 2008 )

Cuba Dato’ ulas sedikit tentang kenaikan harga minyak?

Apa yang berlaku adalah krisis di peringkat dunia. Malaysia hanya terkena serpihannya. Sebenarnya tindakan kerajaan menaikkan minyak adalah pilihan antara populariti dan tanggungjawab. Di sini kerajaan lebih cenderung untuk memilih tanggungjawab walaupun pilihan ini tidak disukai oleh rakyat. Kita ambil contoh, sebuah keluarga dengan bapa yang mempunyai ramai anak, dan menanggung semua perbelanjaan anaknya. Satu hari harga barang naik, cukai naik, semua naik. Anak-anak masih nak berbelanja macam dulu, duit sekolah nak sama banyak, nak makan mewah hari-hari. Jadi ayah tersepit antara dua pilihan, nak kekalkan cara hidup dulu atau nak potong perbelanjaan. Nak buat pilihan popular atau nak buat pilihan yang bertanggungjawab. Ayah boleh membuat pilihan yang popular dengan membuat pinjaman daripada Along dan meneruskan cara hidup yang lama. Tapi lama-lama Along akan datang menuntut hutang dan mengganggu keluarga, hingga akhirnya keluarga berpecah-belah. Anak-anak pun akan lari. Sama macam kita. Kita boleh kekalkan dengan masa dulu, buat pinjaman dengan Bank Dunia dan sebagainya. Tapi lama-kelamaan, apa akan jadi? Jadi biar hari ni kita buat pilihan yang tak popular untuk kebaikan di masa hadapan.


Bagaimana dengan kenaikan harga barang? Apa puncanya?

Kita ni sedang bercakap tentang krisis. Beza masalah dengan krisis, masalah ni satu je. Tapi kalau krisis ni masalah yang bertimpa-timpa. Lepas masalah, masalah. Lepas masalah, masalah. Itu yang berlaku sekarang. Makanan sekarang yang keluar kurang. Permintaan pula makin tinggi. Harga racun pun naik. Harga baja naik. Cuaca buruk. Orang sekarang pun guna tanah untuk biofuel. Bukan sebab minyak naik je..


Rata-rata orang mempersoalkan, kenapa tak digunakan keuntungan Petronas yang begitu besar untuk membantu meringankan beban dengan meningkatkan subsidi? Lebih-lebih lagi kita merupakan negara pengeluar minyak?

( Ketawa ) Kita ni pengeluar minyak yang ke berapa dunia? Kalau nombor 1-20 tu tak masuk pun kita. Sehari kita boleh keluar 600 000 hingga 700 000 tong je petrol. Tak sama dengan Arab Saudi. Di Arab Saudi tu petroleum atas darat. Cari kat gurun jumpa petrol. Kos pengurusan satu tong petrol belas-belas dollar paling banyak. Petrol kita ni tengah-tengah laut. Nak urus, kos pengangkutan semua saya tak pasti berapa. Tapi kita lebih kurang sama macam Amerika Syarikat. Cari minyak di tempat yang bukan lagi pesisir pantai tapi orang panggil ultra deep sea dah. Dan mereka yang dikatakan lebih efisien pun memerlukan kos dalam 70-80 dollar untuk pengurusan satu tong petrol.

Tentang keuntungan Petronas, dikatakan petrol kita ni akan habis dianggarkan tahun 2018. Kalau negara-negara besar macam China dia dah buat perjanjian awal dah dengan negara-negara yang ada petrol, suruh supply sampai tahun berapa,berapa. Petronas pun guna duit keuntungan tu untuk cari pelaburan luar, pergi Algeria, sini, sana. Jadi kita kena fikir panjang. Jangan kita nak semua keuntungan Petronas digunakan untuk kebaikan kita, kita kena fikir untuk generasi akan datang. Biarlah kita berkorban hari ni, supaya anak-anak kita senang di masa hadapan.

Tuesday, June 10, 2008

Rintih Pemandu Teksi 2 ( dan 3 )


Rintih Si Pemandu Teksi 2 ( dan 3 )
8hb Jun 2008

Petang itu aku menyampaikan kuliah maghrib di SAMBESTARI, alma-mater yang dikasihi. Aku menyeru adik-adik menjadi pelajar yang haraki, belajar bersungguh-sungguh, mengasah minda dan bakat kepimpinan, keluar menjadi agen perubah masyarakat. Entah kata-kataku meresap atau tidak ke jiwa adik-adik. Yang penting aku dah mencuba. Lagipun bukan itu tujuan utama aku ke sekolah. Lebih utama daripada itu adalah hasrat untuk menemui budak-budak KIDS. Peserta-peserta yang telah mengikut Kem Kepimpinan, Ibadah Dan Sahsiah yang dianjurkan alumni tahun lepas dan telah dijemaahkan menjadi penggerak di sekolah. Selepas isya’ mereka berkumpul di tepi surau. Pelajar yang lain pergi ke kelas prep. Kalau di zamanku, dengan kuasa sebagai KP Akademik, malam yang mana pelajar baru balik daripada bercuti ku isytiharkan saja prep dibatalkan. Tapi zaman telah berubah. Kalau diberi kebebasan pun budak-budak akan berduyun-duyun ke kelas prep juga.

Budak-budak KIDS, atau panggilan yang lebih mereka gemari, ‘ahli jemaah KIDS’ duduk di dalam bulatan. Aku memulakan aluan dan memetik Surah Al-Mai’idah ayat 54. Kemudian aku bertanyakan keadaan SAMBEST. Alhamdulillah, semua dalam keadaan baik. Pelajar F5 memegang rekod masalah didiplin sifar setakat ini. Semua form bersatu. Kes pukul sangat minima dan terkawal. Tapi...guru-guru pula berantakan. Aku tergelak. Pelik-pelik sekolah ni. Pelajar dah bagus guru-guru pula slack. Yang terhimpit macam sandwic, kepimpinan pelajar. Pelajar biasa bahagian bawah roti dan pengurusan dan guru-guru roti bahagian atas. Kepimpinan pelajar dilenyek di tengah-tengah. Ahli KIDS la tu. Rata-rata mereka yang mendominasi kepimpinan pelajar di sekolah. Teringat ketika di SAMTEN dulu, guru-guru perempuan bergaduh sampai tarik-menarik rambut. Na’uzubillah, minta dijauhkan daripada SAMBEST. Di akhir pertemuan Syazwan, amir jemaah yang juga Ketua Umum di sekolah mengingatkan ahli tentang agenda islamisasi SAMBEST. Tapi bila ditanya tentang maksud islamisasi SAMBEST, semua terdiam. Aku ketawa, diikuti oleh budak-budak KIDS. Yang penting mereka tahu apa sebenarnya yang nak dicapai.

Jam menunjukkan pukul 10.00 malam. Sebelum menapak meninggalkan sekolah sempat aku bercerita dengan Majdi dan Imani, antara dua ahli KIDS yang paling rapat denganku. Dua buah permata yang tidak akan aku persia-siakan. Hasrat bertemu dengan Teacher Norkiah, guru Bahasa Inggerisku merangkap pelatih debat BI dan guru disiplin tak kesampaian kerana beliau kurang sihat. 10.35 malam. Aku terpaksa meminta diri, takut ketinggalan komuter.

Di depan Summit Subang, aku mengambil teksi ke stesyen komuter Subang. Aku memang minat bercerita dengan pemandu teksi. Golongan ini antara yang mempunyai kesedaran politik dan sosial paling tinggi, kerana mereka antara yang terjejas secara direct dengan apa-apa perubahan yang berlaku. Dan mereka banyak bertemu ragam manusia sepanjang seharian bekerja. Macam aku.

“ Daripada mana bang? ”

“Cheras dik.”

“Oh. Jauh juga abang datang cari orang. ”

“ Semua tempat abang pergi. Kalau ke KL, KL lah. Kalau PJ, PJ lah. ”

“ Oh.” Sekali lagi aku mengangguk faham. Dan terus melontarkan soalan pembuka tirai, “ Kereta abang pakai gas ke petrol? ”

“ Gas dik, ”

“ Oh, jadi petrol naik tak bagi kesan la kat abang? ”

Dia ketawa.“Kalau LPKP bagi surat naiklah,” Rupanya dia tersalah dengar. Dia menyangka aku bertanya kalau-kalau harga tambang teksi telah naik.

“Maksud saya, abang tak terkesanlah dengan kenaikan harga petrol kan? Kecuali bila harga barang dah naik nanti. ”

“Barang naik dah dik! Semalam abang minum nescafe ais tepi jalan RM1.80! Gila betul!”

“ Mamak ke? Biasanya mamak yang berani naikkan harga ni,”

“Same je sekarang. Oarng Melayu pun laju dah sekarang,”

“Oh, ye ka? Selalunya Melayu ni paling lambat berubah,”

Abang teksi tergelak lagi. “ Tak lama dah tu,” Dia menyimpulkan.

Teksi sampai ke destinasi. Aku menyuruh abang teksi banyakkan bersabar dan mengucapkan terima kasih. Jam menunjukkan pukul 11 malam. Aku berlari anak ke stesyen KTM. Tren terakhir ke Seremban...jam 10.14 malam! Matila aku malam ni, hatiku berbisik. Aku berfikir panjang lalu mengambil keputusan untuk ke KL Sentral.

Sampai di sana, aku terus ke surau. Kunci! Tiada pilihan, aku melangkah keluar dari bangunan KL Sentral mencari hala tuju baru. Ha, ada kedai mamak. Apa-apa pun biar perut berisi dulu. Nasi goreng ayam dipesan dengan segelas air sejuk. Tak lama kemudian makanan sampai. Dan sedang khusyuk menjamah bil pulak sampai. Tersedak aku dibuatnya. Nasi goreng ayam – RM6! Air sejuk - 30sen! Gila, gila ,gila!

Selesai makan ku bertanya kepada cashier kedudukan masjid terdekat. Mamak cashier kurang faham. Ku membuat gaya orang sedang solat. Oh, dia mengangguk. Dan menyuruh aku berjalan terus dan mengambil simpang ke kiri yang pertama. Aku mengikut arah yang ditunjukkan dan tidak lama kemudian tersergam di depanku...sebuah gereja. Aduh. Aku menggaru kepala dan berpatah balik. Muka aku tak nampak macam Islam ke? Aku berjalan tanpa hala tuju dan tiba-tiba dari jauh kelihatan menara sebuah masjid. Macam masjid negara, ku mengagak. Ku pun berjalan ke arah menara tersebut. Tapi makin jalan macam makin jauh pula. Dan lama-lama terus hilang. Mungkin tersorok di balik bangunan-bangunan lain. Aku menghela nafas. Terpaksa aku menggunakan khidmat pemandu teksi lagi.

“Masjid Negara, bang.”

“Ok, naik,” Tak sampai setengah kilometer bergerak dia bertanya, “Kenapa tak jalan je?” Dekat je tu, adik naik ikut flyover tu dah sampai,” Cantik la bang. Kenapa tak beritahu esok je.

“Tak tau pulak bang. Tadi cari jalan tak jumpa. Abang punya kereta pakai gas ke petrol?”

Ku mula beraksi. Tapi abang teksi hanya mendengus. Mungkin malas menjawab. Atau keletihan. Begitulah seterusnya. Ditanya berjela, beliau hanya menjawab sepatah. Susah hendak menduga apa yang bermain di fikirannya. Tapi ku tidak berputus asa.

Hinggalah sampai ke tempat dituju, baru dia mengeluarkan statement yang menjelaskan badai yang berombak kencang dalam dirinya. “Rakyat mati!” kata beliau ringkas. Aku mengangguk tanda faham dan bersimpati, lalu turun dari teksi mencari tempat berlabuh untuk malam itu...

Kenapa Boikot ISRAEL?








Rintih Si Pemandu Teksi 1


Rintih Si Pemandu Teksi 1
7hb Jun 2008


Alhamdulillah kami dilepaskan awal daripada program Tiupan Bayu Membawa Salam. Program lawatan PMUMS ke IPT-IPT sekitar Lembah Klang. Matlamat program untuk menyerap dan menggunapakai wadah pemikiran Persatuan Mahasiswa di semenanjung tampak berjaya. Masing-masing puas. Idea membuak menunggu dilaksanakan. Semangat membawai badai perubahan melonjak-lonjak. Aku tak ketinggalan. Lebih-lebih lagi kerana aku sempat mengikuti program yang lebih special. Program mencetus pemikiran baru anjuran BBMN. Tetapi ini semua akan diceritakan kemudian...

Aku pun melangkah layu keluar daripada gerabak KTM UKM dengan lautan manusia yang lain. Abi menyuruh aku menaiki teksi pulang ke rumah kerana mereka pun masih keletihan, baru sampai daripada Terengganu. “Fasa 3/5B bang,” Ku memanggil pemandu yang rancak berborak. “Ok, adik masuk.” Aku duduk di depan. Salah satu basics menghormati orang tua. Biarpun pakai driver jangan bagi driver rasa macam dia driver. Lagipun senang sikit untuk aku menjalankan agenda. Seorang perempuan muda masuk ke teksi dan duduk di kerusi belakang. Teksi keluar daripada kawasan parking dan meluncur laju..

“Abang,” ku tidak membuang masa lagi, “Abang punya kereta pakai gas ke petrol?”

“Separuh-separuh dik,” dia menjawab.

“Jadi kenaikan harga petrol ada kesan jugakla kepada abang?” Aku terus mencucuk.

“Adala dik!” Jarum kena tepat pada sasaran. “Diorang ni buat kerja langsung tak fikir orang! Buat kerja gila!” “Kerajaan sekarang memang dah tak fikir pasal rakyat! Kita kena berubah! ”

“Pasal apa agak-agaknya petrol naik ek? ” Aku menduga.

“ Petrol naik ada dua faktor, ” Nah, lagak seorang peguam pula pakcik ni berhujah. “ Yang pertama ialah sebab negara kita dah miskin, takde duit! Duit habis buat projek besar, rasuah. Pastu kelam-kabut cari duit nak ganti! ” Keras juga hujahnya. “ Yang kedua, sebab kerajaan sekarang nak balas dendam. Rakyat tolak dia dalam pilihanraya! ” Lagi keras! “ Pakcik ni walaupun bawak teksi je tapi pakcik belajar di Universiti jugak dulu,” Dia menambah, penguat kepada hujahnya.

Teksi masuk ke kawasan rumahku. Tak sempat aku meminta pakcik driver menghantar kakak yang duduk di belakang dulu untuk memastikan dia selamat sampai ke rumah. Sebelum turun aku menghulurkan pelekat kereta ‘Kembalikan Royalti Rakyat Terengganu’ kepada pakcik driver. Dia ketawa kecil. Dan aku tersenyum puas. Misiku tercapai..

Tak Kenal Tak Cinta

Penulis adalah insan yang cintakan seisi dunia dalam perjalanan menuju akhirat. Cinta kepada isi dunia, membawa diri cinta untuk memberi.

Diberi ruang memberi sejak di bangku Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) Subang Jaya, Exco Kerohanian dan Sahsiah MPP Universiti Malaysia Sabah, Timbalan Presiden Persatuan Siswazah Sabah dan kini mencari ruang memberi dengan berkongsi mengasaskan Rabithah Tullab Ad-Dawli.

Pemegang ijazah Sains Marin daripada Universiti Malaysia Sabah dan meneruskan pengajian di dalam bidang syariah dan Bahasa Arab di Maahad Dawli, Dimashq.

Rabithah Tullab Ad-Dawli

Rabithah Tullab Ad-Dawli memerlukan sumbangan berterusan untuk menjalankan agenda kebajikan.

Salurkan sumbangan anda ke akaun sementara:

Maybank : 162263440765
(Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Pengurus Rabithah)

Persatuan Siswazah Sabah

Persatuan Siswazah Sabah
Misi Menyelamatkan Aqidah Anak Sabah

Mereka Juga Membaca :

Sebarkan Pahala Itu :

There was an error in this gadget

Kunjungan VIP:

Ilmuwan